Friday, April 17, 2009

Air Zam-Zam Penawar Bagi Segala Jenis Penyakit

Oleh: Nurul Aisyah Bt Zainon Mokhtar

PENDAHULUAN
Segala puji-pujian hanya milik Allah s.w.t. Kami memuji-Nya serta memohon pertolongan dan pengampunan-Nya. Kami berlindung kepada-Nya dari segala kejahatan diri dan keburukan amal perbuatan kami. Barang siapa diberi petunjuk oleh-Nya, tidak ada yang mampu menyesatkan, barang siapa yang telah disesatkan oleh-Nya, tidak ada yang mampu memberi petunjuk.

Sesungguhnya sebenar-benarnya ucapan adalah kalam Allah s.w.t dan sebaik-baiknya petunjuk adalah petunjuk Nabi Muhammad s.a.w. Sedangkan, seburuk-buruk perkara adalah perkara agama yang dibuat-buat. Setiap perkara agama yang dibuat-buat adalah bid’ah manakala setiap bid’ah itu adalah sesat dan balasan setiap kesesatan adalah neraka.

Di dalam buku ini, kita akan mengetahui keutamaan air zam-zam di sisi agama Islam. Kita juga akan mengetahui bagaimana cara umat Islam berubat dengan air zam-zam. Dalam buku in juga, kita akan dapat melihat keadaan orang yang minum air zam-zam dengan niat yang mulia. Antaranya ialah orang yang minum air zam-zam dengan niat agar dielakkan dari dahaga di hari dahaga yang dahsyat (hari kiamat), orang minum dengan niat agar dilapangkan rezekinya, orang yang minum agar diberi ilmu yang bermanfaat, orang yang meminumnya dengan niat berubat dan lain-lain niat yang baik.

Kita juga akan mengetahui asal-usul air zam-zam dan sampai bila air zam-zam ini boleh bertahan. Kita juga mengetahui beberapa kisah pengalaman peribadi orang-orang yang meminumnya dan tercapai apa yang mereka inginkan setelah minum air ini, dan Allah menyembuhkan penyakit mereka yang sudah tidak dapat lagi diubati oleh doktor-doktor di dunia ini, juga diketengahkan dalam buku ini.

Sebagai landasan, penyusunan kitab ini telah menggunakan beberapa hadis dan athar Salaf tentang air zam-zam. Apa-apa yang benar dalam kitab ini, adalah dari Allah dan yang menyimpang dari itu adalah kelemahan kami. Akan tetapi cukuplah bagi kami, sesungguhnya Allah mengetahui apa-apa yang di dalam hati.

RAHSIA DINAMAKAN AIR ZAM-ZAM

Adapun rahsia dinamakan air zam-zam ada berbagai pendapat antaranya :

1. Kerana banyaknya.

2. Kerana terkumpulnya. Pendapat ini dikemukakan oleh Ibnu Hisyam.

3. Ada yang mangatakan ‘Zamzimah’ yang bererti kumpulan.

4. Kerana geraknya. Pendapat ini dikemukakan oleh Al-Harbi rahimullahu anh.

5. Dipanggil zam-zam agar tidak mengalir ke kanan atau ke kiri.

Demikianlah kesimpulan yang dapat dikumpulkan tentang beberapa nama air nama air zam-zam.

SEJARAH ASAL USUL TIMBULNYA AIR ZAM-ZAM

Imam Bukhari meriwayatkan dari Ibnu Abbas. Rasulullah s.a.w. bersabda : “Wanita zaman dahulu yang mula-mula memakai tali pinggang (bengkung) adalah ibu Nabi Ismail (Siti Hajar). Dia memakai tali pinggang itu tujuannya agar kandungannya tidak diketahui oleh Sarah. Kemudian Nabi Ibrahim membawa Siti Hajar bersama anaknya Nabi Ismail yang masih menyusu dan meletakkannya di sebuah tempat dekat Ka’bah di bawah sepohon besar di tepi bakal perigi zam-zam di kawasan Masjidil Haram. Waktu itu di Makkah belum ada orang sama sekali dan juga tidak ada air.

Nabi Ibrahim menempatkan Siti Hajar dan Ismail di sana dan dia meletakkan pula dekat keduanya sebuah bekas berisi kurma dan sebuah bekas lagi berisi air.

Kemudian Nabi Ibrahim pun beredar untuk berangkat ke Syam. Siti Hajar mengikutnya dan berkata :Wahai Ibrahim, kamu hendak pergi ke mana? Engkau meninggalkan kami di sini, padahal di lembah ini tidak ada manusia dan tidak ada apa-apa?”

Dia berkata demikian berulang kali, namun Nabi Ibrahim tidak menoleh juga. Maka Siti Hajar bertanya :“Adakah Allah telah memerintahkan kamu berbuat demikian?”

Ibrahim menjawab : “Ya. ”Berkata Siti Hajar : “Kalau demikian, Allah tidak akan membiarkan kami. ” Kemudian Siti Hajar kembali ke tempatnya semula. Ibrahim terus pergi sehingga sampai di suatu tempat bernama ‘Thannayah’ yang sudah tidak dilihat oleh ibu Ismail, Ibrahim menghadapkan wajahnya ke arah Ka’bah, mengangkat kedua tangannya kemudian berdoa :“Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak ada tanam-tanamam. . . . . . ”(Q. S. Ibrahim, ayat 37)

Ibu Ismail menyusukan anaknya dan minum air yang disediakan oleh Ibrahim. Apabila air itu telah habis, maka merasa hauslah Siti Hajar dan anaknya. Dia melihat anaknya yang terguling-guling kerana haus. Ibu Ismail pergi mencari air kerana tidak tergamak melihat anaknya. Dia sampai ke Shafa, sebuah bukit yang berhampiran di bumi itu dan berdiri di situ sambil melihat-lihat ke lembah kalau-kalau ada orang di sana. Oleh kerana tidak ada, maka dia pun turun dari bukit Shafa dan di situ dia mengangkat tepi bajunya. Kemudian dia berjalan dengan cepat seperti jalannya orang yang kecemasan hingga melewati lembah dan sampai di Marwah. Di sana dia berdiri sambil melihat-lihat kalau-kalau ada orang, namun tidak ada juga. Dia berbuat demikian (berjalan cepat antara Shafa dam Marwah) sehingga tujuh kali.

Ibnu Abbas berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kerana itulah orang yang mengerjakan haji mengerjakan Sa’i antara Shafa dan Marwah. Sewaktu ibu Ismail berada di Marwah, dia mendengar suatu suara, maka dia berkata pada dirinya sendiri: “Dengarlah!”. Kemudian dia mendengar lagi, lalu dia berkata: “Engkau telah memperdengarkan sura, adakah di sisi engkau ada suatu pertolongan?”

Tiba-tiba ada malaikat di tempat air zam-zam. Lalu Malaikat itu menggali dengan kakinya atau dengan menghentakkan sayapnya sehingga keluar air. Maka Ibu Ismail menahan air itu dengan tangannya dan menceduknya untuk diisikan ke dalam bekasnya. Setelah Ibu Ismail menceduk, maka air itupun menyembur.

Berkata Ibnu Abbas: Rasulullah s.a.w. bersabda:“Semoga Allah s.w.t. merahmati ibu Ismail. Seandainya dia membiarkan air itu, maka baginda berkata: “Andaikan ibu Ismail tidak menceduknya maka air zam-zam itu akan mengalir di atas bumi. ”

Seterusnya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Maka Ibu Ismail meminum dan menyusukan anaknya. Lalu Malaikat berkata kepadanya: “Jangan kau khuatir tersia-sia. Sesungguhnya di sinilah tempat Baitullah yang akan dibina oleh anak ini (Ismail) bersama ayahnya. Dan Allah tidak akan membiarkan keluarga Ibrahim. ”

Adalah tonggo Baitullah itu dari bumi seperti rabiyah yang dilanda banjir di sebelah kanan dan kirinya. Demikianlah keadaan Siti Hajar sehingga lalulah di tempat itu serombongn orang Jurhum yang datang dari arah jalan Kada’. Mereka berhenti di sebelah hilir Makkah. Mereka melihat burung terbsng berpusing-pusing. Maka berkatalah mereka: “Burung itu tentu berpusing-pusing di atas air. Sebenarnya di tempat ini ada air. ”

Maka mereka pun menghantar seorang atau dua utusan. Tiba-tiba utusan itu menjumpai air. Maka mereka pun pun kembali kepada kumpulannya dan memberitahu tentang penemuan sumber air. Mereka pun pergi beramai-ramai ke tempat itu sedang Siti Hajar ada dekat air.

Kata mereka: “Adakah puan membenarkan kami tinggal di tempat puan?” Ibu Ismail berkata: “Boleh, tapi kamu tidak ada hak akan air ini. ” Mereka pun membalas: “Ya. ”Ibnu Abbas berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Maka Ibu Ismail mesra dengan mereka, kerana dia memang suka bila ada manusia tinggal di situ. Kemudian mereka mengajak keluarga mereka untuk tinggal bersama-sama di situ sehingga terdapat beberapa rumahtangga kepunyaan mereka. Sementara Ismail sudah menjadi pemuda dan belajar bahasa Arab dengan orang-orang Jurhum itu. . . . . . ”
(Al-Hadis)


GALAKAN MINUM AIR ZAM-ZAM
i. Minum Sampai Kenyang.
Dari Abu Malikah, berkata: “Ketika saya berada dengan Ibnu Abbas, tiba-tiba datang seorang lelaki dan duduk di sisi Ibnu Abbas. ”

Ibnu Abbas bertanya: “Anda datang dari mana?” Berkata lelaki itu: “Saya datang untuk minum air zam-zam. ” Ibnu Abbas berkata lagi: “Adakah anda minum sebagaimana patutnya?” Berkata lelaki itu lagi: “Bagaimana minum dengan sepatutnya itu wahai Ibnu Abbas?”

Ibnu Abbas menerangkan:“Engkau menghadap Kiblat, menyebut nama Allah, kemudian engkau minum dan menghembus tiga kali. Apabila telah selesai, engkau memuji Allah dan engkau minum air zam-zam itu sampai kenyang. Kerana saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya satu tanda antara golongan kami dan orang-orang munafik itu tidak minum air zam-zam sampai kenyang. ”(Diriwayatkan oleh Ibnu Majah)

ii. Air Yang Terbaik Di Muka Bumi. Dari Ibnu Abbas r. a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:“Sebaik-baik air di muka bumi ini adalah air zam-zam, di dalamnya mengandungi makanan yang mengenyangkan dan ubat bagi penyakit. Ada pun seburuk-buruk air di muka bumi ini adalah air di lembah Barhut di Hadra Maut. Ianya seperti kaki sejenis binatang belalang yang apabila di waktu pagi berair dan di waktu petang pula tiada setitis air pun padanya. ”(Diceritakan oleh Haithamy)

Al-Ustaz Khalil Haras berkata bahawa yang dimaksudkan air terbaik adalah air yang paling banyak manfaatnya.

Air zam-zam terdapat di Perigi Barakah yang digali oleh Malaikat Jibril a.s. untuk Nabi Ismail dan ibunya sewaktu ditinggalkan pergi oleh Nabi Ibrahim Khalilullah a.s. di sebuah lembah yang tidak terdapat tumbuh-tumbuhan dan air.

Apabila bekal makanan dan airnya sudah habis, maka Hajar (ibu Nabi Ismail) pergi mencari air dengan berulang alik antara bukit Shafa dan bukit Marwah. Dari tempat yang tinggi, dia melihat ke sana ke mari untuk mencari kalau-kalau ada orang yang mahu menolongnya. Setelah puas mencari, namun tidak ada seorang manusia pun yang dijumpainya, maka datanglah pertolongan dari Allah Azza Wajalla.

HATI NABI S.A.W. DIBASUH DENGAN AIR ZAM-ZAM
Abu Zarrin r. a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:“Sewaktu aku di Makkah, tiba-tiba atap rumahku telah terbuka. Maka turunlah Malaikat Jibril dan membedah dadaku. Kemudian membasuhnya dengan air zam-zam. Selepas itu, ia membawa sebuah bejana emas yang berisi hikmat dan iman. Ia memasukkan benda itu ke dalam dadaku kemudian menutupnya semula. Lalu ia memegang tanganku dan membawaku naik ke langit dunia. ”(Hadis sohih, Imam Bukhari)

Keterangan:

- Malaikat membasuh hati Nabi s.a.w. dengan air zam-zam. Ini menunjukkan keutamaan air itu dari air-air lainnya.

- Ibnu Abi Jumrah berkata: “Hati Nabi s.a.w. tidak dibasuh dengan air dari syurga kerana pada air zam-zam telah mengandungi unsur-unsur air yang berasal dari syurga. Kemudian tetap melekatkan keberkatan Nabi s.a.w. pada air itu di dunia. ”

- Kerana air zam-zam itu galian Malaikat Jibril Ruhul Quds untuk Ibu Nabi Ismail a.s. datuk Nabi s.a.w. , maka munasabahlah baginda dibasuh dengan air zam-zam tersebut sewaktu hendak menghadap Allah.

- Dari keterangan hadis di atas, tidak syak lagi bahawa air zam-zam mempunyai keistimewaan yang tidak terdapat pada lain-lain air.


ADAB DAN DOA MINUM AIR ZAM-ZAM

Antara adab-adab dan doa minum air zam-zam ialah:

- Menghadap Kiblat.

- Menyebut nama Allah (membaca Bismillah. . . . . . .).

- Hembus tiga kali.

- Hendaklah minum banyak-banyak sampai merasa kenyang.

- Apabila telah selesai hendaklah memuji Allah (membaca Alhamdulillah).

- Membaca doa dengan hati yang yakin disertai dengan niat apa yang dikehendakinya.

Antara doa-doa yang dibaca ialah:

i. “Ya Allah, sesungguhnya telah sampai kepadaku sabda Rasulullah s.a.w. : “Air zam-zam itu mujarab bagi sesuatu niat untuk apa ia diminum. Ya Allah, aku hendak meminumnya. Semoga Engkau ampuni dosaku atau Kau berbuat bagiku. . . . . (itu dan ini), ampuni aku atau jadikanlah. . . . . . ”

ii. “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, hati yang khusyuk dan doa yang mustajab. ”

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu segala kebaikan sama ada kebaikan di dunia atau akhirat yang aku ketahui dan tidak aku ketahui. ”

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari segala keburukan di dunia atau akhirat yang aku ketahui dan tidak aku ketahui. ”

iii. “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan ubat bagi setiap penyakit. ”



AIR ZAM-ZAM BERGUNA UNTUK TUJUAN APA SAJA

Hadis dari Jabir, Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan Muawiyah, semuanya hadis mafru’ kecuali dari Muawiyah.

Rasulullah s.a.w. bersabda:Ertinya: “Air zam-zam itu mujarab bagi sesuatu niat untuk apa ia diminum. ”

Telah ramai para ilmuan member keterangan tentang hadis ini:

- Al-Manawy rahimahullahu anh berkata tentang sabda Rasulullah s.a.w. ‘air zam-zam’. Air zam-zam adalah raja segala air, air yang terbaik, tinggi mutunya dan paling disukai oleh manusia. Al-Manawy berkata: “Kerana ianya minuman dan rahmat dari Allah untuk putera kekasihnya (Nabi Ibrahim a.s.). Maka berkekalanlah rahmat itu bagi orang sesudahnya, yakni bagi yang meminumnya dengan ikhlas, akan mendapat rahmat itu. Ramai ulama telah meminum air itu untuk sesuatu permohonan dan mereka telah memperolehinya. ”

- Pengarang kitab ‘Al-Ukaduth thamin’ berkata bahawa Ahmad bin Abdullah Asy-Syarify di tanah haram telah meminum air zam-zam itu untuk mengubat penyakit buta, maka dia pun sembuh.

- Segolongan ulama salaf dan khalaf juga telah meminum air zam-zam untuk suatu tujuan yang mulia, mereka pun telah mencapai apa yang telah dihajatkannya.

- Imam Nawawi rahimahullahu anh berkata berhubungan dengan hadis kemujaraban air zam-zam untuk tujuan apa saja: “Sesungguhnya barang siapa yang meminumnya untuk suatu hajat, dia akan memperolehinya. Para ulama dan solihin telah membuktikannya untuk tujuan akhirat dan dunia. Mereka pun telah memperolehinya dengan izin Allah dan kemuliaan-Nya. ”

- Ibnu Ishak berkata: “Sesungguhnya di Makkah terdapat banyak perigi sebelum diketemukan perigi zam-zam oleh Abdul Mutalib. Perigi zam-zam memberhentikan perigi-perigi lain yang ada, maka orang ramai pun mengambil air dari perigi zam-zam kerana di samping tempatnya terletak di kawasan Masjidil Haram, juga kerana keistimewaan air itu daripada air-air yang lain. ”

Penjelasan yang lebih baik berkenaan dengan air zam-zam in, barangkali yang dikemukakan oleh Mujahid:

- “Jika kamu minum air zam-zam untuk tujuan pengubatan, Allah akan menyembuhkan kamu. ”

- “Jika kamu minum air zam-zam dengan niat agar kamu kenyang, maka Allah akan mengenyangkan kamu. ”

- “Jika kamu minum air zam-zam untuk menghilangkan rasa dahaga, Allah akan menghilangkan dahagamu. ”

i. Ibnu Qayyim rahiahullahu anh berkata:

“Saya dan teman-teman lain telah membktikan kemujaraban mengubat dengan air zam-zam dengan hasil yang menakjubkan. Saya telah beberapa jenis penyakit dengan menggunakan air zam-zam, ternyata sembuh dengan izin Allah. ”

- Mengubat penyakit panas.

- Mengubat pening dan lemah penglihatan.

- Mengubat penyakit kanser.

- Menghentikan buang air kecil yang berterusan.

ii. Barang siapa yang meminumnya dengan niat agar tiada kehausan di hari dahaga yang dahsyat yakni hari kiamat, dia akan memperolehi apa yang diimpikannya itu dengan rahmat Allah.

KESIMPULAN

Begitu banyak keistimewaan dan kelebihan air zam-zam. Seharusnya kita meminumnya dengan memohon perkara-perkara yang baik-baik dan meminta dijauhi bencana dan malapetaka. Kita juga seharusnya percaya dan yakin dengan kekuasaan Allah s.w.t. dan mengikut segala sunah-sunah Nabi s.a.w. . Kita juga tidak boleh berputus asa jika ujian dikenakan ke atas kita.

Mudah-mudahan Allah s.w.t sentiasa meluruskan hati, menghapuskan seluruh aib dan cacat kita. Sesungguhnysa Allah s.w.t Maha Kuasa atas segala sesuatu. Semoga Allah s.w.t menjadikan amalan kita ikhlas semata-mata kerana-Nya dan Allah s.w.t. berkenan menerimanya. Selawat dan salam semoga dicurahkan kepada Rasul kita, nabi Muhammad s.a.w, keluarga dan sahabat-sahabat baginda.

Terakhir sekali kita memohon kepada Allah s.w.t, semoga dia mengampuni dosa-dosa dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kita serta menganugerahi kita rahmat-Nya. Kepada-Nya kita memohon. Dia, zat yang Maha Mulia, Rabbul’Arsy, sekiranya menjadikan kita sebagai orang yang mengutamakan keredhaanNya dan cinta kepada-Nya. Apa-apa yang benar adalah dari Allah dan yang menyimpang itu adalah dari kelemahan diri saya sendiri.

Sekian, wassalam. . . .

No comments: