Thursday, April 16, 2009

Muslimah Harapan & Cabaran

Oleh: Nor Farah Hana Bt Ya

WANITA DALAM DILEMA

Pada masa kini, kedudukan wanita sudah jauh melengkapi ciri-ciri muslimah di setiap negara-negara Islam. Mereka ini masih ditemui sebagai wanita solehah, mukminah, suci, suka bertaubat, dan rajin beribadat. Namun begitu, telah wujud aliran-aliran yang menyimpang yang bertentangan di antara satu sama lain.

Dua aliran itu adalah:
1. Aliran yang cenderung menyekat dan menutup jalan para wanita.
2. Aliran yang membuka jalan lebar kepada para wanita dan memberikan kebebasan sepenuhnya sehingga mereka tidak malu berbuat sesuka hati dan mengikut gaya hidup barat.

Oleh sebab itu, ramai wanita Islam yang dilihat bersama pemuda yang bukan mahramnya di tempat-tempat tertentu seperti panggung wayang, tempat rekreasi, dan di tepi-tepi tasik sehingga larut malam tanpa orang ketiga.
Maka tidak patutlah menyekat dan terlalu memberi kebebasan kepada mereka kerana Islam menyuruh umatnya bersederhana.

BAB 2

HAKIKAT YANG HILANG

Islam membenarkan umatnya melihat tunang masing-masing. Bahkan, menggalakkan lagi umatnya, seperti sabda Rasulullah:

Maksudnya: “Apakah engkau sudah melihatnya? Pemuda itu menjawab: Tidak! Baginda berkata lagi: Lihatlah kepadanya, kerana ia dapat mengharmonikan hidup kamu berdua. ”

Daripada sikap ini kita dapat menghargai pasangan masing-masing sebagai suami isteri. Namun begitu, disebabkan sikap ambil remeh tentang perkara ini, ramai suami yang menganggap isteri seperti tunggul dan tidak memiliki hak bersuara.
Sabda Rasulullah:

Maksudnya: “Bermusyawarahlah kamu dengan isteri kamu tentang anak gadis kamu. ”

Peranan ibu terhadap anak gadisnya adalah penting kerana mereka lebih mengerti dan memahami berbanding seorang ayah.

Di dalam Al-Quran juga Allah berfirman:Maksudnya: “… apabila keduanya ingin menghentikan penyusuan itu, (sebelum dua tahun) dengan kerelaan kedua-duanya dan permusyawarahan, maka tidak ada dosa bagi kedua-duanya”. (al-Baqarah:233)

Tetapi pada zaman sekarang, pendapat isteri sudah tidak diendahkan malah pendapat mereka sering tidak dihiraukan.







BAB 3
BERMUSYAWARAH DENGAN ISTERI

Ramai di kalangan kita kini berpendapat bahawa bermusyawarah boleh dilakukan dengan isteri tetapi tidak perlulah untuk mengikut pendapat mereka. Baginda tidak pernah bersikap sedemikian, sikap beliau adalah selaras dengan Al-Quran. Firman Allah:Maksudnya: “…dengan kerelaan kedua-duanya dan permusyawarahan…” (al-Baqarah:233)

Contoh sikap Rasulullah ketika Perjanjian Hudaibiyyah, Baginda menyuruh para sahabatnya bercukur dan bergunting rambut bagi tahallul umrah untuk kembali semula ke Madinah. Tetapi para sahabat merasa tidak senang hati jika mereka pulang ke Madinah tanpa melakukan ibadat di situ. Maka, sukar untuk para sahabat melaksanakan perintah Rasulullah s.a.w tersebut. Disebabkan tiada sesiapa yang datang untuk bertahallul, baginda mengadu kepada Ummu Salamah r. a tentang sikap para sahabat. Baginda bersabda:Maksudnya: “Binasalah orang ramai”

Ummu memberi pendapat kepada Rasulullah supaya keluar bercukur dan menggunting rambut di hadapan sahabat tanpa menghiraukan mereka. Para sahabat yang melihatsituasi tersebut terkilan kerana mereka tidak menyambut perintah Rasulullah s.a.w. Maka merekapun ikut serta bertahallul bersama Rasulullah s.a.w. Itulah berkat pendapat wanita yang mungkin lebih bernas daripada lelaki.

BAB 4
TAQLID BUTA

Pada era kini, terdapat isteri diberi tonggak sepenuhnya menjaga rumahtangga dan suami sekadar hidup bergoyang kaki di rumah. Pada hal, lelakilah yang sepatutnya menjadi pemerintah dan menguruskan keluarga. Dalam firman Allah:Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita…. ” (an-Nisa’:34)

Suami bukanlah lelaki sekiranya mereka tidak berdaya melarang isteri, memberi pendapat dan hanya mengikut di bawah telunjuk isteri. Tetapi yang sebetulnya Islam menyuruh umatnya bersederhana, maka dari situ barulah akan muncul wanita muslimah yang sejati.
Wanita muslimah bermaksud wanita yang melaksanakan tanggungjawabnya dan sentiasa mendahulukan kewajipan mereka. Namun, ramai wanita kini yang menuntut hak mereka untuk hidup bebas sedangkan mereka tidak mengetahui apakah hak mereka mengikut Islam. Mereka sering hanyut oleh arus permodenan dan mengikut gaya hidup barat sebagai gaya hidup mereka. Sementara itu, semua urusan keluarga telah ditinggalkan dan terbengkalai begitu saja. Faktor ini adalah disebabkan pengaruh barat yag berjaya menarik kaum wanita terjerumus ke arah yang salah. Tetapi, apa yang jelas disini adalah wanita muslimah jauhberbeza dengan wanita barat. Maka, tidak sepatutnya wanita kini meniru watak-watak wanita barat dan menjadikan mereka sebagai contoh mahupun ‘role model’ dalam gaya hidup masing-masing.

Di barat, wanita dikerah untuk bekerja seiring dengan lelaki. Jika mereka tidak menjalankan apa yang sepatutnya dilakukan, mereka tidak dapat menyara hidup masing-masing. Tetapi di dalam Islam, kedudukan wanita amat di sanjung tinggi. Nafkah dan keperluan hidup ditanggung dan dijamin kerana semua di bawah tanggungjawab lelaki.

Dalam buku “ISLAM WA HAJATUL INSANIYAH ILLAIH” ditulis oleh Dr. Muhammad Yusuf Musa rahimahullah tercatat kisah tentang seorang pembantu rumah yang berakhlak mulia. Beliau mendapati wanita itu mempunyai keluarga yang kaya-raya. Tetapi yang menghairankan ialah mengapa hidupnya susah dan terpaksa bekerja sebagai pembantu rumah di rumah orang lain. Ketika beliau berkesempatan bertanya mengenai perkara tersebut, wanita berkenaan menjawab bahawa undang-undang yang menghalang dia untuk memperoleh keistimewaan sebagai anak orang kaya. Gadis terbabit terpaksa bekerja sendiri demi meneruskan kehidupannya.
Melihat kenyataan ini, jelaslah bahawa golongan barat meletakkan wanita ini sejajar dengan lelaki walaupun dari pandangan mata kasarnya wanita amat lemah berbanding lelaki. Namun begitu, tidak salah sekiranya wanita ingin bekerja kerana Islam turut memerlukan khidmat wanita dalam sektor pekerjaan. Tetapi ia sepatutnya selaras dengan taraf wanita dan tidak menyimpang daripada fitrah dan kudrat kewanitaan.

BAB 5
MASA SILAM YANG DEKAT

Hidup wanita ketika masa silam yang dekat amatlah mundur sehinggakan diharamkan memasuki masjid. Padahal, masjidlah pusat perlaksanan keagamaan. Ini disebabkan oleh para ulama’ pernah pernah mengatakan bahawa zaman tersebut adalah zaman kerosakan, maka tidak wajarlah wanita keluar daripada rumah kerana ia hanya mendatangkan fitnah. Kerana fatwa yang telah dikeluarkan itu, wanita remaja terutamanya tidak dibenarkan ke masjid. Maka adalah tanggungjawab ayah mendidik anak-anak mereka di rumah.

Namun begitu, bagaimana lelaki ingin megajar atau mendidik anak dan isteri mereka sedangkan mereka sendiri masih memerlukan orang untuk mengajar dirinya sendiri. Jika keadaan ini terus berterusan, waita akan tetap dalam kebodohan dan kejahilan. Mereka tidak akan faham mengenai Islam, maka bagaimana mereka ingin mendidik anak-anak mereka dengan cara Islam. Disebabkan itulah, ramai wanita mendidik anak mereka dengan cara menakut-nakutkan ditambah dengan cerita yang tidak bermanfaat. Fatwa tersebut menyebabkan wanita zaman sekarang kurang mengunjungi masjid.

Pada zaman Rasulullah s.a.w, wanita hadir solat jamaah di masjid Nabawi. Sehinggakan Rasulullah s.a.w menyediakan pintu khas untuk wanita sahaja masuk melaluinya dan pintu itu kini dinamai Bab an-Nisa’. Maka, kita tidak mahu mengalami zaman kebodohan wanita tetapi kita mahu mengembalikan kembali detik wanita zaman Rasulullah s.a.w yang patuh dengan tuntutan Islam.


BAB 6
MASA SILAM YANG JAUH

Pada zaman Rasulullah s.a.w, terdapat seorang wanita Ansar menziarahi Rasulullah s.a.w dan bertanyakan mengenai masalah-masalah wanita berlandaskan Islam. Sikap wanita itu membuatkan Saiyidah Aisyah r. a kagum. Ketika turun perintah Allah supaya wanita menutup kepala dan aurat, wanita Ansar itu akan memakai tudung kepala dengan serapat-rapatnya.

Dzatun Nithaqain (wanita dengan dua ikat pinggang), Asma’ bt. Abu Bakar sentiasa membantu suaminya, Zubair b. Awwam. Asma’ selalu ulang-alik dari sebidang tanah suaminya yang beberapa kilometer dari rumahnya dengan hanya berjalan kaki walaupun mempunyai seekor kuda. Pada suatu hari, Asma’ terserempak dengan Rasulullah s.a.w menaiki unta dan ingin menumpangkan beliau. Asma’ menceritakan perjalanan itu kepada Zubair, dan Zubair berasa terharu terhadap isterinya yang terpaksa mengalami kesulitan tersebut. Tetapi apakan daya, itu adalah kewajipan isteri terhadap suaminya.

Fatimah Azzahara juga mengalami nasib yang sama. Beliau terpaksa membersih rumah dan membuat adunan roti sehingga tangannya berbekas. Suatu hari, Fatimah menemui ayahnya, Rasulullah s.a.w untuk mencarikan pembantu untuknya.

Baginda bersabda:Maksudnya: “Akan kutunjukkan cara yang lebih baik (daripada mencari seorang pembantu), ketika engkau hendak tidur, bacalah tasbih 33 kali, tahmid 33 kali dan takbir 33 kali. Sesungguhnya zikrullah itu lebih baik daripada mengambil seorang menantu. ”


Pada zaman sebelum Islam, al-Khansa menangis semahu-mahunya meratapi kematian saudara seayahnya, Sakhr namun Islam telah membuka hatinya dan merubah perwatakannya. Ketika empat anaknya ingin berjihad dalam Perang al-Qadisiyyah, dia menasihati anaknya supaya tidak takut syahid di jalan Allah. Apabila khabar kematian anaknya diterima, dia berkata: “Segala puji bagi Allah s.w.t. yang telah memuliakanku dengan kesyahidan mereka di jalanNya, serta menjadikan mereka pemberi syafaat bagiku di hari kiamat. ”Ummu Fadhl, isteri Abbas r. a. , bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w berkata dengan tenang bahawa anaknya mempunyai cita-cita yang tinggi sebab itulah anaknya meninggal bukan di tempat kelahirannya.

Pada zaman dahulu, kaum muslimah memberi pengajaran dan fatwa kepada lelaki. Contohnya, Aisyah r. a dan Ummu Salamah r. a sering dikunjungi oleh sahabat dan tabiin untuk mengetahui hadith Rasulullah s.a.w. Beliau menjawab dengan sempurna dan berani malah jawapan-jawapan dari pertanyaan berkenaan boleh dijadikan sebuah kitab.

BAB 7
LELAKI DAN WANITA SALING LENGKAP-MELENGKAPI

Firman Allah s.w.t:Maksudnya: “ Demi malam apabila menutupi (cahaya siang), dan siang apabila terang benderang. Demi yang menciptakan (makhluk-makhlukNya) lelaki dan perempuan (jantan dan betina). ” (al-Lail: 1-3)

Al-Quran juga pernah menyebut:Maksudnya: “ Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingat akan kebesaran Allah…” (adz-Dzarizat: 49)

Allah menyifatkan bahawa wanita sebahagian dari lelaki, dan lelaki sebahagian dari wanita. Kedua-duanya saling memerlukan dan salah jika wanita menjadikannya musuh atau pesaing bagi lelaki. Malah ketika Adam disyurga, Allah s.w.t menciptakan Hawa sebagai peneman. Namun begitu, kini peranan kedua-duanya semakin keliru. Ada di antara wanita yang berwatakan seperti lelaki dan lelaki berwatakan seperti wanita. Rasulullah s.a.w bersabda baginda akan melaknat sesiapa yang saling menyerupai.

Larangan ini adalah untuk menjaga fitrah masing-masing sesuai dengan ketentuan Allah s.w.t.

BAB 8
GAMBARAN TENTANG BARAT

Golongan barat sering mengumpan muslimah dengan kemewahan dan harta supaya mereka taqlid dengan agama Islam. Kemajuan mereka sebenarnya hanya pada nilai material semata-mata, mereka langsung tidak mempunyai budi pekerti dan akhlak yang baik untuk merasakan kebahagiaan hidup. Golongan wanita barat lebih mengutamakan kereta mewah dan wang berjuta-juta berbanding dengan melahirkan seorang anak.

Di kalangan barat, jika mereka tergolong dalam warga emas, mereka lebih berminat memelihara binatang untuk memperoleh kasih-sayang. Ini kerana kajian menunjukkan mereka ingin menggantikan persahabatan manusia dengan haiwan.

Terdapat satu kisah yang terjadi di Amerika, di sebuah penginapan tercium bau busuk. Apabila bau tersebut semakin hari semakin busuk, pintu rumah berkenaan dipecah masuk dan mendapati sebuah mayat lelaki tua. Ketika di soal anak-anak lelaki terbabit, dengan selamba mereka menjawab: “Kami sudah menginsurankan nyawanya”. Begitu sekali kelakuan mereka terhadap ibu bapa masing-masing yang selama ini membesarkan mereka.

Jika dilihat dari sudut tersebut, peradaban Islam jauh lebih baik berbanding barat. Tetapi mereka menjatuhkan Islam dengan mengkritik kemiskinan Islam. Namun, umat Islam akan tetap teguh mengamalkan ajaran Islam dan menjunjung tinggi agama Islam serta menepis sikap mengikuti budaya agama lain.


BAB 9
SIKAP WANITA MUSLIMAH TERHADAP BUDAYA BARAT

Ramai di kalangan wanita menggunakan produk penghasilan orang bukan Islam berbanding buatan orang Islam. Mereka beranggapan produk buatan orang Islam ini tidak bermutu dan kurang berkesan. Padahal mereka tidak sedar apa hakikat sebenar apa yang telah disuntik golongan barat.

Maka, para muslimah diharap dapat mengembalikan kebenaran sebenar dan menepis tanggapan barat terhadap kita. Para muslimah dinasihatkan supaya memfokuskan diri dan memperbaiki batin dan penampilan. Mereka seharusnya lebih mengutamakan keluarga daripada cuba menarik perhatian lelaki lain.

Muslimah mesti menjadi teladan dalam melindungi hak dan dalam menunaikan kewajipan terhadap agama. Kemantapan iman, kemuliaan akhlak, ketinggian daya fikir, keluasan wawasan ilmu dan kesetiaan dalam mengembangkan amanah syar’i adalah sesuatu yang penting dalam memantapkan agama. Muslimah yang mempunyai sifat yang sedemikian sememangnya dapat membangkitkan Islam di mata dunia. Maka, akan wujud ajaran Islam di seluruh dunia berlandaskan al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w yang hanya datang membawa kebaikan dan kesedaran kepada wanita.

BAB 10
WANITA: DI ANTARA JAHILIYYAH & ISLAM

Islam amat memuliakan para wanita. Jauh berbeza berbanding jahiliyyah dahulu, wanita dianggap makhluk yang sangat hina dan tidak berhak mewarisi harta ayahnya. Wanita diperlakukan sesuka hati seperti barang yang tidak berharga. Allah berfirman:Maksudnya: “Dan apabila seseorang dari mereka diberi khabar dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya, dan dia sangat marah. ” (an-Nahl: 58)

Islam menjunjung tinggi kedudukan wanita. Melalui firman Allah: Maksudnya: “Kepunyaan Allahlah kerajaan langit dan bumi, Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki, Dia memberikan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan memberikan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang Dia kehendaki. ” (asy-Syura: 49)

Islam mengakui kelebihan wanita dalam hal-hal kebaikan dan pendidikan. Seorang ayah tidak berhak menikahkan anak gadisnya sesuka hati tanpa persetujuan anaknya sendiri. Pada zaman Rasulullah s.a.w, ada seorang gadis mengadu kepada Rasulullah: Maksudnya: “Ayah saya telah menikahkan saya dengan anak saudaranya dengan alasan untuk mengangkat darjat kehinaannya (dalam riwayat lain dikatakan gadis tersebut tidak menyukainya) Lalu Rasulullah s.a.w meyerahkan (pilihan) urusan kepada gadis tersebut. Gadis itu berkata lagi: Keinginan ayah, saya turuti, tetapi saya ingin wanita lain mengetahui bahawa segala urusan tidak harus ditentukan oleh seorang ayah. ” (HR Ibnu Majah)

Jadi, telah jelas dapat dilihat bahawa jika Barat mengajarkan kebaikan, Islam terlebih dahulu mengajarkan kearah tersebut. Dan jika Barat mempunyai keburukannya, Islam terlebih dahulu memperbetulkannya. Sesungguhnya Islam sememangnya kaya dengan kesempurnaan.


BAB 11
WANITA MASA DEPAN YANG MENJADI HARAPAN

Seorang muslimah seharusnya memahami agama dan kehidupannnya perlulah diselaraskan dengan cara Islam. Kewajipan terhadap suami, anak-anak, masyarakat dan umat Islam haruslah ditunaikan sepenuhnya. Islam bangkit seiring dengan kebaikan secara menyeluruh di dunia dan di akhirat yang diiringi dengan keredhaan Allah s.w.t. Maka, mudahlah orang-orang yang berakal mengagumi dan menerima Islam sebagai suatu agama yang benar lagi lurus. Kepuasan dari segi material dan spiritual pasti dapat diperoleh dari kebangkitan Islam sekiranya Islam diterima masyarakat sejagat disamping mengamalkan ciri-ciri Islam sejati.

Terdapat satu kisah di zaman Rasulullah s.a.w, kebahagiaan Ummi Kalthum bt. Ali r. a, Isteri Umar r. a, dapat dirasakan ketika beliau mendirikan rumahtangga bersama suaminya. Umar r. a berkata: “Saya telah membuatmu menderita dan bersusah-payah. ”Ummi Kalthum r. a menjawab: “Tidak, saya tahu, kebahagiaan sesungguhnya terdapat dalam keimanan yang bersemayam dalam hati dan saya tidak dapat dikuasai oleh sesiapa pun kecuali oleh Allah. ”Jadi, moga-moga Allah memberikan kemudahan kepada para muslimah dalam ketegasan dalam ucapan dan pemahaman yang mendalam dalam agama supaya kembali kepada hakikat yang sebenar. Semoga keperibadian Islam dapat kembali serta muslimah-muslimah pada zaman Rsulullah dapat dijadikan contoh teladan kepada wanita era kini.

KESIMPULAN

Apa yang dapat disimpulkan di sini adalah, para wanita seharusnya diajar dan diberi panduan supaya kembali ke jalan Allah s.w.t. Masyarakat Islam harus peka dalam perubahan yang berlaku terhadap muslimah. Mereka perlu diberi petunjuk dengan secepat mungkin sebelum mereka terpesong dengan lebih jauh lagi. Dari segi pakaian, adab, percakapan dan budi bahasa kaum wanita Islam harus dijaga bagi memaparkan imej Islam yang sebenar.

Oleh sebab itu, diharap para wanita muslimah dapat memperbetulkan cirri-ciri mereka ke arah yang lebih baik dan menjadikan para muslimah di zaman Rasulullah s.a.w sebagai panduan dan ‘role model’ untuk cemerlang dari segi kehidupan di dunia dan di akhirat.

No comments: