Thursday, April 16, 2009

Dosa-Dosa Besar

Oleh: Faten Allia Binti Pahmin

PENDAHULUAN
Dosa besar adalah segala apa yang dilarang oleh Allah sebagaimana yang terdapat di dlaam Al-Quran dan As-Sunnah. Sebagai umat Islam, kita wajib menjauhkan diri daripada melakukan dosa-dosa besar yang dapat mengundang kemurkaan Allah S.W.T.

Allah S.W.T berfirman: “Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu(dosa-dosa yang kecil dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia(syurga). (An-Nisaa:26)

Jika manusia menjauhkan dirinya daripada faktor-faktor yang dapat mendekatkan dirinya kepada dosa-dosa besar, nescaya Allah S.W.T akan memberikan balasan bagi tindakannya itu dengan menganugerahkannya penghapusan dan pengampunan dosa-dosa kecilnya.

Terdapat pelbagai perbuatan yang boleh menyumbang kepada dosa besar. Antaranya dalah syirik, meninggalkan solat, derhaka kepada ibu bapa, minum minuman keras dan sebagainya. Apa yang pasti, setiap daripada kita haruslah sentiasa mendekatkan diri kita kepada Allah S.W.T supaya kita akan dilindungiNya daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membawa kepada kemurkaanNya.


Dosa ialah balasan buruk daripada Allah S.W.T terhadap sesiapa yang mengingkari perintahNya atau melakukan laranganNya.
Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan manusia melakukan dosa. Antaranya adalah jahil dalam pengetahuan agama, terpengaruh dengan rakan yang melakukan kejahatan, inginkan kebebasan hidup, tidak takut pada balasan Allah S.W.T di hari akhirat dan sebagainya
Dosa besar pula adalah kesalahan yang hukumannya ditetapkan Allah S.W.T di dunia dan amaran azab di akhirat.

SYIRIK

Dosa yang paling besar adalah menyekutukan Allah S.W.T dengan sesuatu seperti firman Allah yang bermaksud:“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia akan mengampuni segala dosa yang selain syirik itu bagi siapa yang dikehendakinya. ” (An-Nisa’:48)

Syirik terbahagi kepada dua iaitu syirik jail dan syirik khafi.
a) Syirik Jali
• Adalah syirik yang terang dan nyata.
• Contoh syirik jali adalah
1 Menerusi iktikad seperti meragui dan menafikan kewujudan Allah.
2 Menerusi perbuatan seperti menyembah patung, batu, pokok, matahari dan sebagainya.
3 Menerusi lidah seperti menghalalkan perkara yang haram dan mengaku keluar dari Islam.

b) Syirik Khafi
• Adalah syirik yang kecil dan tersembunyi yang menyebabkan hilangnya pahala seseorang.
• Syirik ini banyak berkaitan dengan perbuatan riak di dalam beramal atau melakukan sesuatu perkara.
• Amalan orang-orang yang melakukan sesuatu amal hanya untuk menunjuk-nunjuk atau riak, tidak akan diterima oleh Allah S.W.T seperti firman Allah yang bermaksud:“Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu seperti debu yang berterbangan. (Al-Furqan:23)
Dosa syirik sangatlah besar dan harus dijauhi oleh umat Islam kerana sesiap yang menyekutukan Allah yang kemudiannya mati dalam keadaan syirik, maka dia akan menjadi penghuni neraka.

MENINGGALKAN SOLAT

Dosa yang sering dilakukan oleh umat Islam adalah meninggalkan solat. Meninggalkan solat tidak bererti meninggalkan solat itu sama sekali. Tetapi mengakhirkan waktu solat juga termasuk did alam dosa besar. Ini kerana, umat Islam terlalu leka dengan urusan duniawi seperti terlalu sibuk dengan urusan kerja dan harta.

Rasulullah telah bersabda yang bermaksud: “Mereka yang telah melalaikan solat akan diancam oleh ‘wail’ iaitu seksaan yang berat. ”

Wail adalah lembah di dalam neraka Jahannam yang jika gunung-gunung di dunia ini dicampakkan ke dalamnya, nescaya cairlah gunung tersebut.

Akibat orang yang meninggalkan solat
• Jika seseorang itu meninggalkan solat Subuh, maka dia akan diseksa selama 60 tahun di neraka.
• Jika seseorang itu meninggalkan solat Zohor, dosanya adalah seperti meruntuhkan Kaabah.
• Jika seseorang itu meninggalkan solat Asar, dia adalah seperti membunuh 1000 orang Islam.
• Jika seseorang itu meninggalkan solat Maghrib, dia adalah seperti berzina dngan ibu sendiri(bagi lelaki) dan berzina dengan bapa(bagi perempuan).
• Jika seseorang itu meninggalkan solayt Isyak, Allah tidak merdhainya hidup di bumi Allah.

Seksa meninggalkan solat
a) Di dunia
• Allah akan membuang berkat pada umurnya yang menyebabkan hidupnya terumbang-ambing.
• Diangkat Allah berkat rezekinya di mana walaupun dia mempunyai harta yang banyak, tetapi akan dibelanjakan kepada perkara yang tidak berfaedah.
• Akan terhapus tanda orang yang soleh di wajahnya.
• Tidak terpelihara baginya agama Islam iaitu ditakuti akan mati dalam kekufuran.
• Amalan tidak diterima llah dan tidak diberi pahala.
• Doa tidak diangkat ke langit iaitu tidak diterima doanya itu oleh Allah.

b) Ketika mati
• Dimatikan dalam keadaan yang hina.
• Dimatikan dalam keadaan lapar.
• Dimatikan dalam keadaan dahaga di mana jika diberi minum air 7 lautan sekalipun, tidak akan hilang rasa dahaganya.

c) Di dalam kubur
• Kuburnya akan disempitkan hingga tulang-tulang usuknya menjadi hancur.
• Akan diseksa oleh dua malaikat hingga hari kiamat.
• Kuburnya kan dijaga oleh ular besar yang kedua matanyamenyemburkan api dan kukunya seperti besi yang mana panjang setiap satunya sama dengan perjalanan sehari semalam. Setiap kali ular tersebut memukulnya, maka terbenamlah mayat itu ke dalam bumi hingga sejauh 70 hasta.

SIHIR

Sihir telah wujud sejak lama dahulu seperti di zaman Nabi Musa a.s. Sihir adalah satu perbuatan yang dapat memudaratkan orang lain. Biasanya. orang yang menyihir orang lain adalah disebabkan oleh rasa cemburu di atas kelebihan orang lain.

Seseorang yang menyihir orang lain dapat menyebabkan kafir berdasarkan firman Allah S.W.T yang bermaksud:“Tetapi syaitan-syaitan itu kafir mereka telah mengajarkan sihir kepada manusia. ” (Al-Baqarah:102)

Syaitan telah mengajarkan ilmu sihir kepada manusia supaya menjadi syirik kepada Allah S.W.T. Oleh itu, bilangan manusia yang menghuni neraka bersama-sama mereka akan bertambah.

Ramai yang memandang sihir adalah sesuatu yang haram semata-mata tanpa menyedari sihir telah masuk dalam hal kekafiran. Hukum terhadap tukang sihir adalah bunuh keranan bererti dia telah kafir kepada Allah atau cenderung kepada kekufuran.

Rasulullah S.A.W dengan tegas bersabda :”Jauhilah tujuh dosa besar”. Antara tujuh dosa besar yang disebutkan oleh baginda adalah sihir. Ini menunjukkan bahawa sihir adalah perkara yang sangat dilarang di dalam agama keranan ia adalah ajaran syaitan yang ingin merosakkan akidah kita sebagai umat Islam.

Rasulullah bersabda yang bermaksud:“Sesungguhnya jampi-jampi(bacaan perdukunan), azimat(penangkal) dan menyihir untuk menimbulkan kecintaan suami dan isterinya itu adalah syirik”

Jampi-jampi termasuk azimat yang dipakai untuk menolak sesuatu akibat pandangan mata. Kepercayaan bahawa azimat itu dapat menyelamatkan kita daripada bahaya adalah syirik kerana kita tidak mempercayai kuasa Allah yang Dialah yang menentukan apa yang akan berlaku kepada kita.

Namun begitu, menjampi dengan menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran atau dengan menggunakan nama Allah S.W.T adalah tidak haram. Rasulullah S.A.W sendiri pernah menjampi cucunya iaitu Hasan dan Husin r. a dengan membaca:

“Aku melindungi kalian dengan nama Allah yang sempurna dari segala gangguan syaitan, binatang yang beracun(ular) dan dari setiap mata yang jahat. ”

Sesungguhnya, sihir adalah sesuatu yang sangat dilarang. Janganlah mempercayainya kerana hanya Allah yang dapat menolong kita di dalam kesusahan.

ZINA

Zina adalah haram dan dilarang di dalam Islam. Namun, pada masa kini, perbuatan zina semakin meningkat terutama di kalangan remaja. Masalh ini berpunca daripada kurangnya didikan agama dan kurangnya iman di dada.

Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:“Dan janganlah kamu mendekati perzinaan itu, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji, dan suatu jalan yang buruk. ” (Al-Isra’:32)

Dalam firman Allah S.W.T juga menyebutkan:“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka pukullah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali cambukan(pukulan), dan janganlahkamu merasa belas kasihanpada keduanya dalam menjalankan agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan hendaklah pelaksanaan hukuman mereka itu disaksikan oleh segolongan dari mereka yang beriman. ”(An-Nur:2)

Kata para ulama, hukuman dera dalam ayat tersebut adalah hukuman dunia untuk wanita dan lelaki yang belum berkahwin tetapi berzina. Tetapi, jika mereka berdua termasuk dalam pernah berkahwin walaupun sekali dalam seumur hidupnya, maka mereka itu direjam(dilontar batu) hingga meninggal.

Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud:“Jika seorang berzina maka keluarlah iman itu daripadanya laksana asap(awan) di atas kepalanya, kemudian jika telah selesai berzina, maka kembalilah iman itu kepadanya. ”

Sabda Rasulullah S.A.W, ”Hai kaum Muslimin! Jauhilah zina kerana di situ ada enam perkara(bahaya), iaitu tiga di dunia dan tiga di akhirat.

Bahaya ketika di dunia adalah:
a) Hilangnya sinar di wajah.
b) Memendekkan umur
c) Selalu dalam keadaan miskin

Bahaya ketika di akhirat
a) Kemurkaan Allah S.W.T
b) Hisab yang jelek
c) Seksaan di neraka.

Sesungguhnya, zina itu adalah satu perbuatan yang sangat keji. Oleh itu, jauhilah ia dengan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Segeralah bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah jika kita telah melakukan kesilapan. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

FITNAH

Memfitnah atau mengadu domba adalah dosa besar yang sering dilakukan oleh kebanyakan orang. Biasanya, orang yang melakukan fitnah adalah kerana mereka cemburu dengan orang yang difitnah dan ingin dilihat hebat di depan mata orang lain.

Hukum memfitnah adalah harammenurut ketetapan ijmak kaum Muslimin, dan jelas sekali haramnya berdasar dalil syariat baik dari Al-Quran mahupun As-Sunnah, sesuai dengan firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu ikuti tiap-tiap orang yang banyak bersumpah lagi hina;yang mencela ke sana ke mari dengan menaburkan fitnah. (Al-Qalam:10-11)

Menurut riwayat Abu Hurairah r. a, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Kamu akan mendapati manusia yang paling buruk, iaitu yang memiliki dua wajah(munafik), yang datang pada segolongan dengan satu wajah, dan datang pada golongan lain dengan satu wajah. Dan barangsiapa yang mempunyai dua lidah di dunia, maka sesungguhnya Allah akan menjadikan dua lisan(lidah) itu dari api neraka pada hari kiamat. ”

Kata Imam Ghazali, setiap orang yang diberitahu tentang si fulan begini dan begitu, maka seharusnya dia bersikap seperti berikut:

1) Jangan percaya kerana dia pemfitnah lagi fasik yang hanya menghilangkan kebenaran.
2) Melarang, menasihati dan menunjukkan kejelekan irinya.
3) Membenci pembawa fitnah itu kerana Allah kerana Allah membenci perbuatan tersebut, sedangkan membenci sesuatu kerana Allah itu adalah wajib.
4) Jangan berprasangka tidak baikkepada orang yang diberitakan itu, kerana yang demikian itu dilarang Allah sebagaimana firmanNya yang bermaksud:“Jauhilah olehmu banyak-banyak menyangka, kerana sesungguhnya sebagian dari sangkaan itu adalah dosa(Al-Hujurat:12)
5) Jangan ikut menyebar fitnah itu, kerana fitnha hanya hasil memata-matai. Sebaik-baiknya, periksa dahulu kebenaran cerita tersebut.
6) Janganlah menyetujui fitnah yang memang terlarang itu dna jangan menceritakannya.

Fitnah adalah berita yang tidak benar yang sengaja direka-reka oleh orang yang cemburu di atas kelebihan orang lain. Oleh itu, jauhilah orang yang suka memfitnah dan cubalah menasihati mereka kerana perbuatan ini ternyata sia-sia. Malah, orang yang memfitnah itu akan mendapat nama buruk jika orang lain sudah mengetahui tentang dirinya yang suka menabur fitnah.

Fitnah juga akan membawa keburukan jika orang yang mendengar fitnah itu mempercayai apa yang telah disampaikan oleh pemfitnah itu. Pergaduhan, hilang kepercayaan, terputusnya silaturahim dan pelbagai lagi impak buruk akan terjadi kesan daripada perbuatan fitnah.

Oleh itu, janganlah suka memfitnah dan mudah mempercayai sesuatu cerita kerana ia pastinya akan mengundang seribu keburukan.

MEMINUM MINUMAN KERAS

Meminum arak adalah pokok kepada segala kejahatan kerana dengan meminum arak, manusia akan hilang pertimbangan akal serta terdorong untuk melakukan dosa-dosa yang lain. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:“Sesungguhnya(meminum)khamar, berjudi, (berkorban untuk)berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. ”(Al-Maaidah:90)

Allah tidak akan menerima solat orang yang meminum minuman keras selagi dalam tubuhnya ada minuman yang memabukkan itu walaupun sedikit. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang meminum minuman keras dan dia tidak mabuk, maka Allah akan menolak solatnya selama 40 malam. Dan barang siapa yang meminum minuman keras lalu mabuk, maka Allah tidak akan menerima ibadahnya selam 40 malam. Jika dia mati ketika meminum minuman keras, dia akan mati seperti penyembah berhala. ”

Rasulullah juga pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan janjinya kepada peminum minuman keras iaitu Allah akan memberikan mereka minuman daripada ‘Thinatul Khabal’. ”

Sahabat bertanya:”Ya Rasulullah, apakah dia ‘Thinatul Khabal’ itu? Kemudian Rasulullah menjawab:” ‘Thinatul Khabal’ adalah keringat penghuni neraka iaitu darah dan nanahnya penghuni neraka. ”

Sesungguhnya, minuman keras akan member kesan yang buruk kepada kita sebagai orang Islam. Dengan melakukan perkara yang dimurkai Allah, kita akan semakin jauh dari rahmatNya dan tidak terpelihara dalam melakukan sesuatu perkara.

KESIMPULAN

Terdapat pelbagai dosa besar yang terkandung di dalam Islam. Tujuan perbuatan-perbuatan yang membawa kepada dosa besar ini dilarang oleh Allah S.W.T adalah kerana perbuatan-perbuatan ini akan menimbulkan kesan yang tidak baik kepada umat Islam. Contohnya seperti larangan meminum minuman keras. Apabila kita meminum minuman keras, kita tidak dapat berfikir dengan waras. Dalam keadaan yang seperti ini, kita akan terdorong untuk melakukan perkara-perkara yang tidak baik kerana kita berada di bawah sedar. Ini akan memberi kesan yang buruk kepada kita.

Hanya sebilangan dosa-dosa besar yang dapat saya huraikan di dalam folio ini. Terdapat pelbagai lagi perbuatan yang boleh membawa kepada dosa besar seperti memakan harta anak yatim, berjudi, mencuri, merompak, menghina sahabat Nabi Muhammad, melarikan diri dari medan perang dan sebagainya.

Melakukan dosa besar adalah sesuatu yang harus kita elakkan kerana ia akan menjauhkan kita daripada keberkatan Allah S.W.T. Hidup kita tidak akan tenteram kerana jauh dari rahmat Allah S.W.T. Oleh itu, hindarilah diri kita dari melakukan dosa besar. Sentiasalah ingat kepada Allah kerana sesungguhnya Dialah Tuhan yang wajib kita taati.

No comments: