Thursday, April 16, 2009

Perubatan Islam

Oleh:Siti Nur Ain Binti Mohd Hassan

PENDAHULUAN
Pembahagian Penyakit

1. Penyakit Jiwa
Firman Allah S.W.T: Di dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat (syak dan hasad dengki) maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka. (Al-Baqarah:10)

Dan firman-Nya: Dan supaya orang-orang yang diberi kitab dan orang-orang yang beriman itu tidak ragu-ragu (tentang kebenaran keterangan itu); dan supaya orang-orang (munafik) yang ada penyakit (syak dan ragu-ragu) dalam hatinya dan orang-orang kafir berkata: “Apakah yang Allah maksudkan dengan menyebut bilangan ganjil ini?” (Al-Muddatsir: 31)


2. Penyakit Badan
Penyakit badan itu adalah seperti yang disebut oleh Allah S.W.T. dalam firman-Nya:Tidak ada salahnya bagi orang buta, tidak ada salahnya bagi orang tempang, tidak ada salahnya bagi orang yang sakit. (An-Nur: 61)

Allah S.W.T telah menyebutkan tentang penyakit yang menimpa badan dalam perkara ibadah haji, puasa dan wuduk, kerana rahsia yang mengagumkan dan juga menunjukkan kebesaran Al-Quran. Sebab sebagaimana diketahui, pengubatan tubuh badan itu berdasarkan oleh tiga perkara;
a. memelihara kesihatan
b. mencegah dari segala yang merosak
c. mengeluarkan zat-zat yang rosak
Allah S.W.T telah menyebutkan ketiga perkara itu dalam firman-Nya tentang puasa, mengerjakan haji, dan wuduk.

Punca-punca Penyakit
Tiap-tiap penyakit itu ada puncanya, sekalipun tidak semuanya dapat diketahui, tetapi adalah sangat besar sekali manfaatnya mengetahui dan menyelidiki punca-punca tersebut, supaya penyakit itu dapat diubati dengan tepat. Apabila punca-punca penyakit itu telah diketahui, maka kita perlu melakukan dua perkara;
Pertama : menghilangkan punca-punca itu, jika boleh
Kedua : menjauhkan diri daripada punca-punca yang menimbulkan penyakit itu di masa yang akan datang
Punca-punca penyakit, kelemahan dan kematian, bolehlah dikatakan termasuk dalam salah satu dari lima bahagian berikut;
1. kekurangan zat-zat dalam pemakanan
2. gangguan jiwa
3. sejuk atau panas yang berlebihan
4. racun
5. luka

Anjuran berubat
Diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya, hadith dari Abu Zubair, dari Jabir bin Abdullah daripada Nabi s.a.w. bahawasanya Baginda s.a.w. bersabda ;

Setiap penyakit itu ada ubatnya, jika tepat ubatnya maka penyakit itu akan sembuh dengan izin Allah Azza Wa Jalla.
Di dalam dua kitab hadith yang sahih disebutkan hadith berasal dari ‘Atho, dari Abu Hurairah r. a. , ia berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:
Tidaklah Allah menurunkan penyakit, melainkan Dia juga menurunkan ubat baginya.

Semua hadith tersebut menunjukkan perlunya berubat bagi orang yang sakit.

Allah S.W.T Yang Menyembuhkan
Kehidupan ini adalah kurnia-Nya. Allah S.W.T telah menciptakan manusia dalam bentuk dan rupa yang sempurna dan elok. Asal kejadian manusia itu adalah daripada tanah, dan seluruh tubuh manusia itu sempurna dijadikan Allah, maka ditiup-Nya roh kehidupan ke dalamnya sehingga jadilah manusia itu dengan keadaannya yang hidup dan sempurna serta berfikiran dan mempunyai sifat-sifat yang giat. Maka kekuasaan yang dikurniakan Allah S.W.T kepada manusia itulah yan dinamakan kehidupan. Kehidupan itu pun menjadi sel di tubuh kita; daripada sel-sel yang berjuta-juta itu pula tersusun anggota-anggota seluruh badan manusia.

Manusia telah mencurahkan segenap akal fikirannya untuk menyingkap tabir rahsia kehidupan itu, namun sia-sia belaka. Ahli sains kimia telah dapat memperbaiki keadaan sel-sel dalam tubuh yang hidup. Telah banyak sel-sel yang lemah diperkuat oleh mereka itu dengan biakan dan dengan zat-zat makanan. Akan tetapi, hanya oleh kehidupan yang asli dalam sel-sel itu diadakannya pertukaran zat, dilakukannya berbagai-bagai pekerjaan, dan lagi sebab kehidupan itu sahaja sel-sel dapat berkembang baik.

Tenaga pekerjaan ini asalnya dari Allah S.W.T. . Apabila kekuasaan yang menghidupkan sel-sel ini meninggalkan manusia, maka matilah ia.


Peraturan Untuk Menyembuhkan Penyakit
Berikut diterangkan beberapa peraturan untuk menyembuhkan penyakit;
1. carilah punca yang mendatangkan penyakit dan seboleh mungkin menjauhkan diri daripadanya
2. berikanlah kepada pesakit rehat yang secukupnya
3. pesakit perlu diberikan makanan yang mencukupi dan mengandungi zat
4. jagalah pesakit supaya tidak kesejukan
5. hati pesakit selalu digembirakan dan mengajar mereka bersyukur

Cara Rawatan
Cara rawatan yang biasa diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. ada tiga jenis;
1. penggunaan bahan-bahan Alamiah
2. penggunaan penyembuhan Ilahiah
3. gabungan dari kedua cara tersebut
Sesungguhnya tujuan diutuskan Rasulullah s.a.w. adalah sebagai pemberi petunjuk dan penyeru kepada Allah S.W.T dan kepada Syurga-Nya. Juga untuk memberitahu dan mengajar tentang sifat-sifat Allah S.W.T. yang wajib, Jaiz (harus) dan mustahil, serta menjelaskan hal-hal yang meredhakan Allah S.W.T. dan perintah-perintah-Nya kepada mereka, dan hal-hal yang menjadikan Allah S.W.T. murka dan larangan-larangan-Nya kepada mereka. Selain itu, Baginda s.a.w. juga membawa berita-berita tentang para Nabi dan Rasul a.s. pada zaman dahulu kala serta umat-umat dan alam akhirat, jiwa yang bahagia dan yang celaka serta sebab-sebabnya.
Rawatan badan adalah hanya sebagai pelengkap dari syariat-Nya yang sempurna, yang dikerjakan di kala perlu sahaja.

PANDUAN RAWATAN PERUBATAN
Gatal-gatal
Telah disebutkan di dalam dua kitab hadith yang sahih, hadith dari Qatadah, dari Anas bin Malik r. a. , ia berkata:

Rasulullah s.a.w. telah memberikan izin kepada Abdul Rahman bin Auf dan Zubair bin ‘Awwam r. a. untuk memakai kain sutera, kerana gatal-gatal yang mereka derita.
Hadith tersebut mengandungi dua aspek;
a. aspek hukum fiqh
b. aspek perubatan

1. Aspek Fiqih
Pada dasarnya seperti yang telah ditetapkan dalam sunnah Rasul s.a.w. , sutera itu hanya boleh dipakai oleh kaum wanita sahaja, dan diaharamkan bagi kaum lelaki, kecuali bila ada sebab-sebab yang mendatangkan kemaslahatan, seperti : saat cuaca sejuk sedang pakaian lain tidak ada; atau dipakai dalam peperangan atau dipakai ketika menderita sakit kulit dan lain-lain. Sebagaimana yang disebutkan dalam hadith Anas bin Malik r. a. tersebut di atas. Hadith ini sahih.

2. Aspek Perubatan
Sebagaimana diketahui, sutera itu berasal dari haiwan (ulat sutera) kerana ia termasuk al-adwayatul hayawaniah (ubat haiwan). Banyak manfaat dan khasiatnya, di antaranya ialah : menguatkan hati dan menggembirakan serta berguna bagi penyakit-penyakit yang menimpanya, juga dapat menguatkan pandangan, bila dipakai sebagai celak. Jika dipakai maka ia berguna untuk menghangatkan badan.

Bisul
Bisul adalah bengkak kecil yang terjadi di bawah kulit yang disebabkan oleh tekanan hawa panas dan memerlukan sesuatu yang dapat memecahkannya dan mengeluarkannya. Salah satu di antara bahan ubat-ubatan yang dapat menyembuhkannya adalah daun sireh.

Ibn Sina menyatakan di dalam kitabnya, iaitu bersumber dari isteri Nabi s.a.w. ia berkata:Rasulullah s.a.w. masuk menemuiku dan ketika itu di jari tanganku keluar bisul, lalu Baginda bersabda: Apakah engkau mempunyai sireh? Aku menjawab: Ya. Baginda bersabda: Letakkanlah pada jarimu! Dan selanjutnya Baginda bersabda: Katakanlah: Ya Allah, Zat yang mengecilkan yang besar dan membesarkan yang kecil, kecilkanlah apa yang menimpaku! Caranya: Ambil beberapa helai daun sireh lalu ditumbuk sehingga halus, kemudian sapukan pada bisul, pagi dan petang.

Doa
Diriwayatkan oleh Muslim di dalam kitab Sahihnya, hadith dari Uthman bin Abil ‘Ash r. a. :Bahawasanya ia telah mengadukan kepada Rasulullah s.a.w. akan penyakit yang telah dideritainya sejak ia masuk Islam, lalu Nabi s.a.w. bersabda: Letakkanlah tanganmu pada bahagian yang sakit dan katakan: Bismillah tiga kali, setelah itu baca doa ini tujuh kali: Aku berlindung dengan keperkasaan Allah dan kekuasaan-Nya dari kejahatan penyakitku yang aku derita dan khuatiri (bimbang).

Hadis ini juga dikeluarkan oleh Ibn Majah, Imam Ahmad, dan At-Tabari.
Rawatan yang disebutkan dalam hadith di atas merangkumi: zikir, berserah diri kepada-Nya, memohon perlindungan dengan berkat keperkasaan kekuasaan-Nya, dari kejahatan dan bahaya penyakit.

Penyakit Berjangkit
Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam kitab Sahihnya, hadith dari Abu Hurairah r. a. dari Nabi s.a.w. , Baginda bersabda:
Hindarilah dari orang-orang yang berpenyakit kusta, seperti kamu menghindari dari singa!

Kusta adalah suatu penyakit yang sangat mengerikan dan sejak dahulu kala ditakuti manusia. Susunan saraf orang yang menderita kusta menjadi rosak, kaki dan tangannya hancur dengan perlahan-lahan dan akhirnya si pesakit meninggal sesudah menanggung sengsara bertahun-tahun.

Penyakit ini berpunca dari sejenis hama yang membiak di dalam kulit dan daging.

Patukan Ular
Diriwayatkan di dalam dua kitab hadith yang sahih (Bukhari dan Muslim) hadith dari Abu Sa’id Al-Khudri r. a. , ia berkata: beberapa orang sahabat Nabi s.a.w. berangkat dalam suatu perjalanan, akhirnya tiba pada suatu desa: Mereka minta diizinkan bermalam di situ, namun tidak diizinkan. Tiba-tiba penghulu desa itu digigit ular berbisa, maka penduduk pun berusaha sekuat tenaga untuk mengubat penghulunya itu, tapi sia-sia belaka.

Akhirnya ada yang mengatakan: Cuba kamu meminta bantuan kepada rombongan musafir itu, lalu mereka berkata: Wahai para musafir, penghulu kami telah digigit ular dan kami telah berusaha mengubatinya, namun sia-sia belaka. Apakah di antara kamu ada yang mampu mengubatinya? Salah seorang di antara mereka menjawab: Ya saya boleh mengubatinya, tetapi tadi ketika kami meminta izin bermalam, kamu tidak mengizinkan, kerana itu kami tidak akan mengubatinya kecuali jika kamu memberi kami bayaran! Maka mereka pun menjanjikan akan memberi beberapa ekor kambing sebagai bayaran.

Kemudian orang itu menangkal dengan kalimat: Alhamdulillah Robbil ‘Alaamin.

Menjaga Kesihatan
Tubuh manusia itu ibarat sebuah mesin (enjin) yang sempurna. Kita umpamakan ia demikian kerana ia memerlukan bahan-bahan pembakar untuk menjalankan pekerjaannya. Bahan-bahan yang diperlukan itu ialah makanan. Firman Allah S.W.T. :

Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan solat) dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau-lampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas. (Al-A’raf: 31)

Apakah sebenarnya makanan itu?

Makanan ialah bahan-bahan yang masuk ke dalam tubuh dan setelah dihancurkan oleh enzim pencernaan dapat menjadi jaringan tubuh dan memberi tenaga, pertumbuhan, pembaharuan dengan tiada mendatangkan akibat-akibat yang memudaratkan. Dengan itu, makanan bukan sahaja membantu memanaskan dan menggerakkan tubuh, ia juga membantu penghasilan sel-sel badan.

Jika makanan yang masuk ke dalam tubuh kita itu cukup jumlah dan zatnya untuk keperluan tenaga dan pertumbuhan, maka jaringan-jaringan tubuh tidak akan terganggu.

Rindu
Rindu dendam (asyik masyuk) bukan sebarang penyakit, namun ia adalah penyakit yang menyerang jiwa manusia, di setiap tempat dan masa; di mana pergaulan muda-mudi masa kini telah menjauhi nilai-nilai keagamaan. Pada puncaknya kelak, akan berakibat parah; sebagaimana sekarang telah dapat kita saksikan melanda muda-mudi di negara-negara Barat.

Penyakit ini berbeza dengan penyakit-penyakit yang lain, baik dari segi zatnya, punca-puncanya maupun dari segi rawatan.

Salah seorang penyair bermadah:
Ku katakan kepada mereka:
Apa penawar cinta bila ia telah melekat di celah-celah sanubari?

Al-Quran
Allah Taala berfirman:
Dan kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Qur’an ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya, dan (sebaliknya) Al-Qur’an itu tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua. (Al-Isra’: 82)

Dari penjelasan ayat tersebut, ternyatalah bahawa Al-Quran adalah penyembuh yang paling berjaya, berguna bagi seluruh penyakit, baik penyakit fizikal atau rohani, baik penyakit duniawi atau penyakit ukhrowi.

Namun tidak semua orang dapat sembuh dengan rawatan Al-Qur’an ini, apabila jiwanya tidak dipenuhi dengan iman dan taslim.

KESIMPULAN

Setiap penyakit ada penawarnya. Apabila penyakit itu bertemu ubatnya maka sembuhlah ia. Itulah yang disebut sebagai keserasian. Namun, dalam proses mencari ubat, manusia sering menemui jalan buntu apabila usaha-usaha yang dilakukan itu tidak berjaya. Selalu kita dengar bahawa seseorang itu kadang-kadang dijangka hidup, usianya mungkin hanya dalam jangka masa enam bulan atau setahun. Jangkaan seumpama ini biarpun berdasarkan kepada lumrah atau pengalaman, kajian-kajian saintifik dan sebagainya, namun, hal tersebut tidak seharusnya dijadikan satu kaedah hukum untuk tidak memberi harapan hidup, biarpun jangkaan seumpama ini mungkin benar-benar berlaku.

RUJUKAN

Ibn Qayyim Al-Jawziyyah (2002). Panduan Rawatan Perubatan Berdasarkan Al-Qur’an & As-sunnah. Kuala Lumpur : Cresent News (KL) Sdn Bhd.

No comments: