Thursday, April 16, 2009

Kebangkitan Wanita Islam

Oleh: Siti Norbaya Bt Mat Ripin

1-ISLAM MENGARAH MENGAJAR KAUM WANITA
MENUNTUT ILMU TUGAS SETIAP MUSLIMAT
Sesungguhnya Agama Islam telah mewajibkan atas setiap orang wanita Islam belajar. Islam tidak membezakan antara kedua jenis insan ini dalam tugas belajar dan mengumpulkan ilmu. Sabda Rasulullah S.A.W:

Menuntut ilmu itu menjadi kewajipan setiap orang islam. ”

Rasulullah S.A.W tidaklah membezakan antara lelaki dan wanita dalam kewajipan belajar ini, di mana ilmu pengetahuan merupakan suatu perkara yang suci dalam Agama Islam; manakala mempelajarinya menjadi kewajipan individu (Fardhu Ain) Muslim dan Muslimat.

Wanita-wanita yang hidup di zaman jaahiliyyah juga mempunyai hak untuk belajar. Bila Islam datang, maka bermulalah perkembangan fikiran (mental) yang menggalak dan memajukan kalangan orang Arab terutamanya kaum wanita yang memainkan peranan dalam masyarakat, di mana keadaan ini tidak wujud sebelum kedatangan Islam.

Aa’isyah Bt. Sa’ad pula mahir dalam penulisan. Sayyidah Aa’isyah Bt. Abu Bakr As-Siddiq r. anha adalah seorang isteri Rasulullah S.A.W yang termuda, dia berkebolehan membaca Al-Quran dari Mushaf. Beliau juga seorang yang giat mempelajari ilmu pengetahuan. Manakala isteri pertama Rasulullah S.A.W. , Khadijah Bt. Kwuwailid adalah seorang yang banyak membaca kitab-kitab dari langit termasuk Al-Injil. Beliau bukan sahaja boleh membaca tetapi juga boleh menulis.

Memandangkan kedudukan berkenaan, Rasulullah S.A.W bersabda:

ambillah (pelajarilah) separuh Agama kamu daripada Si Putih (‘Aa’isyah) ini. ”

2. ANTARA WANITA-WANITA ISLAM YANG PINTAR
Terdapat ramai wanita-wanita Islam yang pintar dan bijak. Antaranya adalah:

1) Sayyidah Saakinah Bt. Sayyidina Husain
Beliau ialah seorang penyair wanita dan sasterawati. Ramai penyair membuat kunjungan ke kediamannya, di mana mereka dating dari setiap pelusuk negara untuk bertanding syair dengan tokoh ini.

2) Aa’isyah Bt. Talhah
Beliau telah mengikuti jejak langkah Sayyidah Sakiinah iaitu mendalami bidang sastera. Beliau terkenal sebagai pengkritik syair dan nyanyian. Beliau juga pernah mengumpulkan ahli-ahli sastera, penyair dan periwayat untuk membincangkan hal-hal pesusasteraan, syair dan riwayat.
Tokoh-tokoh wanita Islam terkenal kerana mempunyai sikap benar dalam ilmunya dan amanah serta teliti dalam riwayatnya, di mana sumber riwayat ‘Aa’isya ini telah digunakan pula oleh tokoh-tokoh ‘ulamaa’
Al-Haafidz Adz-Dzahabi r. a seorang tokoh hadith yang besar pernah menulis:
“ Belum pernahku menjumpai seorang yang penting (mendapat perhatian) dan tiada pula yang dating kemudian, sepertinya. ”




3. WANITA-WANITA TERKENAL DI BIDANG HADITH
Antara tokoh yang terkenal adalah Kariimah Al-Maruuziyyah dan Sayyidah Al-Wuzaraa. Mereka merupakan dua orang periwayat Hadith yang terpenting di mana riwayatnya telah dikumpulkan oleh Imaam Al-Bukhari.

Menurut sejarah, di Zaman Rasulullah S.A.W telah berlaku suatu kejadian di mana seorang dari kalangan atasan dan bangsawan Quraisy wanita telah mencuri. Kerana itu dia akan dihukum menurut hukuman Rasulullah S.A.W. tiba-tiba ada seorang laki-laki Islam cuba hendak membela atau melepaskannya. Kerana itu Rasulullah S.A.W telah bersabda kepada lelaki itu: “Adakah engkau hendak membela dalam perkara hukuman daripada hukuman-hukuman (hudud daripada) Allah?”Kemudian Rasulullah S.A.W bangun lalu berpidato: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya sikap yang telah menyesatkan umat-umat sebelum kamu ialah sungguhnya apabila orang bangsawan yang mencuri, mereka biarkan tanpa tindakan, tetapi apabila orang-orang yang lemah (miskin hina) yang mencuri, maka mereka menjalankan hukuman seksaan. Dan demi Allah, sekiranya Faatimah Bt. Muhammad mencuri, nescaya Muhammad (ayahnya) benar-benar akan memotong tangannya.

Islam member persamaan antara laki-laki dan wanita dalam pemberian pahala atau azab seksaan dan juga dalam pendidikan dan pembelajaran.

4. TUGAS MEMBERI PELAJARAN KEPADA WANITA
Golongan Anshaar (penulung di madinah) mengatakan wanita Islam Cuma wajib diajarkan Kitab Al-Quran Al-Karim sahaja, tidak lebih daripada itu. Mereka melarang mengajarkan wanita menuils dan bersyair. Mereka berpendapat kaum wanita mempunyai akal yang singkat dan keagamaan yang rendah. Justeru itu, mereka mengalakkan kalangan tertentu (yang berkebolehan dan bertaqwa) mengajarkan ilmu pengetahuan kepada kaum wanita.

Golongan kedua adalah golongan yang menyeru agar orang yang bertanggungjawab memberi pelajaran yang sepenuhnya kepada kaum wanita. Pendapat ini adalah benar kerana ia berdasarkan kepada sumber Hadith-hadith Nabi S.A.W yang merangsangkan wanita diberi pelajaran atau ilmu. Contoh sumber hadith itu adalah: “Menurut Islam ilmu itu menjadi kewajipan setiap orang Islam. ” [Al-Hadith]

Rasulullah S.A.W juga bersabda: “Mana-mana seorang lelaki (bapa) yang mempunyai seorang hamba wanita (amah), di mana dia mengajarinya lalu dia mengelokkan pengajarannya, dan dia mendidiknya lalu dia mengelokkan adabnya, kemudian dia memerdekakan dan mengahwinkannya, maka dia akan memperolehi dua pahala (pahala mengajar dan pahala memerdekaaknnya). ” [Al-Hadith]

5. GALAKAN NABI AGAR MENGAJAR ISTERI MENULIS

Sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah pun menyaran dan mengalakkan para isteri beliau belajar menulis. Beliau telah bersabda kepada Asy-Syaffaa’ Al-Adawiyyah yang didapati di zaman jahiliyyah tulisan dan bacaannya bagus, sabdanya: “Mengapakah engkau tidak mengajarkan Hafshah (puteri Umar yang kemudiannya menjadi isteri Nabi) akan jampi sebagaimana engkau mengajarkannya menulis?”
Negara yang melarang wanita mempunyai ilmu dan nuur (petunjuk Ilahi), maka wanita-wanita Islam di sana adalah tinggal dalam rumahtangga dengan keadaan jahil, tidak tahu membaca dan menulis.

Di dalam kitab-kitab sastera ‘Ara, sirah, adalah terdapat ramai sekali wanita-wanita mukmin yang terkenal.

6. ANTARA WANITA YANG ISTIMEWA ISLAM
Pada awal abad ke-6 Hijriyyah, terdapat beberapa orang wanita Islam yang mempunyai keistimewaan yang dapat menduduki majlis-majlis ilmu dan sastera, majlis perbincangan, pembukuan dan majlis diskusi kerana mencari sesuatu keputusan antara kalangan ulama dan sastera.

Apabila tercetus peperangan, maka tokoh-tokoh wanita ini pun keluar untuk mengatasi kesulitan yang dihadapi tentera lelaki seperti membalut luka-luka, menyanjungi agar mereka naik semangat membela kebenaran.

Antara pemimpin wanita Islam yang telah berjuang di Zaman-zaman keagungan Islam ialah:

1-Sayyidah Khadijah
Sayyidah Khadijah Bt. Khuwailid adalah merupakan wanita pertama yang memberi perangsang dan saranan kepada Nabi dalam tugas dan pewrjuangan dakwah Islamiyyah. Beliau telah sama-sama melibatkan diri dlaam bidang dakwah dan memberi sumbangan moral dengan sikapnya yang lemah-lembut serta sumbangan fikiran atau hartabenda. Beliau orang yang paling banyak menolong Nabi dalam menghadapi orang-orang musyrik yang memperolok-olokkan Nabi.

2-Sayyidah Aa’Isyah
Beliau ialah puteri Abu Bakar Ash-Siddiq, seorang isteri Nabi yang dipercayai, di mana beliau adalah wanita contoh bagi seluruh wanita Islam Arab dan bukan Arab. Jasa beliau memang banyak dalam perkembangan undang-undang Islam dan dalam kehidupan social dan politik bagi seluruh orang Islam.

7. KEGIATAN WANITA ISLAM DALAM POLITIK


Penglibatan mereka ini ialah disebabkan sifat kelancaran mereka bercakap, sifat lemah-lembut mereka yang berkesan dan disebabkan idea-idea mereka yang menarik seperti peristiwa yang berlaku dalam peperangan antara Khalifah ‘Ali B. Abi Talib dangan Mu’awiyah.

Sesungguhnya ranai wanita Islam yang melibatkan diri dalam peristiwa ini, misalnya Hindun Bt. Yaziid Al-Anshaariyyah, Az-Zurqaa’ Bt. Adi B. Qais, Ummul-Khair Al-Baariqiyyah dan ‘Ukarsyah Bt. Al-Utruusy.

Mu’aawiyah merasa kagum dengan kebolehan wanita yang menetangnya dan yang berpidato melawannya. Kerana itu, beliau mengutus dan mencari sebahagian wanita yang pandai berpidato untuk dilatih berbahas dengan beliau sendiri dan perbahasan itu direkodkan dalam buku.

Sesudah zaman Mu’aawiyah (pemerintahan Bani Umayyah di Dimisq), muncul pula tokoh-tokoh wanita Islam seperti Khaizuraan, Syajaratud-Durr memainkan peranan yang besar dan penting di bidang politik kerajaan Islam.

8. PELUANG WANITA ISLAM DALAM PENGAJIAN TINGGI

Bilangan penglibatan wanita dalam bidang pengajaran adalah didapati lebih ramai daripada bilangan mereka di bidang-bidang lain. Adalah menjadi tugas ulamaa di kalangan lelaki memberi pelajaran kepada kalangan wanita Islam, manakala wanita pula didapati melibatkan diri menyumbang ilmu kepada kaum lelaki.

Sebahagian ulamaa dan ahli sastera mengakui kelebihan wanita Islam. Sejarawan Ibnu Khallikaan menyebutkan bahawa Ummu Al-Mu’ayyad Zainab Bt. Asy-Sya’ri adalah wanita yang alim di mana ramai tokoh-tokoh ulama mengambil ilmu dan meriwayatkan berita daripada beliau. Beliau telah memiliki ijazah kesusasteraan Arab pada tahun 610 Hijriyyah.

9. MENDIDIK PUTERA LEBIH MUDAH

Sebahagian ahli pendidik berpendapat lebih baik diasingkan antara putera dan puteri dengan sekolah atau maktab yang berasingan, di mana dibimbangi berlakunya kesan dari pergaulan antara dua jenis insan ini.

Walaupun demikian, kini masih ada sekolah yang menempatkam pelajar lelaki dan wanita untuk belajar di tempat yang sama terutamanya di negara-negara yang sedang membangun.

Umat Islam patut kembali kepada ajaran Islam seluruhnya, di mana anak-anak perlu diasingkan semasa belajar menurut jantinanya agar tidak berlaku masalah sosial. Pelajar lelaki juga tidak wajar diajar oleh guru wanita sekalipun di peringkat rendah.

10. ISLAM MENGAKUI HAK BELAJAR WANITA

Islam sebagai suatu agama memang mengakui hak wanita untuk belajar sehingga ke peringkat yang lebih tinggi. Justeru itu, ibubapa bertanggungjawab memberi pelajaran kepada anak perempuan sejak kecil lagi.

Usaha ini hendaklah dilakukan secara berterusan sehingga mereka sampai ke peringkat pengajian tinggi, di mana wanita-wanita Islam diberi peluang mempelajari sastera, agam dan kedoktoran.

Di samping itu, mereka juga boleh berkecimpung dalam bidang politik. Sesungguhnya di kalangan wanita Islam terdapat sasterawati, penulis-penulis, penyair, ahli-ahli pidato, ahli-ahli fiqh Islam, doctor, hakim dan ahli politik.

Rasulullah S.A.W telah bersabda: “Siapa yang mempunyai tiga orang anak perempuan di mana dia membelanjai kehidupannya dan dia berlaku baik terhadapnya sehingga Allah menjadikan anak-anaknya dapat berdikari, maka tetaplah Allah memperuntukkan baginya Syurga dengan benar sekali. ” [Al-Hadith]

Tidaklah diragui lagi bahawa sebaik-baik keihsanan terhadap kaum wanita ialah memberikan mereka pendidikan ilmiyyah(secara teori), amaliyyah (secara amalan), pendidikan rumahtangga dan akhlak. Di zaman prmulaan Islam, wanita-wanita Islam adalah mempunyai kedudukan yang tinggi demikian juga di zaman keagungan Islam.

11. PERBANDINGAN DENGAN WANITA KRISTIAN

Mengenai persamaan antara lelaki dengan wanita di bidang kemasyarakatan, kita dapati orang-orang Jerman pernah mengatakan bahawa perbendaharaan pakaian itu ialah perhimpunan wanita. Manakala orang-orang Perancis pula mengirakan bahawa orang-orang perempuan itu wajib berada di antara empat tembok atau dinding (terpinggir atau terkongkong).

Di abad pertengahan kita mendapati para wanita Islam telah pun mencapai kedudukan yang tinggi dari segi ilmu, kesedaran mental dan ketinggian rohani dan mereka telah menyertai kehidupan keagamaan, sosial dan politik untuk membina masyarakat dan zaman-zaman keemasan dan mereka telah mencapai kedudukan yang tinggi dari segi kebudayaan dan ilmu.

Berdasarkan kenyataan di atas, nyatalah dengan terangnya bahawa tidak benarlah pendapat kalangan yang dipengaruhi Barat bahawa kejahilan wanita Islam adalah berpunca daripada keagamaan dan pegangan keislaman. Ini adalah kerana Islam adalah Agama Ilmu dan Cahaya dan bukannya agama kejahilan dan kegelapan.

Wanita Islam hari ini dapatlah berbangga dengan kejayaan cemerlang yang pernah dicapai wanita Islam di zaman silam dan mereka dapat membinaq semangat untuk maju di medan ilmu dan kerohanian.

12. WAHAI UMAT ISLAM AJARILAH PUTERA-PUTERIMU!

Suatu reality yang tidak diragui lagi bahawa memang banyak faedah yang akan diperolehi umat Islam sebagai natijah dari memberi pelajaran dan pendidikan kepada putera-puteri Islam secara sempurna termasuklah pendidikan akhlak, ilmiyyah, keagamaan dan cintakan tanah air.

Keadaan di mana memberi pelajaran kepada anak perempuan adalah satu keaifan telah berubah di mana kita dapat menyaksikan sendiri bahawa setiap orang ibubapa Muslim pada setiap negara Islam menjalankan tugas mendidik anak tanpa membezakan keduanya.

Seandainya kita merenung kembali sejarah, pasti kita akan mendapati ibu-ibu mempunyai peranan yang terbesar dalam membentukkan anak-anak sebagai pembesar, ahli sastera, ulama dan pemimpin. Pelajaran bagi wanita adalah untku membolehkan mereka hiduh dan berdikari apabila mereka mengalami nasib malang.

13. KELEBIHAN KAUM IBU MELAHIRKAN KETOKOHAN ANAK

Sesungguhnya para ibu adalah memiliki kelebihan yang penuh dalam melahirkan anak-anak yang bakal menjadi tokoh-tokoh di kalangan manusia antaranya adalah Rasulullah S.A.W, Abu Bkar Ash-Shiddiq, Umar Al-Khattaab, Mu’aawiyah B. Abi Sufyaan, Hasan dan George Washington, Bapa kemerdekaan Amerika dan ramai lagi. Mereka menjadi terkenal adalah berpunca daripada didikan ibu mereka (selain Rasulullah, adalah terus mendapat bimbingan daripada Allah), di mana ibu mempunyai kecenderungan dan perhatian yang lebih untuk mendidikkan mereka dan ibu memainkan peranan menjadi contoh tauladan yang tinggi kepada diri mereka.

14. WANITA ISLAM DI HARI INI

Di zaman penjajahan dahulu, wanita Islam tidak diberi kesempatan untuk memainkan peranan. Lantaran itu mereka mundur dan lemah dan ketinggaln dalam pendidikan dan pengajaran. Kemudian mereka telah mengambil bahagian dalam bidang pengajaran akhlak, keagamaan, pembangunan, ilmu rumahtangga dan ilmu mendidik anak-anak. Malah mereka diterima untuk mengikuti pelajaran di peringkat universiti secara terbuka dan juga di seluruh fakulti pengajian.
Dalam sejarah, kita sebagai umat Islam telah mempunyai doktor wanita yang mahir atau pakar dalam cabang-cabang kedoktoran, mempunyai jurutera, peguam wanita yang berkebolehan, guru di pusat-pusat pengajian dan juga penulis dan penyair wanita.

Sesungguhnya kebolehan wanita Islam tidaklah terkurang daripada wanita-wanita Eropah dan Amerika, kiranya mereka diberi peluang. Di pusat-pusat pengajian yang ada sekarang, kebanyakannya adalah wanita. Jawatan kerajaan juga kebanyakan disandang oleh wanita kerana negara-negara Islam yang maju telah menyamakan kaum wanita dan lelaki.

Memang kaum wanita harus berada di rumah agar dapat memelihara agama sebagaimana dengan maksud ayat ini: “Dan tetaplah kamu berada di rumahmu, dan janganlah kamu bersolek dan bertingkah-laku seperti orang-orang Jahiliyyah yang dahulu. ” [Al-Ahzaab:ayat 33]

15. PENENTANG-PENENTANG HAK WANITA UNTUK BELAJAR
Sesungguhnya Agama Islam telah memberikan wanita hak yang sempurna. Kerana itu berilah kesempatan untuk mereka belajar dan galakkan mereka menyempurnakan pembelajaran agar hiduh mereka bererti kerana sesungguhnya seseirang wanita itu apabila dia diajarkan, maka akan melakukan sesuatu yang dilakukan oleh lelaki. (dalam bidang kerja ilmiyah)

Sesuatu umat itu seharusnya memberikan pelajaran kepada semua anak tidak kira lelaki atau perempuan. Sekalipun peranan wanita penting dalam membina keluarga bahagia, tetapi peranan lelaki juga tidak dapat dipandang sepi, malah kaum lelaki perlu diberi didikan yang lebih bagi menanggung berbagai tugas dan tanggungjawab.

16. ISLAM MEMBERIKAN WANITA HAK YANG SEMPURNA

Sesungguhnya Agama Islam telah mengharuskan wanita berniaga dan dia memberikan hsk untuk pengurusan. Di mana hak itu ialah hak untuk memiliki harta benda, hak untuk menjual dan membeli.

Agama Islam juga memberikan wanita hak unrtuk menerima pusaka sebagai isteri, ibu, anak perempuan atau seorang saudara perempuan (kepada si mati)

Justeru itu Islam memberikan wanita hak untuk belajar, hak untuk memiliki dan hak dalam mempusakai. “Sedang Agama Islam itu ialah suatu agama yang mementingkan ilmu pengetahuan, demokrasi dan kemanusiaan dan juga keadilan sosial. ”

17. PERSAMAAN LELAKI DAN WANITA

Wanita seharusnya disamakan dengan lelaki dan kita mestilah meninggalkan perkara-perkara yang menghalangi kebebasan wanita sehingga mereka dapat memberikan sumbangan bagi membina kehidupan insan.

Sesungguhnya negara-negara Islam yang maju telah memberikan perhatian kepada perkara ini di mana kaum wanita dilibatkan sama dalam pembangunan sekolah-sekolah, universiti-universiti dan pusat-pusat pengajian atau jabatan pelajaran. Wanita-wanita telah pun mencapai kejayaan-kejayaan cemerlang seperti yang dicapai oleh golongan lelaki menerusi ilmu dan amalan, akhlak dan ketekunan dan juga keikhlasan.

Jadi kita tidak patut membezakan antara wanita dan lelaki kerana wanita juga mempunyai hak yang telah Allah tentukan.

PENUTUP

Ramai yang menganggap wanita ini lemah dan merupakam insane kelas kedua berbanding dengan lelaki dari pelbagai segi, tetapi selepas kajian dilakukan tentang kebangkitan wanita islam barulah kita dapat mengetahui kebolehan kaum wanita.

Wanita telah berkembang mengikut peredaran masa. Ramai di kalangan wanita-wanita telah menjadi seoarang yang berjaya mencapai kejayaan yang tinggi dan membanggakan wanita-wanita sekarang.

Justeru itu kita tidak patut memandang rendah terhadap kebolehan kaum wanita kerana kaum wanita kini setaraf dengan kaum lelaki dalam bidang pelajaran, politik, pendidikan dan lain-lain lagi.

No comments: