Thursday, April 16, 2009

Halal Dan Haram Dalam Kehidupan Seharian

Oleh: Nurhidayati Binti Tumirin

PENDAHULUAN

Menjadi fardhu sesudah solat fardhu untuk mencari sesuatu yang halal. Adalah penting setiap individu untuk memastikan sumber rezeki dan pendapatan bagi membiayai diri serta keluarganya, sumbangan kepada jalan kebaikan dan amal solehnya bersumber dari rezeki yang bersih dan halal.

Makanan yang baik akan membaiki hati kita manakala makanan yang buruk ia akan memburukkan hati kita. Seseorang yang membiasakan dirinya memakan makanan yang halal akan menambahkan cahaya dan sinar keimana pada hati supaya amalan yang dilakukan diterima oleh Allah.

Setiap sesuatu yang dicipta oleh Allah dimuka bumi ini pada asalnya semuanya halal. Tidak ada yang haram kecuali kerana da nas yang sah dan tegas dari syari’ iaitu Allah dan RasulNya yang mengharamkannya. Makanan, barang dan sesuatu yang haram akan mengakibatkan terdindingnya doa sekaligus akan menggelapkan hati untuk cenderung ke arah kebaikan dan mencampakkan diri ke dalam api neraka.

Sesuatu yang haram ada sebab dan hikmahnya mengapa Allah mengharamkannya. Contohnya pengharaman arak kerana di dalamnya terkandung bahan yang memudharatkan dan berbahaya untuk kesihatan manusia.


HALAL DAN HARAM(PENGERTIAN DAN HUKUM)

HALAL

Mencari sesuatu yang halal adalah tuntutan dalam agama Islam dan sesuatu yang haram hendaklah kita menjauhinya.

KEUTAMAAN MENCARI REZEKI YANG HALAL

Dalam surah Mukmin ayat 51, Allah telah berfirman:

Ertinya:“Makanlah olehmu makanan yang baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal soleh”

Berdasarkan ayat diatas, kita diperintahkan oleh Allah supaya memakan makanan yang baik-baik(halal), ini bererti kita disuruh berusaha dan bekerja mencari makanan-makanan yang halal. Mencari rezeki yang halal untuk mencukupi keperluan peribadinya dan keluarganya adalah sesuatu yang sangat terpuji bahkan terampun dosa-dosanya.

Sabda Rasulullah, Ertinya:“Barangsiapa yang merasa payah kerana bekerja sehari suntuk untuk m mencari rezeki yang halal, nescaya akan diampuni segala dosa-dosanya.

Makanan yang halal dapat menambah cahaya dan sinar keimanan pada hati dan membuat terkabulnya doa.

YANG BERHAK MENENTUKAN HALAL DAN HARAM ADALAH ALLAH

Untuk menentukan halal dan haram sesuatu perkara adalah Allah. Hanya Allah sahaja yang menentukan segala hukum. Paderi, pendeta, raja, dan sultan tidak berhak menentukan halal dan haram sesuatu benda. Barangsiapa yang besifat demikian, ertinya mereka menentukan hukum halal haram terhadap manusia, maka bererti mereka melanggar dan menentang hak Allah. Barangsiapa yang menerima serta mengikuti sikap tersebut, bererti dia telah menjadikan mereka itu sebagai sekutu Allah, manakala pengikutnya disebut “musyrik”.

HARAM

Haram adalah sesuatu yang dilarang oleh syara’. Berdosa jika melakukannya dan mendapat pahala apabila meninggalkannya.

Makanan, barang dan sesuatu yang haram itu mengakibatkan terdindingnya doa kita dan sekaligus akan menggelapkan hati kita nutuk cenderung ke arah hal-hal yang baik-baik bahkan akan mencampakkan diri ke dalam neraka.

Daripada Rasulullah:Ertinya: “ Semua daging yang tumbuh dari harta yang haram, maka api neraka adalah lebih utama untuk menyeksanya itu”.

MENGHARAMKAN YANG HALAL DAN MENGHALALKAN YANG HARAM SAMA DENGAN SYIRIK.

Hanya Allah sahaja yang berhak mengharamkan sesuatu dan menghalalkan sesuatu. Oleh itu seseorang yang mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah dan menghalalkan sesuatu dimana Allah mengharamkannya adalah sama dengan syirik kerana di dalam sikap yang demikian itu terdapat unsur penyekutuan.

SESUATU YANG MEMBAWA HARAM MAKA HARAM JUGA HUKUMNYA

Islam menetapkan bahawa sesuatu yang mengharamkan, maka cara yang membawa kepada perkara haram tersebut adalah haram hukumnya.

Contohnya Islam mengharamkan perbuatan zina, maka apa sahaja yang membawa kepada perbuatan ini adalah diharamkan juga. Seperti berdua-duaan, bercampur bebas, foto-foto lucah, nyanyian yang menghairahkan dan lain-lain.

Sama seperti zina, apa sahaja yang membawa kepada arak seperti peminum, pembuat, pembawa, penerima, penjual dan sesiapa sahaja yang berkaitan akan dilaknat oleh Allah.

HUKUM HARAM ITU ADALAH UNTUK SEMUA ORANG

Syariat agama Islam bersifat universal bererti semua hukum-hukumnya berlaku untuk semua orang dan tidak dikhusukan untuk golongan tertentu. Tiada bezanya setiap manusia disisi Allah sama ada berkulit putih mahu pun hitam. Bahkan tidak ada seorang muslim pun yang mempunyai keistimewaan khusus yang dapat menetapkan sesuatu hukum haram untuk orang lain tetapi halal buat dirinya. Misalnya mencuri, hukumnya haram, baik si pelakunya itu seorang muslim ataupun bukan, baik barang yang dicuri milik orang Islam atau milik orang kafir.

Hukuman tetap perlu dijatuhkan tanpa mengira sesipa pun.

MEMAKAN SESUATU YANG HARAM BOLEH DALAM KEADAAN TERPAKSA.

Islam tidak lupa memerhatikan kepentingan hidup manusia serta kelemahan-kelemahan yang ada pada dirinya, seseorang Muslim diperkenankan memakan sesuatu yang haram apabila dalam keadaan terpaksa atau mendesak dan sekadar menjaga diri dari kebiasaan.

Islam dengan izin dan perkenan untuk melakukan larangan ketika dalam keadaan darurat, untuk menunjukkan kesyumulan Islam itu dan kaedah-kaedahnya yang bersifat integral. Hal ini merupakan jiwa kemudahan Islam yang tidak dicampuri oleh kesukaran dan menunjukkan Islam itu agama yang mudah.

Firman Allah:Ertinya:“Allah berkehendak memberikan kemudahan bagi kamu, dan Ia tidak mengkehendaki memberikan beban kesukaran kepadamu”. (AL-BAQARAH : 185)


HAL-HAL YANG DILARANG DAN DIHARAMKAN DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN

1) MENDATANGI BOMOH ATAU DUKUN

Firman Allah:Ertinya:“Katakanlah! Tidak ada yang dapat mengetahui perkara ghaib di langit dan dibumi melainkan Allah”. (AN-NAML:65)

Islam tidak membatasi dosa hanya kepada tukang tenung dan para pendusta sahaja akan tetapi semua orang yang datang dan bertanya serta membenarkan kesilapan dan kesesatan mereka itu akan bersekutu dalam dosa. Hal ini menyatakan bahawa hanya Allah yang mengetahui perkara-perkara ghaib.

2) MENGANGGAP SIAL KERANA ADANYA SESUATU

Merasa sial (gagal) kerana adanya sesuatu, tempat waktu, burung dan sebagainya adalah termasuk dalam perbuatan tathayyur. Tathayyur bermaksud satu hal yang berdiri tanpa landasan ilmu pengetahuan atau suatu kenyataan yang benar. Ia hanya berjalan mengikut kelemahan dan membenarkan dugaanyang salah. Orang yang mempunyai tanggapan demikian adalah termasuk kufur kepada Allah.

Sabda Rasulullah: Ertinya : “ Bukan termasuk golongan kami yang siapa yang merasa sial, atau minta diramalkan kesialannya, atau merenung atau minta ditenungkan, atau mensihir atau minta disihirkan”.

3) MENCACI MAKI ANGIN

Angin adalah udara yang bergerak, ia diciptakan oleh Allah untuk berhembus ke mana sahaja yang dikehendaki-Nya.

Kita sebagai mukmin yang mengakui akan kebesaran dan keagungan Allah, hendaknya apabila melihat sesuatu yang tidak disenangi, misalnya berupa angina, mohon perlindungan dan berdoa kepada Allah. Jangan mencaci dan mencela angina itu kerana sesungguhnya orang yang mencela kepada angin sama halnya menghina dan mencaci kepada yang menciptanya iaitu Allah.

4) MENGANGGAP HUJAN TURUN KERANA YANG SELAIN ALLAH

Hujan yang turun adalah ciptaan Allah. Ia berkuasa untuk menurunkan hujan itu dimana sahaja daerah atau kota dan negara yang dikehendaki-Nya.

Oleh kerana itu, barangsiapa yang beranggapan bahawa hujan itu turun disebabkan kerana sesuatu yang lain seperti bintang, maka hal yang demikian ia benar-benar telah kufur kepada Allah. Perkara ini dilarang keras dalam Islam.

5) MENCACI MASA (WAKTU)

Orang mukmin dilarang keras mencaci maki masa (zaman/ waktu), kerana pencipta masa adalah Allah. Allah menggantikan malam dan siang. Manusia akan mencaci masa dikala mereka ditimpa kesukaran atau kesulitan. Menyalahkan masa, zaman, dan waktu diatas segala yang terjadi.

Firman Allah: Ertinya: “ Dan mereka katakan, tidak ada selain dari kehidupan kit di dunia ini, kita mati dan hidup, dan tidaklah ada yang menghancurkan kita kecuali masa. Mereka berkata demikian itu tanpa ilmu tetapi hanya sangkaan sahaja”. (AL JAATSIYAH: 21)

6) PERCAYA PADA TUKANG SIHIR DAN PERKATAANNYA

Sihir adalah jampi dan mantera yang dapat mempengaruhi jiwa dan anggota badan, ada yang menykitkan, mematikan, atau mencerai-beraikan antara suami isteri dan sebagainya. Justeru, Islam menentabg keras perbuatan sihir dan tukang sihir.

Rasulullah menilai sihir sebagai salah satu dosa besar yang akan merosak dan menghancurkan sesuatu bangsa.

Islam telah mengharamkan pergi ke tempat dukun untuk menanyakan perkara-perkara ghaib, perbuatan sihir, atau pergi ke tukang sihir untuk mengubati sesuatu penyakit yang telah dicubakan kepadanya atau untuk mengatasi masalah yang dialaminya.

Sabda Rasulullah:Ertinya: “…. . tidak termasuk golongan kami, barangsiapa yang menganggap sial kerana petanda atau minta ditebak kesialannya dan merenung atau minta ditenungkan, atau mensihir atau minta disihirkan”. (RIWAYAT BAZZAR DENGAN SANAD YANG BAIK)

7) BERTANGKAL

Bertangkal adalah suatu kebodohan dan kesesatan yang bertentangan dengan sunnahtullah. Contohnya beranggapan tangkal dapat menyembuhkan penyakit dan dapat melindungi diri daripada mara bahaya.

Islam melarang keras kepada umatnya untuk bergantung kepada tangkal atau azimat kerana demikian itu dapat melunturkan dan menghilangkan kemurnian tauhid.

Baginda bersabda:“ Barangsiapa yang menggantungkan (tangkal), maka dia telah menyekutukan Allah” (RIWAYAT AHMAD DAN HAKIM)

8) MERATAPI KEMATIAN

Meratapi seseorang yang telah meninggal dunia dengan berteriak-teriak dan berlebih-lebihan dengan diiring debu di atas kepalanya, mengoyakkan pakaiannya serta memukul-mukul pipinya adalah termasuk adapt jahiliyah. Haram hukumnya apabila kita berkelakuan demikian. Kita tidak harus meniru perbuatan jahiliyah itu.

Rasulullah dalam hal ini bersabda:

Ertinya:“ Tidak termasuk golongan kami orang yang menampar pipi dan mengoyak-ngoyakkan pakaian dan menyeru dengan seruan jahiliyah”.

HAL-HAL YANG DILARANG DAN DIHARAMKAN DALAM AKHLAK

1) RIAK

Riak adalah menunjuk-nunjuk atau memperlihatkan suatu amal ibadat kepada orang lain supaya dihormati dan disanjungi. Contohnya membaca Al-quran dengan motif untuk disanjung dan dihormati oleh orang ramai tidak kerana mengharap pahala dan keredhaan daripada Allah.

Rasulullah mengibaratkan sifat riak ini seperti syirik kecil (samar) dan syirik kecil inilah yang paling ditakuti oleh Rasulullah.

Firman Allah:Ertinya:“ Dan tiadalah mereka diperintah kecuali supaya mengEsakan Allah dengan tulus ikhlas dalam ibadat agama dan lurus”. (AL-BAYYINAH:5)

2) DERHAKA KEPADA ORANG TUA

Adalah wajib sebagai seorang anak untuk berbuat baik, taat dan homat kepada ibu bapa. Memandangkan begitu beratnya penderitaan yang ditanggung oleh kedua ibu bapa lebih-lebih lagi ibu yang mengandung, menyusui, mengasuh, dan mendidik, maka Allah menempatkan berbuat baik kepada kedua orang tua di tempat kedua selepas berbakti kepada-Nya. Oleh itu, Nabi Muhammad menganggap derhaka kepada orang tua sebagai dosa besar selepas syirik.

Firman Allah:Ertinya:“Tuhanmu telah memerintahkan hendaklah kamu tidak berbakti kecuali kepada-Nya dan berbuat baik kepada orang tua”. (AL-ISRA’:23)
3) BAKHIL

Bakhil adalah suatu sikap enggan mendermakan sebahagian harta yang dikurniakan oleh Allah kepadanya ke jalan yang benar atau kepada orang yang sangat memerlukan. Ia juga bermaksud cinta pada harta yang dimilikinya dan tidak mempergunakan untuk kepentingan orang lain secara wajar.

Sabda Rasulullah:Ertinya:“Orang yang bakhil itu berada jauh dari Allah, manusia, syurga dan hampir kepada api neraka”

4) MENGUMPAT

Mengumpat adalah menyebut-nyebut keburukan orang lain di belakang orangnya yang bersangkutan yang apabila orang itu mendengarnya ia menjadi marah. Islam melarang perbuatan yang demikian itu baik dengan kata-kata, isyarat atau sebagainya. Keburukan yang dibicarakan itu baik tentang dirinya atau keluarganya, badannya atau akhlaknya. Mengumpat adalah haram dan termasuk dalam dosa besar.

Firman Allah: Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman ! Jauhilah dari prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang diantara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang”.

5) DUSTA

Antara penyakit lidah yang utama adalah berdusta. Berdusta adalah menyampaikan sesuatu berita yang tidak seperti apa yang terjadi. Lidah yang sentiasa berkata benar dapat menghantar kita ke pintu syurga sebaliknya apabila berdusta akan menghantar kita ke pintu neraka.

Firman Allah: Ertinya: “sesungguhnya yang mengada-adakan kebohongan hanyalah orang-orang yan tidak beriman kepada ayat-ayat Allah dan mereka itulah pendusta”.

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim, dusta dibolehkan pada tiga tempat iaitu dalam keadaan perang, mengamankan sengketa dan mendamaikan antara suami isteri.

6) SOMBONG DAN BONGKAK

Sombong dan bongkak termasuk dalam penyakit hati yang sangat berbahaya dan hanya syaitan yang terkutu saja yang memiliki sifat tersebut. Orang yang mempunyai perasaan dan pandangan bahawa dirinya lebih baik, lebih cekap daripada orang lain (makhluk Allah yang lain) orang tersebut termasuk dalam golongan orang sombon dan bongkak.

Firman Allah: Ertinya: “ Sesungguhnya Dia(Tuhan) tidak menyukai orang-orang yang menyombongkan diri”. (AN-NAHL:23)

7) MENCACI MAKI ORANG ISLAM TANPA HAK

Memaki bererti mengata seseorang dengan perkataan yang tidak baik seperti memanggil seseorang dengan panggilan yang tidak patut. Kalau seseorang memenggil saudaranya seagama Islam dengan sebutan tidak baik maka perbuatan ini adalah dosa. Contohnya: memanggil wahai bangsat!

Firman Allah: Ertinya: “ Dan orang-orang yang menyakiti (menganggu) orang-orang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka buat maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata”.

8) MENGADU DOMBA (MENGHASUT)

Mengadu domba iaitu memindahkan kata-kata seseorang kepada yang dibicarakan itu dengan tujuan untuk menimbulkan permusuhan antara sesama manusia, mengotori kejernihan pergaulan atau menambah keruhnya pergaulan. Mengadu domba hukumnya haram bahkan termasuk dalam dosa yang besar disisi Allah sebab Allah telah menegaskan bahawa fitnah itu lebih besar daripada membunuh.

Sabda Rasulullah: Ertinya: “Tidak akan masuk syurga orang-orang yang menghasut(mengadu domba)”. (RIWAYAT AL-BUKHARI DAN MUSLIM)

9) BURUK SANGKA

Islam melarang para penganutnya untuk saling tuduh-menuduh dan berprasangka buruk antara satu sama lain. Persangkaan yang berdosa iaitu persangkaan yang buruk. Demi melindungi kehormatan orang lain, Allah telah berfirman:

Ertinya: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah dari banyak sangka kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu berdosa”. (AL-HUJURAT: 12)

10) BERBISIK DUA ORANG DAN TIDAK MENGIKUT SERTAKAN ORANG KETIGA KECUALI DENGAN IZINNYA

Larangan terhadap dua orang berbisik-bisik di tengah-tengah orang ketiga ini berlaku secara umum mahupun dirumah.

Apabila sedang bertiga, kermudian kemudian kita bercakap-cakap atau berbisik-bisik dengan meninggalkan teman yang satu, maka sikap dan perbuatan demikian dilarang oleh agama kerana menyentuh perasaan dan membuatnya tersinggung.

11) MENGUNGKIT-UNGKIT PEMBERIAN

Diantara sifat-sifat tercela yang kita mesti jauhi ialah sifat mengungkti-ungkit pemberian yang kita berikan kepada seseorang. Barang atau apa sahaja yang telah kita berikan itu adalah merupakan tabungan amal kita yang dapat kita petikkelak buahnya pada hari pembalasan.

Firman Allah: Maksudnya: “ Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu membatalkan sedekahmu itu dengan mengungkit-ungkit dan menyakitkan hati”. (AL-BAQARAH: 264)

12) MELANGGAR JANJI

Janganlah kita membuat janji sekiranya kita tidak sanggup unrtuk menunaikannya. Daripada membuat janji kosong, lebih baik kita diam. Apabila terpaksa berjanji, jagalah baik-baik jangan sampai janji itu dilanggar kecuali jika sudah benar-benar berikhtiar untuk memenuhi kewajipan janji itu tetapi tidak terdaya untuk memenuhinya. Melanggar janji termasuk dalam sesatu kekejian dan perbuatan munafik. Firman Allah:

Ertinya: “Tepatilah semua janji, sesungguhnya janji itu akan dipertanggungjawabkan”. (AL-ISRA’: 34)

13) MEMUTUSKAN TALI PERSAUDARAAN

Rasulullah bersabda: Ertinya: “ Tidak akan masuk syurga orang yang memutuskan tali persaudaraan atau tali kekeluargaan”. (RIWAYAT AL-BUKHARI DAN MUSLIM)

Tali persaudaraan atau tali kekeluargaan ialah orang-orang yang masih punya hubungan saling mewarisi harta peninggalannya kerana ada hubungan keturunan darah”.

Islam memuji dan menhargai orang yang mahu menyambung hubungan silaturrahim bahkan Allah akan memanjangkan umurnya dan melimpah-ruahkan rezekinya.

14) MEMUJI DIRI SENDIRI

Memuji diri sendiri atau menonjol-nonjolkan dirinya dihadapan orang ramai adalah termasuk sifat-sifat yang dicela dalam Islam. Orang yang selalu menganggap dirinya yang paling baik dan orang lain semuanya rendah akan mengakibatkan turunnya kutukan daripada Allah.

Allah berfiman: Ertinya: “Sebab itu janganlah kamu mamuji dirimu sendiri. Dia lebih mengetahui siapa yang sebenarnya takut”.

HAL-HAL YANG DILARANG DAN DIHARAMKAN DALAM MAKANAN

1) BANGKAI

Bangkai iaitu binatang yang mati dengan sendirinya tanpa ada sesuatu tanpa ada usaha manusia yang memang sengaja di sembelih menurut ketentuan agama atau dengan berburu. Termasuk apa yang dipotong dari binatang hidup

Firman Allah: Ertinya: “Telah diharamkan atas kamu bangkai, drah daging babi, binatang yang disembelih bukan kerana Allah, yang mati kerana dicekik, yang mati keran dipukul, yang mati kerana jatuhdari atas, yang mati kerana dimakan oleh binatang buas kecuali yang sempat kamu sembelih dan yang disembelih untuk berhala”. (AL-MAIDAH:3)

2) DAGING BABI

Hasil kajian dari penyelidikan yang dibuat oleh para ilmuan menunjukkan bahawa terdapat sejenis kuman dalam daging babi yang boleh memudharatkan pemakannya. Selain itu ia juga akan menyebabkan wujudnya sejenis cacing dalam tubuh pemakannya. Ini kerana makanan-makanan yang dimakan oleh babi adalah kotor-kotor dan najis.

Secara keseluruhannya, urat, darah, tulang, lemak, kulit dan lain-lain bahagian babi adalah haram untuk dimakan termasuk urusan jual beli babi.

3) BINATANG YANG DISEMBELIH BUKAN KERANA ALLAH

Iaitu binatang yang disembelih dengan menyebut selain daripada Allah misalnya dengan menyebut nama berhala. Menyebut selain kerana Allah ketika menyembelih bererti tidak memberitahu Allah sebagai pencipta binatang yang hidup ini untukk disembelih.

4) BINATANG DAN BURUNG PEMANGSA

Daripada hadis Rasulullah oleh Muslim dari Ibnu Abbas ra:

Ertinya: “Rasulullah melarang semua yang mempunyai taring daripada binatang, dan semua burung yang menyambar”. Contohnya seperti serigala, singa, anjing, harimau, kucing, gajah, tupai, dan sebagainya. HAL-HAL YANG DILARANG DAN DIHARAMKAN DALAM MINUMAN

1) ARAK

Arak adalah minuman yang mengandungi alkohol yang dapat memabukkan. Ianya sangat berbahaya terhadap seseorang baik pada akalnya, tubuhnya, agamanya dan dunianya orang yang meminum arakakan menyebabkan gangguan saraf dan mental.

Islam tidak hanya melarang peminum malahan orang yang memerahnya, yang minta diperah, yang membawanya, yang menuangkannya, yang menjualnya, yang makan harganya, yang membelinya dan yang minta dibelikannya. Orang yang menghadiahkan kepada Yahudi, Nasrani, atau kapada yang lain juga haram.

Rasulullah telah bersabda: Ertinya: “ Sesungguhnya Allah telah mengharamkan arak, maka barangsiapa yang telah mengetahui pengharaman arak ini dan masih mempunyai arak walaupun sedikit, jangan minum dan jangan menjualnya. (RIWAYAT MUSLIM)

Dikalangan masyarakat ada yang menganggap bahawa arak itu dapat dijadikan ubat untuk menghilangkan penyakit. Arak bukanlah penawar bagi penyakit tatapi akan menimbulkan penyakit kepada penggunanya.

Tetapi seandainya arak atau ubat yang dicampur dapat menjadi ubat kepada penyakit yang mengancam kehidupan manusia dimana tiada ubat lain kecuali menggunakan arakdan telah mendapat pengesahan dari pakar perubatan muslim dalam ilmu perubatan dan yang mempunyai jiwa yang mendalam dalam agama, lalu dalam keadaan demikian berdasarkan kaedah agama yang selalu membuat kemudahan dan menghilangkan beban yang berat, maka berubat dengan arak tidaklah dilarang dengan syarat dalam batas yang terhad.

2) DADAH

Hukum dadah ganja dan seumpamanya sama denga haramnya arak kerana ia merupakan bahan yang dapat mengganggu fikiran dan menghilangkan akal dari tabiat yang sebenarnya. Orang yang mengambil bahan ini dapat melupakan dirinya, agamanya dan dunianya serta tenggelam dengan khayalan.

Lebih dari itu, dadah dapat mengganggu kemurniaan jiwa dan menghancurkan moral dan melemahkan perasaan untuk melaksanakan kewajipan.

HAL-HAL YANG DILARANG DAN DIHARAMKAN DALAM PERHIASAN

1) EMAS DAN SUTERA ASLI

Emas dan sutera asli adalah dua jenis perhiasan yang diharamkan untuk lelaki tetapi dihalalkan bagi wanita.

Ali bin Abu Talib ra. berkata: Ertinya: “Rasulullah saw mengambil sutera, ia diletakkan disebelah kanannya dan ia mengambil emas diletakkan disebelah kirinya, lantas baginda bersabda, maksudnya: Kedua jenis perhiasan ini haram untuk orang leleki dan umatku”. (RIWAYAT AHMAD, ABU DAUD, NASA’I, IBNU HIBBAN DAN IBNU MAJAH) Tetapi Ibnu Majah menambahkan halal bagi wanita.

2) PAKAIAN WANITA YANG MENGIKUT BENTUK TUBUH BADAN

Islam mengharamkan perempuan memakai pakaian yang seksi dan menzahirkan bentuk badan dan sehingga nampak kulitnya, pakaian yang nipis kerana ia boleh mendatangkan fitnah dan sebagainya.

Dalam surah al-a’raf ayat 26: Ertinya: “ Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan untuk kamu pakaian yang dapat menutup aurat-auratmu dan untuk perhiasan”.

Mereka dikatakan berpakaian kerana meliliykan pakaian pada tubuhnya tetapi pada hakikatnya pakaian mereka tidak berfungsi untuk menutup aurat kerana itu mereka dikatakan telanjang kerana pakaiannya terlalu nipis sehingga melihatkan kulit tubuh.

Padahal tujuan berpakaian menurut prinsip al-Quran adalah untuk menutup aurat dan berhias.

3) LELAKI MENYERUPAI PEREMPUAN DAN PEREMPUAN MENYERUPAI LELAKI

Rasulullah pernah bersabda: Bahawa perempuan dilarang memakai pakaian lelaki dan lelaki dilarang memakai pakaian perempuan. (RIWAYAT AHMAD DAN LAIN-LAIN)

Disamping itu, baginda juga pernah melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan sebaliknya. Larangan yang dimaksudkan disini termasuklah bicara, cara berjalan, cara berpakaian, pergerakan dan sebagainya.


4) TATU, MENGIKIR GIGI DAN MENIPISKAN KENING

Tatu, mengikir gigi dan menipiskan kening adalah satu bentuk berhias yang berlebih-lebihan, sehingga sampai pada suatu batas yang menjurus kepada sikap merubah ciptaan Allah. Perbuatan ini adalah ajakan syaitan yang sentiasa menginginkan manusia sebagai pengikutnya.

Rasulullah melaknat perempuan yang mentatu dan minta ditatu, pengikir gigi dan orang yang minta supaya dikikir, dan perempuan yang mencukur keningnya atau minta dicukur keningnya.

HAL-HAL YANG DILARANG DAN DIHARAMKAN DALAM RUMAH

1) BEKAS EMAS DAN PERAK

Islam mengharamkan daripada membuat dan menggunakan bekas yang diperbuat daripada emas atau perak atau peralatan dari suter tulen untuk menutup tilam atau bantal.

Sabda Rasulullah: Ertinya: “ Sesungguhnya orang yang makan dan minum dengan bekas emas dan perak maka Allah akan membakar perutnya dengan api neraka”. (RIWAYAT MUSLIM)

2) MENGHIASI RUMAH DENGAN PATUNG

Seseorang muslim dilarang dan diharamkan untuk menghiasi rumahnya menggunakan patung-patung denga tujuan untuk diagungkan sebab dengan adanya patung dalam rumah menyebabkan terhalangnya malaikat untuk memasuki rumah tersebut padahal malaikat akan membawa rahmat kepada para penghuninya.

Oleh itu Islam melarang keras seorang muslim bekerja sebagai pemahat patung sekalipun membuat patung untuk orang lain.

Dalam hal ini Rasulullah bersabda: Ertinya: “ Sesungguhnya malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang didalamnya ada patung”. (RIWAYAT AL-BUKHARI DAN MUSLIM)

HAL-HAL YANG DILARANG DAN DIHARAMKAN DALAM JUAL BELI

Jual beli adalah pertukaran harta berdasarkan saling redha-meredhai atau memindahkan milik dengan ganti yang dibenarkan.


1) MENIPU DAN MEMBELIT

Kita mestilah menghindari dari penjualan yang bersifat menipu orang lain misalnya menutup kecacatan dan keaiban barang yang kita jual dan tidak kita jelaskan terlebih dahulu kepada pembelinya, dan perbuatan ini sangat tegas pengharamannya di sisi Allah.

Seorang muslim dituntut supaya belaku jujur dalam segala hal. Sebab keikhlasan dalam beragama nilainya lebih tinggi daripada seluruh usaha duniawi.


2) MENJUAL BARANG DENGAN SUMPAH PALSU

Kebiasaannya perkara ini berlaku untuk melariskan barang dagangannya supaya laris.

Rasulullah sangat membenci orang yang banyak membuat sumpah dalam perdagangan kerana memungkinkan terjadinya suatu penipuan, menyebabkan hilangnya perasaan membesarkan nama Allah dari hatinya.

Rasulullah talah bersabda: Ertinya: “ Sumpah itu menguntungkan perdagangan tetapi dapat menghapuskan barakah”. (HADIS RIWAYAT AL-BUKHARI)

3) MENGURANGI TIMBANGAN

Allah memerintahkan agar jual beli itu dilangsungkan dengan menyempurnakan timbangan, sukatan, ukuran meter, dan sebagainya. Hal ini berpandukan firman Allah:

Ertinya: “Dan sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil”. (AL-AN’AM: 152)

Di samping itu Allah mencela orang yang mempermainkan timbangan dan sukatan serta melakukan penipuan dalam menyukat dan menimbang.

4) MEMBELI BARANG RAMPASAN DAN CURIAN

Seorang muslim diharamkan membeli sesuatu yang sudah diketahui identitinya, bahawa barang itu adalah hasil daripada rompakan dan curian atau sesuatu yang diambil dari orang lain dengn jalan yang tidak benar. Hal ini sama seperti membantu dan menyokong perompak, pencuri dan melanggar hak untuk merompak, mencuri dan melanggar hukum.

5) MENJUAL BARANG UNTUK SESUATU YANG HARAM

Seorang muslim dilarang menjual anggur kepada pembeli yang akan memprosesnya sebagai minuman keras atau menjual senjata kepada orang yang sedang berperang atau kepada samseng jalanan atau dijual kepada orang yang bermaksud menggunakannya dalam hal-hal yang haram.

Dalam hal ini Allah berfirman: Ertinya: “Hendaklah kamu tolong-menolonglah dalam mengerjakan kebaikan dan taqwa dan janganlah tolong-menolong untuk kepentingan dosa dan permusuhan”. (AL-MAIDAH:2)

6) MENIMBUN BARANG

Penimbunan ialah membeli suatu barangan dan menyimpannya agar barang tersebut berkurangan dipesaran bertujuan menaikkan harganya.

Perbuatan ini akan menyukarkan masyarakat dan menghadapi kesulitan.

Amalan ini menggambarkan sifat ketamakan dan keburukan moral disamping hasilnya mengakibatkan masyarakat mengalami kesulitan.

Diriwayatkan dari Ibnu Majah dan al-Hakim dari Ibnu Umar, bahawa Rasulullah bersabda: Ertinya: “Orang-orang menawarkan harga yang murah itu diberi rezeki dan penyorok dilaknat”.

7) MENJUAL SESUATU YANG HARAM, HUKUMNYA HARAM

Apabila menjual barang-barang yang haram maka hukumnya juga haram terhadap urusan jual beli itu. Misalnya menjual babi, makanan dan minuman yang diharamkan secara umumnya.

Untuk itu, Rasulullah bersabda: Ertinya: “ Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan memperdagangakan arak, bangkai, babi dan patung”. (RIWAYAT BUKHARI DAN MUSLIM)

8) BERDAGANG DENGAN JALAN RIBA

Islam melarang menjalankan jual beli dengan jalan riba sama ada sedikit ataupun banyak. Allah akan melaknat pemakan riba, yang memberi makan, dua orang saksinya dan jururulisnya.

Firman Allah: Ertinya: “ Dan sesuatu riba(tambahan) yang kamu berikan agar dia menambah pada harta manusia, maka riba itu tidak menambah pada sisi Allah. Dan apa yang kamu berikan berupaya secara terng-terangan, iaitu firman Allah: Allah, maka yang berbuat demikian) itulah orang-orang yang melipat gandakan pahalanya”. (AR-RUUM:39)

KESIMPULAN

Mencari rezeki atau sesuatu yang halal adalah dituntut oleh ajaran Islam dan ianya adalah amalan yang terpuji. Sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah yang bermaksud: “ Makanlah olehmu makanan yang baik-baik (halal) dan kerjakanlah amal soleh”.

Berusahalah sedaya-upaya untuk mendapatkan rezeki atau sesuatu yang halal untuk keperluan diri sendiri dan ahli keluarga. Daripada Rasulullah bersabda: “Barangsiapa yang merasa penat dan payah kerana bekerja sehari suntuk kerana mencari rezeki yang halal, nescaya akan diampunkan segala dosanya”.

Oleh itu, hendaklah kita sebagai umat Islam giat untuk mencari rezeki yang halal dan disertai dengan niat kerana Allah Taala dan untuk memelihara agamanya supaya tidak memint-minta kepada orang lain dan jika mempunyai kelebihan daripada harta itu, baiklah jika kita sedekahkan kepada orang yang lebih memerlukan.

Mudah - mudahan Allah akan memudahkan kita untuk mencari rezeki yang halal dan diredhaiNya.

1 comment:

Unknown said...

Maklumat yang berguna..
Mohon share untuk pengajaran..Terima Kasih