Thursday, April 16, 2009

Hayat Rasulullah s.a.w.

Oleh: Siti Nor Afilah Bt. Fauzi


KEMULIAAN PERIBADI RASULULLAH S.A.W

Baginda adalah Muhammad bin Abdullah bin abdul Mutallib bin Hasyim bin AbdulManaf.

KELAHIRAN RASULULLAH S.A.W

Baginda dilahirkan pada hari Isnin 12 Rabiulawal tahun Gajah. Hari Isnin adalah hari yang dirahmati. Ibnu Abbas Radhiyallah anhu berkata:Rasullah dilahirkan pada hari Isnin, diangkat menjadi Nabi pada hari Isnin, keluar berhijrah dari Makkah ke Madinah pada hari Isnin dan mengangkat Hajarul Aswad pada hari Isnin pula.

Dikatakan bahawa baginda dilahirkan dalam kaadaan yang sudah dikhatan dan diputuskan ari-arinya.

Pada malam kelahiran baginda, banyak perkara-perkara aneh dan ganjil berlaku. Antaranya adalah banyak berhala-berhala yang bergelimpangan jatuh dari tempat-tempatnya dan keluar sinar cahaya yang menerangi sampai ke istana-istana di negeri syam. selain itu bergoncangnya istana kisra dan padamnya api yang selama ribuan tahun tidak pernah padam.

PENGASUH DAN IBU SUSU RASULULLAH S.A.W

Wanita pertama yang menyusui rasulullah adalah ibunya sendiri iaitu Aminah, lalu disusui pula olehThuwaibah Al-Aslamiyah selama beberapa hari. Thuwaibah adalah hamba sahaya Abu Lahab yang telah dibebaskannya ketika memberi khabar kepadanya tentang kelahiran Rasulullah S.A.W.

Ibnu Mandah telah menggolongkan Thuwaibah ini sebagai salah seorang sahabat. Dalam hal ini terdapat perbezaan pendapat antara ahli ilmu. Thuwaibah pernah datang mengadap Rasulullah setelah baginda berkahwin dengan Siti Khadijah Radhiyallahu anha. Maka Rasulullah menghormati dan memuliakan kedatangannya, begitu juga Siti Khadijah. Setelah berhijrah, Rasulullah sering mengirim pakaian dan lainnya untuk menjalinkan silaturrahim dengannya hingga ia wafat.

Kemudian Rasulullah disusui oleh Halimah binti Abi Dzuaib Assa’diyyah. Baginda dibawa ke desanya di pedalaman Tho’if pada suku Bani Sa’ad. Di sana Rasulullah menetap empat tahun menurut riwayat yang sahih. Ketika menyusukan Rasulullah itu, Halimah mendapat banyak kebaikan, iaitu, rezeki yang melimpah ruah yang dikurniakan oleh Allah.

Puteri Halimah Asaidiyah yang bernama Syaima’ turut mengasuh bersama ibunya. Setelah kejadian pembelahan dada Rasulullah oleh Malaikat, maka baginda dikembalikan semula kepada ibunya, ketika berusia lima tahun.

Rasulullah juga pernah diasuh oleh Ummu Aiman yang diwarisinya dari ayahnya. Setelah dewasa, Rasulullah membebaskannya lalu dikahwini oleh Zaid Bin Haritsah.

Ketika Rasulullah berusia enam tahun, baginda dibawa oleh ibunya ke Kota Madinah Al-Munawarah, bersama mereka pada saat itu Ummu Aiman yang mengasuhnya. Tujuan mereka ke sana adalah untuk menziarahi pak cik-pak cik dari pihak ibunya dari suku Bani An Najjar. Mereka tinggal disitu beberapa bulan, setelah itu mereka kembali pulang.

Dalam perjalanan pulang Siti Aminah jatuh sakit hingga meninggal dunia dan dikebumikan di Abwaa’. Maka pulanglah Rasulullah dibawa oleh Ummu Aiman kembali ke Makkah untuk diserahkan kepada datuknya Abdul Mutalib. Dikatakan bahawa sesudah itu mayat ibunya dibawa ke Makkah dan dikuburkan disana.

Setelah usia Rasulullah 8 tahun, datuknya pula meninggal dunia. Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya Abu Thalib, sesuai dengan wasiat datuknya. Maka Abu Thaliblah yang menjadi pelindungnya dari semua musuh-musuhnya, dan ia sangat menyayangi Rasulullah. Berkat memelihara Rasulullah itu, maka Abu Thalib yang sebelumnya seorang yang miskin, kini menjadi kaya dan mempunyai banyak harta.

Apabila usia baginda mencapai 12 tahun, baginda berangkat menuju ke Syam. Di pertengahan jalan, pakciknya mendapatkan peringatan dari pendeta Bukhaira. Maka pak ciknya membawanya kembali ke Makkah, kerana takut akan gangguan dari orang-orang Yahudi.

Pada kali kedua, Rasulullah berangkat kembali ke negeri Syam bersama-sama Maisarah, sahaya Siti Khadijah, membawa dagangan Siti Khadijah alaihissalam.

TANDA-TANDA KENABIAN

Tanda-tanda kenabian yang pertama sekali yang dialami oleh Nabi Muhammad S.A.W adalah:

1)Pembelahan dada

Pertama sekali hal ini dialami oleh Rasulullah adalah ketika baginda masih kecil, dan berada di bawah asuhan Halimah. Ketika itu usia baginda baru empat tahun, sepertimana yang diriwayatkan melalui hadis sahih.

Pada kali kedua, baginda dibelah dadanya ketika berumur sepuluh tahun. Pada kali ketiga, tatkala baginda didatangi oleh Jibril yang datang membawa wahyu ketika baginda diangkat menjadi Nabi. Dan kali keempat, adalah pada malam baginda di Isra’kan, sebagaimana yang diriwayatkan di dalam dua kitab hadis yang sahih.

Ketahuilah, bahawa semua riwayat tentang pembelahan dada dan pengeluaran hati Rasulullah ini adalah merupakan hal yang wajib untuk dipercayai.

2)Simbol Kenabian

Simbol kenabian ini termasuk pula tanda-tanda kenabian. ada beberapa pendapat tentang sifatnya. Yang paling masyur adalah yang mengatakan bahawa ia berbentuk seperti telur burung dara, iaitu, berupa segumpal daging yang menonjol dipunggungnya, pada bahu sebelah kiri, yang mengeluarkan cahaya dan menimbulkan kehebatan serta berbau wangi.

3)Mimpi yang baik

Mimpi yang baik ini juga termasuk dalam tanda-tanda kenabian. Mimpi Rasulullah selalu menjadi kenyataan. Baginda bermimpi melihat sinar, cahaya dan mendengar suara, pohon-pohon dan batu-batan memberi salam kepadanya dan awan yang selalu menaunginya. Itulah merupakan tanda-tanda kenabian Rasulullah, Muhammad SAW.

KEHIDUPAN RASULULLAH

Rasulullah SAW menyuruh para sahabatnya dan orang-orang islam yang ada bersamanya di Mekkah untuk keluar menuju ke Madinah, berhijrah ke sana dan bersatu dengan saudara-saudara mereka dari golongan Anshar. Baginda berkata:”sesungguhnya Allah telah menjadikan bagi kamu saudara-saudara dan tempat-tempat tinggal yang aman di sana. ”

Maka mereka juga keluar dari Kota Makkah, serombongan demi serombongan. Sedangkan Rasulullah sendiri masih tinggal di Makkah, menunggu izin dari Allah untuk keluar dari Makkah berhijrah ke Madinah.

Umar ibnul Khattab, Thalhah, Hamzah, Zaid bin Haritsah, Abdurrahman bin Auf dan yang lain-lain semuanya telah berhijrah. Hijrah telah dilakukan terus-menerus hingga akhirnya tidak ada lagi yang tinggal di Kota Makkah selain yang dipenjara dan di kurung, melainkan Ali bin Abu Thalib dan Abu Bakar As-Siddiq.

Pada suatu hari, Rasulullah datang menemui Abu Bakar, lalu berkata:”sesungguhnya Allah telah memberi izin kepadaku untuk pergi berhijrah”.

Maka Abu Bakar berkata:”perlu ditemani, ya Rasulullah?”. Rasulullah menjawab:”ya”.

Lantas menangislah Abu Bakar kerana gembira. Kemudian dia menyediakan dua kenderaan yang sebelumnya memang telah dipersiapkannya untuk perjalanan ini. Dia meminta Abdullah bin Uraiqaah menjadi penunjuk jalan bagi mereka berdua.

Rasulullah dan Abu Bakar keluar dari Makkah secara bersembunyi. Abu Bakar menyuruh anaknya, Abdullah bin Abu Bakar agar menyelidik dan mendengar apa yang dikatakan oleh orang-orang di Makkah tentang mereka berdua. Mereka juga memerintahkan kepada sahayanya Amir bin Fuhairah untuk mengembala kambing-kambingnya di waktu siang dan memberikannya kepada mereka pada waktu malam. Sedangkan Asma’ binti Abu Bakar membawakan masakan untuk mereka.

Akhirnya mereka sampailah ke gua Thur, lantas mereka memasukinya. Ketika mereka baru saja masuk, tiba-tiba Allah mengutus seekor labah-labah membuat sarangnya di antara gua itu dan pohon yang ada di atasnya, hingga tertutuplah Rasulullah dan Abu Bakar di dalam gua itu dari pandangan orang luar. Dan Allah juga memerintahkan kepada sepasang burung dara untuk membuat sarangnya di antara sarang labah-labah.

Orang-orang musyrikin akhirnya dapat menjejaki Rasulullah yang menuju kea rah gua Thur tersebut. Namun Allah menghalangi maksud jahat mereka, hingga mereka merasa ragu-ragu dan bimbang tatkala melihat sarang labah-labah yang menutupi seluruh pintu gua itu. Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud:

“Maka Allah menurunkan ketenangannya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang tidak kamu melihatnya. ” AT-TAUBAH:40

Sedangkan di dalam gua, ketika Abu Bakar melihat langkah orang-orang Musyrikin di luar sana, ia berkata:”Ya Rasulullah, seandainya salah seorang dari mereka mengangkatkan kakinya, pasti ia dapat melihat kita. ”

Rasulullah menjawab dengan tenang:”Bagaimana pendapat mu tentang dua orang yang ketiganya adalah Allah. ’

Hal itu diungkapkan Allah dalam firmannya yang bermaksud:

“Sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, diwaktu dia berkata kepada temannya:’janganlah kamu takut dan berduka cita, sesungguhnya Allah bersama kita. ’ AT-TAUBAH:40

Setelah orang-orang kafir Quraisy tidak menemui Rasulullah, akhirnya mereka menawarkan hadiah seratus ekor unta bagi orang yang berjaya menangkap Rasulullah, hidup atau mati.

Rasulullah dan Abu Bakar tinggal di dalam gua itu selama tiga malam, setelah itu mereka bertolak menuju ke Madinah. Bersama mereka berdua adalah Amir bin Fuhairah dan seorang penunjuk jalan yang telah diupah oleh Rasulullah. Mereka mengambil jalan melalui pesisir

CABARAN RASULULLAH SAW DALAM MENGEMBANGKAN AGAMA ISLAM

1)Kebijaksanaan Nabi Muhammad Menangani Masalah Masyarakat


Tidak pernah terputus pergaulan Nabi Muhammad dengan penduduk Kota Makkah, juga pergaulan dalam kehidupan bermasyarakat sehari harian. Pada masa itu masyarakat sedang sibuk kerana bencana banjir besar dan gunung menimpa dan meratakan dinding-dinding kaabah yang memang sudah rapuh kerana umurnya hampir mencapai 6000 tahun, dibangun oleh Nabi Ibrahim semasa hidupnya.

Kaabah itu kemudiannya di baiki secara gotong-royong oleh penduduk Makkah. Tetapi berlaku pertelingkahan apabila mahu meletakkan Hajar Aswad atau batu hitam di tempatnya semula. Tiba-tiba muncullah Abu Umaiyah bin Mughirah dari Bani Makhzum, iaitu orang yang tertua diantara mereka yang dihormati dan dipatuhi. Beliau berkata, ”serahkan keputusan ini di tangan orang yang pertama memasuku pintu Shafa ini”. Mereka semua setuju dengan usul itu.

Ketika mereka melihat Muhammad adalah orang yang pertama memasuki tempat itu, mereka berseru, ”Inilah Al- Amin, kami dapat menerima keputusannya, ”. Mereka menceritakan situasinya kepada Nabi Muhammad.

Bermulalah pekerjaan memindahkan Hajar Aswad itu. Muhammad meminta kepada setiap ketua suku agar ikut serta mengangkat dan memindahkan Hajar Aswad itu. Nabi Muhammad menghamparkan serbannya dan meletakkan Hajar Aswad itu di tengah-tengahnya dan meminta setiap ketua setiap suku kaum memegang tepi kain dan mengangkatnya bersama-sama. Mereka menyambut ajakan Muhammad itu dengan perasaan senang.

2)Gua Hira Tempat Nabi Muhammad Menerima Wahyu Pertama

Semenjak zaman kanak-kanak, Muhammad sentiasa memiliki budi luhur yang murni dan terpuji. Sekalipun ia tidak pernah melakukan perkara yang keji yang umum dilakukan oleh bangsanya khususnya dalam masalah peribadatan kepada tuhan yang mana mereka menyembah berhala yang di buat daripada batu.

Melihat kerosakan yang menimpa umatnya itu, hati Muhammad timbul perasaaan sedih sehingga tertanam dalam kalbunya suatu cita-cita yang teguh hendak membersihkan ala mini dari kebusukan-kebusukan itu. Saat usianya mendekati umur 40 tahun, timbullah dalam dirinya keinginan untuk berkhalwat(menyepi).

Sering kali dan kadang-kadang sampai berhari-hari ia mengasingkan diri dari kekalutan yang memenuhi negeri, berpindah ke suatu tempat yang sepi di dalam sebuah gua batu yang bernama Gua Hira, beberapa kilometer dari utara Makkah. Gua tersebut gelap dan sempit dan terletak di lereng gunung.

Berkhalwatlah Muhammad di gua itu. Tiba-tiba, pada suatu malam, tarikh 17 Ramadhan tahun ke 40 kelahirannya, gua itu menjadi terang-benderang yang menerangi seluruh ruangan dalam gua itu. Pada saat itulah turunlah suatu makhluk dari langit yang berbentuk manusia dengan kecepatan yang luar biasa kencangnya, lalu menghampiri Muhammad seraya berkata:Bacalah!Dengan perasaan takut Muhammad menjawab;saya tidak dapat membaca.

Ia merasa seolah malaikat mencekiknya, kemudian melepaskan lagi seraya berkata;Bacalah!Masih dalam ketakutan akan di cekik lagi Muhammad menjawab;saya tidak dapat membaca. Selanjutnya malaikat itu memeluk Nabi Muhammad hingga beliau sedikit susah untuk bernafas, lalu malaikat itu melepaskannya seraya berkata bermaksud:

“Bacalah dengan (menyebut) nama tuhan mu yang menciptakan, dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dengan nama tuhanmu yang pemurah, yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. ” (Al-Alaq)

Setelah tersedar dari kejadian itu, Muhammad lari keluar dari gua dan melihat ke langit. Tampaklah di depan pandangannya suatu bentuk manusia yang besar. Orang besar itu berseru kepada Muhammad, ”Wahai Muhammad!kamu adalah Rasul Allah dan aku ini adalah Jibrail. ”

Setelah rupa malaikat itu menghilang, Muhammad pulang dalam kaadaan sudah berisi wahyu yang disampaikan padanya, hatinya berdebar-debar ketakutan. Dijumpainya Khadijah seraya berkata”selimuti aku, ”ia segera diselimuti. Tubuhnya menggigil seperti sedang demam. Setelah reda ketakutannya, dipandangnya isterinya dengan pandangan mata untuk mendapatkan kekuatan. Kemudian diceritakan semuanya tentang apa yang telah berlaku.

Selanjutnya, untuk lebih mententeramkan diri suaminya, pagi-pagi lagi Khadijah pergi ke rumah seorang pendeta Kristian, Warkah bin Naufal namanya. Setelah mendengar apa yang diceritakan oleh Khadijah, ia berkata:”saudaraku, jangan khuatir, suamimu telah terpilih sebagai Rasul Allah. Allah telah berbicara dengannya, sebagaimana dia berbicara dengan Musa di gunung Tursina. ”

3)Dakwah Rasulullah Secara Sembunyi-Sembunyi

Beberapa bulan kemudian Jibrail muncul lagi menyampaikan wahyu menyuruh Muhammad untuk memulai memimpin hamba Allah ke jalan yang benar, jalan yang diredhai oleh Allah. Wahyu tersebut bermaksud:

“Hai orang yang berkemul(berselimut)bangunlah lalu memberi peringatan!” (Surah Al-Muddatsir:1-2)

Turunnya wahyu tersebut membuat nabi lebih mantap. Kini ia telah bersiap sedia untuk menerangkan tentang hakikat kebenaran kaadaan manusia. Rasulullah memulakan tugasnya menegakkan kebenaran secara sembunyi-sembunyi di lingkungan rumahnya sendiri. Khadijah, isterinya yang setia itulah yang mula-mula beriman kepadanya. Dengan pengetahuannya yang luas dan dan sempurna tentang keindahan budi pekerti dan kebenaran semua perkataan dan pekerjaan Nabi Muhammad. Ia yakin bahawa Nabi Muhammadlah orang yang layak menerima perintah Allah bagi memimpin ummat manusia.

Selanjutnya adalah Zaid bin Haritsah anak angkat Nabi sendiri, seorang hamba yang dimerdekakan oleh Nabi. Kasih sayangnya lebih dari bapanya sendiri. Waktu bapanya datang hendak membawanya pulang ke kampong setelah ia merdeka, ia menyatakan ia lebih suka tinggal bersama dengan Nabi. Cintanya kepada Nabi adalah semata-mata kerana kebenaran dan kesucian Nabi menyebabkan dengan mudah ia menjadi seorang muslim.

Kemudian menyusul pula Ali bin Abi Thalib. Ia mengetahui benar kejujuran dan kebenaran Nabi kerana semenjak kanak-kanaknya, ia sepermainan dengan Nabi. Selain daripada itu, di antara penduduk Makkah yang mula-mula masuk islam adalah Abu Bakar, teman akrab Nabi semenjak kecil. Ia senang sekali kepada Nabi, kerana sudah diketahui benar bahawa ia seorang yang bersih, jujur dan dapat dipercayai. Oleh kerana itu, orang dewasa pertama yang diajaknya menyembah Allah dan meninggalkan menyembah berhala adalah Abu Bakar. Ia juga adalah lelaki pertama yang tempat ia mengemukakan isi hatinya akan segala yang dilihat serta wahyu yang diterimanya. Abu Bakar tidak ragu-ragu lagi memenuhi ajakan Muhammad dan beriman pula dengan ajakannya itu.

Mereka berempat itu merupakan orang-orang yang beriman kepada kenabian serta kerasulan Nabi Muhammad. Oleh kerana itu mereka disebut “Assabiquunal Awwalun:. Mereka itu adalah Siti Khadijah, Ali bin Abi Thalib, Zaid bin Haritsah dan Abu Bakar. Keempat-empat orang ini ditambah pula dengan Nabi Muhammad itulah yang kemudiannya memiliki tekad yang kuat dan semangat yang kental untuk memperkenalkan dan menyebarkan ajaran islam kepada seluruh ummat manusia. Mereka dengan jumlahnya yang sedikit itu secara sembunyi-sembunyi berkumpul di rumah Nabi Muhammad untuk mempelajari tentang ajaran yang dibawanya.

4)Perlaksanaan Dakwah Secara Terbuka

Dalam tempoh tiga tahun lamanya Rasulullah berdakwah secara sembunyi-sembunyi. Mulai tahun ke -4 kerasulan Muhammad baginda berdakwah secara terang-terangan. Adapun yang menjadi dasar hukum daripada pelaksanaan dakwah secara terang-terangan tersebut adalah firman Allah yang bermaksud:

“Maka sampaikanlah olehmu secara terang-terangan segala apa yang diperintahkan (kepadamu) dan berpalinglah dari orang-orang musyrik. ” (Al-hijr:94)

Dakwah tentang nilai-nilai hidup yang disampaikan oleh Muhammad adalah bertentangan sekali dengan tradisi Arab yang feudal dan meterialistik pada waktu itu. Setiap hari nescaya ada saja orang yang memeluk islam menyerahkan diri kepada Allah.

Sikap dan budi serta semangat setiap orang yang menggabungkan diri ke dalam agama ini sungguh menakjubkan. Lebih-lebih mereka yang tidak terpesona oleh pengaruh dunia perdagangan untuk sekadar melepaskan renungan akan apa yang telah diserukan kepada mereka. Mereka sudah melihat Muhammad yang sudah bercukupan, baik dari harta Khadijah atau hartanya sendiri.

4)Nabi Muhammad menghadapi cabaran

Apabila muncul suatu gerakan yang rela memikul beban menyiarkan kebenaran dalam kalangan umat yang telah binasa, biasanya muncul disana suatu golongan yang memusuhi gerakan itu.

Demikianlah pula dengan pemimpin Quraisy yang melakukan kempen mengerahkan orang ramai menentang dakwah Rasulullah. Bermacam-macam perkara dilakukan oleh mereka untuk menghalang Rasulullah menyebarkan islam. Mereka telah pergi berjumpa dengan bapa saudara nabi, Abu Thalib supaya menyuruh Nabi Muhammad berhenti menyebarkan islam. Mereka juga mengugut untuk membunuh Nabi Muhammad.

Sementara itu, pendirian Nabi tetap tegas, tidak akan berundur ke belakang lagi. Setelah gagal memujuk Abu Thalib, mereka terus memujuk Nabi Muhammad dengan menawarkan pelbagai ganjaran seperti pangkat dan kedudukan serta isteri muda yang jelita. Dengan tegas Rasulullah menjawab”Demi Allah, kalaupun mereka meletakkan matahari di tangan di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku, dengan maksud supaya aku meninggalkan tugas ini, sungguh tiada aku tinggalkan, biar Allah yang membuktikan kemenangan itu, atau aku binasa kerananya. ”

Setelah usaha itu gagal, mereka menggunakan kekerasan pula. mereka menyiksa, memukul pemeluk agama islam dari golongan miskin. Setiap suku juga diminta menghukum dan menyiksa anggota keluarga yang masuk islam sampai murtad kembali. Ummul Jamil isteri Abu Jahal, melempar kotoran ke depan rumahnya, tetapi Muhammad cukup dengan membuangnya saja.

5)Peristiwa Israk dan Mikraj

Pada suatu malam di saat baginda sedang tidur di rumah Ummi Hani binti Abu Thalib, datanglah Malaikat Mikail dan ditemani seorang malaikat pengawal menemui nabi. Tujuannya Allah untuk menjemput Nabi dan dan akan di ajak berisrak’ dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsha di Palestin.

Dalam suatu riwayat diceritakan bahawa perjalanan Nabi dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsha tersebut dengan menaiki Buraq. Mi’raj adalah perjalanan Nabi dari Masjidil Aqsha di Palestin naik ke langit tertinggi untuk mengadap Allah SWT.

Peristiwa ini telah menggemparkan masyarakat Makkah. Kebanyakan ummat islam mempercayai nabi. Mereka selalu yakin akan kebenaran setiap perkataan Nabi. Ada juga di kalangan mereka yang tidak mempercayai nabi.

MUKJIZAT RASULULLAH

Firman Allah SWT“Dan tidak boleh seseorang Rasul mendatangkan satu tanda(mukjizat) melainkan dengan izin Allah. ” (Al-Mu’min:78)

Di dalam fasal ini, terdapat beberapa perkara mukjizat yang terbit dari Nabi Muhammad. Mukjizat itu pada zahirnya kelihatan dengan dongengan, tetapi kendaklah di ketahui, bahawa dongengan itu riwayat atau cerita rekaan, ta mukjizat ini adalah yang dinyatakan dalam kitab-kitab hadith yang sahih.

Kaki Yang Patah

Di Khaibar ada seorang ketua Yahudi bernama Abu Rafi’. Ia selalu menghasut supaya kaumnya suka memerangi kaum muslimin. Nabi Muhammad kirim sati angkatan ramainya lima orang untuk membunuhnya yang diketuai oleh Abdullah bin Abi Atik. Dengan tipu dayanya, dapat Abdullah ini membunuh Abu Rafi’, tetapi waktu keluar dari rumah Abu Rafi’, ia jatuh dari tangga lalu kakinya patah.

Setelah sampai di Madinah, Nabi Muhammad menyuruhnya ulurkan kakinya, lalu disapu dan diusapkan kaki itu. Di waktu itu juga Abdullah tersebut tidak merasa sakit lagi dan sembuh, seolah-olah tidak pernah patah.

Mata Yang Terkeluar

Dalam peperangan Uhud, mata seorang sahabat yang bernama Qatadah bin An-Nu’man, kena panah hingga biji matanya terletak di atas pipinya. Lalu Nabi Muhammad memasukkannya semula, maka jadilah ia lebih baik dan lebih terang dari mata yang satu lagi.

Tangisan Kayu

Nabi Muhammad biasanya berkhutbah dengan bersandar di sebatang kayu kurma yang ada di Masjid. Tetapi setelah dibuat mimbar dan ia tidak lagi berkhutbah sambil bersandar kepadanya, maka meraunglah kayu itu dengan sedih hingga orang ramai turut menangis, dan tidak berhenti ia dari raungannya, hingga Nabi Muhammad datang mendekatinya dan meletakkan tangan padanya.

Pohon Mendatangi

Ada seorang Arab gunung meminta Nabi Muhammad tunjukkan kepadanya satu tanda supaya jadi sebab bagi hidayatnya, maka Nabi Muhammad suruh ia panggil salah satu pohon yang ada dekat situ. Ia panggil dan itupun datang berdiri di hadapan Nabi Muhammad, kemudian dengan satu isyarat, kembalilah ia di tempatnya.

Gugurnya berhala-berhala

Di masjid Makkah mengandungi 360 berhala, kerana tiap-tiap satu kabilah atau golongan dari kaum Arab mempunyai satu berhala. Berhala-berhala itu di tanam pangkalnya, dan dikuatkan dengan batu dan bibebat dengan timah. Pada hari kaum islam tundukkan Makkah, Nabi Muhammad masuk ke masjid dan mengisyaratkan dengan satu tongkat terhadap berhala-berhala itu, maka seketika itu juga gugurlah tiap-tiap berhala itu, ke depan atau ke belakang menurut isyaratnya.

WAFATNYA RASULULLAH SAW

Rasulullah SAW dalam usia enam puluh tiga tahun. Pada hati Isnin waktu Dhuha, tanggal 12 Rabiul Awwal. Sebelumnya baginda sakit selama empt belas hari, dan baginda di kebumikan pada malam Rabu.

Pada detik-detik kematiannya, baginda memasukkan tangannya pada satu tempat air yang ada di sisinya. Lalu mengusapkannya pada wajah seraya berkata:”Ya Allah, bantulah aku dalam sakaratul maut!”. Baginda memakai kain selimut dari bulu hitam.

Para sahabat bingung, Umar tidak percaya mendengar wafatnya Rasulullah yang disayangi, Uthman menjadi bisu, Ali terduduk. Tidak ada yang tetap hatinya menghadapi kematian Rasulullah itu selain Abbas dan Abu Bakar.

Para sahabat berbeza pendapat tentang cara memandikan bagingaApakah harus tetap dalam pakaiannya atau dilepaskan?Maka Allah menidurkan mereka, lalu terdengar suara mengatakan, ”Mandikanlah ia dalam pakaiannya!”. Ketika mereka bangun, mereka melaksanakan perintah itu. Yang memandikan baginda ialah Ali dan Abbas dan kedua anaknya Al-Fadl dan Qatsam, serta kedua sahayannya Utsaamah dan Syaqrann. Dihadiri oleh Aus bin Khouly dari golongan Anshar. Ketika Ali mengusap perut baginda, tidak ada satu pun yang keluar, maka berkatalah Ali”Ya Rasulullah, tuan hidup dan mati dalam kaadaan suci. ”

Baginda dikafani dalam tiga lapis kain putih, tanpa kemeja atau serban, tetapi dalam lipatan kain yang tidak berjahit. Orang-orang muslim menyembahyangkannya satu persatu tanpa berjemaah. Dalam kuburnya dibentangkan satu lembar beluru merah, dan ditutupi di atasnya dengan sembilan batu-bata.

Orang yang menggalikan kubur Nabi Muhammad adalah Abu Thalhah. Nabi Muhammad di tanam di rumah Siti Aisyah. Dikuburkan di situ pula Abu Bakar Ash-Shiddiq Radiyallaahua

Penutup

Kesimpulan daripada Kisah Hidup Nabi Muhammad SAW adalah kita sebagai ummatnya haruslah menghargai segala penat lelah Rasulullah dan para sahabat yang berpenat lelah untuk menyebarkan agama islam yang murni lagi suci ini. Untuk ini, kita hendaklah sentiasa mengingati Rasulullah dengan berselawat ke atas baginda SAW. Kita juga hendaklah mengamalkan segala suruhan yang disuruh oleh baginda dan meninggalkan larangannya. Jika kita berpegang teguh dengan ajaran islam ini, Insyaallah hidup kata mendapat keredhaan dan keberkatan daripada Allah SWT.

Pengajaran yang dapat kita contohi daripada cerita ini adalah kita hendaklah sabar dalam menempuh sagala dugaan hidup dan hendaklah kita jangan mudah berputus asa terhadap segala kesusahan yang dihadapi. Contohnya, Nabi Muhammad tidak pernah berputus asa dalam menyebarkan ajaran islam walaupun pelbagai dugaan dan cabaran dihadapi oleh baginda. Contohnya tentangan daripada pihak kafir Quraisy yang berniat untuk menghancurkan agama islam ini.

Oleh itu, marilah kita sama-sama mengambil iktibar dan pengajaran dari buku ini untuk dijadikan pegangan hidup kita. Dan sentiasa melakukan apa yang telah diperintahkan kepada kita dan meninggalkan segala larangannya.

Wallahua’lam


Sekian, terima kasih

No comments: