Thursday, April 16, 2009

Petanda Kemunculan Hari Kiamat

Oleh: Nur Farhana Binti Zainal Abiddin

Abstrak :
Hari kiamat adalah hari terakhir bagi seluruh umat manusia dan makhluk di dunia ini. Sebagai hamba Allah S.W.T, kita harus percaya kebenaran kemunculan hari akhirat yang menjadi satu permulaan baru kehidupan di akhirat yang kekal abadi. Petanda munculnya hari kiamat sudah lama ditunjukkan oleh Allah S.W.T cuma mungkin selalu diambil ringan oleh kita. Melalui petanda yang telah dijelaskan di dalam Al-Quran dan hadis-hadis, kita sepatutnya bersedia untuk menghadapi hari kiamat ini. Allah S.W.T tidak memberitahu bila waktunya akan terjadi hari kiamat namun kita masih boleh mengetahui bila waktunya kiamat dengan melihat tanda-tanda yang diberikan oleh Nabi Muhammad SAW dan kebanyakan hadis- hadis dari Sahih Muslim, Sahih Bukhari dan Riwayat Tarmizi.

Pendahuluan
Semua makhluk di dunia ini termasuk manusia menempuhi pelbagai fasa dalam kehidupan mereka, bermula dengan dilahirkan untuk tinggal sementara di bumi yang dicipta oleh Allah SWT serta mencari bekalan untuk hari akhirat kelak. Kemudian semua makhluk akan dibangkitkan pada Hari Kiamat, iaitu hari dimana akan berkumpul semua manusia untuk menghadapi perhitungan.
Salah satu perkara yang telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran ialah alam semesta yang diciptaNya akan sampai ke penghujungnya. Dunia ini yang berusia berbilion tahunnya, akan tiba hari akhirnya dengan kuasa Allah SWT, pada waktu yang hanya diketahui olehNya.
Pengetahuan tentang kemunculan hari kiamat sememangnya tidak akan diketahui oleh kita. Kita telah ketahui bahawa Al-Quran ada menerangkan tanda-tanda yang menunjukkan kedatangan hari kiamat. Kita seharusnya mengambil berat mengenai petanda ini. Di dalam Al-Quran dan hadis juga menunjukkan terdapat dua peringkat hari kiamat.

“ Katakanlah Wahai Rasul, Allahlah yang menghidupkan kamu, kemudian mematikan kamu, kemudian akan menghimpunkan kamu kepada Hari Kiamat, tidak ada keraguan mengenainya, akan tetapi manusia tidak mengerti” (Al-Jatsiyah : 26)

Sepintas Lalu Memgenai Penulis
Nur Farhana Binti Zainal Abiddin telah dilahirkan pada 18 Jun 1989 di Teluk Intan, Perak. Pengalaman belajar bermula di Sekolah Rendah Sultan Abdul Aziz Teluk Intan dan seterusnya ke Sekolah Menengah Sultan Abdul Aziz. Melanjutkan pelajaran peringkat matrikulasi pada tahun 2007 sehinnga April 2008 di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang. Selepas tamat peringkat matrikulasi, mendapat tawaran melanjutkan pelajaran peringkat ijazah di Universiti Teknologi MARA Perlis dalam jurusan Kimia Gunaan. Merupakan anak ketiga dari enam orang adik beradik yang kesemuanya masih lagi belajar. Dilahirkan dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh Encik Zainal Abiddin dan Puan Jalaliah yang masing-masing merupakan seorang pengetua dan guru.

Definisi
Hari kiamat bererti hari kebangkitan, dalam istilah syarak pula hari kiamat dapat didefinisikan sebagai hari berlakunya kehancuran seluruh alam dan diikuti dengan manusia dibangkitkan semula. Hari kiamat juga disebut Al- Saah kerana dekatnya waktu, iaitu tinggal satu saat. Tanda- tanda kiamat pula bermaksud petunjuk atau isyarat yang sudah hampirnya hari kiamat. Tanda- tanda kecil ialah tanda- tanda yang berlaku sebelum kedatangan tanda- tanda besar dan tanda- tanda ini memberikan kesan secara tidak langsung. . Tanda- tanda besar pula ialah tanda yang menunjukkan hampir tibanya hari kiamat.

Tanda- tanda Kecil
1. Keruntuhan akhlak manusia
Homoseksual, pornografi, gangguan seksual, perzinaan dan pertambahan penyakit berpunca dari seks bebas merupakan contoh keruntuhan nilai moral dalam diri manusia. Menurut rekod dari World Health Organization (WHO), penyakit berpunca daripada seks bebas merupakan penyakit terbanyak yang menyerang manusia. Selain itu, pertambahan kes homoseksual semakin menjadi-jadi. Perkara ini telah pun terjadi semasa zaman Nabi Lut, di mana Allah SWT telah membinasakan kaum Nabi Lut yang ingkar dengan bencana yang besar. Menurut riwayat hadis Bukhari ada mengatakan bahawa kehilangan rasa malu dalam kalangan manusia merupakan petanda hari kiamat.

2. Banyak berlakunya peperangan dan bencana alam

emusnahan alam yang berlaku sekarang banyak berpunca dari peperangan dan bencana alam. Contoh kemusnahan akibat peperangan ialah semasa perang Dunia Kedua. Dengan menggunakan bom atom, Hiroshima dan Nagasaki menjadi padang jarak padang tekukur dalam sekelip mata dan menyebabkan penderitaan dan kemusnahan yang amat teruk. Selain itu, kemusnahan alam juga datangnya dari bencana alam seperti gempa bumi, letusan gunung berapi dan puting beliung. Dalam 10 tahun kebelakangan ini, bencana akibat perubahan klimaks semakin menjadi-jadi. Kemusnahan ini sebenarnya merupakan petanda Allah SWT untuk memberi peringatan kepada manusia tentang hari kiamat.

3. Wanita berkelakuan dan berpakaian menyerupai lelaki dan sebaliknya

Pada zaman sekarang ini, wanita dan lelaki yang menyerupai jantina yang bertentangan dengan mereka sudah menjadi perkara yang biasa dilihat. Wanita yang menyerupai lelaki digelar ‘tomboy’ manakala lelaki yang menyerupai wanita pula dinamakan ‘mak nyah’. Dalam surat khabar Kosmo, keluaran 27 Julai ada menyatakan tentang penangkapan 50 orang mak nyah di Bachok, Kelantan. Keadaan ini telah kerap kali didengar dan mereka ini tanpa segan silu cuba mengubah diri mereka agar tampak seperti jantina yang bertentangan dengan mereka.

4. Ilmu diangkat dan timbul kebodohan

Perkara ini sudah berlaku zaman kita sekarang ini. Terdapat hadis mengatakan, ” Dunia belum kiamat sebelum ia dikuasai oleh orang- orang bodoh. ” Dari riwayat Huzaifah Al-Yaman, Rasulullah SAW bersabda:” Dunia belum kiamat sebelum orang- orang bodoh menjadi orang paling bahagia di dunia. ” Hadis ini bermaksud belum terjadi kiamat sebelum orang- orang yang tidak berilmu menjadi pemimpin. Ilmu yang akan dicabut atau diangkat menjelang kiamat ialah ilmu agama, bukan ilmu pengetahuan umum. Kejahilan dalam bidang agama sudah meluas sekarang.

5. Bilangan wanita lebih ramai daripada bilangan lelaki

Kaum lelaki tinggal sedikit sedangkan wanita bertambah ramai sehingga jadilah satu banding lima puluh. Ertinya jumlah wanita lima puluh kali jumlah lelaki. Rasulullah berkata; “ Di antara tanda-tanda hari kiamat ialah ilmu diangkat dan timbul kebodohan, semakin luas perzinaan, meminum minuman keras. Kaum lelaki akan ramai yang mati dan tinggallah kaum wanita sehingga jadilah lima puluh banding satu”. (H. R Muttafaqun Alaih)

Tanda-tanda Besar
1. Munculnya Imam Mahdi

Kemunculan Imam Mahdi menandakan sudah dekatnya kiamat. Imam Mahdi merupakan imam yang terakhir dan tidak ada lagi imam sesudahnya. Dari Abdullah bin Al- Hars, katanya Rasulullah SAW bersabda:” Akan keluarlah manusia dari sebelah timur, lalu mereka pergi menjumpai Mahdi, yakni untuk mengikuti pemerintahannya. ” Pada zaman Imam Mahdi nanti akan terjadilah perubahan iaitu banyak buah- buahan, tanam- tanaman menjadi subur, banyak harta, pemerintahan yang berwibawa, ajaran Islam ditegakkan, musuh- musuh Islam ketakutan dan kebaikan berkekalan.

2. Keluarnya Dajjal yang akan menyesatkan manusia

Dajjal diciptakan sebagai makhluk yang dilaknat kerana ia kufur dan mengaku dirinya sebagai Tuhan. Dajjal juga disebut Al-Masih kerana terhapus atau hilang sebelah matanya. Dajjal dikatakan muncul dari kalangan orang- orang Yahudi. Dari Anas bin Malik, katanya Rasulullah SAW bersabda: “ Keluar Dajjal itu nanti dari kalangan orang Yahudi Asbihan. Ia disertai oleh 70000 orang- orang Yahudi pembohong. ” Dajjal akan muncul di akhir zaman dan kekuasaannya mencakupi seluruh daratan dan lautan. Dajjal didatangkan kepada manusia untuk menguji keimanan mereka. Pendapat yang paling kuat mengatakan Dajjal sebenar adalah syaitan yang diikat oleh Nabi Sulaiman di pulau yang tidak diketahui tempatnya. Dajjal mengaku dirinya sebagai tuhan. Di antara kedua matanya tertulis perkataan kafir. Dajjal akan keluar nanti dengan izin Allah SWT menjelang kiamat nanti untuk membawa fitnah. Riwayat hidup Dajjal akan tamat apbila Allah SWT menurunkan Nabi Isa a.s untuk menyatukan barisan orang- orang mukmin.

3. Turunnya Nabi Isa a.s

Allah SWT telah menceritakan bahawa Nabi Isa telah diangkat ke sisi-Nya. Bereti Nabi Isa tidak dibunuh dan disalib oleh orang- orang Yahudi. Diriwayatkan oleh Muslim dari Al- Nawas bin Sam’an bahawa Rasulullah SAW bersabda tentang Nabi Isa bin Maryam: “ Beliau akan turun berdekatan dengan menara putih di Timur Damsyik, dengan memakai pakaian kuning. Dua telapak tangannya terletak di atas sayap dua malaikat. Apabila dia menundukkan kepalanya menitislah air. Apabila dia mengangkat kepalanya lagi turunlah daripadanya seperti untaian mutiara. ” Nabi Isa a.s sudah membawa syariat kepada umatnya dahulu sebelum diangkat ke langit. Nanti di akhir zaman baginda akan turun lagi dengan izin Allah tetapi bukan untuk membawa agama atau syariat baru. Baginda datang untuk menguatkan agama Islam.

4. Keluarnya Yakjuj dan Makjuj

Yakjuj dan Makjuj adalah golongan dari Tark, yakni dari zuriat Adam. Yakjuj dan Makjuj banyak membuat kerosakan di bumi dan menyakiti penghuninya. Firman Allah SWT :” Sehingga apabila dibukakan(tembok) Yakjuj dan Makjuj itu, dan mereka turun dengan cepat dari seluruh tempat- tempat yang tinggi. Dalam sabda Rasulullah SAW ada menerangkan bahawa Yakjuj dan Makjuj ini mempunyai wajah yang lebar, mempunyai mata kecil, rambut kemerah- merahan, mempunyai wajah yang melucukan dan mereka akan turun dari tempat tinggi. Yakjuj dan Makjuj keluar setelah turunnya Nabi Isa a.s dan setelah beliau mengalahkan Dajjal.

5. Matahari Terbit dari Barat

Setelah Nabi Isa a.s wafat, muncul lagi tanda besar iaitu matahari terbit dari tempat terbenamnya. Rasulullah SAW bersabda:” Sesungguhnya tanda kiamat yang mula- mula sekali ialah matahari terbit dari tempat terbenamnya. ”Ketika itu ada manusia yang beriman dan ada yang kufur. Tidak lama selepas itu terjadilah perubahan yang ketara iaitu malam yang cukup panjang.

6. Keluar Binatang Dari Bumi

Diriwayatkan oleh Muslim, diriwayatkan juga oleh Abu Daud dan Ibnu Majah, Rasulullah SAW bersabda :” Sesungguhnya tanda yang mula- mula muncul ialah matahari terbit dari tempat terbenamnya, keluar binatang kepada manusia pada waktu Dhuha. Maka yang mana pun terdahulu dari kedua- dua tanda itu, yang lain akan segera menyusul. Pada waktu matahari terbit dari barat pintu taubat sudah ditutup, binatang pun keluar dari bumi. Setelah binatang itu datang dahi orang- orang mukmin ada tertulis MUKMIN, begitu juga di dahi orang kafir tertulis KAFIR. Mengenai ciri- ciri binatang itu, Rasulullah SAW bersabda:” Binatang buni itu panjangnya 60 hasta. Orang yang mencarinya tidak akan menjumpainya. Sedangkan orang yang lari tidak luput daripadanya. ”

7. Diangkat Al-Quran dan Perkara-Perkara Baik

Menjelang kiamat nanti akhlak terpuji dan perkara- perkara yang baik hilang dari permukaan bumi. Segala kebaikan itu berhijrah, akhlak terpuji dan nilai-nilai yang baik semakin tersepit kerana banyaknya kejahatan yang dilakukan manusia. Ini kerana manusia terdiri dari roh dan jasad. Roh berasal dari nur Allah dan akan kembali kepada-Nya begitu juga jasad manusia berasal dari tanah dan akan kembali kepadanya. Begitu juga dengan alam ini, Allah SWT meurunkan kepadanya unsur- unsur yang baik dan itu semua akan kembali kepada Allah.

8. Kabut

Sebelum kiamat, kabut tebal akan menyebabkan dunia menjadi gelap. Kabut ini akan membuatkan orang- orang mukmin selesema manakala kabut akan masuk ke telinga dan hidung orang- orang munafik dan kafir. Semua manusia berada dalam keadaan lemas ketika itu. Mereka mula beriman kepada Allah SWT kerana tidak berdaya dan merasa lemah namun semua itu tidak berguna lagi. Firman Allah SWT yang bermaksud, ” Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut yang nyata, yang meliputi manusia. Inilah azab yang pedih. (Mereka berdoa): “ Ya Tuhan hilangkanlah dari kami azab itu, sesungguhnya kami akan beriman. ” (Al- Dukhan: 10-12)

Hikmah Allah Mengadakan Hari Kiamat

1. Agar diberi pengadilan terhadap perbuatan baik atau jahat
2. Manusia menghitung diri sebelum mereka dihitung pada hari akhirat
3. Supaya kehidupan manusia mempunyai matlamat untuk kebahagiaan yang abadi
4. Beriltizam dalam melaksanakan ketaatan
5. Segera bertaubat kepada Allah
6. Melahirkan masyarakat yang beriman dan negara yang berpandukan syariah Islam

Kesimpulan

Secara umumnya, setiap manusia perlulah bersedia dengan iman sekukuh-kukuhnya dalam menghadapi hari kiamat ini. Sejak zaman Rasulullah SAW lagi telah banyak tanda- tanda kiamat yang terjadi. Cuma manusia seringkali menanggap hari kiamat lambat lagi akan terjadi. Hakikatnya kita sendiri tidak memgetahui bila tarikah sebenarnya, hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui. Kemunculan tanda- tanda ini sebenarnya mempunyai sebab tertentu, Allah SWT mahu hambanya sentiasa bersedia dan melengkapkan diri dengan iman agar tidak menyesal di kemudian hari. Ini kerana dugaan semasa hampir tiba hari kiamat amatlah besar, walaupun teguhnya iman seseorang itu mungkin juga akan goyah atau menjadi kafir kalau ilmu tentang tanda- tanda hari kiamat tidak diketahuinya. Justeru itu, kita juga seharusnya perlu mengetahui mengenai hari kiamat agar sedikit sebanyak dapat membantu kita dalam menghadapinya.

No comments: