Thursday, April 16, 2009

Memuja Jin Dan Roh Si Mati

Oleh: Syahrul Hisham Azli Putera Bin Hamzah

SOALAN-SOALAN PENTING

1. Apakah roh orang-orang yang sudah mati dating kepada kita ketika kita tidur?

2. Kalau roh orang yang sudah mati dating kepada kita ketika tidur, apakah mereka diizinkan untuk berbuat demikian, meninggalkan kuburan mereka, sama ada mereka diseksa atau dalam kesenangan di sana?

3. Kalau hal itu tidak benar, lalu apakah rahsia di sebalik mimpi bertemu dgn orang-orang yang sudah meninggal dunia?

4. Benarkah manusia terdiri daripada jasad, nafsu dan roh? Adakah manusia terdiri daripada jasad dan nafsu sahaja atau jasad dan roh sahaja? Dan setelah mati, manakah yang binasa di antara ketiga-tiga unsur ini?

5. Cerita tentang menjelmanya seseorang yang sudah meninggal dunia di beberapa tempat dan dilihat oleh manusia dalam bentuk yang sama, adakah hal ini satu hakikat?

6. Ada orang mengatakan bahawa tidur itu bermakna roh keluar dari jasad, mimpi-mimpi yang kita alami adalah reaksi roh. Apakah maksud pernyataan yang demikian?

Kesemua soalan ini memang memerlukan jawapan yang jelas dan dapat dijadikan pegangan muktamad.

Ramai peneliti telah tergelincir dari landasan kebenaran apabila mereka memasuki perbincangan masalah-masalah yang aneh seperti ini. Lalu mereka tidak ambil berat dan bersikap tidak peduli dengan masalah-masalah seperti ini hingga mereka tidak dapat membuktikannya dengan kaedah ilmiyah.

Maka timbullah kesan tertentu, yakni pelajar yang tidak mengerti dan tidak mempunyai kepandaian dalam hal tersebut terus pula membuat kesimpulan bahawa hal itu adalah usaha yang sia-sia, bahkan mengkajinya boleh merosakkan akidah mereka.

Akidah orang menyembah berhala melarang umatnya melakukan penelitian dan pencarian sebab di sebalik fenomena ala mini, tetapi Islam tidak demikian, malah ia mendorong akal dan menyuruhnya untuk berfikir.

Al-Quran al-Karim telah mengkhitab akal dan menyuruhnya supaya melepaskan diri daripada kekang yang membelenggu kebebasannya. Al-Quran sebaliknya menyuruh akal bergerak sejauh yang mungkin, mengkaji dan merenung fenomena alam supaya mengetahui apa yang tersirat di sebaliknya, supaya ia tidak terjerumus ke dalam kesesatan yang penuh khurafat dan dongeng ini.



RAHSIA TUBUH MANUSIA

Komposisi Tubuh

Jasad manusia terdiri daripada sel-sel yang jumlahnya amat banyak, tetapi ada hubungan antara satu sama lain. Masing-masing sel mempunyai tugas atau kegunaan tertentu, sekali pun unsur kimiawinya ada persamaan di lihat asas dan pokoknya.



Nafsu

Nafsu terdiri daripada beberapa unsur yang bersifat maknawi seperti tabiat atau pembawaan seseorang atau binatang dalam keindividuannya atau kelompoknya.

Nafsu mempunyai berbagai-bagai kecenderungan semula jadi atau sifat yang dibawa sejak lahir, yakni berupa pemikiran, ingatan, lintasan hati dan persepsi yang diwarisi. Di samping itu ia juga mempunyai kecenderungan dan perilaku akal dan jiwa, dorongan untuk berbuat sesuatu yang diperoleh melalui proses belajar dan latihan serta pembiasaan, sama ada dilakukan secara kelompok begitu juga secara perseorangan dari kecil hingga matinya.

Kesemua inilah yang membentuk suatu komposisi nafsu, kemudian menjadi sakhsiah dan keperibadiannya. Inilah yang kita maksudkan dengan unsur-unsur nafsu seperti disebutkan di atas.

Roh

Roh itu adalah unsur dalam susunan tubuh manusia. Roh itu ibarat seorang penyair yang terdiri di hadapan mikrofon, sedangkan jiwa ibarat gelombang yang halus dan bergerak, sementara tubuh ibarat alat yang berbicara (TV atau radio)

Namun begitu boleh kita katakan : Sesungguhnya roh itu adalah factor hidup yang menerangi jiwa sehingga ia dapat merasa, marah, kasih dan bergerak serta bertanggungjawab. Roh itu tidak ubahnya seperti suis elektrik yang mengirimkan kekuatan kepada atom elektrik untuk dapat melaksanakan tugasnya memberi dan mengeluarkan cahaya kepada lampu.

Sekiranya wayar tidak berfungsi dan lampu-lampunya telah habis kekuatannya, maka pengiriman arus elektrik dari suis tidak akan menghasilkan cahaya.

Laluan Syaitan Ke Dalam Hati

Terdapat beberapa laluan syaitan untuk masuk ke dalam hati manusia. Laluan atau pintu yang paling biasa ialah kemarahan, kerana kemarahan ini akan menutup akal. Jika akal sudah tertutup dan lemah, masuklah syaitan itu dengan mudah ke dalam hati seseorang. Apabila ia marah maka syaitan pun mulalah mempermainkannya.

Sifat dengki dan tamak termasuk pintu syaitan. Kedua-dua sifat ini boleh membutakan dan menulikan manusia, yakni syaitan itu menggodanya supaya tamak dan dengki.

Di samping itu ialah kenyang perut. Ini juga termasuk pintu syaitan sekalipun makanan yang halal dan bersih. Kenyang menambah syahwat, sedangkan syahwat adalah senjata syaitan untuk menjerumuskan manusia.

Ada pendapat yang mengatakan, banyak makan melahirkan tujuh sifat yang sangat tercela, iaitu :

1. Hilang kasihnya kepada hamba-hamba Allah.

2. Hilang rasa takutnya kepada Allah.

3. Berat melaksanakan ketaatan.

4. Tidak dapat mengambil manfaat dari kata-kata hikmah.

5. Nasihatnya tidak dapat lekat di hati orang.

6. Menyebabkan pelbagai penyakit.



Satu lagi pintu syaitan ialah sifat suka tergopoh-gapah atau kurang teliti dalam pelbagai masalah. Harus di ingat, setiap kali melakukan pekerjaan, perkara kecil dan besar, haruslah disertai kehadiran hati, perlu renungan dan pertimbangan yang saksama. Bukan dilakukan dan kurang berhati-hati.



8 perkara menyebabkan hati mati dan doa tidak dimakbulkan Allah.

1. Kamu mengenal hak Allah tapi kamu tidak menunaikan hak tersebut.

2. Kamu membaca al-Quran sedangkan kamu tidak mematuhi perintahnya.

3. Kamu mengaku beriman kepada Rasul sedangkan kamu tidak mengamalkan sunnahnya.

4. Kamu mendakwa takut mati sedangkan kamu tidak bersedia untuknya.

5. Kamu mengaku memusuhi syaitan sedangkan kamu menyetujuinya untuk berbuat maksiat.

6. Kamu mengaku takut kepada neraka sedangkan kamu tidak berusaha menjauhinya.

7. Kamu mengaku suka masuk syurga sedangkan kamu tidak bekerja keras untuk mendapatkannya.

8. Kamu bangun dari tempat tidur kamu lalu kamu bentangkan aib-aib kamu (kamu melupakannya), sementara aib orang lain kamu dedahkan. Bagaimana doa kamu akan dimakbulkan Allah?



RAHSIA ALAM JIN

Jin adalah makhluk yang berasal daripada lidah api yang panas. Allah memberikan kekuasaan kepadanya untuk mengubah-ubah rupanya, kerana itu ia dapat hidup seperti kita hidup dan menjelma bersama-sama kita di bumi. Malah, golongan jin boleh bercakap-cakap dengan manusia dan dapat pula turun ke dasar lautan.

Jin berbeza dengan malaikat. Jin ada lelaki dan ada perempuan. Keadaaan jin tidak sama dengan manusia, sekali pun terdapat persamaannya seperti makan, minum, tidur, kahwin dan mati. Sementara malaikat tidak pernah tidur dan tidak mati kecuali pada hari kiamat.

Di tinjau dari segi ketakwaaan, jin sama dengan manusia, yakni ada yang salih dan ada pula yang jahat, ada ulama dan ada pula yang awam sebagaimana pada golongan manusia.

Ramai dari golongan jin bergaul bersama golongan manusia di mana dan di bila sahaja. Malah tidak sedikit dari golongan jin yang turut membantu saudara mereka dari bangsa manusia.

Tidak mustahil golongan jin boleh terpengaruh dengan situasi manusia atau orang yang didampinginya atau orang yang ia hidup bersamanya. Hal ini tidak terkecuali dari segi ketakwaan dan kesalihannya. Agama golongan jin sama dengan agama yang ada pada bangsa manusia, ada yang Islam ada pula yang bukan Islam.

Jin adalah makhluk yang halus sebangsa gas. Makanan, minuman dan pakaian mereka juga daripada jenis gas sesuai dengan sifat kejadian mereka. Tapi meski pun demikian jin itu tidak berupaya memindahkan sesuatu dari satu tempat ke tempat lain.



Jin itu terbahagi kepada tiga, yakni :

1. Seperti ular, kala, binatang bumi dan kuman serta yang lain-lain. Jenis ini memudaratkan, maka manusia wajib membunuhnya apabila menemuinya.

2. Seperti angin di udara.

3. Seperti manusia betul-betul, mereka diberati dengan oleh syarak dan bertanggung jawab pada hari kiamat(akan di hisab)

Jin itu mempunyai kerajaaan dan undang-undang mereka.



RAHSIA SYAITAN TERLAKNAT DAN PENGIKUTNYA

Syaitan ialah roh jahat yang tidak dapat dilihat atau dibuktikan dengan deria kita. Syaitan melihat kita, tapi kita tidak dapat melihatnya. Syaitan adalah pengikut setia dan tentera iblis yang patuh. Syaitan mempunyai tabiat sombong, suka menyakiti dan memudaratkan manusia. Maka syaitan adalah musuh utama manusia sebagaimana halnya ketua mereka, iblis yang terlaknat.

Yang mendorong syaitan memusuhi manusia adalah perasaaan dengki semata-mata. Dia tidak akan memberi peluang apa pun kepada manusia daripada tipu daya dan permusuhan tidak kira di segi keagamaan dan keduniaan.

Para ahli falsafah Eropah memahami hal yang demikian, maka mereka menggunakan perkataan “Devil” padanan bagi perkataaan “syaitan”. Perkataan Devil disusundaripada dua kosa kata, iaitu “do” and “evil” yang dalam bahasa Melayunya bermakna “melakukan” dan “kejahatan”.

Akal fikiran syaitan itu jauh dari kebenaran, kerana dia tidak memahami dan tidak mengerti makna kebenaran. Ini bukan bererti menafikan kepintaran dan kepandaian syaitan itu, tapi hal ini digunakannya hanya untuk berbuat kejahatan.

Syaitan memulai kehidupannya di dunia sejak manusia wujud di bumi, yakni sebaik sahaja berlaku pertelingkahan di antara manusia dan syaitan di syurga.

Beberapa pendapat tentang syaitan

Ada orang yang tidak mempercayai kewujudan jin atau syaitan. Mereka berpendapat bahawa nafsu itulah yang dimaksudkan dengan jin dan syaitan. Ada pula sesetengah orang menta’wilkan masalah yang disebutkan oleh kitab-kitab samawi tentang jin dan syaitan, juga tentang malaikat.

Hasil pena’wilan (penafsiran) mereka melahirkan kesimpulan bahawa yang dimaksudkan dengan malaikat adalah nilai-nilai murni, sementara yang dimaksud dengan jin atau syaitan adalah nilai-nilai yang jahat atau buruk.

Sesungguhnya, mengingkari kewujudan jin sama dengan mengingkari ayat al-Quran. Ayat al-Quran adalah penyataan yang tidak boleh diragukan dan disamarkan, malah tidak boleh menta’wilkan sesuka hati.

Hadis yang menceritakan tentang pertemuan Rasulullah s.a.w dengan jin telah menguatkan ayat al-Quran tentang kewujudan jin. Juga riwayat hidup para sahabat, tabiian dan imam-imam mazhab yang menyokong kenyataan ayat al-Quran tentang kewujudan jin atau syaitan.

Orang yang mengingkari wujudnya jin atau syaitan bererti mengingkari al-Quran, hadis dan penjelasan dari para sahabat, tabiin dan ulama muktabar sebagaimana disebutkan di atas.

KESIMPULAN

Perbuatan-perbuatan syirik (menyekutukan Allah S.W.T) adalah amat tercela dan dimurkai oleh Allah S.W.T. Kepercayaan dan keyakinan kepada kuasa ghaib sememangnya telah lama bertapak di dalam sanubari umat Islam sejak sekian lama, akibat dari kelemahan dan kegoyahan iman mereka. Cinta kepada kehidupan dunia telah menambahkan lagi penyakit syirik ini, hinggalah ke peringkat membunuh sesame manusia demi untuk memenuhi hajat masing-masing dalam pengamalan ilmu-ilmu hitam yang merosakkan akidah umat Islam. Roh dan jin diseru dan dipergunakan di dalam memenuhi misi tertentu mereka yang penuh rahsia. Apa yang nyata, semua perbuatan tercela ini adalah khurafat dan syirik tercela. Rasulullah s.a.w telah bersabda : “jika kami meminta pertolongan, mintalah dari Allah. ” Ini adalah ungkapan keramat yang sekali gus menafikan kekuasaaan makhluk-makhluk.

No comments: