Thursday, April 16, 2009

Perjalanan Hakiki Setiap Insan

Oleh: Amalina Binti Shawaldin

-ABSTRAK-

Setiap makhluk yang bernyawa pasti akan mati. Kematian akan menjemput kita walau dimana kita berada. Manusia sering lalai dan lupa bahawa masih ada penghidupan yang lebih kekal dan abadi selepas kehidupan di dunia ini iaitu Kehidupan Akhirat. Kita perlulah sentiasa mengingatkan diri sendiri agar sentiasa bersedia untuk menghadapi saat-saat kematian yang bakal menjenguk kita pada bila-bila masa. Kita perlulah sentiasa memuhasabah diri dan menyedari akan tugas dan tanggungjawab manusia di dunia ini selaras dengan tuntutan dan syariat allah s.w.t. . Sesungguhnya kehidupan di dunia ini adalah sementara sebagai bekalan untuk kehidupan selepas mati, di akhirat nanti.


-PENDAHULUAN-

Buku Perjalanan Hakiki Setiap Insan mengajak dan menyeru manusia agar memuhasabah diri dan menyedari akan tugas dan tanggungjawab manusia di dunia ini selaras dengan tuntutan dan syariat Allah s.w.t. Buku ini juga banyak mengingatkan kita agar sentiasa bersedia untuk menghadapi saat-saat kematian yang bakal menjenguk kita pada bila-bila masa. Buku ini juga bermanfaat kepada seluruh Muslimin dan Muslimat agar sentiasa insaf dan berhati-hati dalam menjalani kehidupan ini.

-MATI, SUATU PERINGATAN YANG BERHARGA-

Rasulullah s.aw. mengakui bahawa umat manusia masih mempunyai banyak kelemahan, yang paling ketara ialah tidak sepi daripada sifat lalai dan lupa. Oleh itu manusia sangat memerlukan bimbingan dan peringatan. Kerana itulah allah s.w.t mengutuskan para rasul a.s. bagi menerima wahyu, kerana wahyu itulah yang diperlukan oleh manusia sebagai petunjuk dan peringatan bagi membantu mengatasi kelemahan sifat-sifat manusia itu.

Kelazatan dunia merupakan penyumbang terbesar kepada sifat lalai manusia. Lalai daripada solat juga berpunca daripada kelazatan dunia. Manusia yang diulit dengan kelazatan dunia pasti tiak ingin didatangi maut, kerana baginya maut adalah noktah kepada kesenangan yang dicapai di dunia ini. Padahal kematian ialah suatu permulaan kepada kehidupan yang lebih kekal dan abadi.

Menyedari hakikat bahawa kehidupan selepas mati ibarat suatu perjalanan yang jauh dan memakan masa yang lama, maka sudah pasti insan memerlukan persiapan yang mencukupi dan sempurna. Orang yang lalai tidak pernah memikirkan persiapan menghadapi mati. Sebelum mati itu datang, apakah persiapan yang akan dibuat? Justeru mati itu adalah suatu peringatan yang berguna kepada manusia.

-ORANG YANG BIJAK MENGINGATI MATI-

Tidak seorang pun mahu digolongkan dalam golongan yang jahil. Ada yang mengukur kebijaksaan seseorang berdasarkan ijazah yang dimiliki tapi tidak bererti orang yang tiada ijazah itu tidak bijak. Kerana jika diukur dari kaca mata islam yang sebenarnya orang yang beriman itu lebih bijak dari orang yang tidak beriman.

Orang yang beriman itu dianggap bijak oleh islam kerana mereka lebih mengetahui tentang allah s.w.t. , mengetahui rahsia disebalik alam barzakh dengan segala peristiwa mahsyar, as-syur(tiupan sangkakala), al-mizan, as-sirat, syurga dan neraka.Orang yang tidak beriman pula melihat kematian itu seolah-olah sebagai noktah bagi setiap kehidupan kerana mereka tidak yakin adanya kehidupan selepas mati.

Orang yang banyak mengingati mati bererti akan sentiasa mengawasi diri daripada melakukan dosa kerana dosa akan membawa akibat buruk di alam barzakh dan lebih-lebih lagi di akhirat. Rasulullah s.a.w. berfirman bahawa orang yang paling cerdik ialah orang yang banyak mengingati mati dan banyak berbuat persiapan untuk menghadapi mati.


-KRITERIA KEMATIAN-

Dalam islam ada dua jenis kriteria kematian iaitu su’ul khatimah dan husnul khatimah. Manusia yang mati dalam su’ul khatimah ialah mereka yang pada akhir hayatnya mati tanpa iman. Ia mati dalam keadaan kufur, munafiq, musyrik, murtad, fasiq dan sebagainya. Walaupun dahulunya ia termasuk orang yang beriman dan rajin beribadat, namun pada saat akhir kehidupannya, kerana kalah dengan godaan dan rayuan iblis laknatullah, dia menutup usianya dengan kejahatan.

Manakala orang yang mati dalam keadaan husnul khatimah adalah orang yang mati dalam keadaan baik dan beriman. Walau bagaimanapun bukan sembarangan orang boleh memperolehnya. Maka adalah penting untuk sentiasa meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada allah s.w.t. serta memperbanyakkan ibadat dan amal soleh selagi hayat dikandung badan.

Dalam satu hadis, rasulullah s.a.w. dengan tegas sekali meriwayatkan, bahawa sesiapa yang pada akhir hayatnya dapat mengucapkan kalimah “LAA ILAHA ILALLAH” dijamin masuk syurga. Namun bukan sembarang orang boleh mengucapkannya melainkan orang yang benar-benar dikehendaki oleh allah s.w.t. kerana tebalnya iman dan banyaknya amal soleh yang telah dikerjakan selama hayatnya.

-SAKARATUL MAUT-

Sakaratul maut itu bererti waktu seseorang manusia itu telah mendekati kematiannya. Ketika itu Malaikat Isra’il sudah mulai mencabut rohnya. Bagi seorang mu’min keluarnya roh itu adalah sangat perlahan, tetapi bagi orang kafir atau munafiq, roh itu akan ditarik dengan keras sekali tanpa menenal belas dan kasihan.

Adapun rasa berat dan ngeri serta sakitnya pencabutan nyawa (roh) dari tubuh disaat sakaratulmaut itu dapat digambarkan kira-kira 300 kali sakitnya pukulan dengan pedang. Oleh itu, walaupun roh itu ditarik dengan perlahan, masih akan terasa sangat sakit sekali. Apatah lagi yang ditarik dengan kekerasan, maka alangkah sakit dan ngerinya ketka keluarnya roh dari tubuh itu.

Al-faqih mengatakan: “sesiapa menghendaki selamat dari seksa kubur, maka baginya mengamalkan empat perkara dan menjauhi empat perkara pula. Empat perkara yang perlu diamalkan adalah menjaga solat, bersedekah, membaca al-quran, dan membaca tasbih. Maka empat perkara itu dapat menerangi dan memperluaskan kuburnya. Ada pun empat perkara yang perlu dijauhi ialah berdusta, khianat, bergumam dan kencing pada badan.”


Diriwayatkan daripada nabi s.a.w.: “Empat kelompok manusia yang akan ditempatkan oleh allah s.w.t. di atas mimbar-mimbar dari nur pada hari kiamat dan akan digolongkan dalam golongan mereka yang mendapat rahmat-Nya. Baginda ditanya: Siapakah mereka itu ya rasulullah? Rasulullah bersabda: Mereka ialah:

1. Orang yang mengenyangkan orang lapar
2. Orang yang menyiapkan dirinya untuk berperang di jalan allah
3. Orang yang memberi pertolongan kepada orang yang lemah
4. Orang yang memberi pertolongan kepada orang yang dianiaya.

Sebagaimana diriwayatkan dari nabi s.a.w. “Sesiapa yang melihat orang yang teraniaya dan memerlukan pertolongan tetapi ia tidak mahu menolongnya, maka di dalam kuburnya nanti akan dipukul seratus kali pukulan cemeti dari neraka.”. Maka jelaslah dalam hadith ini bahawa menolong orang yang teraniaya itu adalah wajib.


-Kisah Amru bin Al-‘As ketika menghadapi sakaratul maut-

Seorang sahabat nabi bernama Amru bin Al-‘As pernah berkata bahawa dia berhasrat mencari orang yang dapat menceritakan pengalamannya saat menghadapi kematian. Pada ketika beliau sedang menghampiri saat kematiannya, anak perempuannya menghampiri dan meminta agar beliau menceritakannya supaya dapat dijadikan pengajaran.

Lalu Amru bin Al-‘As berkata: “Sesungguhnya di saat hampir kematianku, terasa olehku seolah-olah aku terbaring di atas sekeping kayu yang keras, dan aku dapati nafasku yang keluar masuk itu terlalu sukar, seolah-olah nafas itu keluar dari lubang jarum yang sempit. Serta aku merasai kesakitan bagaikan terdapat ranting berduri di dalam tubuhku, dimana ranting berduri itu ditarik dari kaki hingga ke kepala berulang-ulang kali.”

Kemudian Amru bin Al-‘As sempat memberitahu anaknya: “Malaikat yang bertugas mencabut nyawa itu tapak kakinya berada di bumi tetapi kepala berada di langit, ketinggiannya tidak dapat diukur, sebaliknya setinggi mana langit maka setingi itulah Malaikat Maut.”


Oleh sebab itulah Malaikat Maut melihat dunia hanya sebesar nyiru dan dapat meneliti setiap penghuninya dengan mudah. Selain itu Malaikat Maut sentiasa menjenguk manusia sebanyak 360 kali dalam sehari, sehingga Malaikat Maut itu sangat arif dan mengenali setiap insan.

Sayangnya manusia tidak menyedari bahawa wajahnya sentiasa diintai oleh Malaikat Maut sebanyak 360 kali sehari bererti hampir setiap 3 minit Malaikat Maut menjengah wajah setiap penghuni dunia ini. Masing-masing menunggu giliran untuk menemui kematian. Mati yang sering dilupakan, padahal akan datang menjemput kita pada bila-bila masa.

-KEWAJIPAN KELUARGA SI MATI-
Pihak keluarga si mati hendaklah mengambil berat tentang si mati seperti membacakan doa, beristighfar(memohonkan keampunan), dan mendoakan keteguhan iman si mati ketika ditanya oleh dua malaikat di dalam kubur, iaitu Malaikat Mungkar dan Nakir.

Seterusnya adalah tidak baik bagi para keluarga yang ditinggalkan si mati itu menghadapi kematiannya dengan teriakan dan jeritan tangis serta ratapan yang disertai dengan memukul-mukul pipi dan merobek-robek baju, dan bersenang-senang dengan makanan. Sebab hal itu akan menunjukkan betapa lemahnya iman dan suntuknya akal fikiran.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hafidh Abu Nu’aim mengatakan:
“Tujuh golongan manusia yang mana Allah s.w.t. mengalirkan pahala setelah matinya walaupun berada di dalam kubur adalah orang yang mengajarkan ilmu, atau mengalirkan sungai, atau menggali sumur, atau menanam kurma, atau membangunkan masjid, atau mewarisi mushaf, atau meninggalkan seorang anak yang memohonkan keampunan baginya setelah mati.”

Maka jelaslah di sini bahawa adalah menjadi kewajipan anak kepada si mati atau warisnya untuk sentiasa memohon keampunan, berdoa, dan memohon kesejahteraan si mati dan supaya terlepas daripada azab siksaan kubur.
9
-KEJADIAN IBLIS DAN SYAITAN-

Iblis dan syaitan itu ialah makhluk halus yang Allah s.w.t. ciptakan daripada api. Ia sentiasa mengajak kepada kejahatan. Iblis dan syaitan ialah makhluk halus yang sama seperti roh, yang selalu mengajak ke jalan yang sesat dan kebinasaan. Dalam firman Allah s.w.t. ,surah Al-Baqarah, ayat 168 ada mengatakan kita dilarang mengikuti langkah-langkah syaitan, dan dinyatakan pula bahawa syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi manusia. Hal ini tiada lain kerana syaitan itu sentiasa mengajak kepada perbuatan keji dan jahat, sebagaimana sifat, tabiat dan pekerjaan iblis dan syaitan itu diciptakan.

Golongan iblis dan syaitan ini juga mempunyai keturunan, anak cucu dan sebagainya sama seperti manusia. Tetapi golongan iblis ini, iaitu nenek moyang seluruh syaitan itu akan tetap hidup sampai hari kiamat. Ia sendiri dahulu pernah meminta kepada Allah s.w.t. agar dibiarkan hidup sampai hari kiamat, dan permintaan itu dikabulkan.

Oleh itu, kita sebagai manusia diperintahkan untuk sentiasa memohon perlindungan ke hadrat Allah s.w.t. dari segala macam rayuan dan pujukan syaitan yang sangat berbahaya. Lebih-lebih lagi iblis dan syaitan itu sentiasa mengajak manusia supaya menjadi penduduk “Sa’ir” (neraka).


-CARA SYAITAN MENYESATKAN IMAN ORANG YANG MENGHADAPI SAKARATUL MAUT-

Dalam Al-Quran kita benar-benar diseru agar bersungguh-sungguh dalam menghayati islamsupaya tidak terpedaya dengan tipu daya dan pujuk rayu syaitan. Ia merupakan makhluk halus yang kreatif dalam mengajak manusia menjadi kufur dan melepaskan iman. Lebih-lebih lagi godaan ketika manusia akan menghembuskan nafasnya yang terakhir iaitu disaat manusia itu sedang menghadapi sakaratul maut.

Cara syaitan merosakkan iman seseorang yang akan mati adalah dengan datang kepada si penderita dan menyamar menyerupai seperti orang yang sangat dicintai atau disayangi oleh si penderita yang telah meninggal dunia terlebih dahulu seperti ayah, ibu, kakak, abang, adik, suami, isteri atau sesiapa sahaja yang dicintainya. Dalam keadaan menyamar itu, mereka akan duduk di sebelah kiri atau kanannya samil mengusap-usap dan mengelus-elus lantas berkata dengan pujuk rayu yang menawan hati : “Mungkin engkau akan mati sebentar lagi, kami telah mengalaminya terlebih dahulu, dan kami merasa mati sebagai Yahuni atau Nasrani itu adalah lebih baik. Oleh kerana itu baiklah engkau mati dalam keadaan Yahuni atau Nasrani sahaja. Caranya beini sahaja dan tidak susah….”

Dan begitulah seterusnya syaitan berusaha dengan segala macam taktik untuk menyesatkan orang yang akan mati agar ia mati dalam keadaan sesat, kafir, musyrik iaitu mati dalam keadaam “su’ul khatimah” (jelek penghabisannya).

Jika adanya hal seperti itu, maka adalah sangat dikhuatirkan sekali dan menjadi ketakutan yang sangat besar. Oleh kerana itu hendaklah kamu menangis dan bertahajjud serta bangun malam untuk memperbanyak ruku’ dan sujud melakukan solat, sehingga kamu selamat dari azab Allah s.w.t.

-HIKMAH DICIPTAKAN IBLIS DAN SYAITAN-

Mengapa Allah s.w.t. menciptakan iblis sebagai makhluk yang berjaya menggoda manusia, membisikkan segala kejahatan, mengajak, melawan, menentang dan memerangi Allah s.w.t. serta ajarannya? Untuk menjawab pertanyaan itu , sebahagian ulama ada memberikan jawapan:

Sudah nyata dan jelas bahawa Allah s.w.t. itu maha berkuasa menjadikan penentang atau lawan kepada apa-apa yang diciptakannya. Maka dari itu Allah s.w.t. sengaja menciptakan makhluk yang merupakan seburuk-buruk makhluk-Nya itu dan yang menjadi pokok pangkal segala kejahatan, sebagai tandingan kepada penciptaan Jibril(malaikat) yang dianggap sebagai semulia-mulia makhluk yang juga merupakan sumber segala kebaikan.

Hal yang demikian, tidak ubah seperti penciptaansiang dan malam, penyakit dan ubat, hidup dan mati, baik dan buruk, mulia dan hina, dan lain-lain lagi. Kesemuanya adalah petanda kepada kesempurnaan Allah s.w.t. dan kemuliaan-Nya. Allah s.w.t telah menjadikan sesuatu itu dengan lawannya sekali, yang satu ditentang dan satu lagi dijadikan sebagai jalan dalam mengatur dan menyusun alam semesta ini.

Jika alam ini sunyi atau tidak ada sama sekali lawan atau cabaran secara keseluruhan, maka pasti tidak akan terlaksana hikah kebijaksanaan Allah s.w.t. dalam mengatur alam ini dan lenyap pula erti kesempurnaan dalam pemikiran dan penyusunan-Nya.

Antara hikmah lain diciptakan iblis ialah terlaksananya pelbagai macam ketaatan. Sekiranya tidak ada iblis dan syaitan pasti ketaatan-ketaatan itu tidak akan wujud. Ingatlah perihal Jihad, iaitu berjuang dan berperang untuk membela agama Allah s.w.t. yang suci. Sebenarnya masih banyak lagi hikmah kewujudan iblis dan syaitan yang tidak dapat dicapai oleh akal fikiran manusia itu sendiri.

-KESIMPULAN-

Oleh itu, setelah kita tahu betapa buruknya sifat dan tabiat iblis dan syaitan, maka yang lebih penting bagi kita adalah berwaspada dan berhati-hati terhadap serangan dan godaan iblis dan syaitan. Dengan jalan bertaubat dan kembali menyerahkan diri kepada Allah s.w.t. , maka pihak kebaikan dapat mengalahkan pihak kejahatan dan sudah pastilah manusia itu telah mendapat petunjuk daripada Allah s.w.t. Setelah manusia itu benar-benar mendapat petunjuk daripada Allah s.w.t. maka ia berhak menjadi orang yang terpilih dan dikasihi oleh-Nya. Jika seseorang itu telah mencapai tingkat mu’min yang sempurna, maka sulitlah bagi syaitan untuk memerintah, menggoda dan merayunya. Maka dari itu sudah menjadi kewajipan manusia yang paling utama supaya sentiasa berhati-hati agar tidak mudah terpengaruh dengan tipuan, rayuan, pujukan dan godaan syaitan yang dilaknat itu.

No comments: