Friday, April 17, 2009

Kehidupan Muslim Sejati

Oleh: Siti Mariam Binti Ahmad

PENDAHULUAN
Syukur ke hadrat Ilahi kerana akhirnya dapat juga saya menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh ustaz ini. Tajuk esei yang dipilih ialah Kehidupan Muslim sejati. Ia menjelaskan adab-adab kehidupan muslim yang sebenar yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan harian muslim. Adab-adab dalam kehidupan muslim sesuai untuk dipraktikkan memandangkan keadaan dan gaya hidup muslim sekarang yang masih tercari-cari cara hidup dan keperibadian yang unggul. Dengan budaya-budaya barat yang melimpah masuk dengan bebasnya ke Negara tidak hairanlah budaya barat lebih mendapat tempat di hati masyarakat. Adab dan kesopanan muslimtelah diturunkan dengan lengkapnya melalui Al-Quran dan peribadi Rasullulah dimana Rasullulah telah diutuskan untuk memperbaiki akhlak umat islam. Setelah memahami bahawa umat islam sedia mempunyai ketetapan dari Allah tentang akhlak dan peribadi yang dituntut yang dapat menjamin kebaikan dan kesejahteraan dunia dan akhirat. Di harapkan umat islam di Negara ini tidak lagi tercari-cari atau terikut-ikut budaya sekular dan mungkar kerana Rasullulah tekah bersabda, “ Barangsiapa yang mengikut satu kaum, nescaya akan dibangkitkan ia bersama-sama kaum itu di akhirat kelak. Justeru itu, sama-samalah kita berusaha untuk mempraktikkan cara hidup yang telah dianjurkan oleh Allah dan RasulNya semoga kita terhindar dari tipu daya Syaitan dan taghut.

PENGENALAN KEPADA ADAB MUSLIM SEJATI

Perkataan adab berasal daripada bahasa arab yang membawa maksud adat. Ia bermaksud kebiasaan, budi bahasa, peraturan, pergaulan dan kelakuan yang menjadi contoh akhlak yang baik. Manakala dari sudut social pula adab bererti bertamadun. Dalam konsep islam adab adalah berlainan dari adab- adab lain. Ia terjadi melalui perancangan dan ajaran yang teliti melalui dua sumber utama umat islam iaitu kitab Al-Quran dan Sunnah Rasul yang merangkumi perkataan serta perbuatan Rasullulah. Al-Quran dan Sunnah telah menggariskan peraturan mengenai adab kehidupan manusia. Antara adab- adab yang telah digariskan dalam islam ialah tidak bersikap keras sebaliknya mengambil tahu keadaan yang dihadapi oleh manusia di samping mengetahui keperluan dan kepentingannya kepada manusia.

KRITERIA PERADABAN ISLAM: KESYUMULAN DAN KESOPANAN
Peradaban islam merupakan satu undang- undang yang lengkap merangkumi semua aspek kehidupan manusia. Dalam konteks kesyumulan dan kesopanan islam ia memggambarkan muslim yang berkeperibadian yang tinggi dan teguh imannya akan sentiasa berusaha untuk melaksanakan perintah Allah dari segi politik, social, moral, undang-undang dab ekonomi. Etika peradaban islam adalah untuk mendekatkan umat islam kepada Allah dalam setiap perbuatan samaada ibadah khusus ataupun umum seperti menuntut ilmu dan sebagainya. Sebaliknya, islam menganjurkan kesederhanaan dan keikhlasan dalam setiap perlakuan samaada dalam urusan dunia mahupun akhirat dan melarang keras sikap berlebihan- lebihan, kekerasan, paksaan, berpura- pura, angkuh, sombong, riak dan taksub. Justeru itu, peradaban islam bukan hanya menekankan umat islam tetapi yang utama ialah perlakuan itu suatu yang benar dan baik. Kedua- dua iman dan ibadah adalah penting untuk menjamin keselamatan dunia dan akhirat.

ADAB DALAM PERGAULAN MUSLIM
Matlamat utama peradaban muslim ialah menjalinkan hubungan dan mengukuhkan ukhuwah sesame muslim sejati. Sifat atau nilai- nilai yang baik akan menanamkan kepercayaan sesama muslim dan seterusnya akan mengekalkan hubungan yang harmoni. Di dalam islam, seorang muslim tidak hanya wajib menjauhkan diri dari menyakiti orang lain dan menyukai bagi bagi orang lain apa yang disukainya, tetapi ia mestilah bertanggungjawab ke atas saudaranya dan menghulurkan bantuan apabila diperlukan. Dengan ini, muslim akan lebih senang untuk saling bertemu dan ziarah - menziarahi tanpa terikat kepadaadab - adab yang ketat. Namun begitu, pergaulan tidak seharusnya mengandungi unsure- unsure mementingkan diri atau mengandungi apa-apa maksud yang tersembunyi tetapi ia hendaklah ikhlas kerana Allah. Islam juga menggalakkan pergaulan secara beramai- ramai dan ini adalah satu faktor mengapa islam mewajibkan sembahyang berjemaah di masjid setiap hari jumaat dan sembahyang sunat hari raya kerana di sinilah umat islam akan berkumpul dan saling berkenalan sesama mereka.

ADAB ISLAM DARI SUDUT PSIKOLOGI
Satu daripada ciri peradaban islam yang menyerlah ialah mengambil kira aspek psikologi seseorang seperti talak tidak seharusnya dijatuhkan ketika isteri sedang haid kerana ia sedang mengalami tekanan perasaan. Selain itu, menjaga kebersihan, bersuci akan menyegarkan badan dan fikiran dengan berwuduk sebelum mengerjakan sembahyang, mandi setelah berjimak, melahirkan anak dan haid. Mereka yang memandikan jenazah juga disunatkan mandi kerana mereka akan merasa segar serta dapat menenangkan fikiran dari apa yang mereka alami sebelumnya.

ADAB ISLAM DARI SEGI PERUBATAN DAN KEBERSIHAN
Islam mengajar umatnya supaya sentiasa menjaga kebersihan diri, tubuh badan, pakaian, tempat tinggal dan kawasan sekitar untuk menjauhkan penyakit serta dapat menjaga hati supaya lebih tenang apabila berada dalam suasana yang bersih. Contohnya, islam menyuruh umatnya memotong kuku kerana kotoran mudah berkumpul pada kuku yang panjang dan ini tidak baik apabila kita sentiasa menggunakan tangan untuk memasak, makan, minum, dan berjabat tangan dengan orang lain. Selain itu, menyembelih binatang seperti yang disuruh islam boleh menjamin umat islam mendapat daging yang bersih dari darah kerana darah adalah agen yang baik untuk pembiakan kuman yang menyebabkan pelbagai jenis penyakit. Malahan, umat islam juga disuruh supaya tidak bernafas ke dalam gelas ketika sedang minum sebaliknya berhenti dan bernafas di luar gelas ini kerana karbon dioksida lebih banyak di dalam udara yang dihembus dari udara yang disedut dan kadar karbon dioksida yang tinggi di dalam badan akan menganggu fungsi otak. Di samping itu, islam turut mengharamkan minuman alkohol kerana ia akan mendatangkan kesan yang buruk dari segi kesihtan, moral dan mental. Dari segi moral orang yang mabuk akan hilang akalnya dan boleh bertindak di luar perikemanusiaan manakala dari segi kesihatan pula ia boleh menyebabkan penyakit hati dan limpa.

ADAB ISLAM DALAM EKONOMI
Peradaban islam juga menitik beratkan penjagaan ekonomi Negara yang sihat dan melarang sikap bermewah- mewahan dan membazir sebaliknya menyuruh umatnya berjimat- cermat kerana wang ialah alat yang penting untuk kemajuan sesuatu Negara baik di masa aman ataupun perang. Wang adalah alat yang boleh menyelamatkan ssuatu bangsa jika digunakan dengan cara yang betul kerana dengan wang sesuatu bangsa itu boleh membeli alat-alat yang canggih untuk memajukan negaranya. Justeru itu, umat islam walaupun kaya mereka tidak seharusnya membelanjakan wang sesuka hati mereka kerana ini akan menimbulkan kesan kepada ekonomi Negara. Bersederhana dalam amalan makam dan minum adalah disuruh dan dilarang membazir makanan walaupun sedikit. Larangan membuang makanan dan membazir akan menjimatkan banyak kewangan Negara serta boleh disalurkan kepelaburan yang menguntungkan. Seterusnya, bersederhana dalam berpakaian turut dituntut dalam islam ini kerana pakaian bukanlah matlamat tetapi hanya sebagai alat untuk menutup aurat dan dengan itu umat islam tidak seharusnya membazirkan wang dengan berbelanja besar membeli pakaian. Sesungguhnya membazir dan berlebih- lebihan dalam berbelanja adalah haram dan merupakan amalan syaitan oleh yang demikian umat islam haruslah mengelaknya daripada berlaku.

ADAB ISLAM MENGENAI DISIPLIN
Islam telah mengajar umatnya supaya mengawal perasaannya dan menggunakan akal fikiran yang telah dikurniakan oleh Allah kepada manusia untuk membezakan manusia dengan binatang. Islam juga mengajar umatnya agar sentiasa bersabar, berpuas hati, bersyukur, berdikari dan tidak meminta tolong kecuali atas perkara yang memerlukan pertolongan. Satu dari sifat mulia di dalam islam ialah mengawal perasaan marah dan tidak bertindak mengikut kemarahannya serta Rasullulah telah bersabda seorang yang kuat ialah seorang yang dapat mengawal dirinya apabila marah. Selain itu, menepati waktu dan mendisiplinkan diri adalah sifat yang patut ada dalam diri setiap orang umat islam dan ini diajar melalui waktu sembahyang lima waktu dan berpuasa di bulan Ramadhan. Antara kesan positif dari mendisiplinkan diri ialah kesederhanaan dan memggunakan waktu dengan bijak. Sikap bersederhana dalam diri umat islam tidak menimbulkan kesan negative samaada dalam makanan, pakaian, mahupun ibadah dan sebagainya. Malahan umat islam yang hidup dengan mengamalkan kesederhanaan akan dapat menolong orang lain yang dalam kesusahan di samping dapat beribadah dengan tenang kepada Allah. Waktu merupakan pengukur kebijaksanaan manusia dalam mengendalikan hidupnya dan inilah antara punca mengapa manusia akan ditanya di akhirat kelak iaitu bagaimana mereka menghabiskan masa hidupnya. Beruntunglah kepada mereka yang menggunakan waktunya dengan bijak iaitu menghabiskan hidupnya dengan membuat kerja- kerja kebaikan di sisi Allah. Contoh aspek kehidupan yang boleh dijadikan tauladan ialah berkumpul untuk berbual-bual kosong adalah dilarang dalam islam walaupun bergaul dan bertemu digalakkan tetapi hendaklah dipenuhi dengan perkara yang bermanfaat seperti menuntut ilmu.

ADAB ISLAM DALAM MENGEKALKAN PERPADUAN DAN BUDAYA
Salah satu kejayaan islam ialah berjaya menyatupadukan umat islam yang terdiri daripada berbagai keturunan, bercakap berlainan bahasa dan tinggal di berbagai Negara. Peradaban islam yang diambil dari Al-Quran dan Sunnah berperanan dalam menyatupadukan umat islam di serata pelusok dunia. Contohnya, umat islam dari Maghribi yang dating ke Pakistan tidak akan merasa kekok dengan budaya di sana dan juga tidak terasa tersisih. Begitu juga dengan wanita muslim dari Mesir tidak akan merasa terkejut atau gerun melihat pakaian wanita Malaysia dan apabila muslim dari Indonesia dating ke Arab Saudi mereka akan tahu bila dan bagaimana menyambut Idil Fitri serta Idil Adha tanpa perlu memerhati dahulu. Walaupun amalan dan budaya tempatan berbeza di setiap Negara tetapi cara sembahyang, memberi salam, perayaan, peraturan pemakanan adalah tetap sama bagi semua umat islam. Perbezaan budaya dalam pakaian seperti wanita India memakai saru dan wanita islam memakai baju kurung adalah penting kerana ia melambangkan identiti di mana kita diciptakan oleh Allah berbangsa-bangsa agar kita belajar dari satu sama lain tetapi yang lebih penting perbezaan itu masih tidak lari dari ajaran islam yang sebenar. Peradaban islam juga melarang umatnya mengikut atau meniru gaya orang kafir dari segi percakapan, cara menyambut perayaan dan sebagainya kerana umat islam haruslah membezakan diri dan amalan mereka.

ADAB ISLAM MENGENAI TARAF WANITA
Islam telah mengiktiraf wanita setaraf dengan lelaki dari kejadian yang sama iaitu dari tanah dan akan diberi balasan yang sama dengan lelaki atas segala amalan baik atau jahat. Undang- undang islam berlaku adil terhadap wanita dan lelaki di mana wanita boleh memiliki harta dan menguruskan hartanya, wanita boleh meminjamkan, memajakkan dan melakukan apa sahaja pekerjaan yang dilakukan lelaki. Walaupun tempat utama wanita ialah di rumah namun ini tidak bererti wanita harus menganggap rumah sebagai penjara kerana mereka boleh keluar dan menjalankan urusan seperti perniagaan, mengajar dan sebagainya selagi mereka menjaga batas- batas pergaulan dan adab-adab wanita islam. Dari hukuman pula tidak ada perbezaan antara lelaki dan wanita yang melakukan kesalahan kerana kedua-duanya dikurniakan akal dan kebebasan untuk belajar. Wanita juga mempunyai hak untuk bersuara dan mengundi bagi dirinya serta mereka berhak menentukan siapa suaminya dan boleh menolak lamaran lelaki yang tidak disukai mereka. Antara contoh yang membuktikan wanita setaraf dengan lelaki ialah berita tentang kelahiran anak perempuan hendaklah disambut sebagaimana kelahiran anak lelaki dan islam melarang mengucapkan tahniah di atas kelahiran anak lelaki tetapi sebaliknya ke atas keahiran anak perempuan. Islam menekankan supaya layanan istimewa hendaklah diberikan kepada anak perempuan agar mereka menjadi anak yang solehah apabila dewasa kelak. Selain itu, Rasullulah turut menyuruh lelaki melayani wanita dengan hormat dan lemah lembut serta tidak memandang rendah kepada mereka dan lelaki yang paling baik adalah lelaki yang paling baik terhadap wanita. Malahan peranan wanita sebagai ibu amatlah disanjung tinggi sehinggakan Rasullulah mengatakan syurga berada di bawah telapak kaki ibu dan ibu berhak mendapat layanan baik dari anaknya melebihi ayahnya.

ADAB ISLAM DALAM PERKAHWINAN DAN KEHIDUPAN BERKELUARGA
Institusi keluarga adalah tempat di mana anak-anak yang menjadi asas masyarakat akan dididik dari segi moral dan nilai-nilai murni ini tidak boleh hidup tanpa intitusi keluarga. Hubungan keluarga antara lelaki dan perempuan akan menentukan samada masyarakat itu suatu masyarakat yang bertamadun atau mundur. Perkahwinan dan institusi keluarga amat penting, banyak ayat al-quran dan juga sabda Rasullulah mengenai perkara ini antaranya ialah muslim disunatkan berkahwin awal kerana perkahwinan akan menambah bilangan saudara antara kedua belah pihak. Selain itu, islam menitikberatkan kejayaan sesuatu perkahwinan yang dibina dan perkahwinan tidak boleh berjaya jika syarat-syarat perkhwinan tidak diikuti. Seterusnya ialah hubungan anak dengan orang tua juga mempunyai kedudukan yang penting dalam islam. Rasullulah telah bersabda syurga terletak dibawah tapak kaki ibu dan jika sopan santun terhadap orang lain adalah sunat sebaliknya ia adalah wajib terhadap ibubapa. Malahan perasaan persaudaraan, kasih sayang dan tanggungjawab tidak hanya terhad kepada ibubapa tetapi juga kepada saudara mara yang lain. Maka umat islam bertanggungjawab menziarahi saudaranya agar mereka tidak rasa dilupakan dan umat islam turut mempunyai tanggungjawab membantu saudaranya yang miskin dari segi kewangan jika mampu. Membenarkan anak disusui oleh orang lain yang bukan ibunya adalah salah satu cara memperbanyakkan saudara iaitu saudara sesusuan. Tanggungjawab dan kasih sayang keluarga amat ditekankan dalam islam kerana keluarga adalah asas masyarakat dan jika sihat dan aman keluarga maka masyarakat sentiasa sihat serta aman harmoni.

ADAB ISLAM DALAM HAL-HAL AGAMA
Sebagai seorang muslim kita hendaklah sentiasa berpegang teguh kepada adab-adab dan peraturan islam kerana ini akan menjauhkan umat islam dari mendekati perkara bidaah ataupun bidaah yang tergolong dalam ibadah yang baru dicipta mahupun tokok tambah kepada sunnah Rasullulah. Rasullulah pernah bersabda sesiapa yang mengada- adakan ibadah lain dari yang diajarkan maka itu adalah bidaah dan ditolak. Kesan bidaah di dalam kehidupan islam sangat besar kerana ia boleh menukar islam dari agama yamg mudah kepada agama yang sukar sehingga akhirnya tidak ada yang berminat untuk mengamalkannya. Didaah tidak seharusnya dikelirukan dengan ijtihad yang menggunakan pendapat individu untuk mentafsirkan Al- Quran dan Sunnah yang selaras dengan prinsip asas islam dan hanya boleh dilakukan oleh ulama muktabar. Antara beberapa bidaah yang telah menular dalam masyarakat islam kini ialah sambutan Maulud Nabi di mana perarakan beramai-ramai diadakan seharusnya ia perlulah diisi dengan majlis ilmu seperti mengadakan ceramah atau seminar agar umat islam lebih menghayati perjuangan Rasullulah dan berusaha mengikutnya. Selain itu, membaca Al-Quran dan berzikir kepada Allah dengan kuat ketika acara pengebumian serta amalan menghiasi kubur bukanlah cara islam.

SIKAP ISLAM TENTANG ADAB DAN ADAT BUKAN MUSLIM
Sikap bertolak ansur oleh islam terhadap bukan muslim yang tinggal dalam Negara islam merangkumi kebebasan bukan muslim untuk mengamalkan kepercayaan dan cara hidup mereka tanpa gangguan dan jika mereka ingin memeluk islam ia hanya boleh dilakukan atas pilihan serta keyakinan mereka sendiri. Nyawa, harta dan maruah bukan islam adalah dilindungi di samping mereka diberi kebebasan untuk mengamalkan cara hidup mereka dan mengadili serta menghukum mengikut undang-undang agama mereka sendiri seperti yang diterangkan dalam hak-hak bukan muslim di negara islam. Sikap islam yang tidak memaksa bukan muslim untuk mematuhi hukumnya tetapi membiarkan mereka bebas mengamalkan ajaran mereka mengekalkan keamanan masyarakat dan tidak ada persengketaan antara penganut agama yang berlainan dalam negara islam. Terdapat beberapa batas-batas dalam pergaulan muslim dengan bukan muslim dan batasan ini hendaklah difahami oleh kedua-dua pihak seperti dalam sambutan perayaan. Walaupun islam memberi kebebasan untuk bukan muslim merayakannya tetapi muslim dilarang untuk turut bersama-sama merayakannya kerana ia samalah muslim mengiktiraf agama mereka yang berlawanan dengan islam yang menganggap agama yang benar dan diiktiraf hanyalah agama Allah. Menghormati hak dan kebebasan mereka serta tidak mencaci kepercayaan mereka tidak bererti muslim harus bersama-sama dalam mempraktikkan budaya dan adat istiadat tanpa membezakan diri dari bukan muslim.

PERATURAN ASAS TENTANG ADAB- ADAB ISLAM
Tegasnya adab dan peraturan islam menghiasi hidup muslim dari terbit fajar sehinggalah ketika ia menyelesaikan harinya apabila masuk tidur setelah sembahyang isyak. Secara kasarnya perlakuan muslim terbahagi kepada lima bahagian iaitu yang halal atau dibolehkan, sunat, makruh tidak digalakkan atau dibenci, wajib atau mesti dikerjakan dan haram. Perbuatan yang jatuh dalam kategori wajib atau haram adalah sedikit. Manakala kelima-lima kategori perlakuan muslim yang ditetapkan adalah mengikut keadaan. Sebagai contoh, perkara yang haram dilakukan apabila dalam keadaan yang luar biasa dan tidak dapat dikawal ia akan menjadi boleh atau wajib seperti ketika ketiadaan makanan lain selain dari daging babi dan jika tidak memakannya akan membawa maut maka ia dibenarkan memakannya dengan tidak terlalu kenyang. Peraturan adab dan perlakuan muslim bukanlah dicipta oleh pendapat manusia tetapi telah diambil dari Al-Quran dan Sunnah Rasullulah di mana kedua-duanya diturunkan oleh Allah kepada hambanya. Seorang muslim tidak boleh dihukum jika ia melakukan kesalahan kerana dipaksa atau kerana kejahilannya tetapi ia dihukum jika ia mengetahui dan memang berniat untuk mengerjakan kejahatan itu. Walaupun mengamalkan cara hidup islam tidak dipertanggungjawabkan ke atas muslim sehingga ia akil baligh tetapi adalah menjadi tanggungjawab ibu-bapa untuk mendidik anaknya mengamalkan cara hidup muslim sejak dari kecil agar anaknya akan senang dan secara langsung akan mengamalkannya apabila dewasa kelak. Di dalam hamper semua perkara seorang itu hendaklah berfikir semasak-masaknya dan tidak terburu-buru untuk melakukan sesuatu. Seorang muslim harus menimbangkan kesan yang timbul dari perbuatannya jika kesannya baik ia harus meneruskannya tetepi jika sebaliknya ia haruslah meninggalkannya. Bertimbangrasa dan bertolak ansur adalah sikap yang dianjurkan oleh islam. Secara amnya, setiap perbuatan adalah dipertimbangkan atau diterima jika ia bertamadun iaitu mengambil kira kepentingan orang lain, terhormat iaitu ia tidak memganggu individu atau masyarakat dan ia bukanlah perlakuan atau adab yang termasuk dalam kategori haram atau dibenci.

PENUTUP

Kesimpulannya sebagai seorang muslim kita haruslah mengikut adab-adab islam yang telah ditetapkan agar kehidupan kita akan lebih sempurna. Selain itu, untuk menjadi muslim yang sejati kita umat islam hendaklah mematuhi adab-adab sebagai seorang muslim yang sejati disamping melatih diri mereka untuk berkeperibadian yang menarik. Muslim yang sejati tidak seharusnya melangkaui batas–batas Islam kerana ini dapat melahirkan peribadi yang tidak baik bagi seorang Muslim itu. Adab – adab Islam yang telah digariskankan di dalam Al-Quran adalah sesuai untuk umat islam mempraktikkannya dalam kehidupan seharian mereka. Adab-adab islam ini juga tidak hanya untuk umat islam tetapi ia turut mengambil kira tentang orang bukan islam ini menggambarkan bahawa islam itu sangat adil dan tidak mendiskriminasikan agama lain. Oleh yang demikian sama-samalah kita mengikut adab-adab Islam agar kita dapat melahirkan masyarakat Islam yang sebenarnya disamping membangunkan sebuah Negara islam yang harmoni. Akhir kata, semoga apa yang telah saya rumuskan ini dapat memberi sedikit pengetahuan kepada kita sesama muslim dan jadikanlah kehidupan kita seharian sesuatu yang bermakna serta terapkanlah adab-adab islam di dalamnya. Sekian terima kasih.

No comments: