Thursday, April 16, 2009

Bila Izrail a.s. Datang Memanggil

Oleh: Shahril Firdaus B Mohamad Radhi

MENGINGATI KEMATIAN
Disebalik kehidupan yang ada sekarang ini, kita mesti mati dan mati itu tidak dapat kita tolak atau lari, satu alamat yang tidak pernah berubah dibumi, ialah pintu kubur. Ke mana pun kaki kita melangkah, ke mana pun kita lari menyembunyikan diri, ke benua mana pun namun bila tiba waktunya dan tiba saatnya dan tepat ketikanya pintu kubur menganga menanti kedatangan kita. Mahu atau tidak mahu kita terpaksa pergi jua.

Soal mati bukanlah soal habis. Mati boleh dikatakan penutup daripada hidup khayal dan pembukaan daripada hidup yang hakiki. Pasti tiba waktunya roh kita akan pergi meninggalkan badan kasar ini, tetapi insan tidak berubah disebabkan kematian. Tubuh badan kita adalah laksana pakaian sahaja, yang boleh ditinggalkan daripada hakikat roh, tubuh akan berubah sifatnya, hari ini dia tubuh manusia, esok bila mati datang, dia kembali kepada asal kejadiannya iaitu tanah. Mati hanyalah berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain dan tidak akan mengurangi akan kesedarannya atas hakikat wujud dan tidak pula mengurangi perasaannya, bahkan bertambah jelas dan terang serta nyata disebabkan dia telah terlepas dari ikatan dan belenggu nafsu dan syahwat.

Di dalam hal ini ada disebutkan di dalam satu riwayat, bahawa Malaikat Maut kelihatan dizaman dahulu, pada suatu hari dia telah datang ke majlis Nabi Allah Sulaiman a.s. dan melihat seorang pemuda di dalam majlis Nabi Sulaiman, maka pemuda itu pun sangat takut dan gementar hatinya, setelah maut itu menghilang maka berkatalah pemuda itu: “Wahai Nabi Allah… aku menghendaki supaya engkau memerintahkan kenderaan angin untuk membawa aku ke satu tempat di Kasymir India, lalu Nabi Sulaiaman pun memperkenankan permintaan pemuda tersebut dan memerintahkan kenderaan angin itu membawa pemuda tersebut kearah yang dikehendakinya.

Selang beberapa lama, datang kembali malaikat maut kepada hadrat Nabi Sulaiman a.s. , kemudian Nabi bertanya kepada malaikat maut sebab dia melihat sangat kepada pemuda tadi. Maka berkata malaikat maut: “Sesungguhnya aku telah diperintahkan oleh Allah s.w.t. supaya mencabut nyawa pemuda itu tadi tetapi tadi dia berada di majlismu”. Maka Nabi Sulaiaman kagum dengan yang demikian, oleh itu Nabi Sulaiman a.s. pun menceritakan kedudukan sebenar kepada malaikat maut yang mana dia (Nabi Sulaiman) telah memerintahkan angin membawa pemuda tersebut kesana, maka jawab malaikat maut: “aku telah mencabut nyawanyadi Kasymir India”.

Mati tidak dapat dielak dan maut tidak pernah lupa akan tugasnya. Hanya kita sajalah yang selalu melupakan tugas kita sebagai insan yang yang pasti sujud kepada kebesaran Allah s.w.t. mati atau maut itu akan datang mencari kita walaupun dimana kita berada.

Kedatangan mati tidak dapat ditawarkan lagi, tak dapat dipercepatkan dan tidak dapat diundurkan. Semuanya telah ditentukan oleh Allah s.w.t. , kita hanya menunggu saatnya sahaja, supaya tidak takut menghadapi saat kematian manusia disuruh supaya dapat menteteramkan hatinya ketika hidup di dunia ini dengan tidak merasa bahawa harta dan kekayaan tidak mengikat dirinya dari lupa kepada kematian. Maka barang siapa yang baik ketika waktu hidupnya, Alhamdulillah tetapi jika hidupnya di penuhi dengan perkara mungkar, Nau`uzubillah. Sebab itulah Allah s.w.t. mengingatkan kita supaya jangan mengikut langkah dan pujukan syaitan laknatullah kerana dia seterusnya dan musuh kita yang terang. Syaitan selalu menyeru kepada kita untuk melakukan perkara keji dan mungkar dan berlawanan dengan fitrah kejadian insani serta bercanggah pula dengan kehendak Allah s.w.t.

SIROTUL MUSTAQIM

Pada suatu ketika Siti Aisyah r. a.sedang membaca kalam Allah.
: (iaitu) pada hari (ketika) bumi diganti dengan bumi yang lain dan demikian pula langit….

Maka dia bertanya kepada Rasullullah s.a.w. , wahai Rasullullah s.a.w. , dimanakah tempat manusia dikala itu?. Maka jawab Rasullullah s.a.w. , mereka di atas sirat. Dalam riwayat seterusnya, sesungguhnya Allah s.a.w. menjadikan titian Mustaqim di atas neraka jehannam. Titian itu sangat licin dan dapat mengelicirkan sesiapa dan di atas titian itu berupa tujuh benda, setiap benda dapat ditempuh tiga ribu tahun, seribu naik, seribu turun dan seribu mendatar.

Ia lebih halus daripada rambut dan lenih tajam dari pedang dan lebih gelap dari malam. Setiap benda itu bercabang tujuh dan setiap cabang seperti tombak yang panjang yang diruncingkan hujungnya, dimana seorang hamba duduk di atas benda itu, maka dia bertanya apa-apa yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. adapun pertanyaan itu tentang Iman, jika selamat dari kufur dan riak maka bebaslah dia. Jika tidak dia akan dicampak terus ke dalam neraka. Sembahyangnya, zakatnya, puasanya dan haji serta umrahnya juga berbaktinya kepada kedua ibu bapa. Imam Abdul Wahab r. a. berkata: bahawasanya Rasullullah s.a.w. berdoa, Ya Allah, selamatkanlah umatku. Maka semua makhluk melintasi titian itu. Adapun melintasi titi sirat itu, ia terbahagi kepada 7 golongan:

1. Berlepas golongan pertama seperti kilat menyambar.
2. Golongan kedua seperti angina yang kencang.
3. Golongan ketiga seperti burung yang terbang laju.
4. Golongan keempat seperti kuda yang laju.
5. Golongan kelima seperti larinya seorang lelaki yang kuat.
6. Golongan keenam seperti lari binatang ternak.
7. Golongan ketujuh seperti lari sehari semalam.

Sebahagian dari mereka pula ada yang sampai sebulan dan ada yang sehingga setahun, dua tahun dan tiga tahun. Ada yang sampai dua puluh lima ribu tahun dari tahun dunia. Setiap manusia waktu melintasi titian itu sedang api neraka mengepung mereka dari bawah tapak kaki. Di atas kepala dari sebelah kiri dan kanan dan dari belakang dan hadapan. Firman Allah didalam surah Mariam:
Maksudnya: Dan tidak ada seseorang pun daripadanya, melainkan mendatangi mereka itu. Hal itu bagi Tuhan mu adalah suatu kepastian dan sudah ditetapkan. Kemudian kami akan menyelamatkan orang-orang yang bertaqwa dan membiarkan orang-orang yang zalim didalamnya dalam keadaan berlutut.
Adapun api neraka itu menjilat tubuh mereka, kulit mereka dan daging mereka sehingga mereka melintasi titian itu hangus tubuh kecuali bagi mereka yang terselamat dari neraka.

Sebahagian dari mereka pula ada yang melalui titian dengan tidak ada kepada mereka perasaan takut dan tidak mengambil endah akan neraka itu. Api neraka tidak menjilat tubuh atau kaki mereka, mereka laluinya dengan rahmat Allah.

No comments: