Friday, April 17, 2009

Wanita Solehah Permata Agung

Oleh: Nur Diyana Bt Samsudin

Abstrak
Sejak dahulu hingga kini, wanita sering menjadi topik hangat di dalam perbualan tidak kira di antara kaum Adam mahupun kaum Hawa sendiri. Wanita juga sering menonjol di dalam pentas sejarah manusia sehingga banyak ahli-ahli pemikir dan juga ahli falsafah membuat penyelidikan terhadap wanita. Walaubagaimanapun, di dalam Islam, wanita merupakan salah satu di antara sekian banyak bentuk perhiasan hidup yang diciptakan Allah SWT untuk manusia.

PENDAHULUAN
Dunia adalah tempat kenikmatan dan seindah-indah kenikmatan adalah wanita solehah. Islam sangat menjunjung tinggi maratabat wanita dan di samping itu kaum wanita diharapkan untuk tidak terlalu kecewa apatah lagi putus asa apabila dikritik hebat oleh sesetengah orang yang seakan-akan menjatuhkan martabat kewanitaannya. Hal ini boleh dibuktikan dengan melihat sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :Tidaklah yang menghormati wanita kecuali orang yang mulia. Dan tidaklah yang menghinakan wanita kecuali orang yang hina pula.

Seperti kata hikmah yang mengatakan bahawa wanita itu tiang negara, bila dia (wanita) baik, maka baiklah negara itu, tetapi bila dia rosak maka rosaklah negara itu. Sesetengahnya mengatakan bahawa wanita merupakan sumber fitnah yang utama waima perangkap syaitan untuk mejerumuskan lawannya ke lumpur kesesatan. Hal ini benar kerana syaitan laknatullah memanfaatkan segala peluang yang ada untuk menyesatkan anak-anak Adam. Contohnya, dari segi kelemahan wanita untuk mempengaruhi kaum lelaki yang sememangnya memiliki sifat “cinta syahwat terhadap wanita”. Sejarah juga membuktikan hal ini, iaitu tatkala syaitan gagal menggoda Adam a.s secara langsung, lalu memperalatkan Siti Hawa untuk merayu suaminya iaitu Adam a.s agar memakan buah khuldi (buah terlarang). Maka terjadilah maksiat, perlanggaran terhadap larangan Allah s.w.t. Maka, Adam dan isterinya, Siti Hawa dicampakkan ke dunia dan syaitan melompat kegembiraan kerana berjaya menghasut Adam dan juga Siti Hawa. Hasilnya, dewasa ini anak cucu Adam berlumba-lumba menjadi pengikut syaitan dan ternyata kebanyakannya datang dari kaum wanita yang diperalatkan syaitan. Jika dilihat sekarang ini, sering terjadinya manusia berbunuhan sesama sendiri, merompak, dan sebagainya gara-gara ingin memenuhi tuntutan seorang wanita. Dari situ, Islam mempunyai konsep istimewa dalam mengarahkan kaum wanita. Konsep yang meletakkan wanita sesuai dengan kudratnya itu akan melahirkan sifat-sifat mulia dan mahmudah, mempunyai identity yang tersendiri, mahupun tindak-tanduknya dan dimana pun selalu membawa angin segar. Setelah diteliti sekian banyak huraian, kita dapat merumuskan bahawa semua wanita adalah sumber fitnah terbesar kecuali Wanita Solehah.

Siapakah wanita solehah itu ?
Wanita solehah adalah wanita cantik zahir dan batin, ia memiliki kecantikan asli atau ideal. Secara fizikal, darah daging dan tulang-tulangnya bersih dari benda-benda haram. Secara rohaninya, jiwanya bersih dari kotoran kerana selalu disucinya dengan beribadat kepada Allah s.w.t. Amal soleh adalah suatu perbuatan yang didasari atas Iman dan Ilmu yang datang dari Allah s.w.t. Wanita yang solehah adalah wanita cantik yang benar-benar mencintai Allah dan Rasulnya dan mencintai pencinta-pencinta Allah. Sebaliknya Allah juga mencintai si dia. Allah tidak mungkin mencintai wanita-wanita yang tidak cantik. Wanita-wanita yang tidak cantik adalah wanita-wanita neraka yang menghamburkan bencana dan malapetaka di dunia ini. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :Allah s.w.t itu indah dan ia mencintai yang indah, murah hati dan menyukai kemurahan hati, menyukai akhlak-akhlak yang luhur dan membenci akhlak yang rendah. (HR Al-Baihaqi)

Hakikat Kecantikan
Wanita yang tidak cantik dan tidak mahu mempercantikkan dirinya sesuai dengan cara mencantikkan diri dalaman wanita, bererti lebih buruk dari binatang dan ia tidak boleh dinikahi oleh lelaki beriman. Allah tidak mungkin mencintai wanita-wanita yang tidak cantik, demikian juga kaum lelaki. Hal ini disebabkan Allah hanya mencintai wanita-wanita cantik sahaja. Betapa malangnya wanita-wanita yang tidak cantik di dunia ini dan malang itu akan lebih memuncak di akhirat nanti di saat mereka dihisab kerana semua manusia di akhirat nanti jika tidak cantik baik lelaki atau perempuan akan dimasukkan ke dalam julangan api neraka. Seandainya seorang lelaki mukmin diberi tawaran untuk mengahwini wanita yang tidak cantik; sekaligus empat orang wanita ditambah semua pembiayaan perkahwinan dan kemudahan kediaman diberikan secara gratis, maka lelaki mukmin itu wajib menolaknya, ia diharamkan untuk tergiur kepada semua itu. Dalam hal ini, kita perlu mengetahui bagaimanakah ukuran kecantikan menurut ketentuan allah dan Rasul, bukan ketentuan orang lain sepertimana mereka mengukur kecantikan wanita di dalam pertandingan ratu cantik yang mendedahkan tubuh semata-mata untuk mendapat gelaran wanita paling cantik di dunia. Pada hakikatnya, ia adalah ertandingan wanita buruk dan menjijikkan. Manusia itu terdiri daripada lahiriah dan batiniah. Jika yang dilihat oleh semua orang hanyalah lahiriah, bererti ianya kecantikan yang palsu belaka. Atau sebaliknya kecantikan itu hanya kecantikan batiniah, itu juga dianggap kecantikan palsu kerana batin yang cantik pasti terletak didalam fizikal yang cantik.

Kecantikan Palsu
Dewasa ini, kebanyakan bintang filem yang menggoda hawa nafsu pengarah filem dan para penonton adalah terdiri daripada wanita-wanita cantik yang sungguh menggiurkan. Jika dilihat dari sudut Islam, mereka terdiri daripada orang-orang yang buruk wajahnya sehinggakan syaitan pun sebenarnya tidak mencintai mereka kerana syaitan hanya berpura-pura mencintai mereka. Salah faham terhadap kecantikan menyebabkan kehancuran umat manusia. Jika kecantikan wanita diukur dengan kecantikan fizikal semata-mata, maka bintang-bintang filem yang menghiasi pentas-pentas hiburan di seluruh dunia adalah wanita-wanita yang cantik. Wanita-wanita yang mendedahkan tubuh badan untuk menyemarakkan pesta maksiat di atas pentas dunia. Apalah ertinya kecantikan lahiriah semacam itu jika didedahkan untuk menjadi santapan lelaki jahat kerana ia bebas disentuhi oleh sebarangan lelaki. Kecantikan versi ini adalah kecantikan palsu yang membawa bencana terhadap diri mereka sendiri dan orang lain, kerana wanita semacam ini pasti merasa pergolakan hidup. Apabila kecantikan fizikalnya dinodai orang, maka terjadilah pergolakan batin didalam diri wanita itu. Pergolakan batin itulah yang menyebabkan kecantikan fizikal itu cepat merosot lantas menyebabkan wanita-wanita itu mencari jalan pintas untuk mengatasi kemerosotan kecantikan fizikannya. Antaranya alat-alat kecantikan untuk menyerikan wajahnya, memperbesarkan sanggulnya atau pelbagai usaha dilakukan untuk mengatasi kehancuran kecantikannya. Dipakailah rambut palsu, gigi palsu atau segalanya palsu. Kecantikan fizikalnya yang asli, dipalsukan lagi dengan mencontengkan wajahnya menjadi berwarna-warni, merah, kuning, biru, hitam atau semua warna dicampur aduk sehingga wajahnya tiada beza dengan kulit jambu air. Kecantikan menurut ajaran islam adalah kecantikan yang terserlah lahir dan batin. Semua unsur yang ada dalam tubuh seseorang merupakan unsur-unsur kecantikan. Kalau terdapat satu unsur yang merupakan titik hitam, maka orang tersebut menjadi tidak cantik lagi. Jadi, kekurangan bukan melibatkan ketidakcantikan tetapi kalau sengaja dikurangi dari ketentuan yang seharusnya diatasi, itulah dia yang merosakkan kecantikannya sendiri. Dia sendiri yang menggolongkan dirinya di dalam golongan yang tidak cantik. Ketahuilah bahawa Allah S.W.T. hanya mencintai orang-orang yang cantik yang dipanggil-Nya untuk mencintai Dia.

Kecantikan Asli
Islam mengukur kecantikan itu dari semua unsur iaitu unsur batiniah dan lahiriah. Batin wanita cantik adalah apabila seorang wanita yang bersembunyi di sebalik fizikalnya jiwa yang pasrah tunduk terhadap semua ketentuan llah dan Rasul-Nya. Walau sekalipun Allah meminta jiwanya, untuk dipasrahkan terhadap perjuangan Islam, ia akan memberikannya dengan senang tanpa ada cacat celanya. Dalam hal inilah Islam meletakkan ukuran kecantikan bukan pada raut muka yang manis, pada putih kuningnya kulit tubuh atau sorotan mata yang tajam menawan. Namun, kecantikan itu diukur dengan melihat kebersihan dari segala unsur yang bertentangan dengan hukum Allah. Islam tidak meletakkan ukuran kecantikan pada raut muka dan bentuk tubuh kerana pada dasarnya semua fizikal yang bagaimanapun bentuknya adalah sama-sama berasal dari tanah, dikembangkan dengan tanah dan nanti akan dikembalikan kepada tanah juga. Hal ini Islam tidak membezakan manusia berdasarkan hubungan darah, keturunan namun Islam membezakannya berdasarkan ketaqwaan seseorang terhadap Allah S.W.T yang menciptakan kejadian manusia itu dengan sebaik-baik penciptaan. Apakah ertinya kecantikan-kecantikan wanita jahiliyah moden yang berbangga hati bila ia boleh mempamerkan tubuhnya dengan berjoget sambil diiringi irama lagu, menghibur para penonton yang terus bersorak-sorak bersama irama syaitan. Jika kita meneliti di dalam Al-Quran, tentu orang akan terperanjat kerana batin orang seperti itu akan terus berteriak-teriak kesakitan, jiwa itu ditimpa bencana kelaparan rohani akibat kemarau agama yang berpanjangan. Wanita-wanita seperti inilah yang mengakhiri penderitaan jiwanya dengan racun, gantung diri atau hamil sebelum nikah dan sebagainya. Terdapat peribahasa yang mengatakan bahawa dalam tubuh yang sihat terdapat jiwa yang sihat, akan tetapi peribahasa itu seperti sudah ketinggalan zaman. Wanita semacam ini tidak akan mampu membina rumah tangga yang bahagia kecuali dia bertaubat nasuha.

Kecantikan Ideal
Kecantikan ideal yang dimaksudkan adalah kecantikan sempurna lahir dan batin. Bentuk fizikal yang menawan seperti yang dimiliki oleh Nabi Yusuf a.s atau Nabi Muhammad s.a.w atau para isteri mereka. Raut muka yang manis, tatapan mata yang indah dan bentuk tubuh yang sempurna. Batin yang terkandung di dalamnya adalah batin manusia contoh yang dipilih langsung oleh Allah untuk dijadikan model ditengah-tengah umat manusia.

Syarat-syarat wanita dinikahi
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :Dari Abu Hurairah r. a katanya : Wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana kekayaannya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Pilihlah wanita atas dasar agamanya, dengan demikian nescaya engkau akan hidup bahagia. Terdapat empat factor yang diperlukan untuk menikahi seorang wanita iaitu :

~ Harus cantik (cantik asli atau ideal)
~ Kaya (kaya jiwa)
~ Keturunan baik (orang soleh)
~ Diennya (agama)

Bila empat faktor ini ditemukan pada seorang wanita, maka ia telah memenuhi persyaratan ideal.

Ciri-ciri wanita solehah
Istilah ‘solehah’ adalah sebaik-baik gelaran terhadap wanita. Tidak sebarang wanita berhak menyandang sebutan semacam itu kerana gelaran tersebut hanya diberikan kepada wanita yang memiliki ciri-ciri tertentu. Berdasarkan pada surah An-Nisa ayat 3 yang bermaksud :Kerana wanita yang soleh adalah wanita yang taat kepada suaminya sebagaimana Allah telah menjaga dirinya. (Surah An-Nisa)

Antara ciri-ciri wanita solehah adalah :
~ Taat kepada Allah S.W.T
Taat kepada Allah dan juga rasul secara tidak langsung menjadikan seorang wanita itu taat kepada suaminya. Wanita itu juga haruslah melebihkan cintanya terhadap Allah, Rasul dan berjihad melebihi dari keduniaan. Dia juga wajib menutup aurat dan tidak berhias untuk mempamerkan kecantikan melainkan di dalam rangka ketaatan. Ia merupakan salah satu identiti wanita solehah iaitu berpakaian taqwa, penampilannya sederhana, sopan, tidak huru-hara dan jauh dari sifat menunjuk. Wanita solehah harus tidak berhias dan bertingkah laku sperti wanita jahiliyah. Hal ini dinyatakan kerana kebiasaan wanita jahiliyah yang masih dipratikkan sehingga hari ini adalah dengan mewarnakan rambut mereka dengan pelbagai warna semata-mata untuk menjadikan diri mereka ‘cantik’ seperti wanita jahiliyah. Tidak kurang juga mencukur bulu kening mereka kerana menganggap ia tidak sesuai dengan wajah mereka. Wanita diharuskan untuk tidak berjalan sendirian dan tidak pula bersama lelaki, kecuali didampingi oleh muhrimnya. Dia juga haruslah selalu membantu lelaki di dalam rangka kebenaran, kebajikan dan taqwa. Seorang solehah, punya semangat yang tinggi, bersikap tegas terhadap prinsip perlu ada di dalam kamus hidup seorang wanita yang solehah. Wanita-wanita itu juga harus berbuat baik kepada kedua ibu bapa kerana seperti di dalam Surah Luqman ada menyatakan bahawa kita diwajibkan untuk berbuat baik dan taat pada suruhan kedua ibu bapa. Firmannya bermaksud :Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada ibu bapanya; ibunya telah mengandung dalam keadaan yang lemah yang bertambah-tambah dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu, hanya kepada-Ku lah kembalimu.

~ Taat Kepada Suami
Kewajiban kepada suami adalah wajib terhadap semua wanita yang telah berkahwin. Sesiapa sahaja di antara isteri-isteri yang melaksanakan tugas dengan baik dan penuh keikhlasan, nescaya mereka itulah yang akan mendapat balasan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w :Jika seorang isteri itu telah menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan dan menjaga kemaluannya dari yang haram serta taat kepada suaminya, maka akan dipersilakan masuk ke pintu syurga dari pintu mana sahaja yang kamu suka. (HR Ahmad dan Thabrani)

Setiap isteri yang mati diredhai suaminya, maka dia akan masuk ke syurga. (HR At- Tarmizi dan Ibn. Majjah)

Tetapi, sesiapa sahaja yang isteri yang tidak menjalankan tugas dengan baik sebagaimana tuntutan Allah S.W.T dan Rasul-Nya, maka mereka akan mendapat sangsi. Wanita-wanita harus sentiasa menyenangkan suami dan kasih sayang terhadap anak-anaknya. Justeru itu, wanita solehah tidak akan mengganggu suaminya sehingga mengakibatkan kesusahan tetapi dia berusaha untuk membantu untuk menghilangkan kesusahan suaminya. Wanita yang soleh perlu menjaga kehormatan dirinya dan harta suaminya, apabila sang suami tiada di rumah. Dia juga tidak harus cemburu buta dan tidak menolak apabila suami mengajaknya untuk tidur. Apabila seorang wanita itu keluar tanpa izin suaminya, maka dia tidak boleh di anggap sebagai wanita solehah lagi. Hal ini kerana, isteri yang keluar rumah tanpa izin suami akan dimurkai Allah S.W.T.

Fungsi Wanita Solehah
~ Sebagai hamba Allah S.W.T
Wajib menunaikan tanggungjawab sebagai hamba Allah iaitu solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, Membaca Al-Quran dan menjauhi segala larangan-Nya.
~ Sebagai Ibu
Tidak terlalu banyak menuntut hal keduniaan di luar batas suami adalah salah satu sifat seorag ibu yang baik. Dia tidak akan mensia-siakan amanah Allah iaitu anak-anak dengan menjaga makanannya, memelihara sehingga dewasa dan mendidiknya dengan sempurna.
~ Sebagai Isteri
Mentaati suaminya dengan menjaga adab dan nama baik suami. Dia tidak akan meninggikan suaranya melebihi suara suaminya sebaliknya mematuhi segala kebenaran oleh suaminya.
~ Sebagai Anak
Sebagai anak, haruslah mentaati kedua ibu bapa dengan menjaga mereka jika mereka sakit dan sentiasa berada di sisi mereka tidak kira jarak waktu dan tempat.

Kesimpulan
Peranan dan fungsi wanita solehah adalah sebagai penjana ummah merupakan suatu penglibatan yang begitu mencabar. Masyarakat sering dikejutkan dengan pelbagai isu yang meruntuhkan nilai moral, maka dengan itu wanita solehah perlu sama-sama tampil kehadapan untuk menangani isu ini. Fungsinya sebagai ibu kepada anak-anak sehingga penglibatan mereka di dalam bidang kerjaya dan kemasyarakatan ini sebenarnya mewarnai kehidupan masyarakatdengan budi pekerti yang luhur kerana personaliti mereka yang dekat di sisi Allah S.W.T. Jikalau seseorang wanita itu boleh mencorakkan pemerintahan dan Negara, maka wanita yang solehah turut mampu mempengaruhi kehidupan masyarakat untuk menikmati rahmat dari Allah S.W.T. Oleh dengan itu, setiap wanita harus tahu batas-batas peranannya di dalam melaksanakan amanah Allah S.W.T agar terbina mahligai syurga di dunia sebelum mendiaminya di akhirat kelak.

No comments: