Thursday, April 16, 2009

Peranan Anak Terhadap Ibu Bapa

Oleh: Muhammad Izzat Bin Mazlan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Segala puji bagi Allah s.w.t. Pemilik sekalian alam. Selawat dan salam kepada junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. , begitu juga kepada ahli keluarganya, sahabat-sahabatnya dan orang yang mengikuti ajarannya dengan ikhlas sampai ke akhir zaman.

Syukur kepada Allah s.w.t. kerana dengan taufiq dan inayah-Nya, dapatlah saya menyiapkan laporan kerja kursus CTU 551 yang bertajuk “Peranan Anak Terhadap Ibu Bapa”. Ianya membicarakan tentang peranan anak serta perkara yang harus dititik beratkan terhadap ibu bapa mereka.

Besar harapan saya semoga laporan ini akan member manfaat dan bimbingan kepada sekalian muslimin dan muslimat agar memperoleh ilmu untuk menghadapi cabaran bagi meneruskan kehidupan di dunia ini serta mendapat keredhaan Allah s.w.t. di akhirat kelak. InsyaAllah.
Sebarang kesilapan harap dimaafkan. Terima kasih tidah terhingga kepada semua yang membantu dalam menyiapkan tugasan laporan ini.

Ibu bapa amat tinggi kedudukannya menurut ajaran Islam. Setiap anak diwajibkan menghormati dan memuliakan ibu bapanya. Perintah berbakti kepada ibu bapa beriringan dengan perintah menyembah Allah seperti yang terkandung dalam Al-Quran surah Al-Isra’:
“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya” (Al-Isra’ : 23)
Berbakti kepada Ibu bapa adalah yang paling penting setelah menyembah Allah. Seolah-olah tugas pertama yang ditekankan kepada manusia adalah menyembah Allah dan tugas yang kedua berbakti kepada ibu bapa. Ini membuktikan tingginya kedudukan ibu bapa dalam pandangan syara’. Maksudnya berbakti kepada ibu bapa adalah paling penting dilakukan setelah mengabdikan diri kepada Allah.
Saya terdorong menyusun laporan ini kerana melihat ramai manusia sekarang ini yang tidak sayang terhadap ibu bapanya. Dari segi perkembangan zaman memang keadaan sekarang lebih memungkinkan orang kurang perhatian terhadap ibu bapanya. Apa lagi kepada orang tua yang dianggap tiada fungsinya lagi.
Laporan peranan anak tehadap ibu bapa ini mengisarkan tentang tanggungjawab anak kepada ibu bapa, hak-hak ibu bapa, keutamaan dan ganjaran berbakti kepada ibu bapa serta dosa dan bahaya menderhakai ibu bapa.

MERENDAH DIRI KEPADA IBU BAPA
Allah s.w.t. berfirman : “Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan” (Al-Isra’ : 24)

Merendah diri disini maksudnya menjadikan atau menganggap ibu bapa lebih hebat dan lebih mulia. Hendaklah merendah diri kepada ibu bapa baik dari segi tutur kata, cara memandang, gaya dan tingkah laku. Ini tidak kira samaada ibu bapa kita itu seorang pemimpin atau rakyat jelata, orang kaya atau miskin, orang berpendidikan tinggi ataupun tidak.

MENDOAKAN IBU BAPA
Allah s.w.t. berfirman : Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku waktu kecil. " (Al-Isra’ : 24)

Dalam ayat itu Allah SWT menyinggung masalah mengasuh, tujuannya supaya manusia sedar betapa susahnya orang tua mengasuh dan membesarkan anaknya. Ayat itu menyuruh kita supaya selalu mendoakan orang tua kita Mereka telah menumpukan sepenuh kasih sayang untuk mengasuh anaknya.

LAYANAN BAIK KEPADA IBU BAPA
Layanan yang baik terhadap ibu bapa amatlah dituntut lebih-lebih lagi setelah mereka tua. Kerana pada saat itu mereka memerlukan layanan yang istimewa. Setelah tua mereka sudah lemah dalam segala bidang, banyak penyakit dan sebagainya. Pada masa itu tidak mungkin lagi kita akan bersandar kepada mereka, bahkan mereka pula yang terpaksa bersandar kepada anaknya.

Imam Al-Qurtubi berkata : “Beruntunglah orang yang mempunyai ibu bapa yng sudah tua kemudian dia pun berusaha menguruskannya, melayannya dengan baik kerana takut mereka itu meninggal dunia dan tidak sempat berbakti kepadanya. Dan sebaliknya rugilah orang yang mempunyai ibu bapa yang sudah tua tetapi dia tidak mengambil peluang itu untuk berbakti kepadanya. Kerana orang tua itu kalau diurus dengan baik menyebabkan kita masuk syurga. Dan lebih celaka lagi adalah orang yang menderhaka kepada ibu bapanya. ”

MEMENUHI KEHENDAK IBU BAPA
Menurut kehendak ibu bapa adalah termasuk berbakti kepadanya. Oleh itu apabila kedua ibu bapa atau salah seorang mereka menyuruh kita mengerjakan sesuatu maka wajiblah kita mengerjakan sesuatu, maka wajiblah dilaksanakan selama tidak melanggar aturan syarak.
Menurut sebahagian pendapat jika ibu bapa menyuruh kita mengerjakan perbuatan yang mubah (harus), maka perkara yang mubah itu menjadi sunat dikerjakan. Kalau yang disuruh itu perkara sunat, maka akan menjadilah semakin kuat.

Fadhullah Al-Jailani berkata : “Ibu bapa tidak berdosa melarang anaknya mengerjakan haji jika betul-betul mengharapkan bantuan dari anaknya itu. Misalnya ayah atau ibu yang sedang sakit dan sangat mengharapkan bantuan dari anaknya itu, maka dalam keadaan seperti itu tidak salah dia melarang anaknya pergi mengerjakan haji.

Bahkan untuk pergi bermusafir sekalipun, tidak boleh pergi tanpa keizinan daripada ibu bapa jika dikhuatiri ada mendatangkan bahaya. Kalau jelas tidak ada bahaya boleh pergi bermusafir tanpa keizinan orang tua.

Wajib bagi orang berakal mengetahui hak-hak ibu bapanya kemudian melaksanakan hak itu.
Hak yang harus dilaksanakan anak terhadap ibu bapanya antara lain:
•Jika ibu bapanya berhajat kepada makanan harus diberi makanan.
•Jika berhajat kepada pakaian harus diberikan pakaian.
•Jika berhajat kepada bantuan harus dibantu.
•Jika dipanggil harus disahut.
•Mentaati semua perintahnya selama yang disuruhnya itu tidak bertentangan dengan syara’.
•Jika bercakap kepada ayah dan ibu mesti bercakap secara lunak sopan dan hormat.
•Jika berjalan bersama ayah, si anak mesti berjalan di belakang.
•Seorang anak mesti menginginkan terjadi kepada ibu bapanya sesuatu yang dia inginkan terjadi kepada dirinya. Dan sebaliknya apa yang dia rasakan tidak ingin berlaku kepada dirinya begitu juga tidak menginginkan berlaku kepada ibu bapanya.
•Mendoakan keduanya mendapat pengampunan Allah dan Rahmat-Nya sebagaimana doa Nabi Nuh dan Nabi Ibrahim :
Ya Tuhan kami, ampuni dosa kami dan kedua ibu bapa kami dan semua kaum Mukminin pada hari perhitungan Hisab/ hari kiamat.

JANGAN MENGATAKAN “AH” KEPADA IBU BAPA
Allah s.w.t berfirman :

Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapakmu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Al-Isra’ : 23)

Dalam ayat itu disebutkan :
Janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "Ah" Menurut Abu Raja’ Al-Ataridiy yang dimaksudkan dengan Uf dalam ayat itu ialah kata-kata memaki atau meremehkan. Kalimah Uf juga merupakan perkataan yang digunakan kepada setiap yang tidak disukai.

Bukan hanya berkata “Ah” atau “Cih” yang dianggap derhaka kepada ibu bapa, tetapi juga ada juga derhaka dengan pandangan. Menjeling kearah ibu bapa dengan pandangan sinis juga dianggap penderhakaan. Dari Aisyah r. a, katanya Rasulullah s.a.w bersabda :
“Seorang yang memandang ibu bapanya dengan pandangan sinis tidak termasuk anak yang berbakti kepada ibu bapanya. ”

JANGAN MENGHERDIK (MENENGKING) IBU BAPA
Allah s.w.t berfirman : Dan janganlah engkaumengherdik mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia. (Al-Isra’ : 23)

Mengherdik bermaksud mengeluar kata-kata kuat atau bercakap kasar. Perkataan yang mulia bermaksud lemah lembut, sopan dan hormat. Misalnya kita ucapkan kepadanya “ Wahai ayahku atau wahai ibuku”
Mengherdik ibu bapa adalah tingkah laku yang dilarang oleh Allah. Hendaklah kita berkelakuan sopan ketika bertutur kepada ibu bapa. Menurut Ata’ bin Rabah maksudnya :
“Janganlah bercekak pinggang dan jangan angkat tanganmu di hadapan mereka ketika bercakap kepadanya. ”

JANGAN MEMAKI IBU BAPA ORANG LAIN
Cara berbuat baik kepada ibu bapa termasuklah tidak mencaci ibu bapa orang lain. Mencaci-maki ibu bapa orang lain bererti mencaci ibu bapa sendiri kerana jika kita mencaci ibu bapa orang lain misalnya, maka orang itu akan mencaci ibu bapa kita.

Mencaci-maki ibu bapa orang lain adalah termasuk dalam dosa besar. Dalam kitab Sahih Muslim ada disebutkan hadis yang diterima dari Abdullah bin Amr bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : Termasuk di antara dosa besar jika seseorang mencaci-maki kedua ibu bapanya. Para sahabat bertanya : “Ya Rasulullah, apakah mungkin seseorang itu mencaci-maki ibu bapanya?” Rasulullah s.a.w. menjawab : “Mungkin saja, misalnya seorang mencaci ayah orang lain lalu orang itu pun mencaci ayahnya. Atau dia mencaci ibu orang lain lalu orang itu pun mencaci ibunya. ”

Berbakti kepada ibu bapa adalah sesuatu yang wajar. Maksudnya seandainya tidak ada Quran dan hadis memerintahkan berbakti kepada ibu bapa, semua orang sedia maklum tahu bahawa berbakti kepada mereka adalah sesuatu yang perlu dilaksanakan. Ini tentunya kerana melihat besarnya jasa ibu bapa terhadap anaknya.

Wajib bagi orang berakal mengetahui hak-hak ibu bapanya kemudian melaksanakan hak itu. Bagaimana mungkin tidak sedangkan Allah SWT sudah menerangkan masalah ini dalam semua kitab-Nya, baik di dalam Taurat, Zabur, Injil, dan Al-Quran. Allah SWT juga telah menerangkan bahawa keredhaannya seiring dengan keredhaan ibu bapa. Maksudnya kalau kita berbuat sesuatu yang menyenangkan ibu bapa kita, bererti kita telah membuat sesuatu yang disukai Allah. Dan sebaliknya, jika kita membuat sesuatu yang mendatangkan kemarahan ibu bapa kita bererti kita telah mengerjakan pekerjaan yang dimurkai Allah s.w.t.

Orang yang berbakti kepada ibu bapanya mendapat keredhaan Allah dan akan mendapat balasan yang baik di dunia mahupun di akhirat kelak.

BERBAKTI KEPADA IBU BAPA ADALAH PENGHAPUS DOSA
Ibnu Umar r. a. berkata bahawa seorang lelaki dating kepada Rasulullah s.a.w. kemudian berkata : “Sesungguhnya saya telah melakukan dosa besar, apakah masih ada kesempatan untukku bertaubat?” Lelaki itu lalu menjawab : “Tidak. ” Rasulullah s.a.w. berkata : “Adakah kamu mempunyai Khalah (ibu saudara sebelah ibu)?” Orang itu menjawab: “Ya. ” Maka Rasulullah s.a.w berkata : “Kalau begitu berbaktilah kepadanya. ”
(Hadis ini diriwayatkan oleh Tarmizi dan ibnu Hibban)
Dari Ata’ Bin Yasar, katanya Ibnu Abbas pernah didatangi oleh seorang lelaki kemudiannya berkata kepadanya : “Sesungguhnya saya telah meminang seorang perempuan tetapi dia telah menolak pinanganku. Kemudian datang orang lain meminangnya lalu dia pun menerima pinangan itu dan akan berkahwin dengan lelaki itu. Aku cemburu dan tidak tahan melihatnya akhirnya aku bunuh lelaki itu. Yang ingin saya tanyakan masih adakah peluang bagiku untuk bertaubat?” Ibnu Abbas bertanya : “Apakah masih hidup ibumu?” Orang itu menjawab : “Tidak. ” Maka dia berkata : “Kalau begittu bertaubatlah kepada Allahdan dekatkan dirimu kepada-Nya seberapa yang boleh.
Mendengar jawapan Ibnu Abba situ, Ata’ bin Yasar bertanya kepadanya : “Mengapa tuan tanyakan masalah ibunya apakah masih hidup atau tidak?” Ibnu Abbas menjawab : “Sesungguhnya aku tidak mengetahui sesuatu yang lebih dekat kepada Allah selain dari berbakti kepada ibu. ” (Hadis riwayat Bukhari dalam kitab Al-Adab Al-Mufrad)

MAKBULNYA DOA ORANG YANG BERBAKTI KEPADA IBU BAPANYA
Orang yang menguruskan ibu bapanya dengan baik akan terkabul doanya.

BERBAKTI KEPADA IBU BAPA MEMBAWA BERKAT
Orang yang berbakti kepada ibu bapanya akan mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.

Dari Annas bin Malik r. a, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda : “Sesiapa yang ingin dipanjangkan umurnya dan ditambah rezekinya, maka hendaklah dia berbakti kepada ibu bapa dan menyambung tali silaturrahim. ”

Dari aisyah r. a. , katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Aku telah melihat ke syurga dan disana aku ada mendengar suara manusia. Ketika kutanya suara siapa itu, maka dikatakanlah bahawa suara itu adalah suara Haritsah bin Nukman. ” Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata lagi : “Begitulah balasan bagi orang yang berbakti kepada orang tuanya. Dia adalah orang yang sangat baik kepada ibunya. ”

Sebagaimana telah diterangkan sebelumnya bahawa orang yang berbuat baik kepada ibu bapanya akan mendapat keuntungan di dunia dan di akhirat. Di akhirat mereka mendapat pahala besar dan dimasukkan ke dalam syurga. Sedangkan di dunia mereka mendapat keuntungan yang bermacam-macam. Ada orang yang sabar menguruskan orang tuanya menjadi murah rezekinya dan sebagainya. Antara ganjaran lain yang diberikan oleh Allah kepada mereka yang berbakti kepada ibu bapa ialah :
•Orang yang saying kepada ibunya mendapat tempat seperti syurga Nabi Musa.
•Orang yang berbakti kepada ibunya tebang di taman syurga.
•Orang yang berbakti kepada ibunya mendapat karamah.

Derhaka kepada ibu bapa cukup besar dosanya. Dan juga tentang derhaka ini adalah kelainan dari dosa-dosa besar lainnya. Kalau dosa-dosa besar lainnya dibalas di akhirat, dosa kepada ibu bapa di dunia ini pun sudah ditunjukkan balasannya. Maksudnya orang yang menderhaka kepada ibu bapanya juga akan mendapat seksa atau hukuman di dunia ini.
Rasulullah s.a.w. bersabda :

Semua dosa akan ditangguhkan penyeksaannya, sesuai dengan kehendak Allah, sampai hari kiamat, kecuali dosa menderhakai ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasannya kepada pelakunya ketika ia masih hidup, yakni merupakan balasan di dunia, sebelum terjadinya hari kiamat. (H. R. Al-Hakim)

DERHAKA TERMASUK DOSA YANG PALING BESAR
Anas r. a berkata : “Rasulullah s.a.w. menerangkan kepada kami dosa-dosa besar itu ialah menyekutukan Allah dengan sesuatu dan menderhaka kepada ibu bapa. ”
Dalam surat Nabi s.a.w. yang dikirim kepada penduduk Yaman ada mengatakan: “Sesungguhnya dosa yang paling besar di sisi Allah pada hari kiamat ialah menyekutukan Allah dengan sesuatu, membunuh orang Mukmin tanpa hak, melarikan diri dari peperangan Sabilillah, derhaka kepada ibu bapa, menuduh wanita baik melakukan zina, belajar sihir, memakan riba dan memakan harta anak yatim. ”

PENDERHAKA TIDAK MASUK SYURGA
Dari Abdullah bin Amr bin Ash, katanya Rasulullah bersabda : “Tiga golongan yang diharamkan Allah keatas mereka syurga, iaitu peminum arak, penderhaka, dan Dayus. ”
Dari Abu Hurairah, katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ada empat golongan yang menjadi hak bagi Allah untuk tidak memasukkan mereka ke dalam syurga dan tidak memberikan kesempatan kepada mereka untuk merasakan kenikmatan syurga iaitu peminum arak, pemakan riba, pemakan harta anak yatim tanpa hak dan penderhaka kepada ibu bapanya. ” (Hadis riwayat Al-Hakim)

DERHAKA MENGAKIBATKAN KEMISKINAN
Orang yang menderhaka kepada ibu bapanya akan hidup dalam keadaan susah dan miskin. Ada riwayat dari Anas mengatakan bahawa Rasulullah bersabda: “Jika seorang hamba meninggalkan doa untuk ibu bapanya, maka terputuslah rezeki kepadanya. ”

Ini juga ada benarnya apabila kita melihat keadaan yang berlaku di tengah-tengah masyarakat. Orang yang menderhaka kepada ibu bapanya akan hidup dalam keadaan sempit penghidupannya. Kalau dia seorang petani tidak menjadi tanamannya, kalau dia seorang peniaga tidak laku jualannya, begitulah orang-orang yang bekerja dalam seektor lain.

Mungkin saja kita masih menjumpai orang derhaka yang kaya. Tetapi yakinlah, orang yang derhaka kepada ibu bapanya sekalipun zahirnya dia kaya tetapi kekayaan itu tidak membawa berkat kepadanya. Kekayaan yang tidak membawa berkat tidak mendatangkan kesenangan, bahkan mendatangkan seksa atau penderitaan.

Sebagaimana orang yang berbakti kepada ibu bapanya mendapat keuntungan di dunia dan akhirat. Maka orang yang derhaka pun mendapat balasan buruk di akhirat kelak. Di akhirat nanti orang yang derhaka itu tidak dibolehkan masuk syurga, bahkan tidak sempat mencium baunya. Padahal syurga syurga itu sudah terasa wanginya dari jarak perjalanan seribu tahun perjalanan. Bererti orang yang derhaka itu sungguh jauh dari syurga.

Itu semua balasan di akhirat. Bukan hanya itu, orang yang derhaka akan merasakan akibatnya semasa hidup di dunia. Ada orang derhaka yang mengatakan ibunya himar, maka setelah matinya terdengar seperti suara himar keluar dari kuburnya. Ada juga orang yang menyakiti hati ibunya tiba-tiba tidak pandai mengucap ketika nazak.

Berbakti kepada Ibu bapa adalah yang paling penting setelah menyembah Allah. Seolah-olah tugas pertama yang ditekankan kepada manusia adalah menyembah Allah dan tugas yang kedua berbakti kepada ibu bapa. Ini membuktikan tingginya kedudukan ibu bapa dalam pandangan syara’. Berbakti kepada ibu bapa adalah paling penting dilakukan setelah mengabdikan diri kepada Allah.

Ibu bapa merupakan anugerah yang tidak terhingga nilainya. Oleh itu kita perlulah menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapa kita selama ini. Dan ingatlah bahawa orang yang berbakti kepada ibu bapanya mendapat keredhaan Allah dan akan mendapat balasan yang baik di dunia mahupun di akhirat kelak. Begitulah juga sebaliknya orang yang menderhakai ibu bapanya akan mendapat balasan di dunia dan di akhirat kelak.

No comments: