Friday, April 17, 2009

Memahami Hadhari Dari Perspektif Islam

Oleh: Siti Hajar Nadiah Bt Mohammad

Muqaddimah
Konsep Hadhari merupakan suatu mercu tanda yang amat bermakna dalam usaha membangunkan sebuah Negara maju dan bertamadun dalam kerangka ajaran Islam sebagai agama rasmi Negara. Konsep ini pada asasnya merujuk kepada amalan agama yang menekankan soal ketamadunan, pembangunan dan kemajuan merangkumi aspek rohani, akhlak, fizikal serta material.

Kerajaan perlu menyaru umat Islam yang keliru dan mengabaikan aspek-aspek kemajuan fizikal dan material. Oleh itu, nilai Hadhari perlu ditekankan bagi meletakkan kembali umat Islam pada landasan yang betul mengikut syariat.

Konklusinya, konsep hadhari merupakan lanjutan bagi tradisi amalan agama Islam
Sebagai agama rasmi Negara amat mementingkan pembangunan fizikal dan material sebagai komponen utama dalam kehidupan ummah.

BAB 1. DEFINISI HADHARI
Istilah tamadun berkait rapat dengan kekuasaan, kehebatan, kemakmuran dan kemajuan sesuatu bangsa dan pemerintah. Selain perkataan tamadun, perkataan hadarah juga digunakan oleh sarjana Islam. Para sarjana Islam sering menggunakan istilah yang mempunyai maksud yang sama dengan pengertian tamadun. Sebagai contoh, Said Hawwa menyatakan bahawa hadharah adalah istilah peradaban manusia yang menggabungkan dua bentuk kemajuan iaitu kemajuan material dan kemajuan sosio-budaya. Ianya meliputi segala aspek pembangunan yang dicapai oleh sesuatu bangsa dalam segala bidang kehidupan.

Istilah lain yang sinonim maknanya dengan tamadun ialah madaniyah dan thaqafah. Istilah madaniyah menjurus kepada aspek pembangunan fizikal semata-mata. Istilah thaqafah pula lebih merujuk kepada pencapaian umat manusia dalam aspek sosio-budaya.

PENGGUNAAN ISTILAH HADHARI
Penggunaan istilah hadhari menjelaskan dua aspek daripada tamadun iaitu kehidupan yang menetap dan hidup di kota. Jika kita boleh mengaitkan pengertian hadhari dengan kehidupan bersifat hadhari, maka kita dapat menyimpulkan bahawa penghayatan Islam yang sebenar ialah Islam yang membawa kemajuan serta pembanguna sama ada fizikal, mental mahupun spiritual dan bukan sebaliknya. Akhirnya Hadhari itu membawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

BAB 2. PERANAN KHALIFAH DAN PENJANAAN HADHARI
Amanah Allah S.W.T kepada manusia dalam menjalankan tugas kekhalifahan adalah mengurus, mentadbir dan memakmurkan dunia. Pengertian Hadhari terletak pada kesanggupan dan keupayaan ummah yang mempunyai kualiti iman serta amal salih untuk mentadbir dan memakmurkan bumi ini sebaik mungkin.
Menurut Al-Quran jatuh bangun tamadun berpunca daripada sikap, tingkah laku dan perbuatan manusia yang mengingkari perintah Allah S.W.T, bertindak sombong, bongkak, takbur, tidak bersyukur serta menentang utusan Allah. Oleh sebab itu, dalam konteks perbincangan hadhari, konsep bersyukur yang sebenarnya mesti dihayati. Ia melibatkan hubunagn dinamik bersyukur kepada Allah dan berterima kasih sesama manusia. Dalam konteks hubungan sesama manusia, ia melambang rasa penghargaan dan nilai kemanusiaan yang tinggi.
Perlaksanaan pemerintahan haruslah saksama dan berdasarkan undang-undang bukannya berdasarkan nafsu dan keinginan individu. Sistem pemerintahan demokrasi dan telus, usaha pembasmian kemiskinan dan pengagihan kekayaaan yang ada harus dijadikan salah satu cirri hadhari. Meskipun demikian, ciri yang tidak kurang pentingnya juga ialah penghayatan yang menyeluruh terhadap ajaran Islam serta pemupukan budaya mencintai ilmu pengetahuan secara berterusan bagi mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
Gagasan Hadhari sekurang-kurangnya dibangunkan atas lima tonggak, iaitu ilmu, pembangunan, harta, kesihatan dan perhiasan hidup.

A) ILMU PENGETAHUAN
Asas pembentukan Hadhari adalah ilmu. Ilmu merupakan martabat paling tinggi dalam kehiduapn manusia. Kenyataan ini tidak dapat diubah kerana permulaan wahyu Allah yang diturunkan kepada pesuruh-Nya adalah berkaitan dengan ilmu. Membaca merupakan perantaraan yang membolehkan manusia mencapai darjat kemanusiaan yang sempurna. Tidaklah keterlaluan jika dikatakan bahawa membaca menjadi syarat utama untuk membangunkan peradaban. Semakin luas pembacaaan, semakin tinggilah peradaban.

• Peranan manusia
Khilafah menuntut kebijaksanaan kerana wujudnya hubungan manusia dengan alam. Justeru itu, seseorang khalifah atau pemimpin perlu membimbing orang lain agar mampu mencapai tujuan penciptaannya.

Usaha meluangkan masa menuntut ilmu dianggap sebagai ibadah dan penyelidikan dalam bidang ilmu tanpa rasa jemu dianggap sebagai jihad. Selain itu, Hadith Nabi juga menjelaskan bahawa usaha mengajar ilmu merupakan salah satu cara mendekatkan diri kepada Alah. Oleh yang demikian ilmu dianggap sebagai kunci bagi keimanan.

Allah S.W.T berfirman : Maksudnya:”Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut(melanggar perintah)Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu. (Al-Fathir:ayat 28)

• Ilmu dan Agama
Albert Einstein sainstis tersohor abad ke-20 mengakui bahawa bidang ilmu dan agama tidak dapat dipisahkan. Agama dapat menetapkan sesuatu tujuan dan matlamat seseorang, tetapi ia perlu mempelajari ilmu untuk mengetahui cara bagi mencapai matlamat tersebut. Berasaskan dorongan oleh ajaran Islam, suatu peradaban berjaya dibina dalam dua abad pertama Hijriyah yang menghasilkan perubahan pandangan yang dramatik. Peradaban ini lahir daripada konsep pengetahuan yang menyatukan dan menyimbangkan aspek material dengan spiritual.

Beratus cendekiawan Islam berjaya mengintegrasikan bidang-bidang saintifik dengan pimpinan ilmu-ilmu teras agama itu sendiri. Ilmuwan-ilmuwan tersebut ialah Jabir Ibn Hayyan(Kimia), Muhammad Ibn Musa al-Khawarizmi(Matematik), Muhammad Ibn Zakaria al-Razi(Kedoktoran), Ali Ibn ai-Husain al-Masudi(Geologi/Perubatan), Ibn Sina(Perubatan), Ibn Nafis dan sebagainya.

• Bait al-Hikmah
Khalifah al-Ma’mum telah mendirikan Bait al-Hikmah di Baghdad yang berperanan sebagai akademi pendidikan, biro penterjemahan, perpustakaan umum dan pusat kajian ilmu astronomi serta perubatan.

Masjid, madrasah, kota-kota besar umat Islam dijadikan pusat pendidikan yang penting. Kota Basrah memiliki perpustakaan yang serba lengkap pada waktu itu dan golongan cendekiawan yang berkhidmat di situ diberi gaji oleh pemerintah pada waktu itu.

• Kebudayaan
Cordova, Baghdad dan Constantinople merupakan kota Islam yang dikenali sebagai pusat kebudayaaan dunia. Kemegahan kota-kota Islam ketika itu digambarkan olekh ahli sejarah, Ibn Idari dan Muqqari melalui lukisan mereka. Mereka melukis bangunan-bangunan sejarah seperti masjid, istana, ratusan rumah yang indah, perpustakaan serta kedai-kedai buku di Cordova.

• Kota
Kota terpenting di Iraq pada waktu itu ialah baghdad, Basra, Samarra, Mosul manakala di Iran pula kota seperti Qom, Isfahan, Rayy dan Shiraz. Di Sepanyol, kota-kota yang penting pada waktu itu adalah seperti Cordova, Seville, Granada, Toledo, Valencia, Malaga dan Almeria. Di Morocco adalah seperti Fez dan Marrakesh. Turki pula kota-kotanya ialah Tarsus dan Konya.

• Kemahiran dan Ilmu
Dalam membentuk masyarakat Hadhari, generasi muda hari ini perlulah dibekalkan dengan kemahiran dan ilmu pengetahuan yang secukupnya. Dua perkara utama yang mendasari pemikiran Islam dalam bidang ilmu ialah keupayaan untuk mewujudkan penyesuain antara ilmu moden dengan Islam serta perbincangan tentang “Islamisasi ilmu” itu sendiri.

B) PEMBANGUNAN SEIMBANG
Pembangunan seimbang dan bersifat menyeluruh merupakan asas kedua yang menjadi teras bagi pembentukan Hadhari. Pembangunan yang seimbang yang dimaksudkan mencakupi pelbagai aspek seperti sosial, politik, ekonomi, pertanian, teknologi maklumat dan lain-lain yang menjadi kewajipan bersama masyarakat Islam. Inilah kewajipan yang dinamai sebagai fardhu kifayah.
Masalah yang dihadapi oleh umat Islam pada hari ini ialah mereka masih lagi terperangkap dalam pemikiran lama yang menghalang usaha mereka untuk mencapai kemajuan dan pembangunan yang seimbang. Setiap manusia berperanan melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi dengan jayanya. Oleh itu prinsip-prinsip yang menjadi landasan utama dalam pembangunan Islam adalah seperti berikut:

• Tauhid
Prinsip ini tidak berkaitan tentang kepercayaan pada keesaan Allah semata-mata. Ia merangkumi pengertian bahawa setiap perkara harus sentiasa dikaitkan dengan keesaan-Nya yang menjadi sumber utama. Keyakinan inilah menjadi faktor penyatuan kehidupan manusia di dunia dan akhirat,

• Rububiyah dan Uluhiyah
Manusia perlu bersyukur di atas segala nikmat yang diberi oleh Allah. Syukur bermaksud menggunakan segala anugerah Allah kepada kita mahupun yang terdapat di bumi. Kurniaan Allah mestilah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.

• Khilafah
Amanah ini diberi kepada manusia dan manusia bertanggungjawab ke atas dirinya dan dunia serta memelihara bumi dengan sempurna. Sebagaimana firman Allah: Bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang(untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya(kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya);dan(pada ketika itu)manusia(dengan persediaan yang ada padanya)sanggp memikulnya. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim lagi jahil. ” (Al-Ahzab:ayat 72)

• Tazkiyyah(penyucian)
Hubungan antara manusia dengan Tuhan serta alam sekeliling perlulah berasaskan kesucian dan pemeliharaan nilai-nilai agama, akal, jiwa, harta dan kehormatan manusia.

Terdapat juga asas lain yang dikemukakan oleh Islam tentang pembangunan:
• Asas Manfaat
• Usaha Bersama dan Kekeluargaan
• Asas Musyawarah
• Keadilan
• Keseimbangan dalam Kehidupan
• Kesedaran Hukum
• Asas Kepercayaan terhadap Diri Sendiri
• Jihad Fisabillah

C) HARTA KEKAYAAN
Nikmat harta kekayaan yang diberikan kepada manusia juga merupakan amanah dari Allah. Manusia digalakkan mencarinya sebanyak mungkin. Walau bagaimanapun harta kekayaan yang dimaksudkan adalah yang membawa kepada kebaikan ummah. Harta yang dicari perlulah melalui cara yang diharuskan serta halal disisi Allah dan dibelanjakan menurut keperluan selain dikongsi atau disumbangkan kepada golongan yang berhak.

Rasulullah bersabda bahawa harta yang paling baik ialah yang berada pada tangan individu yang baik. Baginda juga menyatakan bahawa orang kaya yang bersyukur adalah lebih baik daripada orang miskin yang bersabar. Harta benda yang dianugerahkan Allah S.W.T kepada manusia merupakan ujian dan cabaran kepada mereka. Harta benda yang boleh dimanfaatkan tetapi dibiarkan atau tidak diusahakan tidak dibenarkan sama sekali dalam Islam sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah hadith:”Sesiapa yang memiliki tanah hendaklah diusahakannya(dimanfaatkannya). ”

Harta benda mempunyai nilai sosial dan ia tidak boleh dimiliki oleh oramg yang tidak akan memanfaatkan nilainya. Maksud lain ialah seseorang yang mempunyai hak terhadap hasil usahanya, tidak boleh mengakibatkan kerugian kepada pihak lain. Rezeki atau harta benda yang dikurniakan oleh Allah tidak boleh dimonopoli atau dikuasai oleh seseorang atau satu kelompok sahaja.

D) KESIHATAN
Kewajipan agama dan tanggungjawab melaksanakan urusan tidak mungkin dapat dipikul oleh orang yang sakit dan lemah fizikalnya. Hadith menyatakan bahawa orang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dikasihi oleh Allah.

Dari perspektif agama, sihat bukan sekadar bebas daripada penyakit atau kecacatan jasmani tetapi juga rohani. Dengan kesihatan, manusia dapat meningkatkan kualiti hidupnya semaksimum yang mungkin dan dapat meningkatkan pengabdiannya kepada Tuhan dan sesama manusia.

Agama amat menekankan kepentingan penjagaan kesihatan dan pencegahan sesuatu penyakit. Apabila ditimpa sesuatu penyakit kita hendaklah segera mengubatinya kerana Allah tidak menurunkan penyakit kecuali diturunkan pula ubatnya. Contohnya apabila kita mendengar wabak penyakit di sesuatu tempat, maka kita hendaklah mengelakkan diri daripada menuju ke tempat itu dan jika kita berada di situ kita diingatkan supaya tidak keluar meninggalkannya.

Antara sifat mulia yang disukai Allah ialah menjaga kebersihan dan ia digandingkan dengan taubat. Taubat membentuk kesihatan minda manakala kebersihan lahiriah pula membina kesihatan fizikal.

Firman Allah:Maksudnya: ”Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman. ” (Al-Maidah:ayat 88)

Ayat ini jelas memberikan panduan kepada kita supaya memilih makanan yang halal dan baik sahaja. Apa yang dimaksudkan dengan halal dan baik ialah makanan yang halal dari sudut hukumnya dan baik serta seimbang dari aspek kesihatan.

E) SAINS BIOLOGI
Kesihatan yang baik dapat diporoleh daripada makanan yang seimbang, baik, halal dari segi syariah. Ahli masyarakat juga perlulah berusaha mendapatkan sebanyak mungkin maklumat tentang bio-teknologi kerana ia amat penting dan berkaitan dengan kehidupan seharian. Pengetahuan yang diperoleh akan membantu kita untuk menentukan halal dan haramnya produk-produk pemakanan yang dihasilkan melalui proses bio-teknologi.

Di samping itu, pengetahuan tentang dunia sains biologi ini juga dapat membantu kita memilih makanan yang amat baik untuk kesihatan. Rasulullah S.A.W sentiasa mengingatkan kita hubungan antara keimanan atau agama seseorang dengan kehidupan duniawinya. Kebaikan di dunia ini dan akhirat tidak dapat dicapai tanpa keimanan yang sempurna serta kesihatan yang baik. Keimanan yang sempurna dapat menjauhkan kita daripada hukuman akhirat. Manakala kesihatan yang baik, dapat menjauhkan kita daripada penyakit-penyakit duniawi.

F) MENIKMATI PERHIASAN HIDUP
Agama Islam tidak pernah menyuruh manusia supaya mengenepikan dan mengabaikan dunia atau memandang perhiasan dunia sebagai sesuatu yang jijik serta diperdaya seseorang oleh syaitan. Sebaliknya Islam menghalalkan perhiasan hidup yang baik, dan mengharamkan pula yang buruk serta kotor.

G) ADAB DAN BUDI
Terdapat pelbagai perkara perkara baik yang diharuskan. Antaranya, makan dan minum, pakaian serta perhiasan, kenderaan, tempat tinggal selain hubungan kelamin yang halal malah juga hiburan, terutama pada hari raya dan dalam sesuatu majlis perkahwinan.

Antara cirri penting bagi masyarakat Hadhari ialah adab dan budi yang tinggi. Masyarakat ini akan menunjukkan akhlak yang tinggi dalam kehidupan seharian mereka, sama ada ia melibatkan urusan agama, sosial dan ekonomi mahupun keluarga.

Mereka mencintai kebaikan dan sentiasa berpegang teguh pada nilai-nilai yang baik seperti sentiasa hormat-menghormati, bantu-membantu, berkasih sayang sesama mereka, tegur menegur dengan penuh hikmah selain sanggup mengorbankan kepentingan diri demi memenuhi keperluan Muslim yang lain.

H) AQIDAH YANG KUKUH
• Agama
Masyarakat hadhari perlu mempunyai prinsip serta komitment yang utuh terhadap agama yang dianuti. Mereka harus mematuhi segala ajaran agama yang meliputi perintah dan larangan Allah S.W.T. Usaha saling berumba untuk melakukan amalam baik dengan ikhlas amat disanjung tinggi, Agama juga memberi panduan hidup dan mendorong mencapai kejayaan di dunia serta akhirat.

Dalam ibadah ritual, apa yang tergambar dalam batin bukanlah sebagai beban tetapi ia sebenarnya dicetuskan oleh kerinduan untuk sering bertemu dengan Allah. Manusia yang beradab, luhur budi serta tinggi akhlaknya akan sentiasa bermuhasabah mencari kesilapan diri dan sentiasa redha sekiranya ia ditimpa musibah kerana memikirkan hikmah di sebaliknya.

• Ekonomi
Bagi muslim yang patuh pada agamanya dan hidup berpandukan jalan yang benar, mereka mempunyai keinginan untuk mencari kekayaan. Walau bagaimanapun kekayaan yang ingin diperoleh adalah dengan cara yang halal.

Masyarakat hadhari yang baik sentiasa mempamerkan falsafah kehidupan yang mantap dari segi rohani dan jasmani, berdisiplin serta memiliki dedikasi yang tinggi terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan kepada mereka dengan niat yang satu, iaitu ikhlas kepada Allah serta berharap agar Allah sentiasa memberkati rezeki mereka.

• Politik
Bidang politik amat penting untuk membangunkan agama, bangsa dan Negara. Tuntutan ini akan mendorong mereka supaya berani mara ke hadapan, mengharungi arus kemajuan dan kemodenan.

Allah memerintahkan supaya hamba-hamba-Nya memilih pemimpin yang adil untuk mentadbir negara, pemimpin yang tidak akan menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi, keluarga serta kaumnya.

Masyarakat hadhari lebih mengutamakan politik yang berasaskan akhlak mulia, tatasusila yang luhur dan ilmu tentang kehidupan manusia sejagat. Pemilihan pemimpin perlulah dibuat berdasarkan penilaian tentang sikap serta hubungannya dengan Allah S.W.T dan juga manusia.

• Sosial dan Keluarga
Masyarakat hadhari mengamalkan kehidupan sosialnya dengan mengutamakan sesuatu yang baik dan menolak sesuatu yang buruk. Dalam pergaulan sesame manusia, mereka sentiasa mematuhi adab-adabnya, bersopan dan berbudi bahasa selain tidak menyinggung perasaan orang lain.

Masyarakat hadhari menjalin komunikasi yang sihat dan akan sentiasa berbincang serta berunding jika timbul sesuatu persoalan atau permasalahan. Sememangnya budaya dan peradaban boleh berkembang, sesuai dengan pemikiran serta kecenderungan manusia. Namun demikian sempadan yang telah ditentukan garisnya harus diambil kira.

• Keluarga dan Rumahtangga
Keluarga dan rumahtangga merupakan unit negara yang terkecil dan daripada rumahtanggalah bermulanya proses pertama pendidikan. Dalam sesebuah keluarga, ibu bapa merupakan pemimpin dan teladan bagi anak-anak mereka.

Keperibadian anak-anak mencerminkan kemampuan ibu bapa untuk mendisiplinkan serta mendidik anak-anak, Salimg hormat-menghormati merupakan kunci utama bagi kejayaan sebuah institusi keluarga. Ianya mempunyai pengaruh yang besar terhadap struktur atau kedudukan sesebuah masyarakat. Teguh atau runtuhnya sesebuah masyarakat bergantung kepada kukuh atau lemahnya institusi keluarga yang dibina.

Kegagalan dalam menerapkan peraturan akan mengakibatkan kegagalan dalam kehidupan. Tugas memimpin rumahtangga merupakan satu tanggungjawab, begitu juga tugas memimpin bangsa. Sebagaimana dalam hadith Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Setiap orang daripada kamu ialah pemimpin dan masing-masing akan dituntut bertanggungjawab atas kepimpinannya. ” (Hadis riwayat Bukhari dan muslim)

Keluarga menjadi tulang belakang bagi keteguhan sesuatu bangsa. Bagaimana mungkin sesebuah bangsa akan bangkit dan teguh sekiranya anggota masyarakat bangsa tersebut tidak memiliki kemampuan dalam pelbagai bidang.

I) PENDIDIKAN
Antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh sesebuah keluarga termasuklah memberikan pendidikan yang sempurna keoada anak-anak. Selain itu, sesebuah keluarga terutama ketua atau pemimpin perlu memastikan kuasa kepimpinan yang dimiliki digunakan dengan penuh bijaksana berdasarkan perhitungan yang tepat.

J) PERATURAN
Peraturan dan keseimbangan dalam kehidupan keluarga dituntut oleh ajaran agama Islam. Anak-anak merupakan anugerah yang tidak terhingga nilainya dan mereka tidak boleh dianggap sebagai suatu beban.

Mereka tidak mungkin dianggap beban yang berat melainkan jika sesebuah keluarga tidak mampu untuk menentukan peraturan dan keseimbangan dalam kehidupan rumahtangga. Negara dan bangsa tidak akan sejahtera sekiranya anggota keluarga bangsa tersebut tidak menghiraukan keseimbangan dalam kehidupan. Maka, keluarga memainkan peranan yang amat penting dalam mengecapi kejayaan sama ada di dunia dan di akhirat.

BAB 3. HADHARI, GLOBALISASI, SAINS DAN TEKNOLOGI

A) HADHARI DAN GLOBALISASI
Cabaran utama globalisasi bagi umat Islam untuk mengambil peluang daripada kesan positif globalisasi dan juga mengekang rempuhan cirri globalisasi yang bersifat negatif.

Umat Islam perlu memberikan tindak balas yang agresif supaya mereka tidak akan terus hanyut dalam arus globalsasi. Jika diteliti masyarakat Timur didapati menjadi pelanggan utama bagi industri-industri hiburan yang memberikan keuntungan yang besar kepada Barat. Melalui cara inilah sebenarnya penyerapan budaya dan nilai-nilai negative melunturkan akhlak, akidah, kesopanan dan kesusilaan.

Negara-negata Barat bijak memanipulasikan politik dan ekonomi mereka untuk menceroboh dunia-dunia Islam dan sekali gus menodai kedaulatan PBB. Oleh itu hanya dengan bersatu padu, umat Islam akan dihormati dan tidak lagi dipandang rendah oleh orang lain, khususnya musuh-mush Islam.

B) SAINS DAN TEKNOLOGI
Penerokaan serta pembangunan sains dan teknologi perlu menjadi agenda utama umat Islam. Ini kerana bidang-bidang sains dan teknologi daripada persenjataan hinggalah bio-industri masih lagi dikuasai oleh orang bukan Islam.

Umat Islam sentiasa ketinggalan kerana mereka tidak memiliki semangat, keinginan dan ketekunan untuk mencapai keunggulan dalam ilmu-ilmu konvensional ini. Negara Islam masih lagi bergantung harap pada Negara barat dari segi produk sains dan teknologi. Oleh itu umat Islam perlu menjadi peserta dalam perbincangan-perbincangan berkaitan dengannya.

Kita perlulah menghasilkan lebih ramai saintis Muslim yang menghasilkan produk sains dan teknologi yang memberikan manfaat kepada manusia, bukannya memudaratkan manusia atau yang mementingkan keuntungan semata-mata.

C) TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI
Bangsa yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang ini akan melangkau maju ke hadapan. Penguasaan ilmu dalam bidang lain akan mudah diraih sekiranya bidang ini dikuasai terlebih dahulu, terutamanya dalam era dunia tanpa sempadan dan globalisasi.

Bangsa yang menguasai teknologi akan melonjak ke persada kegemilangan tamadun agung. Begitu juga bangsa yang menguasai ilmu pengetahuan, merka akan dapat menanamkan nilai-nilai positif dalam diri mereka.

D) HADHARI DAN PERLAKSANAANNYA
Langkah membentuk kesejahteraan hidup di dunia juga sebenarnya menyediakan peluang kesejahteraan hidup di akhirat kelak. Malaysia disifatkan sebagai sebuah Negara yang dibina di atas konsep hadhari iaitu Islam. Malaysia telah dibina atas dasar pembinaan bangsa Malaysia serta negara yang bertamadun dan ia berjaya membangun berlandaskan strategi yang kukuh dan berkesan.

Institusi pendidikan Islam membangun dengan pesatnya. Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Kolej-kolej Islam, Universiti Islam dan sebagainya telah dibina dengan falsafah penubuhannya bertujuan untuk melahirkan generasi Muslim masa hadapan yang berakhlak, tinggi ilmu serta luhur budinya.

Kita perlu menyediakan asas yang kukuh untuk memastikan bahawa peradaban yang hendak dibina oleh kita ini akan terus kukuh. Asas yang penting dalam pendekatan hadhari ni ialah ilmu-ilmu Islam, sains dan teknologi.

E) CENDEKIAWAN ISLAM
Antara tokoh-tokoh cendekiawan Islam yamg banyal memberi sumbangan kepada masyarakat masing-masing ialah Ibn Rusyd, Al-Farabi, Al-Biruni dan sebagainya. Mereka bukan sahaja memberikan sumbangan kepada masyarakat malah meninggalkan khazanah serta warisan ilmu yang masih digunakan sehingga hari ini.

Al-Biruni sebagai contoh, bukan sahaja menguasai bidang astronomi tetapi turut mahir dalam bidang-bidang yang lain seperti fizik, matematik, perubatan, geologi dan juga bahasa.

F) NEGARA ISLAM
Prinsip toleransi yang dianjurkan oleh Islam dan telah dilaksanakan sepenuhnya oleh pemerintahan Islam semenjak zaman Rasulullah s.a.w. masih lagi dapat dilihat dan dirasai oleh masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia.

Prinsip pembangunan secara bersepadu dan menyeluruh sentiasa diamalkan bagi kepentingan Negara. Ini dapat dilihat pada kesungguhan serta kegigihan kerajaan dalam menggubal segala dasar dan melaksanakannya untuk memastikan supaya Negara mencapai taraf Negara perindustrian yang maju.

Selain mengamalkan keadilan, toleransi dan usaha pembangunan yang mampu meningkatkan syiar Islam, Malaysia merupakan Negara Islam contoh yang telah menunjukkan potensi yang amat tinggi untuk muncul sebagai Negara Islam pertama di dunia yang akan mencapai taraf Negara maju.

BAB 4. KEPENTINGAN DIMENSI SPIRITUAL DAN MATERIAL DALAM HADHARI

Keutamaan bagi dimensi material perlu diberi keutamaan dalam usaha kerajaan untuk melaksanakan Hadhari. Namun demikian aspek spiritual tidak harus diabaikan kerana memang manusia berasal daripada dua unsure ciptaan iaitu material(tanah) dan spiritual(roh).

Mengambil berat terhadap dunia sebagai tempat dimana kita dijadikan khalifah, diperintah untuk beribadah dan untuk memakmurkannya adalah bukti konkrit dari perhatian kepada dimensi material.

Islam tidak pernah melarang pengikutnya untuk bekerja bagi memperoleh dua kebaikan sekaligus duniawi dan ukhrawi. Islam menganggap bekerja untuk menbangunkan dunia sebagai amal soleh, jika didasari niat yang soleh, tidak menzalimi hak orang lain dan tidak meninggalkan peribadatan kepada Allah.

Walau bagaimanapun janganlah jadikan dunia sebagai yang utama dengan mengenepikan kepentingan akhirat. Sebahagian kaum Muslimin ada yang dianugerahi rezeki duniawi terlebih dahulu, kemudian mendapatkan bahagian ukhrawi, sebagaimana diberitakan dalam al-Quran pada firmannya yang bermaksud:

Kerana itulah Allah memberikan pahala di dunia dan pahala yang baik di akhirat. Dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebaikan. ”

Harta merupan bukti lain dari perhatian Islam kepada keduniaan. Harta tidak dianggap hal yang buruk, tetapi sebalknya ia merupakan nikmat dan kebaikan. Oleh itu, apabila didapatkan dengan cara yang baik(halal), kita mestilah menginfakkannya kepada jalan yang benar, dan tidak dilalaikan dari hak-hak yang berkaitan dengannya. Nabi Muhammad S.A.W telah berdoa:
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu petunjuk dan ketakwaan, perlindyngan dari hal yang subahat dan memohon kecukupan. ” (Maksud hadus riwayat muslim)

A) MENIKMATI KURNIAAN KEHIDUPAN
Merasai kenikmatan kehidupan duniawi termasuk salah satu zahiriah material. Allah tidak mengharamkan sesuatu yang baik yang telah diciptakan-Nya untuk manusia.

Muamalah dalam harta merupakan bahagian yang sangat besar dalam fiqh Islam. Ini bertujuan meluruskan interaksi bersandarkan pada asas keadilan, jauh dari kezaliman, penipuan dan sebagainya.

B) PERHATIAN TERHADAP JASMANI
Dimensi material amat penting dan perlu dititikberatkan bersama. Perhatian kepada jasmani dan penjagaan fizikal dari segi kesihatan dan keselamatan, kebersihan dan penampilan, kekuatan dan kelunturan juga perlu diberi perhatian.

KESIMPULAN

Hadhari memberikan penekanan kepada pemerintahan yang adil bukan hanya untuk orang Islam. Keadilan dalam Islam adalah untuk semua, walaupun jua terhadap musuh Islam sendiri.

Konsep Hadhari nasih belum difahami secara menyeluruh oleh masyarakat Islam. Tanpa penjelasan yang mendalam dan bersifat menyeleruh, konsep ini hanya akan menjadi slogan dan retorik semata-mata. Kegagalan politik Islam untuk memberikan alternative bagi perjuangan menegakkan kembali tamadn Islam zaman moden, membolehkan pendekatan hadhari menjadi pemangkin bagi perpaduan di kalangan umat Islam. Oleh itu, konsep Hadhari ini perlu dijelaskan secara menyeluruh dan mendalam.

No comments: