Thursday, April 16, 2009

Poligami Sebelum Kedatangan Islam

Oleh: Dyg Norhasnita Binti Abang Hassan

Penghargaan
Dengan nama allah yang maha pemurah dan maha penyayang. Dialah yang maha berkuasa yang tidak ada kuasa lain yang dapat menandinginya. Selawat dan salam untuk nabi junjungan, nabi muhammad s.a.w dan segenap orang yang soleh.

Setinggi penghargaan saya lahirkan kepada mu’allim yang saya hormati, Ustaz Abdul Aziz Bin Harjin. Semoga Allah memberikan keselamatan dan kesejahteraan keatasnya atas ilmu yang dicurahkan dalam mendidik anak bangsa menuju jalan keselamatan dan kesejahteraan.

Ribuan terima kasih juga saya ucapkan kepada pengarang buku ini iaitu akhi Hj Dusuki Bin Haji Ahmad. Saya doakan dirinya sentiasa dalam perlindungan Allah dan bersama-sama dengan orang yang soleh. Walaupun buku ini merupakan sebuah buku yang lama, iaitu dikarang pada Ogos 1975, tetapi ianya banyak memberi manfaat kepada umat Islam. Semoga Allah merahmati sumbangan beliau dalam menegakkan syiar Islam.

Rasa bersyukur tidak terhingga kerana Allah telah mengurniakan saya sahabat-sahabat yang memahami dan menyenangkan. Mereka juga banyak memberi tunjuk ajar dikala saya memerlukan.

Syukran atas bantuan semua pihak dalam penghasilan folio ini. Semoga Allah memberi rahmat keda kalian. Akhirul qalam, semoga kita semua lebih memahami setiap sesuatu yang telah diturunkan Allah. Sesunggunya, tiada suatu pun kecacatan pada peraturan-Nya.

“ Katakanlah: Dialah, Allah yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada seorang pun yang setara dengan-Nya (Al-Ikhlas, 1-4) Sesungguhnya, yang baik itu datang dari Allah, yang buruk itu datang dari diri saya sendiri.

Allah menjadikan manusia, dihadiahkan akal untuk berfikir dan memilih antara yang baik dan buruk, yang bersih atau yang kotor. Dengan adanya akal ini, manusia dapat memimpin nafsunya ke jalan yang aman dan sejahtera. Kerana nafsu merupakan rahmat darinya, maka Allah membuat satu perundangan berkaitan dengan perkahwinan. Apa yang menjadi kepelikan dan ketakjuban kita ialah, terdapat tuduhan yang mengelirukan terhadap syariat poligami yang dibawa oleh Islam. Ada juga diantara wanita Islam sendiri yang kononnya ingin memperjuangkan hak asasi mereka, melaung-laung dan bersuara lantang menyuarakan kebencian mereka terhadap poligami.

Buku ‘Poligami Dalam Islam’ ini membicarakan dan mengkaji rahsia-rahsia dan hikmah poligami dari kaca mata Islam. Mengapakah poligami diharuskan oleh Islam dan apakah tujuannya. Kerana akal manusia itu terbatas dan mempunyai dinding tertentu untuk memikirkan sesuatu, maka, perlunya ada pemimpin untuk memimpin akal ke jalan yang benar.

Buku ini juga pembicaraan tentang poligami yang diamalkan oleh Rasulullah. Ianya dibicarakan berasingan kerana golongan anti-Islam selalu benar ingin menjatuhkan Islam melalui poligami yang diamalkan oleh baginda.

Dengan adanya review buku ini, maka semoga umat Islam itu faham akan hikmah-hikmah hukum yang ditentukan Allah. Semoga iman kita semakin kukuh untuk membidas hujah-hujah musuh Islam yang sering mencari jalan untuk memusnahkan Islam.

Wallahualam. Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah dan segala yang buruk itu datang dari kelemahan manusia sendiri.  

Beristeri tunggal merupakan pokok dalam Islam. Sejak dahulu hingga kini, sisitem itu berlaku dalam majority dalam masyarakat Islam. Tegasnya masyarakat Islam tidaklah boleh disifatkan sebagai masyarakat yang berbilang isteri. Amalannya adalah terbatas kepada beberapa golongan kecil sahaja dan pada umumnya bertali kepada kelemahan tertentu yang memaksa kaum lelaki berpoligami. Golongan bukan Islam mengharamkan poligami tetapi jelas melakukan penghinaan kepada kaum wanita. Sepertiagama Buddha yang mengatakan hidup seseorang tidak akan selamat sekiranya bersama wanita, juga agama Hindu yang menghalalkan cara bertukar-tukar isteri untuk mendapatkan zuriat. Masyarakat Arab Jahiliyyah juga tidak kurang hebatnya dengan mengadakan pelbagai jenis perkahwinan yang jelas menghina martabat kaum wanita.

Islam datang memberi cahaya kepada seluruh umat. Islam datang dengan membawa hukum poligami yang membela nasib kaum wanita dan boleh menyelesaikan masalah kaum lelaki. Namun begitu, poligami yang diajar oleh baginda Rasulullah s.a.w mempunyai hukum yang ketat dan menjadikan keadilan itu sebagai elemen yang terpenting. Syarat-syarat poligami yang diperbolehkan Islam ialah berkuasa menanggung nafkah iaitu nafkah zahir, boleh mengadakan keadilan kepada para isteri, dan memastikan bahawa keputusan yang dibuat tidak akan merosakkan isteri pertama dan anak-anaknya.

Hikmah poligami yang diamalkan ialah dapat menjamin sifat kemuliaan orang Islam, boleh membiakkan keturunan, dan boleh mengurangkan amalan zina dan pelacuran.

Poligami yang diamalkan oleh umat Islam dapat menyelesaikan pelbagai masalah kekeluargaan. Namun begitu, ia tidaklah boleh diamalkan sewenang-wenangnya.

Sepertimana firman Allah dalam surah an-Nisa’, ayat 3“Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (bilamana kamu mengahwininya), maka kahwinlah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi; dua, tiga atau empat. Kemudian, jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah)seorang sahaja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya. ”

Secara kesimpulannya, Islam mengharuskan poligami untuk menjadi jalan tengah dalam meyelesaikan masalah kekeluargaan. Ianya dapat menjamin maruah sesuatu bangsa.


POLIGAMI SEBELUM KEDATANGAN ISLAM
Pada beberapa peringkat dalam perkembangan sosial dan masyarakat, system poligami merupakan satu hal yang tidak boleh dielakkan. Faktor-faktor peperangan yang sering berlaku mengurangkan bilangan kaum lelaki yang biasanya berkuasa dan menjadi pemimpin kaum perempuan. Faktor-faktor tersebut adalah diantara perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan pada zaman silam.

Sejarah telah membuktikan bahawa amalan poligami di Barat adalah satu kebiasaanyang dibolehkan. Walau pada hakikat perundangannya, ia ditegah dan diharamkan. Keadaan ini berjalan dengan suburnya dalam bentuk yang nyata sehingga tiba kepada zaman pemerintahan Constantin, raja Roman tua. Memandangkan amalan poligami berkembang dengan biaknya di negerinya dan di tanah jajahan, dia pun menggubal undang-undang baru dalam soal perkahwinan. Poligami diharuskan dengan syarat-syarat tertentu. Ianya hanya khusus untuk golongan tertentu seperti golongan pembesar. Poligami mestilah dengan kerelaan isteri pertama dan segala keistimewaan hanya untuk isteri pertama sahaja. Anak-anak yang lahir dari isteri kedua, ketiga dan seterusnya ditegah mempusakai harta pusaka dan tidak mempunyai hak dalam pertalian keluarga. Mereka diperlakukan sebagai hamba dalam masyarakat. Kehidupan wanita lebih hina dari sebelumnya. Alam keluarga penuh dengan pergolakan dan pepecahan. Golongan wanita pada masa itu tidak lebih dari hanya alat untuk menghilangkan perasaan durjana lelaki.

Dengan adanya masyarakat sebegini, terjadilah pergaulan antara lelaki dan perempuan tanpa batasan dan tidak sopan. Pelacuran tersebar luas disegenap ceruk. Akhirnya, perempuan pada anggapan mereka hanyalah makhluk tuhan yang hina, tidak ubah seperti syaitan. Boleh dijual beli dan tawar-menawar untuk memiliki mereka. Penguasaan ini hanya merupakan simpanan untuk dijadikan alat untuk melepaskan nafsu semata. Tidak untuk menjaga atau mengurus rumahtangga.

Anggapan begitu adalah hasil dari pengajaran institusi gereja sendiri. Mengikut pendapat Kristian, dosa asli manusiaadlah tanggungjawab wanita. Ini lantaran Hawa yang mempengaruhi Nabi Adam a.s memakan buah Khuldi hingga tercampak kedunia. Dengan demikian, Hawa yang mewakili seluruh kaum wanita bertanggungjawab atas dosa tersebut dan berhak diperlakukan demikian.


Di Timur pula, pengajaran agama Hindu merupakan penghinaan yang nyata terhadap kaum wanita.

- Seorang isteri yang tidak dapat melahirkan anak lelaki diharuskan berseketiduran dengan lelaki lain yangdifikirkan melahirkan anak lelaki.

- Seorang bapa diharuskan menjual anaknya kepada orang lain terutamanya kepada golongan yang berkasta lebih tinggi atau kepada ahli-ahli agama atau kepada dharmakarta, iaitu orang yang ada kaitan dengan tempat ibadat.

Konsep wanita dalam agama Budha lebih menghinakan lagi. Ajaran mereka dengan jelas ada mengatakan bahawa keselamatan seseorang tidak akan dapat dicapai apabila seseorang itu terlibat dengan pergaulan dengan kaum wanita. Hidup berdampingan dengan kaum wanita adalah berlawanan dengan cita-cita tertinggi kaum wanita. Ahli-ahli agama mereka membandingkan wanita itu sebagai jerat yang ditebarkan kedalam kaum lelaki.

Dalam masyarakat Cina terdapat satu kebiasaan iaitu tradisi berbilang isteri atau dikenali sebagai gundik. Tradisi ini berkembang kerana factor kepercayaan mereka yang menggalakkan beranak ramai untuk menyukakan datuk nenek mereka. Datuk nenek mereka akan berbangga dengan adanya keturunan yang ramai. Tradisi bergundik pada masa ini adlah sebagai jalan keluar untuk mengelakkan penceraian yang memecahkan keluarga.

Bagi bangsa Arab poligami merupakan satu lumrah. Disamping itu terdapat adat-adat perkahwinan yang sungguh mendukacitakan dan menyedihkan seluruh masyarakat yang berkebudayaan. Jeritan dan pekikan kaum wanita sayup kedengaran, mengharapkan pembelaan atas nasib mereka. Kebanyakan perkahwinan adalah ditradisikan untuk melepaskan nafsu syahwat semata. Antara perkahwinan yang diamalkan oleh masyarakat Arab Jahiliyyah ialah;
a. Nikah Al-Badal
Nikah Al-Badal bermaksud pernikahan bertukar-tukar isteri, adik-adik perempuan dan keluarga wanita yang cantik-cantik. Suami yang ingin menukar selera boleh menawarkan diri untuk mendapatkan rasa baru dari isteri orang lain atau dari salah seorang dari keluarga orang itu dengan syarat ia berkesanggupan untuk menyerahkan kehormatan isterinya atu kehormatan salah seorang dari ahli keluarganya untuk orang tersebut.

b. Perkahwinan sewa atau gadai
Contohnya, seorang miskinyang berjiran dengan orang kaya. Sekiranya dia kesempitan wang atau sara hidup, maka dia boleh menyewakan atau menggadai isterin atau anaknya kepada orang kaya tadi mengikut kepada perjanjian yang dipersetujui.

c. Nikahul-Mut’ah
Merupakan cara perkahwinan yang paling digemari oleh ahli-ahli perniagaan yang tiba di kota Mekah pada waktu itu. Mereka memerlukan teman untuk beberapa ketika. Atas dasar itulah, mereka mengamalkan nikah mut’ah iaitu pernikahan sementara dengan menentukan bila berakhirnya masa perkahwinan tersebut dengan bayaran.

d. Nikahul-Muqti
Perkahwinan yang membenarkan anak lelaki sulung mempusakai isteri ayahnya setelah ayahnya meninggal dunia atau setelah bercerai. Sekiranya bekas ibu tirinya itu tidak menarik minatnya atau dia memerlukan wang, maka ibu tiri itu boleh dijual kepada orang lain dengan cara sewa, gadai atau sebagainya.

e. Ziwajul-Akhdan
Ziwajul-Akhdan merupakan perkahwinan kongsi. Contohnya, di suatu kampung terdapat wanita yang cantik yang dicintai dan diingini oleh ramai lelaki. Lelaki-lelaki yang mencintainya itu boleh berkahwin dengan perempuan tersebut secara kongsi. Perkahwinan jenis ini tidak mempunyai had, asalkan dia termasuk didalam kongsi, maka dia berhak keatas wanita tersebut.

POLIGAMI DALAM ISLAM
Pengutusan Nabi Muhammad s.a.w kedunia membawa sinar Islam seterusnya mengangkat martabat kaum wanita. Dalam masalah poligami, agama Islam tidak menerima dan mengikut cara poligami yang diketahui oleh peradaban lama, tetapi memberikan penentuan yang tidak diketahui sebelumnya serta menyusun dan membataskan kemutlakan cara lama itu.

Di akhir tahun kelapan Hijrah, turun ayat Al-Quran, iaitu ayat yang menentukan pengharusan poligami setakat empat orang sahaja. Surah An-Nisa’ ayat 3 yang bermaksud;

Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (bilamana kamu mengahwininya), maka kahwinlah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi; dua, tiga atau empat. Kemudian, jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah)seorang sahaja, atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya. (QS An-Nisa’, ayat 3)

Berlaku adil yang dimaksudkan dalam surah diatas adalah dari segi lahiriyyah seperti pakaian, tempat tinggal, giliran beermalam dan lain-lain. Hikmah penurunan surah ini ialah;
a. Memperbetulkan perbuatan orang-orang Arab Jahiliyyah yang memperlakukan anak-anak perempuan mereka sesuka hati dan perbuatan berkahwin banyak tetapi tidak dapat melahirkan keadilan.

b. Mengatur cara-cara berpoligami. Sebelum itu orang-orang Arab beristeri sebanyak-banyaknya selagi mereka suka dan terdaya.

Ditengah-tengah masyarakat yang bergelumang dengan poligami yang kotor, datanglah Islam dengan peraturan yang sihat dan sesuai dengan sifat semulajadi manusia untuk seluruh umat manusia. Agama Islam tidak mengharamkan poligami dan tidak juga mengharuskannya secara mutlak. Tetapi agama Islam datang dengan menentukan syarat-syarat yang membolehkan berpoligami dan membataskan bilangannya kepada empat orang sahaja.


SYARAT-SYARAT POLIGAMI

= Berkuasa menanggung nafkah
Yang dimaksudkan dengan nafkah disini adalah nafkah zahir. Para ulama bersepakat bahawa apa yang dikatakan berkuasa menanggung nafkah disini adalah berkuasa menanggung makanan, pakaian dan tempat tinggal dengan isteri-isteri.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;
“Wahai sekalian pemuda, sesiapa yang diantara kamu yang berkuasa mengeluarkan nafkah maka hendaklah kamu kahwin dan sesiapa yang tidak berkuasa, hendaklah berpuasa. ”

Ini memberi kefahaman bahawa junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w menggalakkan lelaki yang cukup syarat untuk berkahwin. pemuda yang tidak berkemampuan untuk memenuhi syarat tersebut tidak digalakkan untuk berkahwin walaupun anggota seksualnya segar dan subur. mereka dianjurkan untuk berpuasa.

= Keadilan antara para isteri
Keadilan yang dimaksudkan adalah khusus kepada perkara-perkara yang dapat dilakukan oleh suami mengikut tabiat semulajadi manusia. Perkara-perkara tersebut ialah perkara seperti makan, minum, pakaian, tempat tinggal, giliran bermalam serta waktu yang dapat dihabiskan oleh suami untuk isteri-isterinya

ini tidak termasuk keadilan yang meliputi perkara-perkara yang tidak dapat dilaksanakan sebagai seorang manusia seperti kecenderungan hati, perasaan kasih sayang dan segala yang bersangkut paut dengannya dari kesan-kesan perhubungan khas antara seorang lelakidan wanita.

Firman Allah;“Dan kamu sekali-kali tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri(mu), walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian, karena itu janganlah kamu terlalu cenderung (kepada yang kamu cintai), sehingga kamu biarkan yang lain terkatung-katung. Dan jika kamu mengadakan perbaikan dan memelihara diri (dari kecurangan), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. : [An Nisaa’:129]

Firman Allah SWT dalam ayat diatas bertujuan untuk melapangkan kesempitan dada para suami lantaran merasa diri tidak dapat berlaku adil diantara para isteri dari segi rohani.
Seolah-olah dikatakan kepada mereka; keadilan yan g dituntut itu bukanlah sebahagian yang kamu fahamkan lalu sempitlah dada kamu untuk menerimanya atau kamu berasa serba salah dan sukar akan perbuatan poligami yang telah diharuskan oleh Allah.

= Tidak merosakkan isteri pertama dan anak-anaknya
Ada sebilangan kecil ulama yang ingin mengetatkan lagi peraturan poligami dengan menambahkan syarat tersebut sebagai syarat ketiga disamping syarat nafkah dan keadilan. Setiap orang yang beristeri banyak dan mempunyai kesanggupan untuk itu dalam mengeluarkan nafkah dan melakukan keadilan, terpaksa pula berkeyakinan penuh mengikut perhitungan yang jujur bahawa perkahwinan yang kedua tidak merosakkan isteri pertama dan anak-anak.

Tujuannya adalah untuk memuliakan golongan wanita yang disifatkan Allah sebagai al-Jinsul Latif iaitu jenis yang lembut, agar jiwa dan perasaannya tidak terseksa, anak-anaknya tidak terbiar dan liar dalam menghadapi pertumbuhan jasmaninya dan juga tidak menimbulkan ejekan dan fitnah.

HIKMAH PENGHARUSAN POLIGAMI

= Menjamin sifat kemuliaan umat Islam
Islam mengadakan peraturan-peraturan yang bertujuan untuk memimpin manusia daripada terjerumus ke jurang kehinaan dan kecelakaan. Islam menjamin kemuliaan umat manusia untuk membina kehidupan mereka didunia dan akhirat sebagai hamba Allah yang sempurna.

Antara beberapa sebab lelaki berkeinginan untuk berpoligami ialah;
- Sifat semulajadi wanita
Sepertimana yang kita sedia maklum, wanita mempunyai tempoh tertentu yang tidak boleh dihubungi oleh suaminya. Contohnya waktu haid dan nifas. Kadang-kadang pula didapati isteri dalam kesakitan dalam tempoh mengandung dan menyusukan anak. Keadaan-keadaan yang sedemikian menyebabkan suami tidak mungkin dapat menghampirinya. Bagi suami yang mempunyai nafsu yang bergelora, sudah tentu ingin mencari jalan untuk meredakan nafsunya kiranya tempat untuk meredakan nafsu itu bukan tempat yang halal, sudah tentu ia mencari tempat yang haram.

- Nafsu yang tidak terbatas
Berdasarkan nafsu dan tabiat inilah, maka dalam Islam menetapkanperaturan-peraturan yang menetapkan soal poligami. Kepada mereka yang tidak dapat mengawal nafsunya dan mempunyai keupayaan nafkah dan kesanggupan melakukan keadilan, agama Islam membentangkan kepada mereka apa yang boleh memuaskan kemahuan mereka dalam bidang-bidang yang halal, agar mereka tidak dipandu oleh syaitan.

- Nafsu lelaki yang mempunyai keistimewaan
Perbandingan pertumbuhan jasmani di antara nafsu lelaki dan nafsu perempuan jelas menunjukkan bahawa kaum lelaki mempunyai kekuatan yang lebih, baik dari segi kemahuan, keperkasaan dan nafsu. Yang paling ketara sekali ialah tentang nafsu, samada wanita dari Barat atau Timur, dari negara sejuk atau panas. Hal ini tidak hairanlah apabila kita melihat kebanyakan wanita dalam lingkungan 50-an sudah kelihatan tua. Nafsu berahinya juga tidak sekuat suaminya. Kadang- kadang dalam waktu ini juga haidnya telah putus yang mengakibatkan kesanggupan untuk melahirkan anak sudah tiada lagi. Berlainan halnya dengan kaum lelaki. Walaupun umurnya telah melebihi 50-an badan dan kulitnya masih perwira. Nafsu berahinya tetap kuat hampir menyamai pemuda- pemuda 20-an.

- Naluri ingin memonopoli kuasa dan tanggungjawab
Naluri ingin memonopoli kuasa dan tanggungjawab kaum lelaki melebihi kaum perempuan dalam semua hal dan keadaan, walaupun kaum wanita cergas, cekap, kaya dan sebagainya. Hal ini adalah kerana sifat wanita itu sendiri yang mahu dikuasai dan dilindungi oleh kaum lelaki.
Kaum wanita sangat megah dan bangga sekiranya bersuamikan seorang lelaki yang berani, gagah, pintar dan sebagainya. Sifat-sifat ini merupakan unsur utama sebagai cirri kesempurnaan tanggungjawab.

= Membiak keturunan
Poligami yang diharuskan dalam Islam adalah tidak lain dan tidak bukan untuk menyelesaikan masalah antara kekeluargaan seperti masalah zuriat.
Sabda Rasulullah s.a.w;
Kahwinlah dan berbiaklah kamu, sesungguhnya aku bermegah dengan golongan kamu yang ramai pada hari akhirat.

Baginda Rasulullah sendiri menggesa umatnya untuk membiakkan keturunan. Hal ini tidak akan dapat dicapai sekiranya seorang isteri itu mempunyai masalah dalam melahirkan zuriat. Masalah-masalah sebegini hanya dapat diselesaikan dengan adanya poligami.

= Mengurangkan amalan zina dan pelacuran
Amalan poligami diharuskan bukannya untuk melepaskan nafsu syahwat, tetapi untuk menjaga keselamatan umat dan bangsa didunia ini. Kaum wanita akan lebih terhormat apabila berkahwin dengan jalan yang halal daripada menjaddi pelacur atau perempuan simpanan yang tidak mempunyai apa-apa hak, baik untuk dirinya atau untuk anak-anaknya. Seorang perempuan itu juga lebih terhormat berkahwin daripada menjadi anak dara tua atau janda tiada menikmati apa-apa tentang kehidupan.

AKIBAT YANG LAHIR TANPA POLIGAMI

> Suami yang mengalami tekanan batin akibat isteri yang tidak mampu untuk menunaikan tanggungjawabnya terpaksa mengeluarkan belanja menyewa perempuan untuk melempiaskan nafsunya.
> Lebih dahsyat lagi, terdapat pihak yang meruntuhkan kebahagiaan rumah tangga orang lain. Dia tidak mengizinkan dirirnya untuk menjadi isteri muda secara halal, tetapi dilakukan secara haram. Lebih menjelekkan lagi, ada yang sudah puas hidup secara haram, lalu dimintanya suami orang lain menceraikan isterinya agar dia dapat menguasai sepenuhnya lelaki tersebut.
> Dunia akan menjadi kucar-kacir tanpa mengenal peraturan Islam. Pelacuran disana-sini. Anak-anak kehilangan kasih sayang.

ORANG-ORANG BARAT CUBA BERPOLIGAMI
Sebagaimana yang telah diterangkan bahawa poligami di Barat adalah diharamkan. Setengah mereka mengatakan bahawa pengharaman itu adlah disebabkan oleh agama Kristian sendiri yang mengharamkannya, sedangkan tiada satu ayat pun dalam Injil yang menyatakan pengharaman tersebut. Pengharaman yang diwujudkan adalah didasarkan kepada warisan suasana Barat yang tidak mengizinkan poligami.

Lantaran pengharaman ini, terbentuklah satu kesulitan besar dinegara-negara Barat selepas perang dunia. Di Jerman, menurut statistic yang dibuat pada tahun 1925, kaum wanita melebihi kaum lelaki sebanyak 90%. Ini bererti nisbah antara lelaki dan wanita ialah 1:10. Untuk membanteras kesulitan ini, ahli Parlimen Jerman, Mr. Edward telah memecahkan tradisi dengan menyuarakan seorang lelaki boleh mengahwini lebih dari seorang perempuan. Seterusnya, usul ini mendapat tentangan yang hebat daripada ahli Parlimen yang lain. Walaubagaimanapun, mereka sebulat suara bersepakat untuk mengharuskan lelaki menyimpan sebanyak mana wanita yang mereka sukai disamping seorang isteri yang sah.

Di Rome pula, dengan lantangnya Galeto menyuarakan pada parlimen tentang isu berkahwin lebih dari satu. Menurutnya, hal demikian dapat mengurangkan kadar pelacuran dan ank luar nikah.
Remyde Goumout, seorang warga Peranchis pula menyatakan, “ Dalam tiap-tiap masyarakat yang mengamalkan monogami, maka tidak dapat dielakkan pelacuran itu semakin menjadi-jadi. Pelacuran itu boleh berkurang dalam masyarakat yang mengamalkan poligami. Usaha masyarakat Barat kearah peraturan poligami adalah terlalu terbatas dan tipis sekali. Maka, selama itulah dunia Barat berkecamuk dalam penzinaan. ”

T. George Anguetil, seorang ahli ilmu masyarakat Peranchis dalam bukunya yang bertajuk “ Lamai Tresse Lelegimitime” menyatakan bahawa;
- Poligami akan menghilangkan pelacuran.
- Ia akan dapat melenyapkan sesuatu yang berbahaya yang membunuh keturunan manusia.
- Ia akan melenyapkan sebab-sebab dari keadaan penceraian, kejahatan, percintaan, kepincangan rumahtangga, krisis kekurangan tenaga pekerja, pembunuhan anak dan sebagainya.
- Akan memberi kesempatan kepada berjuta-juta kaum perempuan untuk merasai kenikmatan cinta yang sebelum itu terpaksa hidup membujang.
- Ia akan menimbulkan perkahwinan yang sihat dan menimbulkan kehamilan yang sah.
- Ia akan menghilangkan pembunuhan yang kejam dan membentuk keturunan yang baik.
Tetapi sungguh mendukacitakan, segala fikiran yang baik yang dikeluarkan oleh otak yang sihat telah ditolak begitu sahaja tanpa alasan yang kukuh hingga menimbulkan suasana yang tidak bermoral dinegara Barat.

MENGAPA ISLAM TIDAK MENGHARUSKAN POLIANDRI

Poliandri merupakan istilah bagi perkahwinan yang berbilang isteri. Tradisi sebegini biasanya diamalkan oleh orang Eskimo, penduduk pergunungan Himalaya dan lain-lain kaum yang masih primitif dan mundur budayanya.

Telah menjadi pertanyaan dan persoalan, mengapa Islam mengharuskan poligami tetapi mengharamkan poliandri, sedangkan perempuan-perempuan juga bernafsu seperti lelaki. Bahkan nafsu mereka lebih bergelora. Adakah agama Islam membezakan diantara lelaki dan perempuan ataupun agama Islam hanya menjaga kepentingan lelaki sahaja.

Sebenarnya Islam tidak membezakan antara lelaki dan perempuan ataupun menjaga kepentingan yang tertentu sahaja. Tetapi yang penting bagi Islam ialah menjaga sifat-sifat semulajadi makhluk Tuhan.

Diantara sifat semulajadi seorang lelaki ialah mahu menjadi pemimpin dan mahu menguasai perempuan. Sebaliknya, sifat semulajadi perempuan pula mahu dipimpin dan dikuasai. Diketahui umum juga, jasmani kaum wanita adalah lebih lemah jika dibandingkan dengan jasmani lelaki. Sifat-sifat ini jelas boleh dipandang dengan mata.

Perempuan juga mempunyai waktu-waktu yang tertentu untuk haid. Perempuan juga melahirkan anak dan menyusukan, mengawasi darah-darah, nifas dan istihadhah. Musim-musim begini membuatkan wanita benar-benar uzur dan tidak terdaya. Pada masa ini juga, wanita mengalami rohani dan jasmani yang lemah yang tidak memungkinkan suami untuk menghampirinya.

Perempuan juga adalah gedung benih, tempat menyimpan dan menyuburkan benih lelaki. Kiranya benih tersebut dicampur aduk oleh ramai lelaki, sudah tentu kita tidak mengetahui milik siapa anak yang dikandung. Ini sudah tentu akan menimbulkan pertelingkahan antara anak-anak dan suami-suami. Kepada siapakah anak itu harus diserahkan kerana para suami mempunyai waktu yang sama bergaul dengan isterinya.

RASULULLAH SAW BERPOLIGAMI

Mengapa Rasulullah berkahwin lebih dari satu.

* Orang-orang Arab sebelum kedatangan Islam boleh dan harus berkahwin dengan seberapa banyak wanita yang mereka sukai. Ianya menjadi tradisi juga pada masyarakat lain pada ketika itu. Oleh yang demikian, poligami bukanlah menjadi suatu kejanggalan dikalangan mereka.

* Poligami merupakan satu jalan tengah iaitu penyatuan diantara memenuhi seruan pemikiran dan tabiat semulajadi dengan melaksanakan kepentingan perasaan dan syahwat menurut kepentingan yang bersesuaian. Syariat begi ni tentulah dapat melaksanakan sikap yang pertengahan dan adil sehingga tidaklah tersekat kalau ada perkara-perkara yang membolehkan atau perkara-perkara yang memaksa seperti sakit atau mandul atau menyelamatkan wanita-wanita yang belum menjadi isteri dari kepayahan hidup atu sebagainya. Tetapi pintu poligami ini tidaklah dibuka dengan seluasnya dan dilepaskan sehingga orang lelaki boleh membuat sesuka hati tanpa batasan atau tanpa memperdulikan tanggungan moral dan material.

* Baginda Rasulullah s.a.w mengahwini isteri-isterinya pada ketika ayat poligami belum diturunkan iaitu pada tahun ke-6 Hijrah. rasulullah tidak menambah walau seorang pun selepas turunnya ayat tersebut.
* Rasulullah s.a.w berkahwin dengan Saidatina Khadijah pada umur 25 tahun sementara Saidatina Khadijah berusia 40 tahun dan pernah dua kali bersuami dan mempunyai anak. Dapatkah Rasulullah dituduh sebagai seorang pencinta wanita sedangkan pada waktu mudanya hanya mempunyai seorang isteri. Rasulullah hanya berkahwin dengan isterinya yang seterusnya pada tahun kedua Hijrah.

* Perkahwinan Rasulullah s.a.w sama sekali tidak pernah memilih seorang gaids yang jelita untuk menjadi isterinya, sedangkan pada kedudukannya pada waktu itu, tidaklah susah untuk baginda mencari gadis-gadis Arab yang cantik atau gadis-gadis Parsi yang jelita. Semua isteri baginda adalah janda kecuali Aisyah r. a.

= Aisyah Binti Abu Bakar as-siddiq
Pada umumnya, perkahwinan rasulullah s.a.w dengan Sayyidah Aisyah mempunyai 2 tujuan utama;
< Untuk merapatkan hubungan persaudaraan dan perjuangan dengan Saidina Abu Bakar sebagai sahabatnya yang setia.

< Untuk membela Aisyah daripada terlepas ketangan seorang musyrik.

Perkahwinan itu merupakan perkahwinan yang diberkati dan banyak faedahnya kepada umat Islam. Allah SWT telah menjelmakan seorang gadis yang ayu dan mempunyai pemikiran yang cergas dibawah bumbung seorang lelaki yang mula-mula sekali mempercayai Islam dan percaya kepada Nabi, berbudi kepada Nabi, menerima dasar-dasar Islam dan syariatnya dengan lebih praktikal. Kedudukan Aisyah dari apa yang diperolehinya tentang ilmu fekah, tentang peristiwa-peristiwa dan kejadian-kejadian yang berlaku sehari-hari, tentang turunnya ayat Al-Quran dirumahnya, tentang diri Nabi sendiri yang berada ditempat tidurnyasemuanya member kesan yang amat mendalam terhadap perkembangan umat Islam.

= Hafsah Binti Umar
Rasulullah s.a.w mengahwini Hafsah adalah untuk menyempurnakan satu penghormatan kepada diri Saidina Umar r. a.sebagaimana yang diketahui umum, hubungan Rasulullah s.a.w dengan Saidina Umar juga akrab sepertimana baginda dengan Saidina Abu Bakar. Adalah menjadi satu penghormatan yang tidak ternilai kepadanya apabila baginda memperisterikan puterinya.

Hafsah pada ketika itu merupakan seorang janda muda. Suaminya meninggal dunia pada usia nya 18 tahun. Saidina Umar berasa sedih melihatnya menanggung dukacita diatas kematian suaminya sehingga tubuhnya menjadi layu. Kesediha ini makin bertambah apabila menyedari bahawa tiada siapa yang ingin memperisterikan anaknya kerana perangai dan budi bahasa anaknya yang agak keras, mewarisi ayahnya. Baginda Rasulullah mengahwini Hafsah untuk menjaga nama baik Saidina Umar dan menjadi kemuliaan kepada Hafsah sendiri.

= Ummu Salmah- Hindun Bt Abu Umaiyah
Ummu Salmah merupakan isteri kepada Abu Salmah yang gugur syahid di dalam perang Uhud. Pada ketika itu, dia sudah agak tua dan mempunyai ramai anak. Ummu Salmah teramat kasih pada suaminya sehinggakan dia merasakan tiada lelaki lain yang dapat mengambil tempat suaminya. Baginda Rasulullah dating untuk meminang Ummu Salmah atas perikemanusiaan. Ummu Salmah pun berterus terang kepada baginda bahawa dia tidak boleh menerima orang lain selain suaminya. Rasulullah menjawab, “ Ada pun tentang anak-anakmu, Tuhan yang akan melindungi mereka dan Tuhan tidak akan mensia-siakan mereka. Mereka dibawah jagaan Allah dan di dalam peliharaan Rasul-Nya. Tentang dirimu, Tuhan akan menggantikan suami yang lebih baik dari Abu Salmah. ”

= Zainab Bt Khuzaimah
Zainab terkenal dengan nama ibu kepada orang-orang miskin kerana banyaknya pertolongannya dengan memberi makan kepada mereka. Baginda berkahwin dengannya pada tahun ke-3 Hijrah. Zainab merupakan bekas isteri kepada Abdullah Bin Jahsyin yang syahid dalam perang Uhud.
Perkahwinan Rasullulah dengannya adalah semata-mata bertujuan memelihara seorang perempuan janda yang banyak jasa suaminya dalam perkembangan Islam

= Zainab Bt Jahsyin
Dia adalah anak bapa saudara Rasullulah sendiri, iaitu anak kepada puteri Umaimah Bt Abdul Mutallib. Pada mulanya Zainab merupakan isteri kepada Zaid Bin Haritsah, bekas hamba yang menjadi anak angkat baginda. Tujuan perkahwinan ini adalah untuk merobohkan tradisi jahiliyyah yang telah berakar umbi dikalangan bangsa Arab pada waktu itu yang bertentangan dengan ajaran Islam. islam datang dengan membawa hak persamaan diantara semua manusia. Sewaktu Zainab menjadi isteri kepada Zaid bin Haritsah, dalam jiwanya masih terselit sekelumit perasaan jahiliyyah. Zainab memandang dirinya lebih tinggi berbanding suaminya memandangkan dia berasal dari keluarga bangsawan. Akhirnya, Zaid terpaksa menceraikan isterinya walaupun tidak dipersetujui Rasulullah. Secebis kesan perkahwinan ini masih juga membekas di hatinya. Perasaan hina dan rasa tercabar masih dirasa walau telah diceraikan. Allah tidak mengkehendaki masalah ini berlarutan dan berkehendakkan dasar persamaan dalam Islam dipraktikkan dengan lebih tegas lagi. Lalu, diperintahkan Rasulullah meminang Zainab. Dengan demikian, terpecahlah tradisi Arab Jahiliyyah. Rasulullah menunjukkan bahawa anak angkat tidak mempunyai hak yang sama dengan anak kandung. Anak angkat tidak berhak menerima harta pusaka daripada bapa angkatnya. Bapa angkatnya juga boleh mengahwini bekas isteri kepada anak angkatnya. Agama Islam membawa hukum tersebut secara yang boleh ditauladani oleh seluruh umat Islam. Dengan cara sebeginilah Rasulullah memberi pengajaran dan tauladan kepada umatnya.

= Ummu Habibah Bt Abu Sufyan
Rasulullah mengahwini Ummu Habibah kerana ingin membela nasibnya yang berdukacita di negeri Habsyah setelah suaminya murtad. Lebih-lebih lagi, wanita ini salah seorang dari keluarga yang terkenal dalam sejarah memusuhi Bani Hasyim, keluarga Nabi pada zaman permulaan Islam. Bapanya Abu Sufyan merupakan pemimpin orang musyrik Mekah.

Ummu Habibah sebelum ini ialah isteri kepada Abdullah Bin Jahsy. Mereka berdua telah memeluk agama Islam ketika Islam masih dalam keadaan lemah. Kemudian, berhijrah ke Habsyah kerana tidak tahan menanggung angkara yang dilakukan oleh ayahnya sendiri dan kaum musyrik. Walaupun berada di Habsyah, hatinya sentiasa teringat kepada tanah airnya, Mekah. Dia berharap sepenuhnya dengan suaminya yang dianggap sebagai pengganti kaum kerabat yang telah menyisihkan dirinya. Tidak beberapa lama kemudian, suaminya telah murtad dan kembali kepada agama asal mereka. Ummu Habibah terpaksa berpisah dengan suaminya kerana mematuhi hukum Islam diantara mereka telah putus hubungan. Kerana kejadian ini, Rasulullah memperisterikan Ummu Habibah kerana takut dia akan berubah pikiran dan terjerumus ke lembah yang hina.

= Juwairiyah bt al-Harits
Juwairiyah merupakan anak kepada ketua Bani Mustalik yang bernama al-Harits bin Abu Dhirar. Perkahwinannya dengan Nabi adalah satu petanda yang mengandungi pengertian yang amat besar kesannya terhadap perjuangan Islam. Antara Bani Mustalik dengan Rasulullah pernah terjadi peperangan dimana kemenangan berpihak kepada tentera Islam. Al-Harits sendiri dapat dibunuh dan pengikut-pengikutnya menjadi tawanan. Juwairiyah merupakan salah seorang tawanan tersebut dan merupakan hamba kepada Tsabit Bin Qais. Tsabit menawarkan kemerdekaan kepadanya sekiranya dia dapat menebus diri. Juwairiyah datang meminta jasa baik Rasulullah untuk membebaskan dirinya. Baginda kemudian memerdekakannya dan mengahwininya. Tujuan utamanya ialah untuk menghindarkan Juwairiyah dari jurang kehinaan sebagai seorang hamba setelah sekian lama bertakhta di istana. Tujuan lainnya ialah untuk memadamkan api kebenciaan yang menyala-nyala di dada pemuda-pemuda tawanan tersebut. Perkahwinan in emmebawa keberkatan da kebaikan kepada Bani Mustalik. Orang – orang Islam menjadi serba salah dan malu kerana memiliki hamba sahaya dari kaum bapa mertua Nabi. Sebagai satu penghormatan, merekan mengambil keputusan untuk membebaskan tawanan Bani Mustalik.

Demikianlah hakikat perkahwinan Rasulullah s.a.w dengan isteri-isterinya jika diteliti dengan ikhlas dan jujur. Perkahwinan baginda bukan seperti perkahwinan seorang lelaki biasa, tetapi mempunyai matlamat yang suci dan mulia berfaktorkan kepada hikmah yang tinggi dan mulia.

MENGAPA RASULULLAH KEKAL DENGAN SEMUA ISTERINYA

Terdapat 3 perkara utama yang perlu dijaga iaitu;
> Isteri-isteri Rasulullah merupakan Ummul-Mukminin
> Rasulullah mempunyai kedudukan yang mulia
> Isteri-isteri Rasulullah tidak harus disakiti.
Dalam surah Al-Ahzab, Allah telah memberi pengiktirafan kepada isteri-isteri Nabi sebagai ibu kepada orang mukmin. Kalaulah ibu sebenar menjadi aib bagi peradaban manusia dan haram di sisi agama untuk mengahwini mereka, maka begitu jugalah bagi istei Nabi, sebagai atu penghormatan yang tidak ternilai.
“ Nabi itu (hendaklah) lebih utama bagi orang mukmin dari diri mereka sendiri dan isteri-isterinya adalah ibu mereka” Surah Al-Ahzab, ayat 6

Selain itu, Rasulullah mempunyai kedudukan yang mulia dan dihormati. Tidak munasabah sekiranya kedudukannya yang baik itu dicemari oleh orang-orang Islam itu sendiri dengan mengahwini isteri-isterinya. Firman Allah;“ Dan tidaklah patut kamu menyakiti Rasulullah dan tidak pula mengahwini isteri-isterinya setelah wafatnya. Sesungguhnya pekerjaan itu disisi Allah adalah dosa yang besar”

SIKAP RASULULLAH TERHADAP ISTERI-ISTERINYA

Surah An-Nisa’ turun dengan membawa hukum poligami dan batasannya. Rasulullah menerima pembatasan itu dan menjalankan perintah kepada orang-orang Islam. Orang-orang Islam yang mempunyai ramai isteri pada ketika itu menjatuhkan talak kepada isteri mereka sehingg tinggal empat orang sahaja. Bagi Rasulullah sendiri, baginda mengekalkan isteri-isterinya sebelum turun ayat penentuan berpandukan ayat yang terdapat dalam surah Al-Ahzab. Sekiranya dijatuhkan talak, sudah tentu menjadi satu kezaliman kepada mereka kerana meraka telah diiktiraf sebagai ibu kepada orang-orang mukmin. Orang-orang Islam pula dilarang menyakiti Rasulullah sendiri dan sama sekali tidak dibenarkan mengahwini bekas isteri-isteri baginda.

Kesimpulanya, poligami yang dianjurkan oleh Islam membela nasib kaum wanita dan tidak lupa juga boleh menyelesaikan masalah kaum lelaki. Dengan ini, secara jelasnya, hukum yang ditentukan dalam Islam tidak berat sebelah dan berlaku adil. Allah Maha Adil dalam menentukan setiap hukum yang diwahyukan.

Apa yang menyedihkan, terdapat juga segelintir umat Islam yang tanpa segan silunya bersuara lantang mempersoalkan hukum poligami. Sedangkan apa yang telah direncanakan Allah sudah cukup sempurna untuk umat manusia. Mereka dengan suara yang tegas mahu memperjuangkan hak mereka dengan mengharamkan poligami.

Pergerakan wanita dalam berbagai bentuk nama menjadi jaguh dalam soal ini. Akhbar-akhbar dan majalah tempatan pula memainkan peranan utama menimbulkan pro dan kontranya, sehingga menimbulkan pandangan yang tidak enak dikalangan orang yang tidak faham akan hakikat undang-undang perkahwinan dalam Islam.

Semoga buku ini, dapat memberi kesedaran kepada kita tentang hikmah penurunan hukum poligami. Ianya bukan seperti yang disangka oleh sesetengah pihak khususnya orang Barat yang mengatakan bahawa poligami itu merupakan satu penghinaan kepada wanita. Dari sudut perspektif Islam, saya boleh menyimpulkan bahawa poligami merupakan penyelamat kaum wanita dan penyelamat sesuatu institusi kekeluargaan. Ianya juga satu jalan untuk menyelamatkan masalah keruntuhan akhlak yang melanda muda-mudi masa kini.

Wallahualam, yang baik itu datang dari Allah, yang buruk itu datang dari kelemahan sendiri.

No comments: