Thursday, April 16, 2009

Bahan Makanan Yang Meragukan

Oleh: Nisazierin Binti Mohd Basir

PENDAHULUAN
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang“Sesungguhnya Allah mengasihi mereka yang banyak bertaubat dan mengasihi mereka yang mensucikan diri” (surah Al Baqarah, ayat 222)Kehidupan umat islam masa kini semakin tercabar. Mereka bukan sahaja berdepan dengan masalah politik dan ekonomi tetapi turut menerima ancaman daripada aspek sosiobudaya, termasuk barangan dan makanan untuk keperluan harian. Secara tidak sedar, perkara terakhir inilah yang banyak mempengaruhi budaya hidup umat islam masa kiniIsu kesucian sesuatu produk atau perkhidmatan adalah sensitive kepada masyarakat islam. Bagi orang islam, sebarang isu yang berkaitan dengan persoalan halal dan haram perlu diberi perhatian serius. Oleh kerana kepercayaan Islam dibentuk oleh ajaran Islam itu sendiri, maka tiada apa pun yang boleh dipandang remeh. Oleh itu, buku hasil penyelidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ini mendedahkan mengenai isu-isu penting yang sekian lama menjadi topic perbahasan di kalangan masyarakat. Sedikit sebanyak buku ini dapat membentuk keyakinan dalam semua aspek kepenggunaan di kalangan umat islam kerana semua keraguan yang timbul dalam minda masyarakat Islam sedaya upaya dijelaskan secara saintifik. Undang-undang Syariah bukan sahaja menekankan terhadap kesucian produk, tetapi juga membabitkan aspek budaya hidup seperti pemusnahan alam sekitar, penafian hak orang lain serta pengaruh dari luar yang memberi kesan terhadap mutu kehidupan. Melalui buku Halal dan Haram ini, dengan jelas menunjukkan bahawa sesuatu yang digunakan itu perlu diteliti dengan cermat agar seseorang Muslim itu tidak melanggar ajaran Allah SWT.

KEPENTINGAN MENJAUHI MAKANAN YANG MEMUDARAT DAN MERAGUKAN
Pasaran hari ini dibanjiri pelbagai makanan dan barangan pengguna yang sesetengahnya boleh memudaratkan kesihatan sementara yang lain haram dimakan menurut ajaran islam. Kajian mendapati banyak makanan yang diproses yang kini terdapat di pasaran mengandungi gula dan garam yang berlebihan selain mengandungi pelbagai jenis penambah yang tidak dapat dikenalpasti halal atau haram. Bahan penambah tersebut mungkin mengandungi bahan-bahan kimia yang boleh memudaratkan kesihatan pengguna.

HUKUM SYARIAH
Islam menuntut umatnya supaya sentiasa berhati-hati dalam memilih makanan dan minuman yang masuk ke dalam perut. Perkara ini pernah ditegaskan oleh seorang ulama islam terkenal Profesor Dr. Yusof Al Qardawi melalui bukunya, The Lawful and the Prohibited in Islam. Menurut buku ini, memakan makanan yang memudaratkan diri adalah haram. Menurut peraturan asas hukum syariah yang bersumber daripada Al-Quran dan hadith adalah haram bagi orang islam mengambil makanan atau minuman yang bolah membawa maut sama ada cepat atau lambat seperti racun atau sesuatu yang membahayakan termasuk makan dan minum secara berlabihan sehingga boleh menjejaskan kesihatan.

MAKANAN DARI SUDUT KEROHANIAN
Islam mempunyai garis panduan dan peraturan yang mempengaruhi setiap aspek kehidupan umatnya. Namun, ia tidak seharusnya dianggap sebagai satu sekatan mahupun sekadar adab sesama manusia. Sebaliknya, ia mencakupi objektif keagamaan yang lebih meluas dan dengan itu lebih mencerminkan idea dan nilai-nilainya.

Di sini kita meneliti hubungan di antara makanan yang kita makan serta kesihatan fizikal dan kerohanian kita. Seorang islam bukan sahaja makan untuk menguat dan menyihtkan badan serta fikiran agar boleh beribadah kepda Allah dengan sempurna malah ia boleh menyumbang pengetahuan dan kudratnya demi kesejahteraan manusia sejagat. Justeru, dalam konteks islam umatnya perlu memahami dan menghargai konsep halal dan haram iaitu makanan dan minuman yang memenuhi tuntutan agama. Sesuatu makanan dikatakan halal jika ia tidak memudaratkan atau mengganggu fungsi normal tubuh dan fikiran. Selain itu, ia haruslah bebas dari najis dan bukan produk yang diperolehidaripada sumber babi atau binatang yang tidak disembelih atau diburu mengikut syarak. Makanan itu juga mesti bebas daripada produk yang diambil daripada babi dan anjing atau lain-lain binatang yang haram. Sebaliknya, makanan dikatakan haram jika ia bertentangan dengan cirri-ciri makanan halal. Oleh itu, kebersihan tubuh, minda dan jiwa benar-benar bergantung kepada kesucian makanan yang kita makan. Misalnya di dalam Al-Quran, setiap kali perkataan halal disebut dengan makanan, perkataan ‘ thoyyiban’ juga turut akan disebut :“ Wahai manusia sekalian, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi. . ” (Surah Al Baqarah, ayat 168)“ maka makanlah yang halal lagi baik dari rezeki yang telah diberikan oleh Allah kepadamu. . ” (Surah An Nahl, ayat 114)

Oleh itu, sebelum memutuskan sama ada sesuatu makanan itu layak dimakan atau tidak, kita perlu menimbangkan lebih dari sekadar ianya halal atau haram. Perkataan ‘ thoyyiban’ bermakna baik, dan ini juga bererti makanan itu mestilah baik untuk dimakan dan diperolehi daripada sumber asli.

PENGERTIAN HALAL DAN HARAM
“ Dan makanlah daripada rezeki yang telah diberikan oleh Allah kepada kamu iaitu yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman” (Surah Al Maidah, ayat 88)
Petikan dari ayat suci Al-Quran di atas menekankan mengenai pengambilan makanan yang baik dan halal. Peraturan pemakanan orang islam adalah peraturan yang lengkap merangkumi seluruh kehidupan umat islam. Industry makanan, sama seperti industry lain memenuhi keinginan dan keperluan pengguna. Selain tugas-tugas asas, terdapat garis panduan yang membimbing umat islam dalam kehidupan seharian dan ini termasuk peraturan makan dan minum. Undang-undang ini terdiri daripada konsep halal, haram, masbuh, makruh dan mubah.

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN HALAL??
Halal bermaksud ‘ dibenarkan’ atau ‘ tidak dilarang’ pengambilannya dalam islam. Menurut Al-Quran, semua makanan yang baik dan bersih adalah halal. Sehubungan itu, hampir semua sumber makanan dari laut, tumbuhan dan binatang dianggap halal kecuali mana-mana yang telah diharamkan pengambilannya.

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN HARAM??
Haram bermaksud ‘ tidak dibenarkan’ atau ‘dilarang’ pengambilannya dalam islam. Antara makanan yang diharamkan seperti yang disebutkan dalam Al-Quran termasuklah bangkai, darah, babi, minuman yang memabukkan. Sebarang produk yang dicemari sumber yang haram juga dharamkan pengambilannya.

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN MASBUH??
Masbuh bermaksud disyaki, menimbulkan keraguan atau boleh dipersoalkan. Jika sumber makanan tertentu diragui asal usulnya atau terdapat ketidakpastian mengenai kebenaran atau larangannya menurut hukum islam, maka produk itu dianggap masbuh. Jika seseorang itu tidak mengetahui kedudukan halal dan haram makanan atau minuman tertentu, makanan dan minuman seumpamanya adalah diragui. Orang islam yang sejati akan menjauhkan dirinya daripada memakan makanan yang diragui kehalalannya.

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN MAKRUH??
Makruh bermaksud dibenci atau tidak digalakkan. Produk yang tidak digalakkan pengambilannya oleh Allah adalah benda-benda yang menjejaskan jiwa atau yang memudaratkan, terletak di bawah kategori ini.

APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN MUBAH??
Mubah atau harus bermaksud tidak dilarang mahupun digalakkan. Bagaimanapun, beberapa keadaan boleh mengubah kedudukan mubah itu. Misalnya, setiap yang mubah menjadi haram jika ternyata memudaratkan kesihatan.

PERUNDANGAN HALAL DAN HARAM DI MALAYSIA
Tiada undang-undang tempatan mengenai isu halal dan haram digubal secara khusus kecuali berhubung penggunaan label “ HALAL” bagi makanan yang tertakluk di bawah Akta Perihal Dagangan 1972.
Akta berkenaan membenarkan penggunaan perkataan “ HALAL”, Makanan orang islam”, “ Ditanggung Halal”, atau apa jua perkataan lain sebagai menunjukkan bahawa umat islam dibenarkan oleh agama mereka untuk memakan makanan tertentu yang disifatkan sebagai halal. Logo-logo ini boleh digunakan oleh sesiapa sahaja. Jika terdapat penyalahgunaan logo tersebut maka adalah menjadi tanggungjawab pihak pendakwa membuktikan di mahkamah bahawa produk itu adalah haram.

Meletakkan bahan bukti kepada pihak pendakwa menjadikan penguatkuasaan akta itu memakan masa, mahal dan sukar. Sepatutnya adalah menjadi tanggungjawab sesiapa atau mana-mana syarikat yang mempamerkan logo halal untuk membuktikan produk keluarannya halal.

GELATIN
Gelatin ialah sejenis protein tidak lengkap yang dihasilkan daripada sumber binatang, iaitu daripada kulit dan sendi-sendinya. Sifat-sifat gelatin yang luar biasa telah menjadikannya sebagai salah satu bahan dengan pelbagai fungsi untuk digunakan di dalam industry makanan dan farmasi. Ia merupakan bahan pemantap yang baik bagi industry pengeluaran makanan seperti aiskrim, makanan pencuci mulut, agar-agar, sosej dan minuman bersusu.

British Pharmacopoeia mendefinisikan gelatin sebagai terbitan kolagen (protein yang dikaitkan dengan kulit, tulang dan tisu penyambung lain). Ini bermakna istilah gelatin tiadk bolaeh dikaitkan dengan bahan daripada sumber tumbuhan. Namun begitu, terdapat juga bahan daripada tumbuhan yang mempunyai kualiti seperti gelatin. Perbezaan di antara kedua-dua bahan tersebut Cuma dari segi zat pemakanannya. Bahan-bahan yang dihasilkan daripada sumber tumbuhan adalah karbohidrat, misalnya agar-agar, gum Arabic dan locust gum. Bagaimanapun, gelatin daripada sumber binatang adalah protein. Sumber tumbuhan yang menyerupai gelatin mempunyai nilai komersil. Sebaliknya bahan mentah untuk gelatin adalah sisa buangan dari rumah sembelihan.

Gelatin adalah sejenis protein terbitan yang larut dalam air dan dihasilkan melalui proses tindak balas air atau hidrolisis ke atas kolagen. Kolagen adalah sumber protein yang boleh didapati dalam tisu-tisu binatang. Kulit, urat dan tulang babi dan lembu menjadi bahan mentah utama dalam penghasilan gelatin. Larutan yang mengandungi 1% gelatin akan menjadi gel yang agak pejal apabila disejukkan. Sifat-sifat gelatin inilah menyebabkan ia digunakan secara meluas di dalam industry makanan, kosmetik dan ubat-ubatan.

Gelatin dikelaskan sebagai protein asli iaitu tidak mengandungi lemak dan karbohidrat. Di Negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan beberapa negara Eropah lain, penggunaan gelatin di dalam makanan tidak memerlukan sebarang spesifikasi dan tidak perlu dilabel. Oleh itu, kehadiran gelatin di dalam makanan sukar dikesan. Namun begitu, gelatin boleh dikesan sekiranya di dalam makanan yang diuji terdapat sejenis asid amino yang dipanggil hidroksiprolin.

Gelatin boleh didapati dalam bentuk kepingan dan serbuk. Bagaimanapun, gelatin dalam bentuk serbuk lebih digemari oleh pengeluar makanan yang diproses. Air pada suhu 70 darjah celcius dapat melarutkan gelatin dan menjadi pekat. Kadar penyerapan air adalah tinggi dan ia akan membentuk gel (seperti agar-agar) pada suhu lebih kurang 4 darjah. Ciri ini amat sesuai untuk aiskrim kerana ia mencegah pembentukan hablur ais ketika dalam proses pembekuan dan pengerasan. Gelatin dalam bentuk gel menjadi cair apabila dipanaskan.

PENGESAHAN GELATIN DARIPADA SUMBER BABI

Dalam tahun 1982, berdasarkan beberapa laporan, CAP telah mengenal pasti yang gelatin diperbuat daripada sumber babi seperti daripada kulit, urat dan tulang yang hendak dibuang. Meskipun gelatin diperoleh daripada kulit lembu atau kambing namun ia tidak menguntungkan dari segi ekonomi kerana kulit lembu atau kambing adalah lebih berguna dan menguntungkan jika dibuat barangan kulit seperti tas tangan, tali pinggang dan barangan lain. Kulit babi tidak begitu sesuai untuk membuat barangan kulit, jadi kebanyakan kulit babi digunakan untuk membuat gelatin. Gelatin yang dihasilkan daripada kulit babi dikatakan bermutu tinggi.

Ada banyak laporan yang mengesahkan bahawa gelatin dihasilkan daripada sumber babi. Sebagai contoh, seorang pakar makanan, Ernest M. Mark dari Syarikat Kind and Knox Gelatin, telah menulis dalam buku “Encyclopedia of Chemical Technology” edisi kedua jilid 1.

Keterangan selanjutnya mengenai perkara yang berkaitan gelatin diberikan oleh bekas presiden Syarikat Kraft Corporation yang menyatakan bahawa pengeluaran gelatin untuk makanan di Amerika Syarikat adalah dihasilkan daripada kulit babi. Di Amerika Syarikat, kulit babi digunakan secara meluas dalam penghasilan makanan dan bahan pelekat iaitu gam. Hasilnya kelihatan jernih dan segar. Salah seorang jurutera makanan dari Malaysia ketika berada di Boston, Amerika Syarikat pada tahun 1978, telah melawat sebuah syarikat yang membuat gelatin. Di kilang tersebut, beliau melihat hanya kulit babi sahaja yang dugunakan untuk membuat gelatin, dan perkara ini telah disahkan sendiri oleh pengurus kilang tersebut.

Jadi, melalui perangkaan di atas didapati kulit babi masih menjadi sumber utama dalam pengeluaran uatama dunia.

UJIAN YANG DIJALANKAN OLEH PERSATUAN PENGGUNA PULAU PINANG (CAP)

CAP telah menjalankan beberapa ujian yang membabitkan pelbagai jenis makanan yang disifatkan mengandungi gelatin pada tahun 1985/86. Berikut adalah beberapa jenis bahan makanan yang telah diuji dan disahkan mengandungi gelatin (1985).


AGAR-AGAR
Ialah sejenis tumbuhan laut berwarna merah yang dikeluarkan di beberapa buah Negara termasuk Jepun, Korea Selatan dan beberapa negara Eropah. Dalam tahun 1985, CAP telah menguji 20 contoh agar-agar yang dijual di seluruh negara dan 13 daripadanya disahkan mengandungi gelatin yang haram dimakan oleh orang islam. Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia telah mengesahkan gelatin sebagai “haram” dan ini bermakna sebarang produk yang mengandungi gelatin adalah haram dimakan. Beberapa contoh agar-agar yang mengandungi gelatin termasuk yang diimport dari Korea Selatan dan Jepun dan dibungkus di Malaysia. Penjualannya secara tidak berbungkus juga dijual secara berleluasa dan boleh diperolehi di pasar raya. Pengeluar-pengeluar mencampurkan tumbuhan laut asli ini dengan gelatin untuk menambahkan sifat agar-agar dan meningkatkan timbangannya.

TEH SEGERA, COKLAT DAN TEPUNG KASTARD
Kajian mendapati teh segera Lipton, Nestea dan beberapa jenis coklat seperti Mars, Cadbury’s Picnic, Cadbury Double Decker juga mengandungi gelatin. Selain itu, beberapa jenama tepung kastard juga didapati mengandungi gelatin dan ini termasuk jenama Royal Birds, dan Green’s Custard Powder. Dalam tinjauan terbaru pada tahun 2005, kebanyakan produk ini tidak lagi di pasaran.

IKLAN NESTLE 1985
Pada Ogos 1985, Nestle Malaysia Sdn Bhd telah memuatkan iklan yang besar di dalam akhbar-akhbar utama yang menafikan barangannya mengandungi gelatin. Iklan tersebut mengecam CAP yang membuat tuduhan tanpa sebab dan menganggap rencana mengenai gelatin dalam Utusan Pengguna (Julai 1985) sebagai tidak berasas dan mengelirukan. Iklan Nestle yang memuatkan hamper separuh muka itu disiarkan selama dua hari. Melalui Utusan Pengguna, CAP mengumumkan beberapa barangan keluaran Nestle yang dikatakan mengandungi gelatin tetapi tidak dinyatakan dalam label barangan tersebut. Antaranya ialah sos tomato Maggi, Rempah Rendang Daging Maggi, Susu Cair Carnation, Coffemate, Nestea Ice Tea Mix dan Nestea Segera. Perkara ini telah menimbulkan keraguan terhadap pengguna.
Di Malaysia, penggunaan gelatin dalam makanan dibenarkan di bawah Peraturan Makanan 1985. Peraturan ini menyatakan bahawa penggunaan gelatin dibenarkan sebagai pelembut makanan. Peraturan itu juga mengkhususkan bahawa jika sesuatu bahan diperolehi daripada sumber binatang, maka nama binatang itu perlu disebut pada label. Tetapi dalam satu tinjauan yang dibuat pada tahun 2005, beberapa produk makanan bergelatin ditemui di mana diletakkan nama binatang yang menjadi sumbernya. Sebahagian besar produk yang mengandungi gelatin daripada sumber lembu didakwa sebagai halal. Sesetengahnya pula mempunyai logo ‘ JAKIM’, sementara yang lain meletakkan perkataan ‘halal’ atau mempunyai logo dari pertubuhan Islam negara pengeluarnya. Oleh itu, umat islam perlu sentiasa berhati-hati dalam memilih makanan bergelatin. Walaupun ia didakwa diperolehi daripada binatang yang halal dimakan, ia tidak boleh dianggap halal kecuali binatang itu disembelih mengikut hukum syarak.

UMAT ISLAM PERLU BERHATI-HATI
Di Indonesia, banyak produk gelatin yang diimport dari pelbagai negara seperi Brazil, Argentina, Eropah dan New Zealand dan barangan-barangan tersebut memang sudah dilengkapi dengan sijil halal dari negara asalnya. Tetapi tidak semua sijil halal tersebut dapat diterima MUI kerana terdapat perbezaan dari segi pemahamannya.

Misalnya gelatin Argentina mendapat sijil halal dari Persatuan Muslim Argentina. Tetapi setelah diperiksa didapati hanya terdapat tiga orang pemotong daging beragama islam yang bekerja di bawah pengawasan lembaga tersebut. Mereka juga mengeluarkan sijil halal bagi semua gelatin daripada sumber lembu (bukan babi) meskipun penyembelihannya tidak mengikut syariat islam.

Mengikut piawaian MUI, meskipun gelatin tersebut dipeolehi daripada tulang lembu tetapi jika tidak disembelih mengikut syariat islam, ia masih tidak diterima sebagai halal.

Disebabkan perbezaan inilah MUI masih belum mengesahkan gelatin halal dari Argentina dan Amerika Latin. Bagi gelatin SWK dari Perancis dan New Zealand adalah diterima walaupun bukan semua boleh dianggap halal, dan hanya produk yang mempunyai logo halal boleh diterima sebagai gelatin halal.

Sehubungan itu, pengguna islam dinasihatkan supaya berhati-hati ketika membeli produk berlabel halal. Malah sebarang makanan yang bergelatin adalah diragui sungguhpun dilabel sebagai halal kerana dalam banyak keadaan, ia tidak mungkin halal.

LELEMAK DALAM MAKANAN
Lelemak atau bahasa Inggerisnya, Shortening, Animal Fat ataupun Animal Shortening, merupakan campuran pelbagai lemak daripada sumber sayuran dan binatang.

Lelemak dicampur dalam makanan seperti biskut dan kek untuk melembutkan makanan. Lemak babi, lemak lembu dan mentega merupakan agen-agen lelemak. Lemak babi menjadi pilihan utama kerana harganya yang murah. Walaupun lemak lembu juga digunakan tetapi masih boleh dipertikaikan dari sgi halal dan haramnya kerana kemungkinannya lembu itu tidak disembelih mengikut hukum islam. Tambahan pula, kebanyakan lelemak diimport dari luar negara.

LEMAK BINATANG DALAM KEGUNAAN SEHARIAN
Ramai pengguna tidak menyedari bahawa produk yang mereka gunakan setiap hari mungkin mengandungi bahan-bahan yang diragui kesuciannya. Memandangkan undang-undang perlabelan tidak begitu ketat di negara kita, terdapat pelbagai barangan sama ada yang diimport mahupun buatan tempatan tidak melabelkan kandungan sebenar bahan yang digunakan. Di antara produk bunyang dihasilkan daripada lemak binatang ialah sabun dan minyak wangi.

Sabun
Kebanyakan sabun yang diimport mengandungi lemak lembu (tallow) atau lemak babi (lard) yang mungkin dicampur dengan minyak sayuran ketika proses pengeluaran sabun tetapi ramai umat islam tidakk menyedarinya. Pengeluar-pengeluar sabun jarang mencatatkan pada label jenis lemak yang digunakan dalam sabun mereka. Masalah ini bertambah rumit kerana agak mustahil untuk menguji sabun yang telah siap diproses untuk memastikan jenis lemak yang digunakan.

Tinjauan pihak CPA pada tahun 2000 dan 2005 mendapati sabun-sabun yang mengandungi lemak binatang ialah Fa Soap, Simple Pure Soap, Sanex Demoprotector Moisturising Bar, Nivea – Creame Soap dan beberapa jenis sabun lain.

Lemak babi dalam proses minyak wangi
Pengiklanan memainkan peranan penting untuk menarik pelanggan menggunakan minyak wangi. Perkataan-perkataan menarik sering mempesonakan pengguna minyak wangi. Tetapi sedarkah kita bahawa 85% daripada isi kandungan minyak wangi adalah alcohol. Bahan-bahan pewangi dilarutkan di dalm pewangi dilarutkan di dalam alcohol dan apabila didedahkan ke udara ia akan meruap dengan mudah. Itulah sebabnya apabila minyak wangi digosok pada kulit ia menjadi kering dan baunya meruap di udara untuk menghasilkan keharuman terutamanya pada badan anda dan persekitaran.

Bukan kandungan alcohol sahaa yang dipersoalkan di sini malah tentang kegunaan lemak babi yang digunakan untuk memproses bau wangi daripada bunga. Di dalam proses enfleurage campuran lemak babi dan minyak akan disapukan ke atas plat-plat kaca di dalam rak kayu yang dipanggil ‘chassis’. Bunga-bunga yang dikehendaki ditaburkan di atasnya. Rak-rak tersebut ditutup rapat dan dibiarkan selama 24 jam supaya bau bunga akan larut di dalam lemak atau minyak itu. Selepas 24 jam bunga-bunga itu dikeluarkan dan digantikan dengan bunga-bunga yang baru. Proses ini diulang berkali-kali sehingga lemak atau minyak itu akan berlumuran dengan bau bunga tersebut. Lemak yang penuh dengan bau wangian dicampur pula dengan alcohol supaya proses pengekstrakan berada pada tahap maksimum dan ini diikuti dengan proses penyejukan dan penyejatan di mana satu larutan alcohol yang berbau wangi diperolehi. Larutan ini dibiarkan menjadi pekat, iaitu satu proses di mana alcohol akan meruap dan hasil yang tinggal ialah minyak wangi yang diperlukan.

Di dalam proses menyediakan minyak wangi, bahan-bahan penting yang digunakan ialah bunga, lemak atau minyak dan alcohol. Bagi umat islam apa yang dikhuatiri ialah penggunaan alcohol dan jika lemak yang digunakan itu diperolehi daripada sumber babi. Dalam mengadun minyak wangi, beberapa jenis bauan digabungkan menjadi satu bauan yang unik. Di dalam keadaad tersebut, pengguna tidak akan mengetahui sama ada bahan-bahan yang terdapat di dalam sesuatu jenama minyak wangi itu suci dari segi islam.

PLASMA DARAH DALAM MAKANAN
Walaupun penggunaan darah dalam makanan adalah haram bagi umat islam, namun ia digunakan dalam pelbagai makanan yang diproses. Memandangkan industry makanan gemar menggunakan bahan buangan dalam makanan, dari rumah sembelihan (yang sukar untu dibuang) turut dikitar semula ke dalam makanan.

Apakah serbuk plasma darah??
Darah dari rumah sembelihan diemper (centrifuged) untuk menyingkirkan platlet darah (yang memberikan warna merah kepada darah). Apa yang tinggal hanya plasma darah, iaitu cecair berwarna kuning air. Ia kemudian dikeringkan secara semburan dan digunakan sebagai sumber protein.

Fungsi protein plasma dalam makanan
Protein plasma daripada darah mempunyai banyak kegunaan dan menjimatkan. Ia mempunyai kemampuan melarut dan mengemulsi yang tinggi, kelikatan yang rendah serta kemampuan untuk membentuk gel-gel yang kuat, mudah melentur serta dapat mengekalkan ciri-ciri tersebut. Melalui proses ini, kekuatan gel meningkat seiring dengan peningkatan suhu. Cirri ini menjadikannya protein yang cukup sesuai untuk dimasukkan ke dalam produk yang terdedah kepada suhu melebihi suhu 80 darjah celcius seperti produk yang disteril atau makanan dalam tin. Protein plasma boleh menambah tekstur dalam daging dan ikan. Bagi produk makanan tiruan berasaskan ikan, plasma darah atau dikenali sebagai Surimi mempunyai dua fungs iaitu mencegah enzim protease dan bertindak perekat yang menambah kekentalan gel.

Kegunaan plasma darah
Pada amnya, surimi dihasilkan daripada rencah isi ikan tetapi disebabkan mutunya yang rendah, isi ikan kekurangan kemampuan untuk mengental. Bagi menampung kekurangan ini, pengeluar mencampurkannya dengan bahan pengental seperti protein plasma darah. Tinjauan yang dijalankan pada tahun 1998 mendapati bahan ini dijual di Malaysia. Serbuk plasma tersebut diimport dari Amerika Syarikat dan ia adalah pritein daging yang menjimatkan kerana mempunyai cirri-ciri pengental, tegar, elastic dan kuasa mengikat air yang hebat. Bahan ini juga boleh digunakan dalam pelbagai produk seperti sosej, serta lain-lain produk daging ayam, itik dan ikan.

Berdasarkan tinjauan, banyak jenama Surimi beredar di pasaran. Kebanyakan label ada menyebut tentang penggunaan bahan pengental tetapi jenis atau dari mana diperolehi tidak dinyatakan. Tambahan pula, tiada peruntukan di bawah Peraturan Makanan yang mewajibkan pengeluar melabel jenis atau asal usul bahan penambah makanan yang digunakan dalam produk makanan mereka. Serbuk plasma hanya merupakan salah satu bahan yang digunakan dalam makanan kerana terdapat banyak lagi bahan penambah berasaskan protein digunakan dengan meluas dalam industry makanan yang boleh menimbulkan keraguan bagi pengguna islam.

ALKOHOL DALAM MAKANAN DAN MINUMAN
Alkohol adalah diharamkan dalam islam. Tanpa disedari, bahan ini telah digunakan oleh kebanyakan orang islam sebagai larutan perisa makanan. Di dalam pembuatan perisa makanan bahan yang disebut sebagai ‘minyak essential’ dilarutkan di dalam alcohol. Selain tahan lebih lama, bahan perisa yang dilarutkan di dalam alcohol dapat mengekalkan bauan lebih lama.
Menurut sesetengah pendapat, termasuk JAKIM, pengambilan alcohol dalam jumlah yang kecil dan tidak memabukkan, adalah tidak haram. Bagaimanapun, Al-Quran dan hadith jelas mengatakan alcohol (khamr) adalah haram. Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud :
“ Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosanya lebih besar daripada manfaatnya. ” (Surah Al Baqarah, ayat 219)
Mengikut hadith yang diriwayat oleh Muslim, Rasullah s.a.w pernah bersabda dan maksudnya : “ Minuman apa pun kalau banyaknya itu memabukkan, maka sedikitnya pun adalah haram”.

Alkohol dalam perisa vanilla
Pati atau perisa vanilla banyak digunakan dalam pembuatan kek dan biskut. Bagaimanapun tinjauan CAP mendapati kebanyakan perisa vanilla di pasaran mengandungi alcohol sebagai pelarut. Hasil ujian yang dijalankan ke atas beberapa jenama perisa vanilla mendapati kandungan alcohol dalam lingkungan 2. 32 – 5900 bahagian persejuta (bps). Tiga jenis sampel yang diuji ialah Bunga Raya – 5900 bps, FIC – 2. 80 bps, dan SIM – 2. 32 bps.

Salah satu contoh yang mengandungi alcohol juga mempunyai loho Halal daripada JAKIM. Menurut JAKIM, penggunaan alcohol sebagai bahan pemantap adalah ‘harus’ asalkan alcohol (etanol) diperolehi daripada bahan kimia dan jika digunakan dalam jumlah yang sedikit ia tidak akan memabukkan. Sama ada alcohol diperolehi secara kimia ataumenerusi proses sulingan, ia mempunyai cirri-ciri yang sama, termasuk memabukkan. Oleh itu apakah dasar yang digunakan oleh JAKIM untuk membezakan kedua-dua proses yang menghasilkan produk yang sama??

Dalam usaha menjelaskan penggunaan alcohol, terdapat hadith yang menerangkan perkara ini. Abu Talhah berkata beliau telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w mengenai anak-anak yatim yang mewarisi perniagaan arak dan baginda lalu menjawab, “Buanglah ia. ” Beliau bertanya lagi, bolehkah beliau membuat cuka daripadanya lalu baginda menjawab “Tidak”. (Hadis Riwayat Muslim, Abu Dawud & At Tirmidzi)

Hadis ini jelas menunjukkan larangan mengenai arak. Jika amalan ini untuk menjadikannya lebih baik, dan jika hukum syara membenarkan amalan sedemikian, kenapakah Rasulullah s.a.w mengarahkan supaya ia dibuang, lebi-lebih lagi ia melibatkan harta anak yatim, yang mengikut syariah dilarang daripada merosakkannya atau dibazirkan begitu sahaja. Jelaslah jika seseorang itu mengikut fahaman Mazhab Shafie, iaitu Mazhab yang diperakui di Malaysia dan negara-nagara Nusantara, penggunaan alcohol ketika memasak tanpa mengira sama ada alcohol itu meruap atau sama ada kuantiti alcohol itu memabukkan, maka makanan itu adalah haram.

RAMUAN YANG MERAGUKAN DALAM KOSMETIK
Seperti yang kita maklum, kosmetik cukup sinonim dengan wanita. Tetapi menurut kajian CAP didapati bahawa banyak kosmetik di pasaran mengandungi bahan-bahan yang menjijikkan seperti kolagen, ekstrak uri dan cecair ketuban.

Apakah kolagen??
Kolagen merupakan sejenis bahan berjeli yang dihasilkan daripada tisu penyambung tulang dan rawan binatang, atau daripada janin manusia. Ia sering digunakan dalam pelbagai jenis barangan lain seperti syampu, losen kulit dan gincu.

Malahan kandungan kolagen di dalam kosmetik merupakan sesuatu yang membanggakan pengeluar di mana ia dijadikan gimik untuk melariskan jualan. Menurut pengeluar kosmetik, kolagen dikatakan mampu memulihkan sel-sel tua dan menjadikan si pemakai nampak lebih muda.

Kira-kira satu pertiga daripada kulit kita ialah kolagen. Di dalam tubuh manusia terdapat dua jenis kolagen iaitu kolagen larut (dalam sel kulit yang muda) dan kolagen tidak larut (dalam sel kulit yang lebih tua). Kolagen larut menjadi tidak larut seiring dengan peningkatan usia. Sesetangah ujian menunjukkan sapuan kolagen pada kulit mampu menggantikan kolagen yang hilang namun bukan semua kolagen memenuhi criteria ini kerana kulit hanya boleh menggunakan kolagen yang terikat strukturnya.

Penggunaan janin dalam kosmetik dan penyelidikanTinjauan CAP pada tahun 1980-an mendedahkan amalan syarikat kosmetik yang membeli janin daripada klinik-klinik perguguran untuk tujuan penyelidikan.

Sesetengah firma juga mungkin menggunakan janin manusia untuk membuat krim-krim kecantikan dan produk kosmetik lain. Janin-janin ini dipercayai mengandungi bahan-bahan yang mencantikkan kulit. Oleh itu, dari aspek nilai komersialnya ia amat berharga dan talah dibeli oleh syarikat-syarikat berkenaan dari hospital dan klinik yang menjalankan perguguran di Amerika Syarikat dan Eropah.

Dalam bulan Oktober 1985, seorang tokoh politik di Eropah mendakwa embrio manusia digunakan untuk tujuan penyelidikan kosmetik. Embrio ini telah dibeli melalui perdagangan antarabangsa, demikian menurut Ahli Parlimen Jerman Barat. Pihak CAP juga telah menerima sekeping risalah dari Perancis yang mengiklankan penjualan bahan-bahan kecantikan yang didakwa dapat menegangkan kulit melalui ‘sel-sel hidup yang muda’. Sel-sel segar ini diambil khas dari uri, limpa, hati dan lapisan kulit usus janin-janin. Ini menunjukkan nyawa manusia semakin murah dan sehingga boleh dijual beli. Ini juga akibat daripada pengguguran secara tidak terkawal di negara-negara besar. Walaubagaimanapun, pengharaman adalah diharamkan di Malaysia.

ISLAM DAN MEROKOK
Bukti-bukti yang mengaitkan tabiat merokok dengan penyakit telah muncul hamper 30 tahun lalu. Atas alas an inilah para ulama islam zaman silam telah berselisih pendapat tentang hukum merokok. Ada yang menyifatkannya sebagai haram, ada yang menyifatkannya sebagai makruh dan golongan ketiga pula berpendapat ia haram hanya kepada mereka yang tahu melalui pengalamannya atau telah diberitahu oleh doctor yang boleh dipercayai bahawa merokok mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Namun begitu, merokok dianggap haram berdasarkan alas an-alasan berikut :Merokok boleh membahayakan kesihatan dan Al-Quran melarang manusia membinasakan diri sendiri. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud :“ Dan janganlah kamu mencampakkan diri ke jalan kebinasaan. . ” (Surah Al Baqarah, ayat 195)

“ Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu makan harta setengah kamu dengan jalan yang tidak betul (kebatilan), melainkan ada persetujuan di antara kamu, dan janganlah kamu membunuh diri kamu, sesungguhnya Allah Maha Penyayang” (surah An Nisaa’, ayat 29)

Merokok membazirkan wang. Islam melarang umatnya melakukan pembaziran sebagaimana firman Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud :“ Dan berilah jiran-jiran kamu haknya dan orang miskin, dan orang yang berjuang di jalan Allah dan janganlah kamu melakukan pembaziran. Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, dan syaitan itu bagi Tuhanmu golongan kafir” (Surah Al Israa, ayat 26 dan 27)

Merokok menyebabkan pencemaran alam sekitar dan merupakan tabiat yang buruk. Merokok bukan sahaja memudaratkan perokok malah orang sekitarnya juga turut menghidu bau asap yang busuk itu. Al-Quran melarang apa yang buruk dan jahat. Firman Allah SWT :“. . , dan Allah menghalalkan bagimu benda-benda yang baik dan mengharamkan ke atasmu benda-benda yang jijik dan kotor” (Surah Al A’raaf, ayat 157)

Perokok menyedut asap yang tidak memberikan sebarang khasiat kepadanya. Ini samalah seperti perbuatan ahli neraka yang memakan pohon berduri seperti firman Allah SWT :“ Mereka tidak memperoleh makanan selain dari pohon yang berduri, yang tidak menggemukkan dan tidak pula yang menghilangkan lapar” (Al Ghaashiyah, ayat 6-7)

FATWA 1995 - Merokok adalah haram

Perbahasan mengenai isu rokok di kalangan orang islam bukanlah sesuatu yang baru. Para ulama telah membincangkan isu ini sejak sekian lama. CAP dan beberapa pertubuhan lain telah berkali-kali mendesak pihak berkuasa agama supaya mengeluarkan fatwa mengenai tabiat merokok kerana ia begitu lazim diamalkan oleh penduduk islam di negara ini serta di seluruh dunia.

Setelah sekian lama perbahasan ini berlanjutan akhirnya Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia kali ke 37 yang telah bersidang pada 23 Mac 1995 secara sebulat suara membuat keputusan bahawa merokok adalah haram dari sudut pandangan islam kerana terdapat padanya kemudaratan. Pengharaman ini adalah ke atas orang islam sahaja.

Tetapi penguatkuasaan fatwa ini sama seperti fatwa-fatwa lain, adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Negeri-negeri. Malangnya, tidak ada kesungguhan politik di pihak jabatan-jabatan agama ini untuk menguatkuasakan fatwa ini.

RUMUSAN

Umat islam sangat sensitif mengenai makanan yang mereka jamah sama ada ianya halal atau tidak. Biasanya mereka hanya membeli barangan yang dijamin kehalalannya. Kini, kerajaan perlu campur tangan dan memperkenalkan undang-undang untuk menghukum mereka yang tidak bertanggungjawab. Undang-undang baru berhubung produk dan perkhidmatan yang tidak melanggar hukum syariah perlulah diperkenalkan segera.

Undang-undang yang sedia ada perlu dikemas kini untuk memberi penjelasan mengenai pengertian halal, dan mewajibkan pengeluar memberikan maklumat lengkap mengenai bahan ramuan yang digunakan. Sebagai contoh, di bawah Akta Makanan, undang-undang pelabelan makanan perlu dipinda untuk memastikan bahan-bahan yang berunsur haram dicatatkan pada label. Jika sesuatu bahan itu diperolehi daripada beberapa sumber, maka pihak pengeluar hendaklah atau diwajibkan mencatat sumber sebenar bahan tersebut. Ini akan memudahkan pengguna menjauhi sebarang makanan dan barangan yang bersumber haram atau diragui sumbernya.

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran :“ Maka hendaklah manusia memerhatikan makanannya. Sesungguhnya Kami benar-benar telah mencurahkan air (dari langit) kemudian Kami telah membelah bumi dengan sebaik-baiknya, lalu Kami tumbuhkan biji-bijian di bumi itu, anggur dan sayuran, zaitun dan pohon kurma, kebun-kebun (yang) lebat, dan buah-buahan serta rumput-rumputan, untuk kesenanganmu dan untuk binatang ternakanmu. ” (Surah ‘Abasa, ayat 24-32)

No comments: