Thursday, April 16, 2009

Islam Dan Kebudayaan

Oleh: Norhadillah Binti Ab. Aziz

Pengertian
Akar kata ‘kebudayaan’ (ke-budaya-an) ialah ‘budaya’. Budaya ialah singkatan daripada dua kata: budaya dan daya. Ini adalah kaedah Sangsekerta, yang dalam tatabahasa Indonesia dikenali dengan hukum M-D (Menerangkan-Diterangkan). Bahasa Inggeris menyebut kebudayaan itu; ‘culture’. Etimologi kata ini juga membawa kita kepada budi, kerana pengertian awal ‘culture’ ialah menumbuhkan budi manusia atau perkembangannya dengan latihan. Bahasa Arab menyebut kebudayaan itu ‘ath-thaqafah’, yang mengandungi pengertian awal: penggosokan, pemurnian, pembersihan.

Konsep Kebudayaan Sekularisma
Sekularisma di barat timbul daripada pertentangan ilmu dengan agama Kristian. Konsepsi sekularisma berhubungan dengan proses keruntuhan peranan agama Kristian dalam masyarakat kerana masyarakat bercorak lebih rasional, materialis, dan pragmatis atau utilitarian. Sekularisma memutuskan hubungan kebudayaan daripada agama. Pemutusan ini dapat dipulangkan dasarnya kepada Injil Nasrani: “Serahkan urusan Sesar kepada Sesar dan serahkan urusan Tuhan kepada Tuhan”. Urusan Penguasa (Sesar) ialah politik. Politik mengatur masyarakat. Masyarakat adalah jelmaan kebudayaan. Dengan mengatur masyarakat politik mengatur kebudayaan. Sasaran kebudayaan adalah dunia. Dengan demikian politik mengatur dunia. Urusan Tuhan adalah agama. Sasaran agama adalah akhirat.

Pembahagian kekuasaan menyebabkan dalam mengatur dunia dengan kebudayaannya itu, manusia:
i. Tidak menghiraukan Tuhan atau mengenepikan Tuhan,
ii. Tidak berpedoman kepada undang-undang- Nya melalui Kitab Suci-Nya,
iii. Tidak memperhitungkan akibat di akhirat nanti.
Penumpuan kepada manusiawi, duniawi dan materi itu membawa kepada:
i. Kecenderungan untuk mengejar kesenangan dan kenikmatan materiil.
ii. Bertambahnya kebebasan dalam ilmu pengetahuan dan nilai.
iii. Mementingkan ukuran empiri dan ketrampilan duniawi,
iv. Kesedaran tentang kemampuan dan kekuasaan manusia terhadap alam dan masyarakat.
v. Berkurangnya peranan dan pengaruh agama dalam kehidupan manusia,
vi. Pemisahan agama dari politik dan pemerintahan.

Definisi Kebudayaan
Dipandang dari segi etimologi kata kebudayaan dan kegiatan kebudayaan itu sendiri, ternyata ia merupakan titik pusat kebudayaan. Naluri asas manusia ialah cenderung kepada keselamatan dan kesenangan. Perkara-perkara keselamatan difikirkan oleh budi, perkara-perkara kesenangan dihayati oleh hati. Dengan demikian budi dilengkapi oleh perasaan sebagai titikpusat kebudayaan. Fikiran dan perasaan itu membentuk konsep dan konsepsi.


Definisi Kebudayaan dengan Pembahasan Ilmiah.
“Cara berfikir dan cara merasa yang menyatakan diri dalam seluruh segi kehidupan sekelompok manusia yang membentuk kesatuan sosial”. Demikianlah definisi menurut pandangan ilmiah dan sekularisme.

FALSAFAH ISLAM TENTANG KEBUDAYAAN

Kebudayaan Islam
Kebudayaan Islam bermaksud cara berfikir dan merasa takwa, yang menyatakan diri dalam setiap segi kehidupan sekelompok manusia yang membentuk kesatuan sosial. Tiap perbuatan atau tindakan yang dilakukan berpangkal daripada fikiran dan perasaan. Pemikiran memutuskan sesuatu perkara, perasaan menimbulkan kemahuan untuk melaksanakan keputusan itu.
Dalam kebudayaan sekular manusia otonomi dalam berfikir dan merasakan itu. Fikiran dan perasaan itu diasaskan kepada pengetahuan indera, ilmu, dan falsafah yang dibentuk oleh budi manusia sendiri. Kerana fikiran dan pengetahuan itu nisbi, maka putusannya tentu juga nisbi dan pengamalannya tidak mencapai salam yang didambakan oleh fitrah manusia.
Takwa ialah menjaga hubungan dengan Tuhan supaya hubungan itu terjaga maka khalifah dalam berfikir. Kebudayaan yang diamalkan oleh masyarakat Islam adalah lanjutan daripada pengamalan agama Islam. Tidak mungkin orang mengamalkan kebudayaan Islam tanpa mengamalkan agama Islam kerana asas kebudayaan itu agamalah yang menggariskan. Jadi tanpa mentaati agama, kebudayaan Islam tidak mungkin ditegakkan.

KESENIAN
KEDUDUKAN SENI DALAM KEBUDAYAAN

Seni Sebagai Pola Kebudayaan Sejagat
Dalam kajian tentang kebudayaan telah kita temukan, bahawa seni merupakan pola kebudayaan sejagat, iaitu ia adalah aspek kebudayaan yang universal ditemukan dalam tiap kebudayaan bila dan dimanapun. Dalam sejarah kebudayaan, kajian tentang kebudayaan dari dahulu sampai sekarang selalu kita jumpai seni sebagai institusi masyarakat.
Dalam proses pertumbuhan dan perkembangannya kebudayaan menjalani 3 tahap: kebudayaan bersahaja, kebudayaan peralihan dan kebudayaan moden. Dalam kebudayaan bersahaja itu kesenian berpadu dengan agama. Dalam kebudayaan peralihan seni trdisi mengalami proses peralihan kepada seni moden. Dalam kebudayaan moden Barat kesenian itu otonom, ia berdiri sendiri, terutama berpisah daripada agama.



Teori Lahirnya Seni Dari Agama
Pujaan kepada-Nya diucapkan dengan susunan kata-kata penuh perasaan. Dari susunan kata-kata yang indah itu lahir kesusasteraan. Kesusasteraan ialah bahasa yang indah, indah dalam bentuk, bunyi dan isi. Segala tenaga keindahan bahasa dipergunakan dalam pemujaan itu.
Pengucapan pujaan itu tentu dengan gaya bahasa, seperti orang bercakap, tapi dengan suara yang indah yang berkesan kepada perasaan. Dari pengucapan itu lahirlah seni suara. Pengucapan dengan penuh penghayatan menimbulkan reaksi gerak pada muka dan badan (mimik dan pentomimik), yang melahirkan seni tari. Supaya tari itu terarah dan rentaknya teratur, dipukulnya bunyi-bunyian mengiringinya. Dari pukulan bunyi-bunyian itu lahirnya seni muzik.
Pemujaan kepada dewa-dewa bukanlah merupakan kerja sehari-hari seperti bertani atau berdagang. Peristiwa yang istimewa ini ditandai oleh cara berpakaian yang istimewa pula. Diciptakanlah pakaian yang indah-indah, yang melahirkan seni pakaian.
Dewa yang dipuja itu adalah ghaib. Supaya ada tumpuan dalam pemujaan dan tempat pemusatkan perhatian dewa yang abstrak itu dikonkritkan dengan menciptanya dalam bentuk arca atau patung. Lahirlah seni arca.
Arca yang suci itu tidak boleh ditempatkan sebarangan. Dibinalah bangunan yang khusus untuk dia, yang merupakan pangkal kelahiran seni bina. Untuk menghidupkan kepercayaan dan ingatan kepada dewa-dewa itu, peristiwa penting tentang dewa-dewa itu diulang kembali dalam bentuk drama. Lahirlah seni drama. Manusia biasa yang memainkan peranan dewa memakai topeng sebagai lambing dewaitu. Lahirlah seni topeng.



Seni Tradisional
Seni sebagai pola kebudayaan sejagat bersifat statik. Seni itu diulang-ulang bukan saja selama kehidupan satu generasi, bahkan dari generasi ke generasi. Dengan perulangan itu ia menjadi tradisi, iaitu menjadi adat. Adat tidak boleh diubah-ubah. Mengubah adat adalah tabu. Maka seni tradisional juga tidak boleh diubah-ubah. Dengan mengikatkan diri pada tradisi masyarakat lama itu menjadi tradisionalisma, iaitu pemujaan pandangan dan praktek lama, menjaganya supaya jangan berubah.

Seni Sebagai Ciri Tamadun
Tamadun ialah tahap perkembangan kebudayaan yang tinggi bercirikan:
i. Bentuk Negara dengan pentadbiran yang tersusun rapi,
ii. Kehidupan Bandar,
iii. Sains dan teknologi dan pendidikan yang mencapai perkembangan,
iv. Arsitektur yang membina monumen dan bangunan-bangunan besar,
v. Aktiviti kesenian yang berkesan.
Definisi kesenian (seperti juga definisi kebudayaan) tenti banyak. Seni dapat dipandang dari segi kemahiran, segi kegiatan manusia, segi karya manusia, dari segi seni halus (fine arts) dan dari segi seni pandang (visual arts). Tiap pandangan itu dirumuskan definisi sendiri. Dan definisi yang akan dirumuskan disini dipandang dari segi karya manusia. Bagi Herbart Read “seni adalah usaha mencipta bentuk-bentuk menyenangkan”.


FALSAFAH SENI

Pengertian Seni
Seni terbahagi kepada 5 iaitu:
i. Seni sebagai kemahiran,
ii. Seni sebagai kegiatan manusia,
iii. Seni sebagai karya,
iv. Seni sebagai seni halus (fine art),
v. Seni sebagai seni pandang (visual art).
Seni Sebagai Kemahiran
Seni sebagai kemahiran sesuai dengan etimologi kata art, iaitu membuat barang-barang atau mengerjakan sesuatu. Contohnya, seni pertukangan kayu dan seni memasak.
Seni Sebagai Kegiatan Manusia
Seni sebagai kegiatan manusia menciptakan karya apapun. Seni sebagai realitas baru berbeza daripada kraftangan yang merupakan realitas yang diulang-ulang. Karya seni dihasilkan oleh seniman sedangkan kraftangan dihasilkan oleh tukang. Tukang dengan kemahiran mata dan tangan membuat benda-benda indah yang berguna. Seniman selain daripada memiliki kemahiran mata dan tangan mempunyai pula kretiviti untuk dapat menghasilkan karya seni.
Seni Sebagai Karya
Seni sebagai kegiatan biasa pula diertikan sebagai produk kegiatan itu, iaitu karya seni. Pengertian ini terjadi kerana orang mengacaukan proses dan produk dari prose situ. Ada kegiatan seni dan ada karya seni. Karya seni bukanlah kegiatan seni. Seni sebagai karya perbuatan manusia, selain daripada itu tidak dipandang seni. Unsur-unsur alam, walaupun indah tidak digolongkan kepada seni.
Pengertian Seni Terbatas pada Seni Halus
Seni terutama berhubungan dengan benda-benda estetik, berbeza dari seni guna atau seni terapan yang maksudnya untuk kegunaan. Yang diliputi oleh seni halus itu adalah: seni likes, seni pahat, seni bina, seni tari, seni muzik, seni pentas, seni filem dan kesusasteraan.
Pengertian Seni yang Dibatasi untuk Dipandang
Seni pandang ialah bidang-bidang daya cipta seni yang mengadakan saluran terutama melalui mata. Seni pandang itu terdiri atas seni lukis, seni pahat dan seni bina.

RELEVANSI ISLAM DENGAN KESENIAN
SENI ISLAM
Definisi Seni Islam
Kesimpulan seni Islam ialah:
i. Ada tempat kesenian dalam Islam ; ia merupakan pola kebudayaan sejagat daripada kebudayaan Islam,
ii. Islam mempunyai konsepsi sendiri tentang kesenian, iaitu perpaduan nilai estetika dengan nilai etika Islam.
Kerana kesenian sebagai ajaran ada dalam dien Islam, sebagai amalan ia berlangsung di kalangan umat Islam dari dahulu sampai kini, dengan sendirinya tentu ada apa yang dikatakan “seni Islam”.
Seni Islam ialah ciptaan bentuk yang mengandungi nilai estetik yang berpadu dengan nilai etik Islam. Dengan demikian seni Islam sebagai karya dilahirkan oleh akhlak Islamiyah dan nilai dengan akhlak Islamiyah. Akhlak ialah nilai rohani yang melahirkan laku-perbuatan manusia terhadap Allah dan manusia, terhadap diri sendiri dan makhluk lain, sesuai dengan suruhan dan larangan serta petunjuk Al-Quran dan Hadis.
Seni Islam menimbulkan tanggapan bentuk yang indah yang dikawal oleh akhlak. Contoh seni yang tidak dikawal oleh akhlak ialah nyanyian dengan rentak yang menimbulkan rentak yang tidak senonoh pada pendengarannya, filem yang menggambarkan adegan-adegan lucah, tarian yang membuka aurat, roman yang menceritakan kepercayaan materialis atau ateis, lukisan perempuan telanjang, tarian dengan gerakan-gerakan liar, adalah contoh-contoh bentuk yang memang estetik, tapi tidak dikawal oleh akhlak. Semua itu mungkin indah, tapi ia tidak baik. Sedangkan seni Islam itu mestilah mengandungi nilai kebaikan. Mengaitkan kesenian dengan akhlak atau nilai-nilai kebaikan, bermakna mengaitkan kesenian dengan agama, kerana agamalah yang menggariskan akhlak.

Seni Asli Islam
Wahyu yang diturunkan Allah, yang dihimpunkan dalam bentuk Al Quran adalah sempurna. Ayat-ayat wahyu itu mengandungi nilai estetik. Pemilihan dan penyusunan kata-kata yang membentuk ayat bernilaikan “sastera” yang amat tinggi, tidak pernah dapat ditandingi oleh sasterawan. Ayat-ayat itu adalah benar, baik dan bagus. Sekalipun Al Quran mengandungi nilai “sastera”, namun dia bukanlah karya sastera.
Dari Al Quran timbullah seni suara.
“Hendaklah kamu baguskan akan Al Quran dengan suaramu, kerana suara yang bagus itu menambahkan kebagusan Al Quran”
(H. R. Imam-imam Al Hakim, Ad-Darimy dan Ibnu Nasar dari Al Bara bin ‘Azib)
Dari Al Quran sebagai buku lahir:
i. Seni khat(kaligrafi),
ii. Seni dekorasi atau seni hias kulit dan lembaran-lembaran kitab Al Quran.
Azan diseru dengan merdu, memberi nilai estetik pada suara azan itu, melahirkan seni suara.
Selain itu, seni Islam yang lahir dari masjid:
i. Dedikasi dan ketekunan dalam membina masjid menimbulkan seni bina. Tiap masjid yang didirikan selalu dapat dikesan nilai estetiknya atau usaha arsitrkturnya.
ii. Masjid tidak boleh dihiasi dengan lukisan, arca atau patung. Kecenderungan estetik kerana itu menimbulkan seni ukir :
a. Yang berasal dari ayat-ayat Al Quran dan Hadis(seni khat),
b. Berpolakan unsure-unsur alam mati(daunan, bunga, geometrik).
iii. Masjid ditutup dengan alas permaidani. Pemberian nilai estetik pada alas ini melahirkan seni sulam.
iv. Untuk memperindahkan ruang-ruang dinding masjid disusunlah mozek.
v. Untuk menyelaraskan bangunan masjid dengan lingkungannya, dibinalah taman yang indah, yang selanjutnya tumbuh sebagai “seni pertamanan”
vi. Ketika pergi ke masjid Al Quran menyuruh memakai zinah, perhiasan. Dan perhiasan seperti telah dibahas adalah karya seni.
Kegiatan Seni Umat Islam Kini
Mereka mengamalkan kesenian itu tanpa mereka sedari, misalnya:
i. Membaca Al Quran dengan berlagu; dalam musabaqah membaca Al Quran lagu sebagai nilai estetik ikut diperkirakan,
ii. Menyerukan azan dengan suara yang merdu,
iii. Berusaha seindah mungkin dalam membina masjid,
iv. Masjid dihiasi dengan seni khat dan ukiran-ukiran, memakai sejadah yang disulam cantik,
v. Hari Jumaat dan hari-hari raya memakai perhaisan ke masjid,
vi. Menyanjung Allah dan Rasulullah dengan lagu diiringi oleh alat muzik.
vii. Bertabligh dengan seni pidato,
viii. Suka membaca syair keagamaan,
ix. Menyukai sastera tentang kisah nabi-nabi dan pahlawan-pahlawan Islam,
x. Menghiasi diri dan rumah tangga dengan barang-barang kraftangan,
xi. Dan lain-lain.

Seni Islam dan Seni Muslim
Contoh-contoh seni Islam:
i. Silat gayung, seni mempertahankan diri atau mempertahankan diri dengan gerakan-gerakan estetik. Perlakuannya dilarang mengerjakan maksiat, harus taat beribadat, dalam amalannya dibacakan doa dari ayat-ayat Al Quran. Silat ini banyak berkait dengan kebatinan. Selama kebatinannya berasaskan akhidah yang bersih, silat ini cenderung kepada Islam;
ii. Dikir maulud, diadakan ketika kenduri kawin dan cukur rambut;
iii. Rodat, dilakukan oleh sejumlah orang, ada yang memukul rebana ada yang menari dan menyanyi lagu dalam Bahasa Arab, memuji Tuhan dan Nabi;
iv. Seni kha, seni tulis terutama ayat-ayat suci;
v. Permainan kompang dengan lagu dan irama dan rentak yang sama. Semasa kompang dibunyikan, anggota-anggotanya membaca syair corak agama; dipertunjukkanketika kenduri kawin atau menyambut pembesar,
vi. Nasyid, lagu-lagu agama dalam Bahasa Melayu, kadang-kadang diiringi oleh muzik;
vii. Zikir, beramai-ramai dengan irama yang sam, isi lagunya antara lain pujian kepada Tuhan dan Nabi;
viii. Musadaqah membaca Al Quran.
Contoh-contoh seni Muslim:
i. Tari pahlawan Melayu, sering dipertunjukkan dikenduri kawin,
ii. Rebana ubi, dipalu ketika perarakan pengantin dan upacara-upacara,
iii. Tari cincin, dimainkan dengan sebentuk cincin dan piring,
iv. Wayang kulit, menayangkan cerita yang berasal dari mitologi Hindu,
v. Kuda Kepang, penari menunggang kuda-kudaan menari sampai tak sedar diri, dan melakukan perkara-perkara yang aneh,
vi. Boria, dilakukan oleh sebilangan orang dengan irama, gerak dan nyanyian yang berisikan isu-isu semasa.
vii. Dikir barat, dilakukan oleh 2 kumpulan yang berbalas-balas lagu, berisikan isu-isu semasa, atau oleh satu kumpulan, dengan irama gerak dan beberapa alat muzik;
viii. Menora, beberapa baris penyanyi dengan gaya tari dipimpin oleh seorang ketua, melagukan isu-isu semasa,
ix. Main peteri, dilakukan untuk perubatan dengan mempergunakan tenaga-tenaga ghaib,
x. Kraftangan menghasilkan benda-benda keperluan sehari-hari atau keperluan rumah tangga yang mengandungi nilai estetik,
xi. Seni temporeri, meliputi:
1) Karya-karya puisi dan prosa moden,
2) Tayangan filem,
3) Drama moden,
4) Tarian moden,
5) Seni rupa dan arsitektur.

MASALAH NYANYIAN, MUZIK DAN TARIAN
Masalah Kesenian
Pemahaman Tentang Nyanyian.
Syarat-syarat nyanyian:
a) Susunan kata-katanya tidak bercanggah dengan syarak, misalnya tidak memuji wanita, arak dan pemuda remaja.
b) Nyanyian itu tidak merupakan pekerjaan tetap si penyanyi, atau tidak sebagai mata pencarian.
c) Alat yang digunakan ketika menyanyi ialah alat yang diharuskan dalam syarak, seperti kompang dan rebana. Adapun alat yan gsudah menjadi lambang majlis minuman keras adalah ditegah.
d) Jika penyanyi itu perempuan, janganlah ia mengalunkan suara yang boleh menimbulkan syahwat pada lelaki ajnabi.
e) Majlis hendaklah aman dari percampuran yang membawa kepada fitnah dan mereka berpakaian yang menutup aurat dan sopan.
f) Penyanyi itu tidak menghias dirinya yang membawa kepada fitnah.
g) Penyanyi itu hendaklah menutup aurat.
Pemahaman Tentang Alat-alat Hiburan
Bunyi-bunyian yang diharuskan adalah seperti kompang(duf), sedangkan bunyi-bunyian yang diharamkan ialah ma’azif, iaitu bunyi-bunyian yang telah menjadi lambang majlis minuman keras.

Pemahaman TentangPersembahan dan Suasana Majlis.
a) Jika yang mempersembahkan nyanyian itu wanita, janganlah ia mengeluarkan suaranya dengan cara yang boleh menimbulkan keinginan lelaki ajnabi.
b) Hendaklah menutup aurat, sama ada penyanyi itu lelaki atau wanita.
c) Tidak ada kebebasan percampuran antara lelaki dan perempuan di dalam majlis.
d) Dilarang berhias bagi wanita, seperti memakai minyak wangi, mencukur bulu kening, mencukur anak rambut dan memakai rambut palsu.
Hukum Nyanyian
Nyanyian yang melalaikan. ulama sepakat mengharamkan nyanyian yang dipersembahkan ole penyanyi-penyanyi mahsyur yang senikatanya mengandungi kata-kata yang membangkitkan nafsu, melukiskan kejelitaan wanita, menggambarkan arak, dan perkara-perkarayang diharamkan. Sedangkan nyanyian yang tidak menggambarkan perkara-perkara tersebut adalah hukumnya harus.

Hukum Alat Hiburan(ma’azif)
a) Mazhab Hanafi melarang alat-alat hiburan seperti tambur dan serunai.
b) Mazhab Maliki mengharamkan alat-alat bunyian seperti gambus dan qanun
c) Mazhab Shafi’i mengharamkan penggunaan alat yang telah menjadi lambang minuman arak, seperti tambur, gambus, ribab, santhir, kamanjah, dan anj.
d) Mazhab Hanbali mengharamkan mendengar nyanyian yang disertai oleh alat hiburan seperti gambus, tanbur, dan seumpamanya.

SENI DAN DAKWAH
SENI DAKWAH
Pengertian Dakwah Islam
Kata “dakwah” berasal dari Bahasa Arab, dari segi loghat bererti ‘menyeru’ atau ‘mengajak’. Dakwah Islam bererti menyeru kepada Islam. Islam itu terdiri daripada ajaran dan amalan. Maka dakwah Islam ialah menyeru kepada ajaran dan amalan Islam.

Bagaimana Dakwah Islam itu?
3 method dakwah Islam:
i. Dengan hikmah
ii. Dengan nasihat yang baik
iii. Dengan perbicaraan yang lebih baik
Method hikmah berhubungan dengan 3 perkara:
a) Berhubungan dengan sifat-sifat pendakwah
b) Berhubungan dengan isi atau materi dakwah
c) Berhubungan dengan strategi dan alat dakwah

Apa Komponen-komponen Dakwah Islam?
Dakwah Islam melibatkan 4 komponen:
i. Isi atau materi dakwah
ii. Pendakwah
iii. Sasaran pendakwah
iv. Cara berdakwah
Manfaatkan Seni Untuk Dakwah
Cara untuk menarik minat sasaran pendakwah:
i. Nyanyian yang melagukan ketakwaan kepada Allah; membaca ayat-ayat Tuhan dengan merdu.
ii. Tari yang melukiskan dengan metafora gerak, perjuangan abadi anak Adam terhadap tipu daya iblis, dan kejayaan manusia dalam perjuangan itu kerana berpandu kepada wahyu-wahyu Allah.
iii. Muzik yang memupuk perasaan halus manusia, sehingga ia lebih sensitif tehadap nilai-nilai ma’ruf dan menjauh daripada nilai-nilai mungkar.
iv. Ayat-ayat Allah dan Hadis Nabi yang diukir dalam penulisan.
v. Lukisan yang menggambarkan ayat-ayatAllah pada alam.

SENI SEBAGAI SALURAN DAKWAH

Saluran Dakwah
Ada 4 jenis saluran iaitu:
i. Saluran pandangan (visual)
ii. Saluran pendengaran (audio)
iii. Saluran tulisan
iv. Saluran pandang-dengar (audio-visual)
Saluran Pandangan
Saluran ini mempergunakan fumgsi indera mata. Yang dapat ditangkap dengan mata antara lain lukisan, foto, grafik, rajah, peta, pahatan, ukiran, tarian, binaan, demonstrasi. Dalam menyeru kepada ajaran dan amalan Islam unsur-unsur tersebut dapat dipergunakan untuk menerangkan, menunjukkan, menguraikan ajaran Islam dan merangsang kepada atau menggerakkan agama Islam.
Saluran Pendengaran
Saluran pendengaran mempergunakan fungsi indera telinga. Unsure-unsur saluran ini ialah ucapan yang dapat diperkeraskan dengan mikrofon atau pengeras suara, radio, pita rakaman. nyanyian dan muzik juga mempergunakan saluran pendengaran.

Saluran Tulisan
Saluran tulisan adalah saluran kata, yang dalam klasifikasi seni (34) dimasukkan ke dalam saluran pendengaran. Susunan kata-kata itu kalau berirama disebut puisi, dan kalau tidak berirama: prosa. Puisi dan prosa kalau dibaca ia dapat digolongkan ke dalam saluran pendengaran. Tetapi puisi, prosa dan bentuk-bentuk tulisan lain biasanya tidak didengar, tapi dibaca sendiri. Ditambah lagi peranan saluran tulisan amat penting sekali, tulisan tidak tidak dimasukkan ke dalam saluran pendengaran, tapi membentuk salurannya sendiri dalam tulisan itu.
Saluran Pandang-dengar
Kalau pandangan dan pendengaran diperpadukan terbentuklah saluran pandang-dengar, yang menghimpunkan dalam dirinya keupayaan daripada masing-masing pandangan dan pendengaran. Dengan sendirinya ia mempunyai kelebihan daripada pandangan saja atau pendengaran saja. Bentuk saluran pandang-dengar yang amat popular sekarang ialah filem.

No comments: