Thursday, April 16, 2009

Kewajipan Muslim

Oleh: Norshahirah Binti Abdul Razak

ABSTRAK
Melaksanakan perintah Allah SWT merupakan penjana kepada pelaksanaan syariat Islamiah dalam segala aspek kehidupan. Asas berdiri teguhnya pengurusan diri, keluarga, masyarakat dan Negara terletak pada merealisasikan konsep akidah, syariah dan akhlak. Setiap muslim mempunyai kewajipan tertentu sama ada terhadap dirinya sendiri, keluarga, masyarakat dan negara. Kewajipan ini sudah digariskan oleh islam didalam Al-Quran sejak lahirnya manusia kealam dunia, kerana kewajipan inilah yang akan menentukan masa depan mereka sama ada masa depan yang cerah diakhiri dengan kebahagiaan hidup didunia dan kenikmatan dan keseronokan hidup diakhirat atau masa depan yang gelap dengan mengakhiri penutup tirai kehidupan dunia yang buruk dengan kemuraman dan kesengsaraan serta penderitaan yang tidak berpenghujung sama ada di alam barzakh atau akhirat.

PENDAHULUAN

Islam mengandungi tiga komponen penting iaitu akidah, syariat dan akhlak. Akidah adalah dasar kepada agama, syariat pula merupakan peraturan dan undang-undang, manakala akhlak pula adalah penghayatan, ketiga-tiga bidang ini tidak boleh dipisahkan. Ianya adalah satu dan bersepadu. Aspek dan fungsi-fungsi bidang tersebut bolehlah diibaratkan seorang manusia jika dilihat dari sudut jiwa, pemikiran, dan emosi dipanggil rohani. Apabila dilihat daripada aspek atau sudut anggota tubuh atau tubuh fizikal manusia dinamakan jasmani dan seterusnya dilihat daripada sudut aktiviti dan perbuatan yang dilakuakan oleh manusia dinamakan akhlak atau penghayatan.

BIDANG AKIDAH

Bidang akidah adalah sebahagian daripada unsur atau elemen agama. Bidang akidah ini membicarakan tiga bahagian yang besar, ketiga-tiga bahagian ini hendaklah diketahui, difahami, dan di Imani, jika tidak kita akan berdosa iaitu:

1- MEMBICARAKAN TENTANG KETUHANAN IAITU ALLAH
Setiap muslim wajib mengetahui dan beriman bahawa alam ini terdiri daripada cakerawala dan planet-planet ini seperti langit, matahari, bulan, bintang-bintang yang berada di bumi seperti laut, udara air, bukit-bukau, gunung-ganang serta semua penghuninya seperti manusia, jin, binatang, dan sebagainya adalah dijadikan Allah untuk kepentingan dan kemudahan semasa hidup di dunia ini. Tuntutan pertama yang wajib diketahui oleh setiap muslim selepas mengucap dua kalimah syahadah ialah mengenali dan mengimani dengan seikhlas mungkin kepada Allah sebagai pencipta dan pemberi segala penghayatan ini kepada manusia dan makhluknya. Apabila seseorang itu mengenali Allah melalui sifat-sifat kesempurnaannya dan tanda-tanda adanya Allah akan terasalah kemanisan dan rasa cintanya yang mendalam kepada Allah sekaligus akan menyumbangkan pula tahap pengorbanan yang tinggi atau tidak terhingga terhadap tuntutan-tuntutan atau perintah Allah terhadap mereka.

• BAGAIMANA CARA MENGENALI ALLAH
Cara mengenali Allah dengan melalui pelbagai cara antaranya:-Menghafal Asmaullah Al Husna dan maknanya.
Nama-nama Allah yang sempurna ini sebanyak 99 nama dan nama-nama ini dinamakan sendiri oleh Allah dengan firmannya:“sesungguhnya aku, Allah tuhan semesta Alam” (Al-Qasas:30)Kita wajib beriman bahawa Allah mempunyai nama-nama yang paling sempurna. 99 nama Allah ini eloklah dihafaz dan di yakini dengan sepenuh keyakinan kepada Allah SWT. Nama-nama yang indah dan susunan yang menarik ini sangat baik dijadikan wirid serta nyanyian kita setiap hari. Sabda Rasulullah SAW ertinya:“Sesungguhnya Allah mempunyai 99 nama, barangsiapa yang menghitungkan nama- nama itu akan masuk syurga”(Diriwatkan oleh At Tarmizi, Ibnu Hibban dan dari Abi Hurairah ra)

• MELALUI AYATULLAH TANDA-TANDA KEBESARAN ALLAH YANG TERDAPAT DI ALAM INI
Banyak tanda-tanda yang menunjukkan kebesaran Allah yang terdapat di alam ini sama ada yang dapat dilihat dengan mata kasar atau melalui alat-alat moden seperti mikroskop dan sebagainya. Di dalam Al Quran banyak ayat-ayatnya yang mengajak kita supaya melihat, mamahami dan mengkaji segala rahsia penciptaan dan penghidupan yang ada di alam ini yang membuktikan adanya Allah, pencipta yang maha agung lagi maha bijaksana. Antara yang boleh kita lihat di sekitar kita yang mengambarkan tanda-tanda kebesaran Allah ialah
-penciptaan langit dan bumi serta planet-planet yang lain
-penciptaan malam dan siang yang silih berganti
-penciptaan manusia daripada tanah
-keturunan manusia yang berlainan serta bermacam-macam warna kulit dan pertuturan bahasa
-menyediakan kemudahan atau keperluan asas untuk penghidupan manusia

Antara kemudahan asas selain kelengkapan fizikal dan jiwa manusia seperti akal, hati, deria rasa, dan sebagainya antaranya ialah:
-air untuk minuman dan sumber penghidupan makhluk
-rumah kediaman dan tempat tinggal serta pakaian yang kita pakai.
-menjadikan bumi yang subur, gunung-ganang, sungai-sungai dan tumbuh-tumbuhan serta binatang untuk kemudahan kepada manusia
-menjadikan manusia dan setiap makhluk hidup berpasangan

• MENGENALI ALLAH MELALUI SIFAT-SIFAT KERSEMPURNAAN
Sifat-sifat ini lebih dikenali dengan sifat dua puluh seperti wujud, qidam, baqa’, mukhalafatuhulilhawadith,. qiamuhubinafsihi, wahdaniat, qudrat, iradat, hayat, sama’, bashar, kalam, mutakaliman dan lain-lain.

2- MEMBICARAKAN KERASULAN
Setelah kita mengenali Allah melalui sifat-sifat dan tanda-tanda kebesarannya, kita berkewajipan pula mengenali para rasul dan utusan Allah secara umum. Para rasul terdiri daripada manusia, lelaki yang dipilih oleh Allah dengan penurunan wahyu kepadanya dan dijagai Allah zahir dan batin mereka daripada maksiat. Perbezaan diantara rasul dan Nabi ialah sama-sama dilantik oleh Allah dengan penurunan wahyu, sama-sama lelaki cuma yang berbezanya dari segi tugas. Para rasul ditugaskan untuk menyampaikan risalahnya itu kepada masyarakat sementara nabi hanya untuk dirinya sahaja. Para ulama menyatakan jumlah nabi seramai 120 000 orang, rasul seramai 313 orang dan 25 orang rasul disebut di dalam Al Quran. Kita wajib mengenali para rasul seramai 25 orang itu secara umum dengan menyebut namanya satu persatu dengan mengetahui sejarah latar belakangnya sedikit sebanyak. Diantara semua rasul kita wajib mengetahui secara mendalam ialah tentang Nabi Muhammad SAW.
Antara tugas-tugas rasul ialah:
-Sebagai saksi kepada manusia
-pembawa berita gembira
-pembawa berita ancaman
-penyeru ke jalan Allah
-pelita atau matahari kepada Alam

3- MEMBICARAKAN ASSAMIYAT
Kita umat islam wajib mengetahui dan mengimani terhadap rukun akidah yang ketiga selepas ketuhanan dan kerasulan iaitu Assamiyat. Dimaksudkan dengan Assamiyat ialah segala prinsip-prinsip keimanan dan kewajipan syarak yang tidak boleh difikir dengan akal dan tidak boleh dianalisa dengan alat-alat sains moden hakikatnya kecuali melalui berita-berita dan kisah-kisah yang didengari melalui Al Quran dan Al Hadith. Banyak peristiwa dan perkara-perkara yang akan manusia jalani atau lalui selepas mati yang tidak dapat difikirkan oleh akal fikiran manusia tetapi peristiwa tersebut tetap berlaku, sedangkan semasa hidup di dunia ini pun manusia sendiri tidak boleh menentukan dosa dan pahala serta hakikat sesuatu benda melainkan melalui penetapan syarak berdasarkan daripada sumber Al Quran dan Al Hadith. Apa lagi perkara-perkara ghaib yang belum lagi ditempuhi manusia tetapi tetap berlaku dan wajib kita beriman dengannya. Antara perkara-perakra ghaib tersebut ialah:
-seperti nikmat dan azab kubur
-kebangkitan semula semua manusia di akhirat kelak
-berhimpun di padang mahsyar
-melalui titian sirat
-dibicarakan di mahkamah agung Allah di akhirat
-Masuk syurga atau neraka.

IBADAH SYARIAH

Syariah adalah suatu peraturan dan undang-undang yang merupakan prinsip utama untuk membentuk manusia mernjadi hamba Allah yang soleh dan dapat menjalankan tugas sebagai khalifah Allah semasa hidup di dunia ini. Syariat ini juga di panggil Islam jika dilihat daripada pembahagian Iman, Islam dan Ihsan. Islam juga dikenali sebagai feqah, andainya ditinjau daripada sudut hokum iaitu tauhid, feqah dan tasauf. Syariat ini merupakan cara hidup setiap insan yang mengaku muslim atau bidang tugas yang harus di fahami oleh setiap muslim seperti berikut:

1- IBADAT
Ibadat mengikut syariat terbahagi kepada dua bahagian iaitu:
• ibadah khusus - ibadah solat, ibadah puasa, ibadah zakat, dan ibadat haji
• ibadah umum - segala aktiviti yang kita lakukan setiap hari baik dalam bidang perhubungan, pentadbiran, pengurusan dan pendidikan, ataupun dalam bidang ekonomi, politik dan juga sosial. adalah merupakan ibadat sekiranya kita lakukan semua perkara itu kerana Allah dan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh syariat Islam.

2- MUAMALAT
Apabila kita membicarakan tentang sistem muamalat, sudah tentu kita tidak dapat lari daripada membicarakan sistem urusniaga, perdagangan dan kewangan. Apabila kita membicarakan muamalat, kita akan bertemudengan istilah-istilah urusniaga seperti berikut:
- jual-beli
- pemilihan
- kerugian dan penipuan
- wadiah/simpanan
- mudharabah
- musyakarah
- murabahah
- jual salam (membeli barang secara tempahan)
- pembekalan
- jual dengan harga tangguh
- qardhul Hasan (hutang tanpa bunga)
- jaminan atau kafalah
- gadaian
- sewa atau upah
- wakalah (wakil mewakil)
- pemindahan hutang
- tukaran wang

Mengenai prinsip pula Islam telah telah menentukan beberapa prinsip tertentu seperti berikut:
i. Kebebasan terhad dan menurut nilai-nilai akhlak
ii. Hak milik swasta atau awam
iii. Campur tangan pihak berkuasa/pemerintah
iv. Prinsip keadilan sosial
v. Prinsip kemuafakatan
vi. Prinsip bekerja dan ganjaran
vii. Prinsip keuntungan dan kerugian
viii. Prinsip menjaukan kerosakan

Muamalah Islamiah mempunyai empat nilai utama iaitu Rabbaniyyah (ketuhanan), Akhlaqiyyah (akhlak), Insaniyyah (kemanusiaan) dan Wasatiyyah (keseimbangan). Banyak lagi konsep-konsep mengenai ekonomi Islam baik dalam bidang perniagaan, perdangan, pertukaran wang dan barang serta Insuran (takaful) atau urusan sekuriti, saham dan institusi serta lain-lain lagi.

3. MUNAKAHAT
Setelah seseorang itu sudah dapat pekerjaan atau mempunyai sumber ekonomi yang tetap atau teguh dan mempunyai keinginan kepada pasangan hidup, maka syariat telah menentukan cara-cara untuk mendirikan rumahtangga dan membina rumahtangga yang dipanggil munakahat atau perkahwinan. Perkahwinan ialah suatu ikatan yang terjalin antara lelaki dan wanita melalui akad yang sah untuk hidup bersama. Dengan akad nikah ini beerti telah terbinalah satu rumahtangga yang dimenteraikan dengan perjanjian untuk hidup bersama dan segala pergaulannya dihalalkan syarak.


Hikmah perkahwinan:
• Mengekalkan zuriat manusia yang bersih.
• Memupuk kasih sayang antara kedua suami isteri
• Tanggungjawab melaksanakan tugas hidup bersama
• Mengelakkan perbuatan maksiat
• Menikmati ketenteraman dan kedamaian
• Membentuk keluarga dan menyusun masyarakat

4. TANGGUNGJAWAB SUAMI ISTERI
Rumahtangga yang dibina melalui akad nikah adalah merupakan perjanjian antara suami isteri untuk hidup bersama dengan penuh kasih sayang dan rasa tanggungjawab antara satu sama lain di samping sama-sama tolong menolong dan bertolak ansur terhadap masalah-masalah yang timbul antara mereka. syariat Islam telah menetapkan panduan dan saranan untuk hidup bahagia dengan meletakkan tanggungjawab masing-masing iaitu:
• Tanggungjawab suami
- memberi nafkah zahir dan batin
- memberi layanan yang baik
- memberi didikan

• Tanggungjawab isteri
- taat kepada suami
- memberi layanan yang baik
- menjaga maruah diri dan harta suami
- tidak melakukan puasa sunat kecuali izin suami
- tidak dibenarkan menceritakan hubungan kelamin suami isteri kepada orang lain
-
• Tanggungjawab bersama
- membina dan mengekalkan kerukunan rumahtangga
- memelihara dan mendidik anak-anak
- mensyukuri nikmat Allah
- menghormati kedua-dua ibu bapa suami dan isteri
- masalah rumahtangga
- hadhanah hak penjagaan dan perawatan serta pendidikan anak-anak

5. JINAYAT
Untuk menjaga kestabilan politik dan keamanan sesebuah Negara maka syariat telah menentukan satu bahagian daripada perundangan Islam yang dinamakan Jinayat dan Hudud.

• Kesalahan-kesalahan yang hukumnya telah ditetapkan didalam Al Quran dan Al Sunnah yang dipanggil kesalahan hudud dan hukumannya dipanggil hukum hudud. Antara kesalahannya ialah:
- sariqah atau mencuri
- hirabah atau merompak
- zina atau melakukan persetubuhan haram
- Qazaf iaitu membuat tuduhan bahawa seseorang itu melakukan zina dan tidak dapat dibuktikan dengan empat orang saksi
- Syurub atau meminum arak atau minum minuman yang memabukkan
- Irtidad atau riddah iaitu keluar daripada agama Islam.

• Kesalahan-kesalahan yang tertakluk kepada qisos yang telah ditetapkan oleh Al Quran dan Al Hadith dipanggil kesalahan qisos dan hukumannya dinamakan hukuman qisos. Antara kesalahannya ialah:
- qatlalamd menyebabkan kematian dengan sengaja hendak membunuh
- qatlsyibhialamd menyebabkan kematian menyerupai kematian qatlalamd
- qatlalkhata’ menyebabkan kematian dengan tidak sengaja

• kesalahan-kesalahan yang lain daripada sebelumnya, hukumannya diserahkan kepada budi bicara badan perundangan dinamakan ta’zir dan hukumannya dinamakan hukum ta’zir. Antara kesalahannya ialah:
- musahaqah/lesbian
- ittiyam almaitah (bersetubuh dengan mayat)
- ittiyam albahimah (bersetubuh dengan binatang)








BIDANG AKHLAK

Bidang ini adalah bidang penghayatan hasil daripada cetusan kepercayaan dan keimanan kita kepada Allah, para Rasul dan Assamiyat serta kepatuhan kita terhadap peraturan dan undang-undang yang telah digariskan oleh syariat sebagai bukti kita orang muslim. Pelaksanaan dan penghayatan kita terhadap prinsip-prinsip keimanan dan peraturan-peraturan syariat adalah merupakan tanggungjawab yang wajib kita lakukan semasa hidup di dunia ini dan bolehlah dibahagikan tanggungjawab tersebut kepada beberapa bahagian seperti berikut:

1. Tanggungjawab terhadap Allah
Setiap muslim yang mengaku beriman kepada Allah hendaklah menunaikan tanggungjawabnya terhadap Allah iaitu:
- melaksanakan suruhan Allah sepertimana yang telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam semua aspek kehidupan sama ada mengenai peribadi, keluarga, bermasyarakat dan bernegara atau dari segi pengurusan, pendidikan, kewangan, sosial dan politik. Selain itu tanggungjawab dalam mengerjakan ibadat seperti solat, puasa, zakat, haji, dan lain-lain.
- Semua larangan Allah yang disebut di dalam Al Quran dan hadith hendaklah di jauhi jangan sesekali melakukan larangan Alllah kerana ia bukan sahaja berdosa tetapi hati kita menjadi gelap dank eras serta akan dimasukan di dalam api neraka.
- Orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan yakin terhadap kewujudan alam akhirat, mereka akan berbakti kepada Allah dengan sepenuh tenaga yang ada pada mereka dari segi pemikiran, jiwa raga, emosi, intelek, harta benda dan masa, semuanya dikorbankan untuk Allah sebagai ibadat dan pengabadian diri kepada Allah.


2. Tanggungjawab terhadap diri sendiri
Manusia dijadikan Allah sebaik-baik kejadian dari segi rohnya, jasmaninya, pemikirannya, status dan kedudukannya disisi Allah. Sebagai khalifah Allah kita hendaklah melaksanakan amanah tersebut dengan menyedari tanggungjawab terhadap diri sendiri iaitu:
- kewajipan menuntut ilmu yang merupakan asas untuk berbuat ibadat selain bertaqwa kepada Allah. Ilmu menurut Islam adalah mencakupi segenap aspek hidup manusia sama ada kebendaan atau material, fizikal dan spiritual, atau mengenai alam-alam ghaib.
- Kewajipan mengetahui perkara halal dan haram mengikit syariat Islam. Benda yang halal akan memberikan seseorang itu dapat menikmati perkembangan hidup yang bersih, suci, sihat, ketenangan jiwa serta mendapat pahala daripada Allah. Benda yang haram mempunyai pengaruh yang besar dalam pembentukan tubuh dan jiwa manusia. Makanan yang haram akan menjadi darah, sel, daging dan lain-lain. Selain itu ia bukan sahaja mengeraskan dan menggelapkan hati malah mendapat dosa dan balasan neraka daripada Allah

3. Tanggungjawab terhadap keluarga
Setelah diri kita sudah mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangannya, maka kita berkewajipan pula memastikan anak dan isteri kita atau keluarga kita melaksanakan perintah Allah. Untuk mewujudkan sesebuah keluarga bahagia, hendaklah berusaha melaksanakan ciri-ciri keluarga bahagia seperti:

- mewujudkan suasana rumahtangga yang aman dan damai serta memberi ketenangan kepada keluarga.
- Jalinan ikatan kemesraan, kasih sayang antara saumi isteri dan anak-anak dalam keluarga
- Sentiasa makan bersama dengan keluarga dan duduk semeja ketika makan
- Sentiasa melakukan solat berjemaah bersama keluarga jika rumah jauh daripada masjid dan surau.
- Rancangkan pengurusan rumahtangga yang baik dan teratur dari segi jadual makan minum, pergaulan harian dan kewangan serta aktiviti-aktiviti sosial dan khidmat masyarakat.

4. Tanggungjawab terhadap jiran tetangga dan persekitaran serta masyarakat
Islam telah menentukan bahawa umatnya hendaklah menghormati hak jiran, kerana ianya lambang kepada keagungan Islam. Sekiranya jiran itu beragama Islam dan ada hubungan keluarga, dia mempunyai tiga hak iaitu hak atau tanggungjawab jiran, tanggungjawab sesama Islam, dan tanggungjawab keluarga. Andainya jiran itu sesama Islam yang tidak ada hubungan keluarga dia mempunyai dua hak iaitu tanggungjawab sesama Islam dan tanggungjawab jiran. Jika jiran itu bukan Islam dia mempunyai satu hak iaitu hak jiran. Islam sangat menitik beratkan penjagaan persaudaraan dan hak jiran yang mana Islam melarang supaya umatnya menjauhi perkara-perkara yang boleh merenggangkan tali persaudaraan seperti:
- menjauhi sifat-sifat seperti hasad dengki, dendam, marah, riak, takbur dan sebagainya.
- Menjaga hati, perbuatan dan tindakan zahir yang boleh menyakiti orang lain seperti menghina, memaki hamun, mengumpat, mencela, Malaga-lagakan orang lain, mengadu domba dan sebagainya


5. Tanggungjawab terhadap Negara
Setiap muslim yang lahir dan tinggal di sesebuah Negara akan cinta kepada negaranya kerana tubuh badannya dijadikan daripada unsur-unsur tanah yang terdapat di negaranya, dan perasaan kasih kepada tanah airnya yang menjadi tanah tumpah darahnya adalah sebahagian tuntutan iman. Ini krana Negara atau tanah air itu, merupakan tempat bagi merealisasikan dan melaksanakan syariat Islam di muka bumi ini. Oleh kerana Negara merupakan amanah Allah untuk pelaksanaan syariatnya di muka bumi ini, maka kita sebagai khalifah berkewajipan melaksanakan syariat tersebut dalam semua bidang baik dalam bidang halal, haram, ibadat, munakahat, muamalat, jinayah atau bidang pendidikan, pentadbiran, perundangan, perekonomian, serta bidang sosial dan politik.

6. Jihad
jihad adalah berjuang untuk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini sama ada dengan jiwa raga atau dengan kekuatan dan senjata. Ada sesetengah ulama Islam meletakkan jihad ini sebagai rukun Islam yang keenam selepas mengucap dua kalimah syahadah, menunaikan solat, menunaikan puasa, mengeluarkan zakat, dan mengerjakan haji. Kepentingan jihad kepada manusia adalah jelas sekali kerana ia bukan sahaja sebagai perisai keselamatan kepada agama Islam dari musuh-musuh luar yang cuba merosakkan Islam tetapi dapat menyelamatkan jiwa dan tubuh manusia dari perosak dalaman seperti godaan syaitan dan hawa nafsu. Jihad boleh di bahagikan kepada beberapa bahagian antaranya:

- jihad an-nafs iaitu mengawal segala runtuhan dalaman atau naluri yang ada pada tubuh manusia supaya tidak dapat merosakkan hidup sesorang itu. Bahka jihad ini dapat mengenal pasti segala bisikan syaitan yang cuba menggoda manusia supaya melanggar hukum hakam Allah dan bertindak menolaknya.
- Jihad fisabilillah iaitu menggunakan kekuatan untuk mempertahankan Islam. Jihad ini sebagai perisai yang akan menjamin keselamatan Islam dari musuh-musuh luar yang cuba merosakkan Islam. Jika dilihat kepada para pejuan Islam di zaman Rasulullah dan para Sahabat, jelaslah kepada kita keunggulan semangat mereka menegakkan kalimah Allah ini sehingga mereka sanggup menggadaikan segala-galanya kerana Allah.
- Jihad dalam pelbagai bidang kehidupan iaitu dalam bidang ekonomi, undang-undang, pendidikan, politik, kedoktoran, sosial dan sebagainya. Jihad ini bertujuan memenuhi tuntutan-tuntutan Islam dalam bidang-bidang tersebut. Umat Islam akan dikira berdosa jika bidang-bidang ini dimonopoli oleh orang lain kerana hak-hak tersebut adalah kepunyaan umat Islam.

PENUTUP

Setelah kita membicarakan tentang bidang Akidah, Syariat, dan Akhlak bererti kita telah memahami apa dia erti Islam yang sebenar kerana ketiga-tiga bahagian ini adalah komponen Islam dan tidak di namakan Islam jika tiada ketiga-tiga bahagian ini.

Akidah ini sebagai asas untuk bertapak, bergerak, dan bertindak dalam melakukan sesuatu perbuatan, perlakuan dan pertuturan dalam kehidupan. Akidah juga sebagai penilai dalam menentukan kukuh atau lemahnya sesuatu binaan atau pegangan seseorang kerana ianya tunjang dan teras kepada struktur pembinaan bangunan dan fizikal manusia.

Syariat Islam ini direka cipta oleh Allah untuk kepentingan manusia melalui para rasulnya yang diutus khas oleh Allah yang telah dirakamkan di dalam Al Quran dan Al Hadith. Kandungan di dalam syariat adalah untuk mengatur cara hidup manusia supaya terjamin hidupnya di dalam kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Akhlak adalah menjadi tunjang dan teras penghidupan manusia kerana segala prinsip, peraturan dan undang-undang yang ada di dalam syariat hendaklah di laksanakan. Keimanan sesorang itu kepada Allah dapat dilihat dan diukur dengan mata kasar, begitu juga kepatuhannya terhadap peraturan dan undang-undang syariat yang telah ditetapkan tidak boleh dinilai melainkan dengan pelaksanaan dan penghayatan serta kepatuhan seseorang itu terhadap peraturan-peraturan tersebut di muka bumi ini.

Dengan menghayati ketiga-tiga bidang ini akan menghapuskan segala kekeliruan dan keraguan yang wujud dalam diri selama ini dan akan terserlahlah cahaya kebenaran agar dapat menghayati hidup yang sebenar yang diredhai oleh Allah dan semoga kita akan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat kelak.

No comments: