Thursday, April 16, 2009

Tanda-Tanda Kiamat Yang Besar

Oleh: Mazni Bt Shaaruddin

Kiamat bermaksud hari terakhir di mana manusia dan semua alam ciptaan Allah s.w.t akan lenyap dan manusia akan kembali ke pada-Nya untuk selama-lamanya. Sebelum itu Allah akan memberi petanda-petanda kepada umat manusia di bumi iaitu tanda sebelum kiamat yang besar antaranya ialah munculnya Dajjal, turunnya Nabi Isa a.s, keluarnya Ya’juj dan Ma’juj, keluarnya asap atau kabut, terbitnya matahari dari barat, binatang melata di bumi dan gempa bumi atau tanah runtuh di tiga wilayah.

Tujuan Allah s.w.t memberitahu tentang tanda-tanda hari kiamat yang besar adalah supaya umat manusia sentiasa berfikir dan beringat tentang adanya hari kiamat. Bukan itu sahaja, sebagai umat Islam dan muslim mempercayai kewujudan hari kiamat adalah wajib kerana ia adalah salah satu dari rukun iman. Jika seorang muslim dan umat Islam tidak mempercayai akan hari kiamat maka iman mereka belum lengkap lagi.

Apabila Allah s.w.t telah menurunkan dan menunjukkan tanda-tanda besar hari kiamat maka Allah s.w.t tidak akan menerima segala taubat dan keinsafan manusia-manusia yang ingin berubah dan insaf dari segala kejahatan dan kejahilan yang telah dilakukan oleh mereka. Waallahualam.

Sebagaimana yang kita ketahui bahawa mempercayai hari kiamat adalah salah satu dari rukun iman yang kelima. Ini bermaksud kita sebagai umat islam dan beragama islam wajib mempercayai bahawasanya hari kiamat itu wujud. Saya tidak menjumpai nas-nas yang sahih yang menjelaskan tata urutan tanda-tanda hari kiamat yang besar menurut kejadiannya. Yang disebut dalam hadis-hadis hanyalah penyebutan secara keseluruhan, tanpa menyebut turutannya.

Di sini saya cantumkan beberapa nas atau hadis-hadis yang menyebutkan tentang tanda-tanda kiamat besar secara keseluruhan atau sebahagiannya iaitu Hudzaifah bin As-yad Al Ghifany berkata, sewaktu kami sedang berbincang tiba-tiba datang Nabi Muhammad s.a.w kepada kami lalu bertanya, “ Apakah yang kamu sedang bincangkan?” Lalu kami menjawab “kami sedang membincangkan tentang hari kiamat” Sabda Rasullah s.a.w “Sesungguhnya kiamat itu tidak akan terjadi sebelum kamu melihat tanda-tanda kiamat”.

Setelah munculnya tanda-tanda kiamat besar yang pertama maka tanda-tanda yang lain pula akan mengikutinya secara berturutan seperti rangkaian marjan (mutiara) yang dirangkai dengan tali atau lainnya. Terdapat beberapa tanda-tanda kiamat yang besar yang mana ada disebutkan di dalam hadis, antaranya turunnya Nabi Isa a.s, munculnya Ad Dajjal, keluarnya Ya’juj dan Ma’juj, terbitnya matahari sebelah barat, keluarnya asap, binatang melata di bumi dan gempa bumi/tanah runtuh di tiga wilayah.

Apabila tanda-tanda kiamat yang besar telah berlaku ini bermakna hilanglah segalanya yang kita ada di dunia ini. Kita akan menempuh pula ke satu dunia baru yang kita tidak akan ketahui apa akan berlaku. Mari kita ketahui lebih lanjut tentang tanda-tanda kiamat yang telah saya ringkaskan dari buku yang saya kaji.

MUNCULNYA AD DAJJAL
“Dajjal” ialah Al Kholath (mencampur, mengacaukan, membingungkan) manakala “Ad dajjal” ialah memanipulator dan pembohongan yang luar biasa. Dajjal juga dinamakan Dajjal kerana ia menutupi kebenaran dengan kebatilan atau kerana ia menutupi kekafirannya terhadap orang lain dengan kebohongan, kepalsu dan penipuannya atas mereka.

Dajjal adalah seorang lelaki dari anak Adam yang memiliki sejumlah sifat sebagaimana dalam beberapa hadis agar manusia mengetahuinya dan berhati-hati terhadapnya, sehingga apabila kelak ia muncul maka orang-orang mukmin dapat mengenalinya serta tidak terfitnah olehnya.

Sifat-sifat inilah yang membezakannya dari manusia lainnya sehingga tidak tertipu olehnya kecuali orang yang jahil. Dia juga adalah seorang muda yang berkulit merah, pendek, berambut kerinting, dahinya lebar, pundaknya bidang, mata sebelah kananya buta dan mata sebelah kirinya pula ditumbuhi daging yang tebal pada sudutnya. Di antara kedua-dua matanya tertulis huruf kaf, fa’, ra atau “kafir” secara bersambungan /berangkai, yang dapat dibaca oleh setiap muslim yang boleh menulis mahupun yang tidak boleh menulis. Dan di antara tandanya lagi ialah mandul, tidak punya anak.

Dajjal akan keluar dari timur, dari Khurasan, dari kampung Yahudiyyah kota Ashbahan. Kemudian mengembara ke seluruh penjuru bumi kecuali Mekah dan Madinah, kerana kedua-dua kota tersebut adalah suci dan ia dijaga oleh malaikat. Dajjal juga tidak akan memasuki empat buah masjid iaitu Masjidil Haram, Masjid Madinah, Masjid Thur dan Masjid Al-Aqsa.

Dajjal mempunyai ramai pengikut di antara pengikutnya adalah orng-orang Yahudi, orang Ajam, orang Turki dan manusia dari pelbagai bangsa dan golongan yang kebanyakan dari orang-orang arab dusun dan kaum wanita.

Dalam riwayat-riwayat disebutkan bahawa Dajjal memiliki syurga dan neraka, maka syurganya itu adalah neraka dan nerakanya adalah syurga. Dia juga memiliki sungai-sungai air dan gunung-gunung roti. Dia memerintahkan langit untuk menurunkan hujan lantas langit pun menurunkan hujan, memerintah kan bumi untuk menumbuhkan tumbuh-tumbuhan dengan segala hasilnya. Dia dapat melintasi bumi yang luar biasa, bagaikan hujan yang ditiup angina kencang, serta kejadian-kejadian luar biasa. ini kerana dia menganggap dirinya adalah Tuhan.

Dajjal juga banyak membuat kejahatan supaya dapat mempengaruhi manusia ke jalan kemungkaran dan kerosakkan. Dia juga tidak putus-putus menyesatkan manusia sehingga ke akhir zaman.

BAHAGIAN kedua

TURUNNYA NABI ISA a.s
Sebelum kita membicarakan masalah turunnya Nabi Isa a.s baiklah kita mengenali sifat-sifat atau identiti baginda terlebih dahulu sebagaimana yang disebutkan di dalam nas-nas syariah. Nabi Isa juga dikenali sebagai Al-Masih iaitu pembawa petunjuk yang dapat menyembuh tuna netra dan penyakit sopak (penyakit kulit yang tidak memiliki zat warna) dan dapat menghidupkan orang mati dengan izin Allah s.w.t.

Di antara sifat-sifat serta cirri-ciri baginda menurut beberapa riwayat ialah baginda bertubuh sedang iaitu tidak tinggi dan tidak pendek, berkulit merah dan berbulu, dadanya bidang, rambutnya pula lurus seperti orang baru keluar dari pemandian dan rambutnya itu sampai di bawah hujung telinga yang disisir rapid an memenuhi kedua pundaknya.

Setelah munculnya Dajjal dan melakukan kerosakkan di muka bumi, Allah mengutuskan Nabi Isa a.s untuk turun ke bumi. Baginda turun di menara putih di timur Damsyiq, Syria. Baginda mengenakan dua helai pakaian yang dicelup dengan waras dan za’faran dan baginda meletakkan kedua telapak tangan beliau di sayap dua orang malaikat. Apabila baginda menundukkan kapala, menurunlah rambutnya dan apabila diangkat kelihatan landai seperti mutiara.

Baginda akan turun pada kelompok yang diberi pertolongan oleh Allah s.w.t yang berperang untuk menegakkan kebenaran dan bersatu-padu menghadapi Dajjal. Turunnya Baginda pada waktu sedang diiqamati solat, lantas baginda solat di belakang pemimpin kelompok tersebut.

Baginda akan membunuh Dajjal iaitu ketika baginda turun Dajjal sedang berada di sekitar Baitul Maqdis dan menghadap ke sana, lalu baginda bertemu dengannya di pintu Lod. Pada waktu Dajjal melihat baginda, dia akan mencair seperti garam. Lalu Nabi Isa a.s bertanya kepanya, “ Saya akan memukulmu yang engkau tidak akan dapat dariku”. “kemudian Nabi Isa a.s mengejarnya dan membunuhnya dengan badiknya dan pengikut-prngikutnya berantakan lantas dikejar dan dibunuh oleh orang-orang mukmin. Sehingga, pohon-pohon dan batu-batu berkata, “Wahai orang mukmin, wahai hamba Allah! Ini ada orang Yahudi di belakangku! Kemarilah, bunuhlah dia! Kecuali pohon gharqad yang tidak berbuat demikian, kerana dia adalah pohon orang Yahudi.

Antara hikmah-hikmah Allah menurunkan Nabi Isa a.s pada akhir zaman adalah kerana :-

1. Untuk menolak anggapan orang-orang Yahudi bahawa mereka telah membunuh Nabi Isa a.s. Lalu Allah menjelaskan kebohongan mereka berserta pemimpin mereka iaitu si Dajjal. Dan Al-Hafizh Ibnu Hajar menganggap pendapat ini lebih kuat daripada yang lain.

2. Nabi Isa menjumpai keutamaan umat Muhammad s.a.w tercamtum dalam Injil maka Nabi Isa berdosa kepada Allah agar dimasukkan ke dalam golongan mereka. Lalu Allah mengabulkan doanya dan mengekalkan kehidupannya hingga baginda akan turun pada akhir zaman sebagai pembaharu terhadap urusan Islam.

3. Sesungguhnya turunnya Nabi Isa a.s dari langit kerana ajalnya sudah dekat agar baginda dikuburkan di bumi. Dan turunnya baginda nanti bersesuaian dengan keluarnya Dajjal, lalu baginda membunuhnya.

4. Baginda akan turun untuk mendustakan kaum Nasara, maka tampaklah kepalsuan dan kebatilan mereka. Lalu Allah hancurkan semua agama pada masanya kecuali Islam. Lalu baginda hancurkan salib, baginda bunuh babi dan baginda bebaskan pajak.

BAHAGIAN ketiga

YA’JUJ DAN MA’JUJ
Asal usul Ya’juj dan Ma’juj ialah pecahan dari kata maaja yang bererti idhthoroba (goncang, bercampur baur), maka hal ini diperkuatkan oleh firman Allah, maksudnya :

Kami biarkan mereka pada hari itu (hari kehancuran dunia yang dijadikan oleh Allah bercampur aduk antara yang satu dengan yang lain”. Perkara ini terjadi ketika mereka iaitu Ya’juj dan Ma’juj keluar dari dinding.

Di antara sifat-sifat mereka sebagaimana yang disebutkan di dalam beberapa hadis ialah mereka seperti anak cucunya iaitu tidak fasih bicaranya, mata mereka sepet, hidung mereka kecil, rambut perang (merah) dan dahi mereka lebar. Keluarnya Ya’juj dan Ma’juj pada akhir zaman merupakan salah satu tanda kiamat yang besar dan akan kemunculannya itu telah ditunjuk oleh dalil-dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah.

Mereka merupakan dua golongan iaitu satu golongan kecil manakala yang satu bergolongan besar. Ya’juj dan Ma’juj itu kini berada di belakang bendungan yang dibangunkan oleh Iskandar Zulkanain. Apabila keluarnya mereka ini, maka bilangannya tidak terhitung banyaknya sehingga jikalau air laut Thahatiah di minum oleh mereka nescaya tidak akan tinggal walau setitis pun air laut tersebut.

Banyak ayat-ayat yang berkaitan dengan munculnya Ya’juj dan Ma’juj, ada kisah di mana seorang raja yang soleh iaitu Iskandar Zulkanain telah membina dinding yang besar untuk menjadi penghalang antara Ya’juj dan Ma’juj yang suka membuat kerosakkan di bumi dan manusia. Apabila telah datang waktu yang ditentukan dan kiamat telah dekat, maka pecahlah dinding tersebut dan keluarlah Ya’juj dan Ma’juj dengan kecepatan dan kemampuan luar biasa yang tiada seorang pun yang mampu menghalang. Lantas meraka berbaur ke tengah-tengah masyarakat dan menyebarkan kerosakkan di muka bumi ini. Dan ini merupakan petanda sudah dekatnya untuk meniup sangkala dan kehancuran dunia serta datangnya kiamat sebagaimana yang dijelaskan di dalam hadis-hadis sahih.

Tetapi yang termasuk tanda-tanda datangnya kiamat besar iaitu keluarnya Ya’juj dan Ma’juj ini pada akhir zaman belum terjadi kerana hadis-hadis yang sahih menunjukkan bahawasanya keluarnya Ya’juj dan Ma’juj adalah setelah turunnya Nabi Isa a.s dan bagindalah yang berdoa kepada Allah agar Dia membinasakan Ya’juj dan Ma’juj tersebut. Dan Allah pula lantas membinasakan dan membuang mereka ke laut serta mengamankan negara-negara dan juga para hamba-Nya dari kejahatan. Waallahualam

BAHAGIAN keempat

KELUARNYA ASAP (KABUT)
Kabut ialah juga dikenali sebagai asap. Munculnya kabut atau asap ini pada akhir zaman merupakan salah satu tanda-tanda besar hari kiamat dimana ditunjukkan oleh Allah s.w.t di dalam Al-Kitab dan As- sunnah.

Apabila kabut atau asap tersebut keluar dan memenuhi timur dan barat bumi, ia akan berlaku selama empat puluh hari (40 hari). Sesungguhnya kabut hari kiamat tersebut akan datang lalu menutupi pendengaran dan penglihatan orang-orang munafiq.

Ini kerana setelah kabut tersebut mengenai dan terkena orang yang beriman maka mereka akan terbersin seperti orang terkena selsema sementara jikalau terkena orang yang kafir maka keadaannya seperti orang mabuk dan asap tersebut akan keluar melalui hidung, telinga dan dubur mereka.

BAHAGIAN kelima

TERBITNYA MATAHARI DARI BARAT
Apabila matahari telah terbit dari barat maka tidaklah diterima iman orang yang belum pernah beriman sebelumnya, sebagaimana halnya tidak akan diterima taubat orang yang durhaka kerana terbitnya matahari dari barat merupakan tanda yang besar yang dapat dilihat oleh setiap orang yang hidup di zaman tersebut. Maka terbukalah semua hakikat bagi mereka dan mereka saksikan kejdian-kejadian yang mengerikan yang menjadikan kuduk mereka tunduk menekur untuk megakui dan membenarkan Allah dan ayat-ayat-Nya. Hukuman mereka pada masa tersebut seperti hukuman orang yang menyaksikan datangnya azab Allah s.w.t.

Sesungguhnya nas-nas menunjukkan bahawasanya taubat itu tidak diterima lagi sesudah terbitnya matahari dari barat, iaitu orang-orang kafir yang baru berikrar ingin masuk Islam setelah itu juga tidak akan diterima ikrarnya. Nas-nas tersebut juga tidak membezakan di antara orang-orang yang menyaksikan tanda-tanda hari kiamat (terbitnya matahari dari barat) dan yang tidak menyaksikannya.

BAHAGIAN keenam

BINATANG MELATA DI BUMI
Binatang melata yang dikenali sebagai Dabatul Ard ini akan keluar di Kota Mekah, Gunung Shafa. Perkara ini terjadi ketika manusia sudah rosak, meninggalkan perintah-perintah Allah s.w.t dan mengantikan dengan Din (agama) yang haq (benar) dengan agama yang batil (non-Islam). Maka Allah mengeluarkan sejenis bintang melata dari perut bumi, lalu binatang tersebut mengatakan kepada manusia tentang keadaan mereka yang rosak itu.

Yang dimaksudkan dengan rosak ialah apabila manusia terus-menerus melakukan pelanggaran, kedurhakaan, penyimpangan, penyelewengan, berpaling dari ayat-ayat Allah s.w.t, tidak mahu memikirkan dan merenungkanNya, tidak mahu melaksanakan hokum-hukumNya, bergelimang dalam kemaksiatan dengan tidak mahu lagi diberi nasihat dan tidak menghiraukan segala macam peringatan.

Binatang tersebut juga dikenali sebagai Al-Jassasah (mata mengintai-intai). Allah akan mengeluarkan binatang tersebut dari dalam bumi pada akhir zaman, di mana binatang tersebut dapat berbicara kepada manusia. Maka perkataan binatang tersebut merupakan petanda bagi mereka yang menunjukkan bahawasanya mereka telah berhak mendapatkan ancaman (seksa) kerana mereka mendustakan ayat-ayat Allah s.w.t.

Apabila wujudnya binatang tersebut di mana yang dapat berbicara kepada manusia dengan perkataan yang difahami dan di dengar maka ini diperkuatkan dengan kisah yang disebutkan dalam Al-Quran surah An-Naml, iaitu terdapat pemandangan dan pembicaraan di antara seranggan (semut), burung, jin dengan Nabi Sulaiman a.s. ini bermakna binatang tersebut akan membawa tongkat Nabi Musa a.s dan cincin Nabi Sulaiman a.s dan binatang tersebut akan memukulkan tongkatnya ke dahi orang yang beriman, apabila mengenai dahi mereka maka tertulislah “orang beriman” di dahi mereka sementara apabila mengenai dahi orang yang kafir maka tertulislah “orang kafir” di dahi mereka.

BAHAGIAN ketujuh

GEMPA BUMI / TANAH RUNTUH
Gempa bumi dan tanah runtuh di tiga wilayah juga merupakan tanda-tanda kiamat yang besar iaitu di wilayah timur, wilayah barat dan di Jazirah Arab. Allah berfirman maksudnya, “ Allah akan membenamkan Quran berserta rumahnya ke dalam bumi”. Ini bermakna ketiga-tiga gempa bumi dan tanah runtuh tersebut belum terjadi meskipun kita sedari bahawa dunia sekarang banyak terjadinya gempa bumi dan tanah runtuh namun masih tidak bersamaan dengan ketiga-tiga gempa bumi dan tanah runtuh yang akan berlaku di akhir zaman.

Ada yang berpendapat dan diperkuatkan oleh hadis-hadis, bahawa kejadian tersebut terjadi apabila kerosakkan dan kemaksiatan telah bermaharajalela di kalangan manusia. wallahualam.

Penutup
Disini saya dapat merumuskan beberapa perkara yang penting iaitu bahawasanya mengimani tanda-tanda hari kiamat merupakan keimanan kepada perkara ghaib yang tidak sempurna iman seorang muslim kecuali dengan mengimaninya. Ini kerana mempercayai adanya hari kiamat adalah salah satu dari rukun iman dan kita sebagai seorng muslim dan Islam wajib mempercayainya.

Bahawa kedatangan hari kiamat itu hanya Allah s.w.t sendiri yang ketahui dan tidak ada satu pun makhluk yang mengetahuinya iaitu baik malaikat yang mana dekat dengan Allah s.w.t mahupun Nabi utusan-Nya. Apabila telah munculnya tanda-tanda hari kiamat yang besar pertama maka akan disusuli pula oleh tanda-tanda yang lain secara beruntun seperti untaian marjan, yang sebahagiannya mengikuti sebahagian yang lain. Ini kerana di dalam hadis-hadis dan dalil-dalil Allah s.w.t tidak tertulis tata urutan tanda-tanda hari kiamat yang besar.

Bukan itu sahaja, apabila munculnya tanda-tanda hari kiamat tersebut, maka ia merupakan petunjuk akan hancurnya alam semesta ini yang sekarang saat terakhirnya semakin dekat, bagaikan tanda-tanda kematian yang nampak pada orang yang menhadapi sakaratulmaut. Sabda Rasullah s.a.w, “ apabila harta orang kafir yang dihalalkan tanpa perang yang dijadikan pembahagian bergilir, amanat dijadikan seperti harta rampasan, zakat dijadikan seperti pinjaman, belajar selain daripada agama, orang lelaki takut kepada isterinya, menderhakai ibunya, lebih rapat dengan teman dan menjauhkan ayahnya, suara-suara lantang dalam masjid, pemimpin kaum dipilih dari orang fasik, orang dimulia kerana ditakuti akan tindakan jahat dan dianyainya dan bukan kerana takutkan Allah s.w.t, maka ke semua itu adalah tanda-tanda membawa kepada hari kiamat.

No comments: